Pages

Showing posts with label lesbian. Show all posts
Showing posts with label lesbian. Show all posts

Friday, September 28, 2012

Gigi ketawakan tawaran lumayan bapa


HONG KONG: Anak perempuan bilionair play- boy yang didakwa lesbian, mentertawakan tindakan bapanya menawarkan hampir RM200 juta kepada mana-mana lelaki yang boleh mengembalikannya menjadi wanita tulen.
Cecil Chao Sze-tsung, antara orang paling kaya di Hong Kong menawarkan hadiah itu selepas anaknya, Gigi berkahwin dengan teman wanitanya, Seab Eav di Perancis.
Taikun hartanah itu yang tidak dapat menerima perkahwinan sesama jenis itu berikrar akan membayar kepada mana-mana lelaki yang boleh berkahwin dengan Gigi dalam satu majlis tradisional.

Bagaimanapun, anak perempuannya yang berusia 33 tahun itu dan lulusan Universiti Manchester menganggap tawaran HKD500 juta (RM200 juta) itu sebagai ‘agak menarik.’

Dia memberitahu akhbar South China Morning Post: “Ada ketikanya orang enggan menerima apa yang diberitahukan kepadanya.

“Dia (Chao) mempunyai tafsiran menarik mengenai saya.”

Gigi enggan mengesahkan laporan mengenai perkahwinannya pada 4 April lalu dengan berkata: “Saya tidak takut untuk mengaku sesuatu. Tetapi saya mahu menghormati ibu bapa saya. Biarkan masa menjadi saksi,” katanya.

Bapanya yang mendakwa mempunyai 10,000 teman wanita, menafikan laporan mengenai perkahwinan sesama jenis Gigi dan menegaskan anaknya masih bujang.

“Saya tidak kisah lelaki itu kaya atau miskin. Paling penting hatinya baik,” kata Chao mengenai calon ideal untuk menjadi suami anaknya.

“Gigi wanita yang baik, berbakat dan cantik. Dia menghormati ibu bapanya dan pemurah serta melakukan tugas sukarela,” katanya kepada South China Morning Post.
Perkahwinan sesama jenis tidak diiktiraf di Hong Kong.

Menurut laporan, Chao bertengkar dengan Gigi minggu lalu selepas Gigi mengumumkan pada satu majlis di Beijing bahawa dia sudah berkahwin dengan kekasihnya, Seab Eav, lima bulan lalu.

Chao yang sering muncul di majlis sosial di Beijing dan majalah selebriti, tidak pernah berkahwin.

Selain wang berkenaan, dia juga berjanji untuk membantu bakal menantunya memulakan perniagaan. - DM

Thursday, January 19, 2012

Gadis menyamar lelaki demi cinta sejenis

LONDON: Seperti remaja normal, Gemma Barker kelihatan meminati kumpulan penyanyi lelaki, gemar siri televisyen dan mengimpikan hidup sebagai pelakon.
Namun, di sebalik penampilan sopan itu, remaja berusia 19 tahun berkenaan menjalani hidup songsang yang mendorongnya menyamar sebagai lelaki semata-mata untuk bercinta dengan dua teman wanita yang memberahikannya.

Melalui helahnya itu, Gemma tampil sebagai remaja lelaki supaya dapat berasmara dengan dua mangsanya - masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.

Gemma memiliki tiga identiti palsu, iaitu Aaron Lampard, Connor McCormack dan Luke Jones.

Menurut sumber, Gemma memperdaya mangsanya dengan bercakap dan berkelakuan seperti budak lelaki.

Dia juga sering memakai pakaian longgar dan bertopi bagi melindungi bentuk fizikal sebenarnya.


“Gemma membuka akaun Facebook menggunakan identiti Lampard, McCormack dan Jones dengan setiap satu menampakkan personaliti tersendiri,” katanya.

Sumber melaporkan, Gemma mengelirukan semua rakan dan keluarganya dengan menampilkan diri sebagai tiga remaja lelaki berbeza.

“Mangsa digoda walaupun kedua-dua mereka belajar di sekolah sama,” katanya.

Akhirnya penyamaran Gemma terbongkar apabila mangsa itu mengesyaki mereka berkongsi ‘teman lelaki.’ “Seorang daripada mereka membuka topi Gemma ketika dia tidur dalam bilik dan menyedari ‘lelaki’ terbabit adalah orang yang sama dikenali sebagai Lampard dan bercinta dengan rakan mangsa,” katanya.

Polis kemudian menahan Gemma kerana disyaki melakukan serangan seksual. - DM

Friday, August 26, 2011

Pasangan lesbian dipaksa pisah

BANDA ACEH: Pihak berkuasa agama Indonesia telah memaksa satu pasangan lesbian berpisah dan meletakkan mereka di bawah pengawasan walaupun hubungan sejenis dibenarkan di negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Pasukan Polis Islam yang unik di wilayah Aceh, di utara Pulau Sumatera, memberi amaran kepada pasangan itu dan memaksa mereka berpisah kerana di bawah undang-undang Islam, mereka boleh dihukum pancung. “Kami beritahu mereka boleh dihukum pancung dan dibakar manakala abu mereka akan ditabur di laut. Agama kami membenarkan mereka dibunuh,” kata Muddatsir, Ketua Polis Agama Islam bahagian barat daya Aceh. Ranto, 26 dan pasangannya Nuraini, 18 tahun, sekarang tinggal di kampung berasingan sejauh 36 kilometer. “Kami akan mengawasi mereka,” katanya. Kata Muddatsir lagi, seorang ketua kampung telah memberikan pasangan itu surat nikah tidak rasmi kerana menyangka Ranto adalah lelaki. “Apa yang mereka lakukan itu memalukan. Haiwan pun tahu cari pasangan berlainan jenis,” katanya lagi. Parlimen Wilayah itu membenarkan hukum Islam dilaksanakan iaitu merejam pasangan yang berzina sampai mati dan hukuman sebat ke atas pasangan sejenis pada tahun 2009, tetapi belum dapat dilaksanakan kerana gabenor belum menandatangani undang-undang itu. Kumpulan liberal di negara 240 juta orang berkata, undang-undang syariah Aceh akan menggalakkan sikap berjaga-jaga dan tidak toleransi dan ini melanggar perlembagaan. - AFP

Tuesday, June 21, 2011

Perkahwinan pasangan lesbian pertama di Nepal




COURTNEY MITCHELL (kanan) menyarungkan cincin perkahwinan kepada pasangan lesbiannya, Sarah Welton dalam majlis perkahwinan sesama jantina di sebuah kuil Hindu di Katmandu, Nepal semalam.


KATMANDU - Seorang peguam wanita dan profesor wanita dari salah sebuah kolej di Amerika Syarikat (AS) merupakan pasangan lesbian yang pertama berkahwin di Nepal semalam.
Nepal baru-baru ini telah mengiktiraf hak-hak lelaki homoseksual dan menggubal undang-undang untuk menamatkan diskriminasi seksual.
Pasangan itu, Courtney Mitchell, 41, dan Sarah Welton, 48, dari Denver, Colorodo diraikan dalam persandingan tradisi Hindu di kuil Dakshinkali yang terletak di selatan Katmandu, ibu negara Himalaya.
Ahli Parlimen Nepal, Sunilbabu Pant, seorang aktivis hak gay berkata, ia merupakan perkahwinan awam pertama daripada pasangan lesbian di negara konservatif.
Di Nepal, perkahwinan sejenis tidak menyalahi undang-undang. - AP
Kosmo! Online - Dunia

Sunday, December 5, 2010

Cari kepuasan diri

Shira
Shira


KUALA LUMPUR: Tidak sekadar mengadakan pelbagai parti liar di kelab malam mahupun rumah, golongan lesbian kini semakin aktif mencari dan menambah kenalan baru menerusi laman sosial popular, Facebook.
Ini berikutan laman maya itu memudahkan golongan bernafsu songsang berkenaan mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan dalam tempoh singkat.

Hakikat ini diakui oleh Ling, 23, dan Shira, 25, yang turut menyertai pelbagai ‘kelab’ lesbian di alam siber itu.

Menurut Ling, dia menyertai kelab berkenaan atas ajakan rakannya bagi membolehkan mereka menerima layanan mesra dan manja daripada komuniti laman itu.

“Hanya wanita memahami perasaan wanita lain. Sebab itu saya menyertai kelab seperti ini kerana beberapa kali kecewa dipermainkan lelaki. Kebanyakan lelaki hanya mahu mengambil kesempatan.

“Bila bercinta dan menjalin hubungan dengan golongan sejenis, saya rasa dihargai. Malah, golongan lesbian lebih baik daripada lelaki dan lebih memahami jiwa dan kemahuan sesama sendiri.


“Ada juga beberapa rakan saya sering bertukar-tukar pasangan selepas mengenali wanita lain di Facebook. Namun, ia tidak seperti bertukar-tukar pasangan dengan lelaki. Mereka tidak dipermainkan dengan sesuka hati seperti berkawan dengan lelaki yang hanya mahukan seks semata-mata.

“Paling tidak, golongan lesbian hanya melakukan seks ‘ringan’ sesama sendiri. Malah, masing-masing tahu cara untuk kepuasan sendiri dan bagaimana mahu memenuhinya,” katanya yang ditemui Metro Ahad.

Ling berkata, dia kini memiliki ratusan kenalan lesbian yang diperoleh daripada Facebook dan berasakan tidak rugi berkenalan dengan mereka, malah ramai sudi menghulurkan tangan untuk membantu jika dia dalam kesusahan.

“Bagi saya, tidak perlu menjalin hubungan hingga ke bilik tidur. Cukup sekadar berkawan dan berkongsi perasaan kasih. Lagipun, golongan ini bersifat terbuka dan lebih baik daripada lelaki. Mereka tidak berkira jika saya memerlukan pertolongan.

“Ia juga sama seperti kelab lain yang ditubuhkan pelbagai individu. Selain menambah kenalan, Ia bertujuan mengeratkan hubungan sesama kami menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan. Bezanya, ia hanya dihadiri golongan wanita,” katanya.

Bagi Shira pula, kelab lesbian seperti yang diwujudk di Facebook bukan bertujuan mengadakan aktiviti negatif saja.

Sebagai contoh, kebanyakan wanita lesbian tidak bercampur dengan golongan lain, justeru kelab itu memastikan mereka tidak tersisih.

“Kadangkala, orang ramai yang tahu kami lesbian akan memandang dengan pelbagai tanggapan negatif. Sedikit sebanyak, ia membuatkan kami tersisih.

“Jadi, kewujudan kelab seperti ini mampu membuatkan kami berasa dihargai dan mendapat perhatian individu lain. Walaupun kami tidak ambil pusing pandangan orang, dalam diam ia masih memberi impak terhadap diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, saluran Facebook banyak membantunya mencari kenalan yang ‘sealiran’ dan membuatkannya lebih mudah menambah rakan yang sama minat sepertinya.

Katanya, meskipun ada cara mudah untuk menambah kenalan yang mempunyai minat kepada golongan sejenis seperti itu, terserah kepada seseorang individu itu untuk menentukan sejauh mana hubungan mereka iaitu hingga melakukan hubungan seks atau sekadar berkongsi minat.

“Saya akui ada yang terlanjur selepas terpengaruh mengenai ‘kelab’ yang ada, malah saya juga hampir terjebak untuk menjalin hubungan istimewa dengan rakan lesbian. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat menyedari kesan negatifnya.

“Namun, hingga kini minat dan keghairahan saya kepada golongan sejenis tidak pernah padam walaupun ada lelaki cuba mendekati saya.

“Akhirnya, saya terpaksa menolak kerana kini saya tidak mempunyai sebarang perasaan kepada golongan itu,” katanya.

Tuesday, September 7, 2010

Remaja lesbian benci lelaki

SAYA remaja berusia 19 tahun dan mempunyai seorang kekasih perempuan sebaya. Kami bercinta kerana masing-masing sering mengambil berat hingga tercetus perasaan sayang.
Mulanya saya seorang gadis normal dan setia pada yang satu namun lelaki tidak pernah menghargai cinta saya malah saya pernah putus tunang.

Tinggal enam bulan saja kami akan berkahwin dan hati saya hancur dengan kejadian itu. Mungkin Allah hendak tunjuk dia bukan jodoh saya, dia keluar dengan perempuan lain di hadapan mata saya dan banyak gigitan cinta di lehernya.

Sejak saat itu, saya buang lelaki dalam hidup dan membenci mereka. Mereka hipokrit.

Akhirnya, saya jumpa 'kekasih' saya. Dia sangat baik, lemah lembut dan penuh pengertian. Dialah segala-galanya dalam hidup saya walaupun tahu hubungan kami  berdosa besar dan sedar ia tidak akan kekal lama.

Masalahnya, apakah yang harus saya lakukan untuk menghadapi masa depan kerana langsung tiada perasaan kepada kaum lelaki. Hati saya hanya untuk perempuan. Baru-baru ini, kawan saya memperkenalkan dengan seorang kawan lelakinya namun dia juga seperti bekas tunang menyebabkan saya tambah kecewa dan membenci kaum Adam.

Susahnya saya hendak terima lelaki dalam hidup. Saya buntu dan takut mati sebelum sempat bertaubat.

Bantulah saya.

Maya Percintaan
Kedah
KESAN perhubungan yang tidak kesampaian, ditinggalkan terkontang-kanting oleh bekas tunang mengubah corak pemikiran dan gaya hidup adik. Dari seorang yang normal, kini kepada perhubungan sesama jenis. Dr faham perasaan adik ketika melihat bekas tunang berpacaran dengan gadis lain. Dari saat itu, adik mula membuang lelaki dalam hidup dan berasakan kaum wanita lebih memahami. Adik memerlukan seorang yang memahami, mengerti dan tidak mengkhianati cinta. Dan orang yang dapat memahaminya ketika ini ialah teman wanita sendiri. Walaupun ada kenikmatan perhubungan lesbian, adik tetap dalam dilema. Contohnya, adik sendiri tahu perhubungan ini akan gagal dan mahu bertaubat kerana ia dosa besar.

Dr melihat masalah adik ialah keinginan mencari satu perhubungan yang tidak dikhianati, isu kepercayaan dan untuk menjalin hubungan normal (bertaubat).

Keinginan bertaubat memudahkan proses perubahan. Justeru, pertamanya adik perlu mengembalikan kepercayaan untuk menerima lelaki.

Seperti mana-mana perhubungan, banyak perhubungan akan berakhir sebelum seseorang bertemu pasangan yang betul. Adik juga berkata, jodoh adik bukan dengannya. Pepatah ada mengatakan "Mungkin Tuhan menginginkan kita bertemu dan bercinta dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat, kita harus mengerti bagaimana berterima kasih atas kurniaan itu".

Apabila bekas tunang tidak jujur, dia tidak cukup baik untuk menjadi pasangan hidup. Cintanya yang terselit pendustaan ibarat kehidupan yang bercampur gaul dengan penghinaan. Hikmahnya, adik bebas mencari orang yang lebih sesuai dan bertanggungjawab.

Untuk perhubungan berjalan baik, kedua-dua pasangan perlu komited. Namun, memilih kaum sejenis sebagai pengganti cinta yang hilang akan lebih membawa mudarat.

Walaupun dari segi perasaan, adik gembira, anda tahu ia akan berakhir suatu hari nanti. Masyarakat serta agama tidak menerima percintaan begini.

Salah satu cara untuk mengembalikan kepercayaan terhadap kaum lelaki ialah adik perlu mengubah corak pemikiran dan kepercayaan tidak rasional.

Pemikiran tidak rasional (semua lelaki adalah hipokrit) ternyata menguasai emosi adik sehingga lebih rela dan gembira bercinta dengan perempuan.

Adik perlu bentuk sistem kepercayaan tidak semua lelaki hipokrit. Realitinya, memang ada ramai lelaki yang setia kepada cinta yang satu, cuma adik belum bertemu.

Jika adik masih tetap menganggap semua lelaki adalah hipokrit, ia akan memberi kesukaran mengubah corak hubungan songsang.

Mengapa mesti membenci cinta kurniaan Allah? Yang harus dibenci dan dihindari ialah kepalsuan, bukan cinta. Jika ingin membenci, orang itu ialah bekas tunang adik, bukan semua lelaki.

Perasaan ambil berat dan saling faham memahami menyebabkan adik selesa menjalin hubungan dengan teman wanita. Dr tidak pasti sama ada hubungan adik berdua membabitkan hubungan seksual atau tidak.

Jika ingin bertaubat, adik perlu mengambil langkah berani dengan mula belajar untuk tidak menghukum lelaki dan menganggap tidak semua lelaki hipokrit. Analisis baik buruk menjalin hubungan sejenis. Ke manakah akhirnya perhubungan itu? Lihat juga dari sudut agama sama ada perbuatan ini diterima atau tidak. Bagaimana pula dengan penerimaan masyarakat dan keluarga terhadap hubungan adik dengan teman wanita. Jika adik berpisah dengan teman wanita, beritahu mengapa adik tidak lagi ingin menjadi kekasihnya untuk membuatkannya faham perkara sebenar.

Meninggalkan dia tanpa sebarang alasan akan memudaratkan perasaannya samalah seperti perasaan adik yang dilukai apabila ditinggalkan bekas tunang. Dr doakan adik cukup berani mengambil keputusan yang membawa kebaikan kepada diri, keluarga dan agama.

Friday, July 9, 2010

Kejutan PM Iceland






APABILA Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigudardottir mengumumkan penyatuan rasmi beliau dengan pasangan seks sejenisnya minggu lalu, majoriti masyarakat Barat bagaikan bersorak gembira.
Lebih-lebih lagi bagi golongan pejuang hak asasi gay dan lesbian, berita itu bagaikan durian runtuh bagi memudahkan mereka meneruskan kehidupan songsang selepas ini.
Sebagai sebuah negara yang sangat toleran, kehadiran ahli-ahli politik dan tokoh-tokoh agama gay sudah lama mewarnai lansdkap pentadbiran negara-negara Scandinavia.
Lantas tidak hairanlah apabila rakyat Iceland dengan selambanya menerima kenyataan perkahwinan sejenis pemimpin mereka biarpun mengejutkan dunia luar.
Selaku pemimpin negara pertama di dunia yang mentadbir atas status gay, perkahwinan Sigudardottir itu dilihat secara langsung 'menghalalkan' hubungan sejenis di negara dengan populasi sekitar 300,000 orang penduduk itu.
Hakikatnya, tindakan itu sekali gus memberi lampu hijau kepada terlaksananya satu perundangan baru yang menyokong penyatuan golongan sejenis di Iceland.
Lagipun, berita bersekedudukan antara Sigudardottir yang merupakan bekas pramugari dengan pasangannya, Jonina Leosdottir itu juga bukan perkara terkini.
Leosdottir, seorang wartawan dan penulis drama bagaimanapun jarang muncul bersama Sigudardottir pada mana-mana acara sosial penting.
Undang-undang perkahwinan gay yang diperkenalkan pada 23 Mac telah diluluskan oleh 49 daripada 63 Ahli Parliament Althingi pada 12 Jun lalu.
Perundangan itu dianggap satu pencapaian memandangkan ia tidak mengubah institusi perkahwinan konvensional antara seorang lelaki dan wanita.
Sebaliknya, terdapat penambahan pada definisi perkahwinan yang menyenaraikan lelaki dan lelaki serta wanita dan wanita selaku pasangan yang disatukan.
Sigurdardottir telah mendaftarkan hubungannya dengan Leosdottir pada tahun 2002.
Pasangan itu bagaimanapun baru memohon untuk memeterai percintaan itu secara rasmi menerusi perkahwinan pada hari perundangan baru itu diluluskan.
PENGAKUAN Johanna Sigurdardottir memberi lampu hijau kepada penyatuan golongan sejenis di Iceland.


Pejuang hak asasi
Bukan sengaja ingin dunia bertumpu ke arahnya, ibu kepada dua orang anak itu sebenarnya seorang yang berahsia.
Buktinya, seorang sumber daripada kerajaan Iceland pernah berkata: "Ramai yang tidak tahu Sigudardottir itu lesbian. Kalau orang dah tahu pun, jawapan biasanya cuma 'Oh' dan orang hanya berminat untuk mengetahui siapa pasangan hidupnya."
Golongan pejuang hak asasi gay juga berpendapat negara-negara Eropah pada asasnya lebih mudah menerima kelompok gay dalam barisan tertinggi kerajaan berbanding di Amerika Syarikat (AS).
Dalam tinjauan orang ramai di AS, adalah amat sukar untuk membayangkan jika Presidennya secara terang-terangan mengakui dirinya gay dan seterusnya mengahwini pasangannya.
"Malah, reaksi masyarakat di negara Eropah adalah jauh berbeza. Orang tidak peduli," demikian kata Peter Tatchell, seorang jurucakap untuk sebuah kumpulan hak asasi gay, Outrage, yang berpangkalan di London, Britain.
Biarpun belum terdapat wakil-wakil gay di AS yang dicalonkan untuk kerusi Presiden setakat ini, usaha golongan gay dan lesbian dalam cubaan memenangi jawatan penting di negara itu lazimnya cukup terbuka tentang hubungan pasangan sejenis mereka.
Di negara-negara Eropah, senarionya bagaimanapun berbeza memandangkan beberapa golongan pemimpin atasan termasuk Menteri Alam Sekitar Sweden, Andreas Carlgren dan Datuk Bandar Kota Paris, Bertrand Delanoe secara terbuka mengakui diri mereka gay.
Namun, senario seumpama itu tidak mungkin dilihat dalam negara yang memiliki pengaruh agama Katolik.
"Tidak mungkin ada Perdana Menteri gay di Itali. Kuasa pengaruh Gereja Katolik di sini terlalu kuat. Kami memiliki institusi keagamaan yang membentuk kepercayaan bahawa menjadi golongan homoseksual jelas sekali satu perbuatan yang salah," tambah Giuseppina Massallo, 60, yang berasal dari Sicily dan menetap di Rom.
Di Afrika sahaja, sejumlah 37 buah negaranya diperuntukkan dengan undang-undang anti-gay. Sebab itulah kehadiran pemimpin-pemimpin gay di sana merupakan sesuatu yang sukar diterima mahupun dibayangkan.
"Malah, pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe juga pernah suatu ketika dahulu menyifatkan status pasangan hubungan sejenis sebagai 'lebih rendah berbanding anjing dan babi'.
Namun, perkahwinan Sigurdardottir nyata mengejutkan kebanyakan rakyat Uganda.
"Musnahlah rakyat Iceland. Mereka tiada kesedaran moral," demikian kritik seorang jurucakap bagi kerajaan Uganda, Mary Karooro Okurutu yang turut melabelkan 'perkahwinan' tersebut sebagai paling hina'.
GOLONGAN gay dan lesbian di serata dunia menaruh impian bahawa pada suatu hari nanti penyatuan mereka diterima secara kolektif.


Negara-negara Afrika Timur cukup mencela hubungan sejenis. Jadi, tidak mengejutkan apabila terdapat cadangan untuk melaksanakan undang-undang yang membawa hukuman mati bagi sesetengah golongan gay. Cadangan itu jelas sekali mendapat tentangan hebat di kota London, New York dan juga Washington.
Tetapi, persoalannya kini bukan terletak pada negara mana yang lebih menerima hubungan sejenis ataupun adakah dunia harus terus menghukum keputusan peribadi Sigurdardottir.
Sebaliknya, haluan penerimaan hubungan sejenis kini dilihat sebagai satu pasport untuk golongan terkemuka dihormati atas keputusan tidak menghina kelompok masyarakat berselera sejenis itu.
Penerimaan itu penting agar wujud kesamaan hak di antara golongan gay dan bukan gay. Lebih penting, ia juga menghalang timbulnya pelabelan ortodoks bagi golongan yang gagal menerima penyatuan hubungan sejenis.
Contoh terdekat dapat dilihat pada kritikan-kritikan penulis blog penyokong gay yang menganggap keputusan Perdana Menteri Australia baru, Julia Gillard untuk tidak menghalalkan perkahwinan sejenis sebagai kolot dan ketinggalan zaman.
Fenomena kini menjadikan figura-figura terkenal seakan-akan terpaksa akur dengan trend mengiyakan hubungan sejenis sama ada anda suka ataupun tidak.
Perubahan persepsi
Turut dilihat terikut-ikut dengan trend ini adalah penyanyi rap popular, Eminem yang sememangnya sudah terkenal dengan demonstrasi ketidakselesaannya terhadap golongan gay menerusi lirik-lirik lagunya.
Eminem baru-baru ini dilaporkan lebih tenang dan didakwa mengaku pada agensi berita New York Times bahawa mentalitinya terhadap golongan homoseksual telah mengalami 'evolusi yang memberangsangkan'.
Perubahan persepsi terhadap konsep gay itu dikatakan satu kematangan pemikiran berbanding Eminem zaman lampau.
Tidak bernoktah di situ, dia yang kini menyatakan 'ya' pada perkahwinan sejenis juga berpendapat golongan gay harus diberi peluang menikmati kebahagiaan berpasangan secara rasmi tanpa bantahan.
Sebelum ini, album Elevator Eminem yang menyelitkan unsur-unsur anti-gay dan dituju khas untuk golongan penyanyi vokal gay terkemuka seperti Adam Lambert, Lance Bass dan Clay Aiken dikecam keras oleh penyokong-penyokong berhaluan gay itu.
Namun, pendekatan terbaru yang diambil Eminem termasuk sanggup mengecualikan lirik-lirik kontroversi dalam lagunya untuk persembahan akan datang di Britain, mungkin juga satu strategi bagi menyelamatkan kerjayanya itu.

KELOMPOK masyarakat ini berpendapat manusia harus diberi peluang berkasih sayang secara bebas.


Kecaman serupa turut dirasai oleh Ratu Cantik California 2009, Carrie Prejean tahun lalu. Biarpun pihak penganjur menyatakan pelucutan gelaran Miss USA Prejean adalah disebabkan isu etika kerja tetapi ramai percaya ia berikutan komen kontroversinya terhadap perkahwinan sejenis.
Pakar Psikologi Perkembangan Manusia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Khaidzir Ismail pula berkata, pendedahan tentang selera hubungan sejenis oleh Sigurdardottir itu merupakan satu tindakan berani.
Sebagai seorang pemimpin, keberanian itu dikatakan mungkin berpunca daripada strategi Sigurdardottir yang telah mengkaji siapa kelompok penyokongnya sejak awal lagi.
"Semua orang tahu, budaya Barat pada asasnya menerima percintaan atau penyatuan golongan gay.
"Jadi, golongan berkedudukan atau berpengaruh seperti menteri mahupun penyanyi tanpa segan silu mengakui diri gay," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sambil memberitahu 'gay' adalah satu perlakuan abnormal dari sisi pandangan psikologi, beliau turut berharap fenomena gay di Malaysia tidak bertambah teruk.