Pages

Showing posts with label belanja. Show all posts
Showing posts with label belanja. Show all posts

Tuesday, June 5, 2012

Rakyat Malaysia belanja RM2 bilion



MEMBELI belah secara online kini semakin mudah menerusi penggunaan pelbagai enjin carian dalam Internet. gambar hiasan
KUALA LUMPUR 3 Jun - Rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak RM2 bilion untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan atau produk yang diiklankan di Internet sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM800 juta atau 40 peratus adalah bagi barangan yang diiklankan di laman-laman web antarabangsa.
Menurut Pengarah Ada Vista Sdn. Bhd, Azli Paat, peningkatan perbelanjaan tersebut didorong oleh minat atau permintaan untuk mendapatkan barangan berjenama pada harga lebih murah.
"Tabiat membeli-belah secara online juga semakin popular di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Anak saya misalnya, dia minat memanah tetapi harga peralatan sukan tersebut dalam negara sangat mahal.
"Jadi dia membeli menerusi online dan sekitar RM300 dapat dijimatkan jika membuat pembelian melalui laman-laman web di luar negara," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Azli berkata, trend membeli-belah secara online di Malaysia berkembang pesat semenjak penggunaan Internet meningkat dalam tempoh 10 tahun lalu yang secara tidak langsung mengubah gaya hidup masyarakat di negara ini.
"Apabila generasi muda semakin mudah mengakses Internet, mereka mengubah trend klasik membeli-belah. Secara tidak langsung, menggalakkan usahawan dalam talian muncul.
"Gaya hidup ini semakin popular kerana ia mudah, menjimatkan masa dan efisien serta mampu menjangkaui pilihan sedia ada," katanya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih menasihatkan pengguna Internet lebih berhati-hati ketika membuat pembelian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.
Paling penting, tegasnya, pembeli harus mengurangkan perasaan tamak supaya tidak mudah terpedaya dengan helah yang digunakan 'peragut' di dunia siber.
"Pada saya, bukan orang lain yang menipu tetapi diri kita sendiri disebabkan sikap tamak dan mudah terpedaya dengan iklan jualan murah.
"Contohnya, jika harga telefon bimbit yang dijual di pasaran adalah RM2,400 jangan pula mudah terpedaya terutamanya golongan pelajar sekiranya mendapat diskaun sebanyak RM1,000," katanya.
Kata Azli, elemen ketetapan masa adalah antara taktik yang sering digunakan oleh para penjual di online bagi mempengaruhi pembeli supaya membuat keputusan tanpa berfikir lebih panjang.
Sehubungan itu ujar beliau, mendapatkan pandangan orang lain ketika membuat pembelian adalah amat penting supaya tidak tertipu.

Wednesday, November 24, 2010

Belanja kahwin AS$20 juta



LONDON 23 Nov. - Belanja majlis perkahwinan Putera William dan tunangnya Kate Middleton yang dijangka diadakan tahun depan dianggarkan mencecah angka AS$20 juta (RM62 juta).
"Ketika semua urusan selesai, majlis perkahwinan itu dijangka menelan belanja pembayar cukai Britain mencecah AS$20 juta," kata seorang sumber kepada laman web PopEater.
"Ini akan menjadikan majlis tersebut lebih besar daripada majlis perkahwinan ibu Putera William, Puteri Diana sebelum ini.
"Anda benar-benar tidak boleh bandingkan majlis ini dengan majlis selebriti lain," tambahnya.
Tambah sumber itu, sekiranya pasangan Brad Pit dan Angelina Jolie mengumumkan akan berkahwin pun, tidak akan dapat menandingi majlis ini.
Middleton, baru-baru ini juga dilaporkan telah mengambil dua orang detektif perempuan untuk mengawal keselamatannya, yang diberi upah sebanyak AS$300,000 (RM930,000) setahun.
"Middleton kini memiliki dua orang detektif yang bertugas mengikut giliran mengawal keselamatannya 24 jam tujuh hari seminggu.
"Mereka berdua ibarat watak dalam siri televisyen terkenal Britain Cagney and Lacey.
''Dua pegawai terbaik daripada pasukan polis yang ditugaskan bukan sahaja untuk melindungi bakal puteri itu, namun mereka turut dilatih untuk serasi dengan Kate," kata sumber itu. - AGENSI