Pages

Showing posts with label salji. Show all posts
Showing posts with label salji. Show all posts

Saturday, January 19, 2013

Warga emas bersenam dalam salji

GAO yang berusia 77 tahun kelihatan masih bertenaga untuk bersenam
 walaupun tanpa berbaju dalam keadaan cuaca sejuk yang melanda China
baru-baru ini. - AFP

GAO yang berusia 77 tahun kelihatan masih bertenaga untuk bersenam walaupun tanpa berbaju dalam keadaan cuaca sejuk yang melanda China baru-baru ini. - AFP JILIN, China – Seorang lelaki warga emas yang berusia 77 tahun sanggup meredah musim sejuk yang melanda China baru-baru ini dengan hanya memakai seluar pendek untuk bersenam demi kesihatan badannya.
Gao Yinyu yang juga merupakan seorang pesara guru bersenam setiap pagi di sepanjang tebing sungai Shonghuajiang.
Suhu di kawasan Jilin kini mencecah di bawah paras negatif 25 darjah celsius.
Selain bersenam, Gao juga dilihat turun ke dalam sungai Shonghuajiang untuk mandi dan tidak memakai pakaian.
Gao berkata, dia telah bersenam setiap pagi dengan hanya memakai seluar pendek setiap pagi sejak sedekad lalu selepas bersara. Gao tidak pernah terlepas walaupun sehari untuk melakukan rutin senamannya itu.
Sejak melakukan rutin tersebut, Gao didapati jarang diserang demam atau selesema. Pekerja lelaki di China biasanya akan bersara pada usia 60 tahun. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2IMoKffNb 
Hakcipta terpelihara 

Friday, January 18, 2013

Bandar-bandar diselaputi permaidani putih

KEADAAN iklim di Asia Barat sememangnya mudah dijangka. Cuacanya terik pada musim panas dan dingin serta sesekali diselangi hujan lebat pada musim sejuk.
Bagaimanapun pada minggu lalu, iklim di rantau itu berubah mendadak. Hujan lebat berterusan selama beberapa hari disusuli salji tebal.
SALJI tebal tidak menghalang remaja ini untuk melakukan aktiviti di luar.
SALJI tebal menyelimuti Istanbul, Turki sekali gus menjejaskan 
15 juta orang penduduk, melumpuhkan rutin harian dan trafik udara serta di darat.
Fenomena yang disifatkan terburuk dalam tempoh dua dekad oleh pakar-pakar metereologi menyebabkan ribut salji dan banjir yang melumpuhkan beberapa bandar utama dari Semenanjung Gaza sehingga ke Istabul termasuk Syria yang terjejas teruk akibat konflik yang berlaku hampir dua tahun lalu.
Penduduk Syria tersepit dalam perang saudara antara puak pemberontak dan tentera yang setia dengan Presiden Bashar al-Assad, terpaksa membakar buku-buku dan perabot untuk memanaskan badan disebabkan
kekurangan bahan bakar seperti minyak dan elektrik.
Situasi itu bertambah meruncing bagi ribuan pelarian yang kini berlindung di negara-negara jiran seperti Lebanon dan Jordan serta lebih sejuta penduduknya yang terperangkap di negara itu.
Bagaimanapun, kejadian ribut salji disusuli banjir besar yang melanda tidak menghentikan pertempuran antara kedua-dua pihak. Kini lebih 60,000 nyawa terkorban.
Abu Othman, seorang aktivis puak penentang berkata, serangan darat masih berterusan biarpun cuaca buruk menyebabkan tentera Assad terpaksa menghentikan serangan udara buat sementara waktu.
"Keadaan semakin buruk sejak ribut melanda. Semua orang kesejukan, tiada apa yang boleh digunakan untuk memanaskan badan kami.
"Kekurangan bekalan makanan juga berlaku kerana hujan dan salji menyebabkan keadaan jalan raya sangat berbahaya," katanya sambil memberitahu suhu di Damsyik kini mencecah negatif enam darjah Celcius.
Di utara Syria, ribuan pelarian kini berlindung di dalam gua, kata Fadi Yasin, aktivis dari wilayah Idlib, kawasan tercetusnya protes aman sebelum bertukar kepada penentangan bersenjata.
Sebahagian daripada ribuan penduduk yang kehilangan rumah ekoran pertempuran itu telah berpindah ke Bandar Mati Syria iaitu kawasan penempatan lama era Byzantine, katanya.
Misi bantuan
"Mereka terpaksa menggunakan plastik dan surat khabar untuk menutup bahagian tingkap bangunan berkenaan serta tinggal di dalamnya biarpun menyedari ia sangat berbahaya terutama dalam keadaan ribut seperti sekarang ini.
"Ramai yang tidak mempunyai apa-apa untuk memanaskan badan, hanya segelintir yang bernasib baik," katanya.
Seorang aktivis dari Republik Chech, Michal Przedalcki daripada pertubuhan People In Need yang menjalankan misi bantuan di utara Syria, menjangkakan ramai pelarian tidak mampu bertahan dalam situasi berkenaan.



"Kekurangan makanan sejak beberapa bulan lalu mendedahkan mereka terhadap penyakit, lebih-lebih lagi dalam cuaca sejuk yang ekstrem."
Di Lembah Bekaa, kem sementara yang menempatkan lebih 400 pelarian di Lebanon musnah selepas banjir dan ribut yang melanda kawasan itu.
"Ribut dan hujan sebelum ini menyebabkan banyak khemah rosak, kini salji tebal mula melanda Bekaa menyebabkan penduduk dan pelarian di sini sangat memerlukan bantuan," kata pegawai perhubungan luar Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) Cecile Fradot.
Penempatan baharu
Menurut Fradot, agensi bantuan itu kini giat memindahkan pelarian ke penempatan baharu. "Kami akan memindahkan setiap keluarga yang terjejas selepas khemah mereka dilanda banjir di utara. Situasi semakin buruk, ia merupakan permulaan musim sejuk di rantau ini," katanya.
Keadaan sama turut berlaku di kem Zaatari di Jordan, yang menempatkan lebih 30,000 pelarian Syria apabila mereka terpaksa menjadikan bangunan sekolah karavan pasang siap sebagai penempatan sementara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih 600,000 pelarian memerlukan bantuan termasuk makanan, selimut dan pakaian.
Sekurang-kurangnya sebanyak AS$1.5 bilion dolar (RM4.5 bilion) diperlukan dalam tempoh enam bulan lagi bagi tujuan itu, menurut PBB.
Ribut salji turut menjejaskan seluruh Asia Barat. Beberapa bandar seperti Baitulmuqaddis, Ramallah, Amman dan Damsyik kini diselaputi salji tebal.
Ekoran itu, kebanyakan negara kini telah menghentikan sistem pengangkutan awam dan menutup sekolah-sekolah. Banyak perniagaan terpaksa ditutup kerana pekerja tidak boleh keluar bekerja.
"Kawasan pusat bandar kini kelihatan seperti hamparan permaidani putih," kata jurucakap bagi pihak berkuasa Baitulmuqaddis, Elisha Peleg kepada Jurusalem Post.
"Golongan warga emas di sini juga tidak mampu mengingati bila kali terakhir mereka berdepan dengan ribut salji," jelasnya.
Lebuh raya utama di Israel di luar Baitulmuqaddis telah ditutup, begitu juga kebanyakan laluan ke arah utara negara itu dan Bukit Golan.
Pihak berkuasa Palestin di Ramallah, Tebing Barat turut mengumumkan situasi darurat di seluruh negara.
Di Semenanjung Gaza, beberapa terowong yang menghubungkan wilayah itu dan Mesir ditutup akibat banjir.
Ketua pasukan bantuan di bandar Nablus, utara Tebing Barat, Ghassan Hamdan berkata, penduduk di wilayah itu bakal terjejas disebabkan kekurangan infrastruktur.
"Mereka tidak mampu berhadapan dengan cuaca ekstrem seperti ini. Banjir dan ribut menyebabkan banyak kemusnahan," katanya.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh akibat fenomena itu sehingga kini.
Di Lebanon, Pertubuhan Palang Merah melaporkan enam orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya manakala beberapa orang lagi dipercayai lemas dihanyutkan banjir. Seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan maut di Taalabaya, wilayah Bekaa, selepas kenderaanya terperangkap di dalam salji tebal. Sementara itu, di Ramallah pihak berkuasa Palestin melaporkan dua wanita mati lemas dihanyutkan arus deras. Mangsa dikenali sebagai Samah Kanan, 36, dan Hana Al Sarawi, 24, berasal dari Nablus.
Timbalan gabenor Ramallah, Annan Atirah berkata, air yang melimpah di atas jalan raya menyebabkan mangsa terperangkap di dalam kenderaan sebelum dihanyutkan air ketika cuba menyelamatkan diri. Seorang lagi mangsa, yang juga pemandu kenderaan berjaya diselamatkan, namun keadaannya kritikal. Di Mesir pula, usaha sedang dilakukan untuk mencari 10 nelayan yang dilaporkan hilang di Marsa Matruh selepas bot mereka dibadai ribut.





Agensi berita negara itu, Mena melaporkan jarak penglihatan yang terhad, angin kencang dan hujan lebat menyebabkan pihak berkuasa menutup beberapa pelabuhan termasuk di Alexandria dan Dakhila di mana ia turut menjejaskan operasi di Terusan Suez.
Sementara itu, di Turki, syarikat penerbangan Turki Arlines turut membatalkan ratusan penerbangan.
Banyak sekolah ditutup khususnya di bahagian utara negara itu termasuk Istanbul, selepas sebuah bas tergelincir di atas jalan raya licin yang mencederakan 30 penumpang.
Biarpun ia mengundang pelbagai bencana di sesetengah kawasan di Asia Barat, namun ada juga penduduk yang menganggap ribut salji sebagai satu peristiwa yang jarang berlaku dan kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk bermain bola salji dan membina orang salji.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2IIVwXPYs 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, January 12, 2013

Salji landa rantau Arab

Salji ArabDua orang penduduk ini cuba untuk menolak kereta mereka yang terperangkap dalam salji tebal di lebuh raya menghubungkan Beirut dan Damsyik. Foto: Reuters
BEIRUT - Ribut terburuk dalam tempoh sedekad telah menyebabkan Israel dan Jordan serta beberapa kawasan Lubnan dilitupi salji.

Cuaca sejuk dan banjir sejak Ahad lalu telah meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa di rantau itu sehingga, kelmarin dan turut menjejaskan ratusan ribu pelarian Syria di sempadan.

Rabu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa bantuan disalurkan kepada kumpulan pelarian di kem Zaatari, Jordan yang ditenggelami banjir.

Wakil Tabung Kanak- Kanak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unicef) di Jordan, Dominique Hyde berkata, bantuan akan sukar diberikan dalam tempoh 72 jam berikutnya.

Dalam perkembangan lain, beberapa sekolah dan universiti di rantau itu juga terpaksa ditutup kerana salji tebal. Keadaan luar biasa tersebut turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di kebanyakan negara di Timur Tengah.

Di Jordan, Raja Abdullah II telah mengarahkan tentera untuk membersihkan jalan untuk mengelakkan kenderaan terperangkap akibat salji tebal.

Sementara itu, salji setebal 10 sentimeter dilaporkan turut meliputi kota lama di Baitulmaqdis. - AFP

Saturday, March 3, 2012

Salji turun di Masjid Al-Aqsa


TIGA penduduk Palestin bermain salji di sebuah taman di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Masjid Al-Aqsa dan sebahagian besar Israel serta wilayah-wilayah di Palestin semalam dilitupi salji buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Salji lebih tebal dilaporkan turun di rantau Galilee, utara Israel dan kawasan Hebron Tebing Barat.
Stesen radio Israel melaporkan bahawa sekolah-sekolah di kawasan yang paling teruk terjejas disebabkan salji telah ditutup manakala perkhidmatan bas antara bandar juga dibatalkan.
Timbunan salji setebal lebih tiga meter dicatatkan di puncak Gunung Hermon di kawasan Bukit Golan yang dikuasai Israel sejak salji turun pada Rabu lepas.
Fenomena tersebut adalah yang pertama kali berlaku sejak salji tebal turun di bandar ini pada musim sejuk 2008. - AFP

Monday, February 13, 2012

Salji di Eropah, berpuluh ribu terperangkap

BELGRADE, Serbia 12 Feb. - Berpuluh ribu penduduk di beberapa kampung terperangkap dalam kediaman masing-masing selepas salji turun dengan lebat, sekali gus menyebabkan angka kematian akibat cuaca sejuk melampau di Eropah meningkat sehingga 550, semalam.
Serbia mencatat tiga kematian, sementara lapan lagi maut di Romania, menjadikan angka korban akibat cuaca sejuk di negara itu meningkat kepada 65 orang, sementara satu korban masing-masing di Republik Czech dan Austria, semalam.
Bekalan elektrik di sekitar bandar raya ini terpaksa dihadkan berikutan kerisauan terputus bekalan, menyebabkan semua syarikat terpaksa meminimumkan operasi mereka.
Kerajaan Serbia juga terpaksa mengisytiharkan cuti umum kelmarin, sebagai tambahan kepada cuti umum negara ini pada hari Rabu dan Khamis.
Salji turun dengan lebat di beberapa negara dan pihak berkuasa menganggarkan lebih 110,000 penduduk di negara-negara Balkan terputus hubungan, termasuk 60,000 di Montenegro dan 30,000 di Romania.
Ibu negara Montegnegro, Podgorica diselimuti salji setebal 50 sentimeter, rekod dalam tempoh 50 tahun, menyebabkan lapangan terbang ditutup dan perkhidmatan kereta api ke Serbia tergendala.
Sungai Danube, Bulgaria ditutup bagi laluan pengangkutan air sejauh beberapa ratus kilometer kerana membeku, kali pertama berlaku dalam tempoh 27 tahun.
Jurucakap bomba Poland, Pawel Fratcak semalam berkata, beberapa buah rumah dan apartmen terbakar berikutan alat pemanas yang rosak menyebabkan lapan terbunuh malam kelmarin dan tiga malam sebelumnya.
Beberapa tempat mencatat suhu terendah termasuk perkampungan Kvilda di Republik Czech iaitu -39 darjah celsius dan beberapa kawasan di Switzerland dengan suhu -23 darjah celsius. - AFP

Monday, January 16, 2012

Salji landa Kabul dianggap petanda tuah

SEORANG penduduk mengayuh basikal di satu kawasan yang dipenuhi salji di Kabul, semalam. - Foto AFP
SEORANG penduduk mengayuh basikal di satu kawasan
yang dipenuhi salji di Kabul, semalam. - Foto AFP

KABUL: Jika telahan rakyat Afghanistan benar dan salji membawa tuah, negara bergolak itu dijangka menerima berita baik di tengah langkah yang masih belum muktamad ke arah perjanjian damai dengan anggota Taliban berikutan salji yang turun mengubah landskap kering dan berdebu Kabul kepada seni indah berwarna putih bersih.

Pokok di sepanjang jalan dan tembok dengan kesan letupan dihiasi warna putih, dengan lelaki di ruang pejalan kaki dan pengawal yang bersenjatakan raifal berbual, tersenyum kepada orang ramai yang lalu lalang.
Laman web sosial Twitter, yang digunakan secara meluas di Afghanistan untuk mengesan keganasan terbaru dalam perang selama 10 tahun itu, menyatakan kegembiraan.
“Salji lebat turun di Kabul sejak 24 jam lalu. Kelihatan cantik,” kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), yang mempunyai kira-kira 130,000 anggota tentera diketuai Amerika Syarikat di negara itu dalam Twitter.

“Polis Kabul meninggalkan senjata AK47 mereka dan bermain orang salji di Kabul,” kata seorang penduduk. – AFP 

Tuesday, August 16, 2011

Salji luar biasa landa New Zealand




SEBUAH kereta tersadai di tepi jalan yang ditutup akibat salji tebal di pekan Johnsonville di Wellington, semalam. - AFP


WELLINGTON 15 Ogos - Penduduk New Zealand hari ini dikejutkan dengan keadaan cuaca pelik iaitu angin kuat yang datang dari Antartik dan membawa salji lebat turun di negara itu dan mengakibatkan penutupan jalan raya, lapangan terbang serta sekolah.
South Island merupakan kawasan yang paling teruk dilanda ribut tersebut tetapi ibu negara, Wellington di North Island menerima salji yang turun paling banyak dalam tempoh 40 tahun.
Ahli kaji cuaca memberi amaran cuaca akan bertambah buruk selepas ini kerana mereka menjangkakan salji akan turun dengan lebatnya di kawasan pergunungan di sekeliling Auckland, 66 kilometer ke arah utara.
Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang paling teruk untuk tidak keluar dari rumah mereka.
Kebanyakan jalan utama di South Island tidak dapat dilalui dan polis menutup dua lebuh raya utama yang menghubungkan Auckland dan Wellington.
Lapangan terbang di Christchurch, Queenstown dan Dunedin ditutup, menyebabkan 150 orang penumpang yang terkandas untuk tinggal semalaman di dalam lapangan terbang tersebut.
Cuaca pelik itu disifatkan sebagai ribut yang hanya berlaku sekali seumur hidup sahaja dan lebih banyak salji dijangka akan turun selepas ini sehingga hujung minggu ini. - dpa, utusan

Tuesday, February 15, 2011

Korea Selatan dilanda salji tebal



SEOUL 14 Feb. - Korea Selatan hari ini mengarahkan beribu-ribu kakitangan kerajaan untuk membersihkan timbunan salji yang melanda Gangwon.
Kementerian Pertahanan berkata, 9,800 askar dikerahkan untuk membersihkan salji dan helikopter pula membawa makanan ke kawasan perkampungan terpencil.
Ahli Kaji Cuaca berkata, sehingga 100 sentimeter salji melitupi beberapa kawasan gunung di pelabuhan Samcheok selama dua hari k Jumaat lalu.
Bandar Gangneung berdekatan Pyeongchang yang dicadangkan sebagai gelanggang Sukan Olimpik Musim sejuk, menerima 77.7 sentimeter salji pada Jumaat lalu.
Pasukan pemeriksaan Suruhanjaya Olimpik dijangka tiba di Pyeongchang hari ini untuk menilai kawasan tersebut untuk temasya sukan itu pada 2018.
Menurut Pentadbiran Kaji Cuaca Korea, salji berhenti semalam, namun wilayah itu diramalkan menerima sehingga 50 sentimeter salji lewat hari ini.
Ribut salji tersebut menyebabkan beratus-ratus kereta terkandas dan merosakan kawasan tanaman.
Pihak berkuasa wilayah Gangwon berkata, kerosakan harta benda dilaporkan bernilai kira-kira 4.8 bilion won (RM13.33 juta) dan jumlah itu dijangka meningkat secara mendadak. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Friday, January 21, 2011

Padang pasir dilitupi salji





2011/01/21

PENDUDUK mengambil kesempatan bermain salji  di Tabuk, utara     Arab Saudi.
PENDUDUK mengambil kesempatan bermain salji di Tabuk, utara Arab Saudi.


Amaran berjaga-jaga di Tabuk 

RIYADH: Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Tabuk, utara Arab Saudi berikutan salji turun sejak Isnin lalu di wilayah itu.
Pengarah jabatan itu di Tabuk, Sulaiman Al-Huwaiti, berkata rondaan keselamatan sudah dikerahkan di wilayah utara itu untuk memeriksa ketebalan salji.
Beliau menggesa pemandu kenderaan mematuhi had kelajuan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. 

Bulan Sabit Merah Arab Saudi juga sudah mengerahkan pasukannya ke kawasan bukit Allouz dan Alqan di wilayah itu yang jarang sekali ditimpa salji tebal. 

Tabuk mempunyai iklim padang pasir dengan musim panas yang bersuhu tinggi (27-46 celsius) dan musim sejuk yang bersuhu sederhana (4-18 celsius). 

Salji bukanlah asing di wilayah itu yang menyaksikannya turun setiap tiga atau empat tahun. 
Ketua Alam Sekitar dan Meteorologi berkata, suhu minimum di Tabuk diramal di bawah 0 darjah celsius. 

Sementara itu, di Riyadh, Kementerian Pendidikan Arab Saudi mengumumkan penutupan sekolah di ibu kota itu kelmarin berikutan hujan lebat sejak Selasa. 

Penduduk terus terkurung di dalam rumah masing-masing di ibu negara Riyadh, terutama di wilayah Timur, Tabuk, Assir dan Baha. 

Keadaan cuaca turut menjejaskan bekalan elektrik di beberapa kawasan. Syarikat elektrik terpaksa menutup bekalan kuasa untuk mengelakkan kemalangan maut. 

Pengarah kawalan di Jabatan Lalu lintas Riyadh, Mejar Hassan Al Hassan, berkata jabatan terbabit mencatatkan sejumlah 402 laporan kemalangan berikutan hujan lebat dan keadaan jarak pandangan yang rendah. 

Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan. 

Al Hassan berkata, bilik operasi jabatan terbabit menerima sejumlah 1,373 laporan meminta bantuan lalu lintas dan 613 panggilan untuk perkhidmatan umum. 

Beliau berkata, pengawal lalu lintas mendapati banjir di 60 lokasi sambil menambah bahawa pihak berkuasa perbandaran dimaklumkan untuk mengepam air keluar. – Agensi 

Friday, January 7, 2011

New York lumpuh akibat ribut salji

Kosmo! Online - Rencana Utama



KEMERIAHAN sambutan Hari Natal pada penghujung tahun lalu di New York agak suram ekoran ribut salji yang melanda kota metropolitan itu.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, ribut salji yang melanda New York disifatkan sebagai yang terburuk pada abad ini.
Ekoran ribut salji itu, New York yang mencatatkan sebagai salah sebuah bandar yang paling ramai penduduk di dunia itu lumpuh sehingga tahun 2010 melabuhkan tirainya.
Jika sebelum ini New York dihiasi dengan pencakar langit yang gah, keindahan tersebut bagaimanapun lenyap ditelan salji. Apa yang kelihatan, hanyalah lautan kawasan berwarna putih. Lebih memburukkan keadaan, sistem pengangkutan seperti jalan-jalan raya dan landasan kereta api akibat dilitupi salji tebal dan membeku.
Bencana alam itu mengundang seribu satu masalah baik kepada pelancong mahupun kepada penduduk New York sendiri.
Ribut salji yang berpanjangan sejak Krismas lalu menyebabkan pengangkutan udara di pantai timur Amerika Syarikat (AS) terjejas kerana beratus-ratus penerbangan terpaksa dibatalkan.
Ruang legar di lapangan terbang juga dipenuhi dengan ribuan penumpang yang terkandas. Pelbagai ragam dapat dilihat, ada yang sibuk dengan telefon bimbit, komputer riba, tidak kurang pula yang mencuba untuk membuat tempahan penerbangan lain dan tempahan hotel sebagai alternatif.
Ribut salji itu merupakan antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh beberapa tahun ini hingga melumpuhkan kawasan pinggir laut di bahagian timur di Carolina utara dan selatan sehingga ke wilayah maritim Kanada.
SEORANG pekerja membersihkan timbunan salji di atas jalan raya.




Penduduk New York juga tidak menjangkakan ribut salji itu menyebabkan timbunan salji setebal 80 sentimeter (sm), sekali gus menyebabkan ramai penumpang yang menaiki pesawat terkandas. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan sebelum itu meramalkan kemungkinan salji setebal 7.5 hingga 12.5 sm sahaja bagaimanapun ketebalan itu meningkat saban hari.
Keadaan itu menyebabkan jalan-jalan di New York dipenuhi dengan salji tebal. Beratus-ratus bas dan berpuluh-puluh ambulans terperangkap di bawah timbunan salji.
Perkhidmatan kereta api bawah tanah dan tren komuter menjadi lembap kerana masalah isyarat dan litar pintas yang berlaku akibat salji.
Terjejas teruk
Akibatnya, pengangkutan udara dan darat di timur laut AS lumpuh pada 27 Disember lalu. Ribut yang bermula pada malam 26 Disember itu berterusan selama dua hari.
Ribut salji itu menyebabkan jalan raya menjadi licin dan menjejaskan perjalanan kereta api. Dalam pada itu, aktiviti di beberapa buah kawasan teruk terjejas terutamanya di bandar raya New York, di bahagian timur New Jersey dan barat Long Island.
BASIKAL dan kereta antara pengangkutan yang ditenggelami timbunan salji.
"Ribut kali ini amat luar biasa berbanding sebelum ini.




"Keadaan ini menyebabkan situasi menjadi buruk dan kami bekerja keras untuk memulihkan keadaan," kata Datuk Bandar New York, Michele Bloomberg.
Tambahnya, kelajuan angin sehingga 89 kilometer (km) sejam memburukkan lagi keadaan kerana jalan raya dan tanah menjadi licin.
"Sebanyak 1,000 kenderaan telah dialihkan dari lebuh raya di tiga buah kawasan utama di New York. Kerja-kerja pembersihan lebuh raya, laluan bas dan jalan raya sepanjang 9,656 km dibersihkan oleh lebih 2,400 pekerja pembersihan.
"Jentolak salji tidak boleh digunakan sehingga kita dapat mengalihkan semua ambulans, jentera bomba dan kereta yang terkandas di bawah timbunan salji tebal," ujarnya dalam satu temu ramah dengan agensi berita.
Datuk Bandar Newark, New Jersey, Cory Booker secara peribadi membantu sebahagian penduduk menggali timbunan salji untuk mencari kenderaan masing-masing dan menggunakan Twitter bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan.
"Saya masih menerima banyak tweets yang mahukan bantuan. Nampaknya saya perlu membantu mereka juga," katanya.
Dalam pada itu, salji yang makin menebal menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty ditutup. Lantaran itu sebanyak 1,400 penerbangan dibatalkan.
SALJI tidak menghalang orang ramai membeli-belah di Union Square, New York.
"Penghantaran kapal terbang oleh syarikat penerbangan ke Lapangan Terbang John F. Kennedy tanpa pintu atur siap menyebabkan sistem sokongan alternatif terpaksa dilakukan," kata jurucakap pihak berkuasa Lapangan Terbang New York, Steve Coleman.




Gigi Godfrey dari Belize, Amerika Tengah terperangkap selama 10 jam di dalam kapal terbang Cathay Pacific sehinggalah para penumpangnya dibenarkan turun dari kapal terbang tersebut.
"Ia sangat mengecewakan. Kami terpaksa duduk di dalam kapal terbang berjam-jam lamanya sambil menerima lebih banyak berita buruk.
"Saya sangat letih dan tidak ingat hari apakah semalam," katanya yang baru pulang dari Thailand meraikan Hari Natal.
Ribut salji mula reda selepas dua hari mengganas. Kelihatan banyak kenderaan terperangkap di jalan raya dan pengangkutan awam terjejas dek salji yang tebal.
Mula beroperasi
Lebih malang, ribut salji kemudiannya beralih ke Kanada dengan angin kuat dan salji tebal yang menyebabkan masalah yang sama seperti di New York.
Amaran ribut di pantai timur AS ditarik balik oleh Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan kerana ribut yang membawa salji tebal dan angin kencang menghala ke Kanada hingga pantai Atlantik.
Angin kencang yang melanda Carolina utara hingga Maine berkelajuan 150 km sejam menyebabkan lebih 5,000 penerbangan dibatalkan.
Pada masa yang sama, beratus-ratus bandar, pekan dan lebuh raya lumpuh.
Beratus-ratus pemandu kenderaan yang terkandas akibat salji tebal dan penumpang kereta api bawah tanah di New York berjaya diselamatkan oleh krew penyelamat selepas terpaksa bermalam di dalam pengangkutan awam yang gagal beroperasi akibat cuaca sejuk.
Ribut turut membawa salji setebal 80 (sm) di beberapa bahagian New Jersey dan menyebabkan ketebalan salji meningkat 50 sm di Central Park, New York.
Bagaimanapun, urusan perniagaan, operasi dewan bandar raya dan aktiviti seharian di New York kembali normal beberapa hari lalu. Serentak dengan itu, tiga lapangan terbang terbesar beroperasi seperti biasa.
LAPANGAN terbang juga lumpuh ekoran ribut salji yang melanda New York.




Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata, Lapangan Terbang La Guardia dibuka lewat petang 28 Disember diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark di New Jersey.
Syarikat-syarikat penerbangan menyambung semula operasi dengan jumlah penerbangan yang terhad. Sungguhpun begitu, kelewatan dijangka berlaku rentetan beribu-ribu penerbangan telah dibatalkan sejak ribut mula melanda pada 26 dan 28 Disember lalu.
Jentolak bagi membersihkan salji sukar digunakan kerana ketebalan salji mencecah hingga ke paras lutut di jalan-jalan raya di Manhattan.
Kelumpuhan dijangka berlaku untuk beberapa hari lagi sebelum kota New York dan pengangkutan utama beroperasi seperti biasa selepas melalui episod buruk amukan salji.

Wednesday, December 29, 2010

Macam-macam: Tiga hari untuk balik rumah akibat salji

LONDON: Seorang lelaki 72 tahun mengambil masa tiga hari memandu keretanya untuk pulang ke rumah dari Lapangan Terbang Gatwick di sini selepas keadaan bersalji menyebabkannya keliru.
Keluarga Mohammed Bellazrak melaporkan kehilangannya apabila dia gagal sampai ke rumah di Trowbridge selepas menghantar isterinya ke lapangan terbang.
Warga kelahiran Maghribi dan datuk yang tinggal di Wiltshire itu menghadapi masalah apabila alat satelit pada kenderaannya rosak dan tidak memiliki telefon bimbit, lapor akhbar The Metro.
Polis Oxfordshire menggunakan sistem pengesanan plet kenderaan untuk mengesan Bellazrak dan membantunya pulang. – Agensi

Tuesday, December 21, 2010

Salji ganjil di Australia




GAMBAR yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung diselubungi salji di Mt. Hotham, Australia semalam.


SYDNEY - Salji muncul buat kali pertama di Australia semalam dalam bulan Disember yang pada kebiasaannya mengalami cuaca panas.
Beberapa tempat di negeri-negeri pantai timur seperti New South Wales dan Victoria diselubungi salji yang menyebabkan beberapa resort ski yang sebahagiannya bebas salji dalam bulan ini dipenuhi dengan salji setebal 10 sentimeter.
"Ia putih, semuanya putih," kata Pengurus Besar Hotel Kosciuszko, Michelle Lovius di Charlotte Pass.
Beliau berkata, pada kebiasaannya, jumlah salji itu adalah sesuatu yang luar biasa pada awal Disember.
"Kami berharap ia akan kekal selama lima hari lagi dan kami akan meraikan Krismas dalam suasana bersalji," katanya.
Di negeri Victoria, kawasan Mt. Hotman diselubungi salji setebal 10 sentimeter kelmarin manakala di Mt. Buller salji setebal sehingga lima sentimeter. - AFP
kosmo

Sunday, December 19, 2010

Eropah diselimuti salji





2010/12/19

SEORANG pekerja berjalan hampir sebuah pesawat di landasan dilitupi salji tebal di lapangan terbang Zurich, Switzerland.
SEORANG pekerja berjalan hampir sebuah pesawat di landasan dilitupi salji tebal di lapangan terbang Zurich, Switzerland.


Ratusan penerbangan dibatal, sistem lalu lintas teruk 

BERLIN: Salji tebal dan suhu di bawah takat beku menyebabkan keadaan huru-hara di Eropah semalam apabila lebih 800 penerbangan dibatalkan di Jerman, Belanda dan Switzerland, manakala jalan yang dilitupi salji menjejaskan dengan teruk keadaan lalu lintas di beberapa negara lain menjelang sambutan Krismas.
Setakat ini, Jerman paling teruk terjejas dengan lebih 600 daripda 1,400 jadual penerbangan dibatalkan, sekolah terpaksa ditutup ,manakala lebuh raya sesak teruk dan mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.
Salji juga menghalang penerbangan di Belanda manakala jurucakap lapangan terbang Schiphol Amsterdam, Mirjam Snoerwang berkata lebih 100 jadual penerbangan terpaksa dibatalkan. 

Agensi pengawalan Eropah, Eurocontrol berkata penumpang di Schipol, salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di Eropah dijadualkan lewat sekurang-kurangnya empat setengah jam. 

Sementara itu, ramai penumpang yang terlewat penerbangan terperangkap di dalam kereta api atau bas apabila kenderaan terbabit tidak dapat bergerak berikutan salji tebal. 

Agensi cuaca Belanda (KNMI) mengeluarkan amaran cuaca, memaklumkan salji tebal dan bahaya memandu kenderaan di sebahagian besar wilayah barat negara itu, berikutan keadaan lalu lintas semakin teruk di Amsterdam. Rotterdam dan The Hague. 
Salji juga memaksa pembatalan 100 penerbangan di Switzerland, apabila lapangan terbang Geneva ditutup awal kelmarin, walaupun dibuka semula menjelang tengah hari manakala jadual penerbangan di Zurich juga terjejas. 

Di Frankfurt, jurucakap lapangan terbang Gunnar Scheunemann berkata 470 penerbangan dibatalkan hingga tengah hari semalam. Lapangan terbang berkenaan juga terpaksa ditutup selama kira-kira sejam kelmarin, manakala sekurang-kurangnya 1,000 penumpang terkandas sepanjang malam. 

Kira-kira 20 sentimeter salji melitupi seluruh wilayah itu sepanjang malam, menyebabkan sekolah terpaksa ditutup. 

Lapangan terbang Munich melaporkan 113 penerbangan dibatalkan atau ditangguh, manakala lebih 20 lagi dibatalkan di Duesseldorf dan Stuttgard. 

Pegawai yang berada di Baden-Wuerttemberg berkata, 108 kemalangan berkaitan cuaca dilaporkan menyebabkan 17 orang cedera, manakala dua lelaki terbunuh dalam nahas di Bavaria. 

Salji juga mengakibatkan jadual perjalanan terjejas di seluruh Britain, apabila kereta api membatalkan jadual, manakala kenderaan terbabas di jalan raya akibat jalan bersalji. – Reuters

Friday, December 3, 2010

Seluruh Britain kecoh akibat salji tebal


PENUMPANG pesawat menunggu di luar terminal di Lapangan Terbang Gatwick, semalam.
PENUMPANG pesawat menunggu di luar terminal di Lapangan Terbang Gatwick, semalam.
Lapangan terbang Gatwick ditutup bagi hari kedua, pengangkutan awam dihentikan

LONDON: Salji tebal mengakibatkan seluruh Britain kecoh semalam, dengan lapangan terbang Gatwick di London ditutup bagi hari kedua, perkhidmatan rel terganggu dan orang ramai terkandas.

Pengguna pengangkutan awam sukar untuk ke tempat kerja masing-masing ketika musim sejuk paling teruk yang melanda lebih awal daripada biasa di Britain dalam tempoh hampir dua dekad itu, tidak menunjukkan petanda akan reda.

Pejabat Kaji Cuaca memberi amaran mengenai cuaca lebih teruk dan salji tebal, terutama di kawasan selatan dan timur negara ini.
Suhu bawah sifar dan salji selama beberapa hari, yang bermula di Scotland dan utara England dan bergerak ke selatan, mengakibatkan kekecohan dan boleh mendatangkan kerugian 1.2 bilion pound (RM5.8 bilion) kepada ekonominya sehari, menurut penginsurans RSA.

Gatwick, lapangan terbang kedua sibuk di Britain, berkata ia akan terus ditutup sehingga sekurang-kurangnya 6 pagi hari ini berikutan salji tebal.

Lapangan Terbang Edinburgh, yang dikendalikan oleh BAA, masih ditutup, tetapi landasannya dijangka tidak dilitupi salji menjelang lewat pagi, katanya.

Ketika Britain terus dikecam kerana tidak berupaya menangani cuaca buruk, Setiausaha Pengangkutan, Philip Hammond mengarahkan kajian mengenai tindakan yang diambil oleh pengendali pengangkutan minggu ini.
Kita tiada pilihan untuk merasa puas hati. Terdapat pengajaran yang boleh ditimba daripada pencapaian kita setiap kali berlaku cuaca buruk dan adalah penting kita mempelajarinya sekarang, kata Hammond dalam satu kenyataan.

Musim sejuk lalu adalah yang paling teruk di Britain selama tiga dekad dan pihak berkuasa berharap dapat mengelakkannya daripada berulang.

Eurostar, yang mengendalikan perkhidmatan kereta api laju antara Britain dan Perancis dan Belgium, berkata ia beroperasi dengan jadual paling minimum semalam berikutan cuaca buruk.

Perkhidmatan Eurostar kini tertakluk kepada kelewatan sehingga 90 minit dan sesetengahnya dibatalkan, katanya.

Southern Railway, yang mengendalikan kereta api antara London dan pantai selatan England, berkata semua perkhidmatannya dibatalkan berikutan salji tebal, walaupun ia akan memulakan perkhidmatan terhad di kawasan London bermula jam 10 pagi.

Ais pula menyebabkan jalan raya menjadi licin dan merbahaya.

Kira-kira 200 pemandu bermalam dalam kenderaan masing-masing pada hari kedua atau di dewan kampung berdekatan Yorkshire, sementara penumpang kereta api ke pusat peranginan selatan Brighton terpaksa bermalam di dalam koc, lapor BBC.

Beribu-ribu sekolah dijangka ditutup, sesetengahnya bagi hari keempat secara berturut-turut. Reuters

Salji di Eropah



Kerja-kerja membersihkan salji yang memenuhi landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Munich, selatan Jerman, kelmarin. - AP






LONDON 2 Dis. - Salji tebal memaksa beberapa lapangan terbang di Eropah ditutup dan mencetuskan masalah pengangkutan jalan raya serta kereta api semalam ketika cuaca sejuk yang melanda benua itu meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa.
Suhu jatuh sehingga -18 darjah Celsius di sebahagian kawasan di Jerman, manakala hujan lebat di Itali menyebabkan dua dinding era Rom runtuh di Pompeii dan banjir di Venice.
Seramai 13 maut akibat terdedah kepada cuaca sejuk di tengah Eropah, termasuk lapan di Poland. Menurut polis, kebanyakan daripada mereka berada di bawah pengaruh alkohol.
Dua lagi kematian dicatatkan di England akibat kemalangan yang berpunca daripada cuaca sejuk, satu dalam perlanggaran motosikal dan satu lagi akibat terjatuh ke dalam tasik.
Albania mengisytiharkan bencana di utara negara itu akibat banjir besar dengan lebih 200 penduduk dipindahkan.
Gangguan pengangkutan berlaku di seluruh Eropah di mana Britain, yang mencatat rekod paling awal salji turun sejak 1993, paling teruk terjejas.
Lapangan Terbang Gatwick di London, hab udara kelapan paling sibuk di Eropah, masih ditutup sehingga pukul 10 pagi ini (pukul 6 petang waktu Malaysia) dengan petugas berusaha membersihkan landasan.
Lapangan Terbang Edinburgh, tersibuk di Scotland juga ditutup dan penangguhan penerbangan turut dilaporkan di lapangan terbang Glasgow dan Aberdeen, Newcastle di timur laut England dan Jersey di Channel Islands. - AFP