Pages

Showing posts with label tersedak. Show all posts
Showing posts with label tersedak. Show all posts

Sunday, February 12, 2012

Ibu kering air mata


PILU...Cassindra (kanan) dan anggota  keluarga selepas kehilangan bayi sulung.
PILU...Cassindra (kanan) dan anggota keluarga selepas kehilangan bayi sulung.


JOHOR BAHRU: “Kering air mata kerana menangis, tiada apa yang boleh dilakukan kerana anak tersayang pergi selama-lamanya,” kata Cassindra Gelungan, 24, selepas bayi perempuannya, Angel Cassandra yang berusia enam hari meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kelmarin.
Lebih menyayat hati, Angel yang meninggal dunia tepat jam 4.20 petang di unit rawatan rapi (ICU) HSA baru beberapa jam diberikan nama.

Menurut Cassindra, hatinya luluh setiap kali melihat pakaian serta kelengkapan disiapkan untuk menyambut anak sulung itu yang langsung tidak disentuh berikutan pemergian Angel.
Yang membuatkan dia lebih terkilan, kejadian itu didakwa berlaku akibat kelalaian kakitangan HSA yang diamanahkan menjaga Angel.

“Saya melahirkan Angel ketika usia kandungan hanya lapan bulan pada jam 7.49 pagi, 4 Februari lalu di HSA dengan berat 1.85 kilogram.

“Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan membawanya pulang berikutan Angel mengalami demam kuning tapi tidak serius,” katanya.
Menurut Cassindra yang berasal dari Gelang Patah, dia akur dengan arahan itu dan dijanjikan boleh membawa bayinya pulang pada 7 Februari.

Bagaimanapun, katanya, ia sekali lagi ditangguh pada keesokan hari berikutan Angel belum pulih sepenuhnya akibat demam kuning.
“Saya datang semula ke HSA, Rabu lalu dan terkejut mendapati Angel tidak bertindak balas ketika saya memegang kakinya dan pada masa sama ada kesan susu kering pada bibir dan mulutnya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak hospital.

“Saya memang kecewa, kami faham petugas perlu jaga ramai lagi bayi lain tetapi pada masa sama, mereka boleh melakukan pemeriksaan sekali lalu.

“Jika ada yang tidak kena, pasti mereka boleh segera mengambil tindakan. Ini tidak, saya yang datang dari rumah terlebih dulu mengesan kejadian itu,” katanya.

Cassindra turut mendakwa, kakitangan HSA menyusukan bayi mereka menggunakan gelas kecil dan ia dipercayai punca Angel tersedak.

Selain itu, Cassindra mendakwa, bayinya tidak ditempatkan di dalam inkubator walaupun dilahirkan tidak cukup bulan, malah Angel hanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas kejadian terbabit.

Sementara itu, bapa Angel, Jacbelin Jemmy, 23, berkata dia kecewa apabila kakitangan HSA gagal memberikan sebab terperinci bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Jacbelin yang bertugas sebagai jurukimpal berkata, dia tidak mengharapkan pampasan tinggi, sebaliknya mahukan keadilan supaya perkara sama tidak menimpa pasangan lain.

“Nilai nyawa manusia tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, yang pergi tidak akan kembali, tetapi kami harap perkara ini tidak berulang. Cukuplah hanya kami yang merasai kesedihan akibat kehilangan insan tersayang.

“Kami juga bercadang mengambil tindakan undang-undang tetapi buat masa sekarang, kami perlu menguruskan soal pengebumian anak,” katanya.

Mayat Angel disempurnakan di Tanah Perkuburan Selesa Jaya, pagi semalam. Jacbelin turut membuat laporan berkaitan kejadian di Balai Polis Sentral Khamis lalu, untuk tindakan selanjutnya.

Thursday, August 18, 2011

Bayi 3 bulan mati tersedak susu

MOHAMAD NUR IFFAN, meninggal tersedak susu.
MOHAMAD NUR IFFAN, meninggal tersedak susu.

Abang lihat darah bercampur susu mengalir dari hidung mangsa

PADANG BESAR: “Sedih, sebak dan sayu. Hanya Tuhan tahu perasaan saya apabila melihat tubuh Nur Iffan yang sudah tidak bernyawa itu. Saya hanya mampu peluk tubuh Nur Iffan yang kecil dan cium dia berkali-kali. Itu semua sudah terlambat kerana dia pergi meninggalkan kami.
“Kedatangan Aidilfitri yang hanya berapa lama lagi ini tidak bermakna buat kami sekeluarga, namun saya reda dengan apa yang terjadi,” kata Ramlah Ibrahim, 27, ibu Mohamad Nur Iffan Md Yussof, tiga bulan, yang meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai kerana tersedak susu ketika tidur.
Tambah menyayat hati, pemergian bayi lelaki yang juga anak bongsu lima beradik itu ketika umat Islam semakin hampir menyambut kedatangan Aidilfitri yang bakal menjelang dalam tempoh kurang dua minggu lagi.

Berdasarkan maklumat, Mohamad Nur Iffan disedari mengalami pendarahan pada hidung jam 3 pagi, sejurus ibunya tersedar daripada tidur di rumah mereka di Taman Sri Tunjung, Beseri, dekat sini.

Terdahulu, Mohamad Nur Iffan dikatakan tidur bersama ibunya selepas diberi susu badan kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

Ramlah hanya menyedari bayinya tidak bernafas selepas dikejutkan anak sulung berusia 12 tahun yang melihat darah bercampur susu mengalir dari hidung bayi itu.
Katanya, dia dan suami, Md Yussof Md Amin, 48, baru bercadang membelikan Mohamad Nur Iffan baju raya kerana sukar berbuat demikian disebabkan tubuh bayi itu agak kecil berikutan lahir tidak cukup bulan.

“Saya masih ingat senyuman yang disertai ketawa riang Nur Iffan ketika dia dimandikan petang semalam (kelmarin), sedangkan sebelum ini dia tidak pernah ketawa sebegitu,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes terbabit yang dibuat bapa mangsa kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Kes diklasifikasikan mati mengejut. Bagaimanapun, kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat ke atas mangsa untuk mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dalam kes terbabit,” katanya. 
-bharian

Sunday, June 5, 2011

Bayi maut tersedak susu soya




ZULAZMI memangku mayat anaknya keluar dari bilik mayat di PPUM, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu soya pada saluran pernafasan ketika berada di rumah pengasuhnya di Kerinchi di sini kelmarin.
Rania Batrisya Zulazmi disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurut laporan bedah siasat yang dikeluarkan hospital berkenaan, kematian Rania adalah disebabkan oleh saluran pernafasannya tersekat dengan susu tersebut.
Rania dibawa ke PPUM oleh pengasuhnya, seorang wanita berusia 60 tahun kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin selepas mendapati bayi itu berada dalam keadaan lemah dengan tangan dan kakinya sejuk.
Bayi malang itu bagaimanapun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian.
Difahamkan, anak tunggal kepada pasangan Radiana Rais, 37, dan Zulazmi Jamaludin, 41, itu diberi sejenis susu soya tetapi makanan itu tersekat pada saluran pernafasannya disyaki semasa bayi itu tidur.
Nenek mangsa, Ramlah Baba, 63, ketika ditemui di rumah mayat PPUM memberitahu, dia terkejut dengan kejadian menimpa cucunya yang sebelum ini disifatkan sebagai penyeri keluarga.
“Walaupun Rania (Batrisya) baru berusia enam bulan, dia nampak pintar dan pandai mengambil hati.

Kosmo! Online - Negara

Saturday, January 22, 2011

Petanda rindu ibu



KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut  akibat tersedak bubur nasi.
KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut akibat tersedak bubur nasi.

PUCHONG: Rasa rindu seorang ibu untuk melihat bayi perempuannya yang ditinggalkan bersama pengasuh berhampiran rumahnya di Taman Putra Perdana di sini, bertukar pilu, apabila dimaklumkan bayinya itu meninggal dunia akibat tercekik bubur nasi.
Ketika menerima berita kejadian menyayat hati itu, dia masih dalam perjalanan pulang untuk mengambil anak bongsunya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Selasa lalu, ibu berkenaan, Nor Jam’atul Mohd Nordin, 31, pulang awal ke rumah untuk mengambil anak bongsunya, Nur Shazwani Izni Mazlan berusia lima bulan kerana berasa terlalu rindu untuk memeluk dan menciumnya.
Menurutnya, pada kebiasaannya, dia pulang kira-kira jam 7.40 malam, namun pada hari kematian anaknya, dia mengambil keputusan untuk pulang awal kerana perasaan rindu terhadap anaknya itu terlalu kuat.

“Saya tidak menyangka perasaan rindu kepada anak bongsu pada hari kejadian terpaksa saya tanggung buat selama-lamanya apabila dia kini sudah tiada.

“Lebih menyedihkan saya tidak dapat bersama ketika saat akhirnya, malah tidak menyangka anak saya maut akibat makanan yang diberikan,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia selepas pengasuhnya menyuapkan bubur nasi menggunakan botol susu sebelum meninggalkan mangsa bersama dua bayi lain yang turut dijaganya.

Mangsa dipercayai tercekik bubur berkenaan.
Menceritakan kejadian itu, ibu malang terbabit berkata, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Shah Alam, tiba-tiba pengasuh anaknya menelefon memaklumkan anak bongsunya itu mengalami kesukaran bernafas akibat tercekik selepas disuapkan bubur nasi menggunakan botol susu.

“Saya mengarahkan agar membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, pengasuh berkenaan menghantar anak saya ke klinik berdekatan dan doktor yang merawatnya mengesahkan anak sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, selepas disahkan meninggal dunia, dia menghantar jenazah anaknya ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Meranti, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Ayob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.