Pages

Showing posts with label Nabi. Show all posts
Showing posts with label Nabi. Show all posts

Friday, October 15, 2010

Nabi hanya beri peringatan

sumber

SHEIKH al-Maraghi berkata: "Setelah Allah SWT menerangkan ancaman kepada orang yang menyeleweng fikirannya daripada dalil yang menunjukkan kewujudan dan keEsaan Allah SWT, perutusan para rasul Allah, hari kebangkitan dan penghisaban amal, lalu disuruh memberi janji kepada orang yang membersihkan jiwanya daripada kotoran syirik dan taklid yang diwarisi daripada nenek moyangnya.
Mereka ini akan memperolehi kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kemudian Dia menjelaskan bahawa antara tabiat manusia adalah mencintai kehidupan dunia dan mengutamakannya daripada kehidupan akhirat.
Andai kata mereka mahu merenungkan sebentar saja, nescaya mereka tahu bahawa yang lebih baik adalah mengutamakan kehidupan di akhirat.
Akhirnya dijelaskan bahawa pokok-pokok seruan ilahi pada setiap agama adalah sama, kerana itu apa yang terdapat dalam al-Quran pada hakikatnya sama dengan yang terdapat dalam mushaf-mushaf Ibrahim dan Musa.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh).
Al-Mawardi berkata: Ada empat tafsiran ulama:
* Siapa yang menyucikan daripada syirik dengan iman seperti pendapat Ibn Abbas.
* Siapa yang amalan solehnya subur dan membesar seperti pendapat al-Hasan dan al-Rabi'.
* Mereka yang prihatin mengeluarkan zakat harta seperti pendapat Abu al-Ahwas.
* Mereka yang bertambah kebaikan dan kesolehan.
Firman Allah SWT: Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk).
Syed Qutub berkata: "Dan mendirikan solat" sama ada dengan erti khusyuk dan patuh atau dengan pengertian sembahyang biasa, maka kedua-dua pengertian ini mungkin hasil daripada amalan mengingati Allah, mengenangkan kebesaran dan kehebatan-Nya di dalam hati.
Orang yang berbuat demikian tetap akan mendapat keuntungan. Ia beruntung di dunianya, iaitu ia hidup berhubung rapat dengan Allah, ia hidup dengan hati yang hidup yang mengecapi kemanisan berzikir.
Ia beruntung di alam akhiratnya, iaitu ia selamat dari api Neraka yang amat besar dan mendapat nikmat syurga dan keredaan Allah. Alangkah jauhnya perbezaan di antara kesudahan ahli keimanan dan ahli kekufuran!
Alangkah jauhnya perbezaan untung nasib di antara dua kelompok itu. Berkenaan dengan solat di sini ada pelbagai pendapat antaranya solat fardu seperti kata Ibn Abbas, solat hari raya seperti kata Abu Sa'is al-Khudri. Begitu juga dengan solat sunat selepas zakat seperti kata Abu al-Ahwas.
Firman Allah SWT: (tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan Yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia.
Al-Dahak berkata: Ayat ini diturunkan kepada Abu Bakar sedangkan tafsiran maksudnya kepada dua:
* Kepada golongan kafir kerana melebihkan dunia daripada akhirat.
* Golongan Islam kerana melebihkan sedekah yang banyak di dunia untuk mendapat banyak pahala.
Firman Allah SWT: padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.
Syed Qutub berkata: Sikap mengutamakan kehidupan dunia merupakan punca segala bala. Daripada sikap inilah lahirnya sikap tidak menghiraukan peringatan dan pengajaran Allah, kerana peringatan itu mahukan mereka kehidupan dunia dan mengutamakannya.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam kitab-kitab yang terdahulu, iaitu kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.
Al-Maraghi berkata: Segala perintah, larangan, pahala dan ancaman yang diwahyukan kepada Nabi SAW sama sahaja dengan syarat yang dibawa dalam kitab suci Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Musa a.s kerana agama Allah SWT itu hanya satu.
Perbezaan ada pada cara pelaksanaannya dan bentuk luarnya. Jika manusia beriman kepada agama Nabi Ibrahim dan agama Nabi Musa maka wajiblah dia beriman kepada Nabi Muhammad SAW.
Ini kerana baginda hanya membawa ajaran-ajaran yang ada pada kitab suci itu.
Bahkan baginda hanyalah seorang pemberi peringatan dan menghidupkan syariat-syariat yang sudah mereka lupakan.
Penutup
Kesatuan ajaran agama yang benar dan kesatuan akidah pastilah terbit daripada sumber yang satu dan kehendak yang satu yang mengutuskan para rasul kepada umat manusia.
Ia merupakan agama yang benar yang satu, yang datang dari satu asal atau sumber.
Hanya perinciannya atau butirannya sahaja yang berbeza-beza, kerana perbezaan keperluan-keperluan dan perbezaan tahap perubahan.
Namun semuanya bertemu pada asal yang sama dan terbit dari sumber yang sama, iaitu terbit dari Tuhanmu Yang Maha Tinggi yang menciptakan seluruh makhluk dan menentukan perencanaan terhadapnya memberi petunjuk kepadanya.
Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa berpegang dengan kitab Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW. Amin.

Wednesday, February 24, 2010

Nabi Idris a.s Bersama Malaikat Izrail


Suatu ketika Nabi Idris a.s telah dikunjungi oleh Malaikat Izrail dan bertanya Nabi Idris a.s katanya: "Hai malaikat Izrail, engkau datang ini untuk mencabut nyawa atau untuk menziarah?." Kata Malaikat Izrail aku datang untuk menziarah dengan izin Allah. Kata Nabi Idris kepada Malaikat Izrail: "Hai Malaikat Izrail, saya ada keperluan dan kepentingan kepadamu" Kata Malaikat Izrail "Kepentingan apa itu?" Jawab Nabi Idris "Kepentingan denganmu iaitu supaya engkau mencabut nyawaku dan kemudian Allah menghidupkan kembali sehingga aku dapat beribadah kepada Allah setelah aku merasakan sakaratulmaut". Kata Malaikat Izrail sesungguhnya aku tidak akan mencabut nyawa seseorang melainkan mendapat izin Allah. Maka Allah memberi wahyu kepada kepada Malaikat Izrail agar dia mencabut nyawa Nabi Idris, maka seketika itu Malaikat Izrail mencabut nyawa Nabi Idris a.s. Maka Malaikat Izrail menangis atas kematian Nabi Idris sambil memohon kepada Allah agar Allah menghidupkan kembali Nabi Idris a.s.

Kemudian Allah mengabulkan permohonan Malaikat Izrail, maka Nabi Idris hidup kembali. Malaikat Izrail bertanya kepada Nabi Idris as. "Hai saudaraku, bagaimana rasanya sakaratulmaut itu?. Kata Nabi Idris a.s "Sesungguhnya rasa sakaratulmaut itu saya umpamakan binatang yang hidup itu dilapah kulitnya (dibuang kulitnya semasa hidup-hidup) dan begitulah rasanya sakaratulmaut bahkan lebih seribu kali sakit."

Kata Malaikat Maut: "Secara halus dan berhati-hati aku mencabut nyawa yang seperti itu selama-lamanya." Kemudian Nabi Idris a.s berkata lagi pada Malaikat Maut: "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengan engkau iaitu saya ingin melihat Neraka Jahanam sehingga saya boleh beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setelah melihat belenggu, rantai-rantai dan kala jengking yang menyengat orang-orang yang ada di Neraka Jahanam." Kata Malaikat Maut "Bagaimana saya boleh pergi ke Neraka Jahanam tanpa izin Allah".

Mala Allah memberi wahyu kepada Malaikat Maut dengan firman: "Pergilah engkau ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris a.s". Malaikat Maut pun pergi ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris kemudian Idris melihat segala macam seksaan yang diciptakan Allah untuk musuh-musuhNya yang berupa belenggu, rantai-rantai daripada neraka dan kala jengking serta ular dengan api-api yang menyala dan kayu zakum dan air yang sangat panas untuk diminum oleh ahli neraka tersebut. Setelah kembali Nabi Idris berkata lagi kepada Malaikat Maut. "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengamu iaitu saya ingin melihat syurga sehingga saya boleh tambah meningkatkan amal ibadah," maka Malaikat Maut berkata "Bagaimana boleh saya bersamamu ke dalam syurga tanpa izin Allah." Maka Allah memberi izin pada Malaikat Maut untuk pergi berdua dan berhenti dekat pintu syurga.

Maka Nabi Idris melihat di dalamnya nampak bermacam-macam nikmat dan istana besar lagi indah dan beberapa anugerah yang berharga, juga tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan yang beraneka warna dan rasanya berbeza-beza. Nabi Idris berkata "Hai saudaraku, saya telah merasakan sakitnya sakaratulmaut, saya telah melihat Neraka Jahanam yang didalamnya bermacam-macam rupa seksaan dan azab neraka maka mohonlah engkau kepada Allah agar Allah mengizinkan saya untuk masuk syurga dan minum airnya agar hilang rasa sakitnya sakaratulmaut di tenggkorakku ini dan juga terhindar daripada seksaan Neraka Jahanam.

Maka Malaikat Izrail minta izin kepada Allah lalu mengizinkannya, kemudian masuklah meraka berdua ke alam syurga lalu keluar. Kemudian Nabi Idris masuk lagi ke dalam syurga dan meletakkan seliparnya di bawah pokok kayu di dalam syurga. Maka Nabi Idris berkata kepada Malaikat Izrail "Hai Malaikat Maut, selipar saya tertinggal didalam syurga di bawah pokok kayu, maka kembalikanlah saya ke dalam syurga," maka Nabi Idris masuk ke syurga dan tidak mahu keluar lagi dari syurga. Maka berteriaklah Malaikat Izrail memanggil Nabi Idris agar keluar dari syurga. "Hai Idris, keluarlah engkau dari syurga." Maka Nabi Idris pun tidak mahu keluar Allah s.w.t telah berfirman "Tiap-tiap orang mesti merasakan sakaratul maut, sedang saya sudah merasakan sakaratulmaut. Dan Allah s.w.t berfirman lagi maksudnya: "Tidak ada diantara kamu sekelian kecuali mereka itu memasuki (neraka/syurga) sedang aku pernah memasuki neraka dan Allah pun juga berfirman lagi maksudnya: "Dan tidaklah mereka itu dikeluarkannya". (keluar daripada syurga).

"Siapakah yang mengeluarkan saya dari syurga" sedangkan Allah telah memberi wahyu kepada malaikat Maut. "Tinggalkanlah dia (Nabi Idris) sesungguhnya Aku telah memutuskan dia di zaman azali dahulu bahawa sesungguhnya dia (Nabi Idris) tergolong ahli dan penghuni syurga."

Dan Allah telah berfirman kepada rasul-rasulNya tentang kisah Nabi Idris dalam firmanNya yang bermaksud. "Dan ingatlah olehmu cerita-cerita dalam kitab Nabi Idris a.s dan seterusnya."