Pages

Showing posts with label radioaktif. Show all posts
Showing posts with label radioaktif. Show all posts

Monday, September 26, 2011

Jepun temui beras dicemari radioaktif

TOKYO: Jepun menemui kes pertama beras dicemari bahan radioaktif melebihi paras ditetapkan dalam satu ujian awal tanaman sebelum dituai, lapor Kementerian Perladangan baru-baru ini.

Kementerian itu memberitahu, unsur radioaktif caesium 500 becquerels (Bq) sekilogram ditemui dalam satu sampel beras sebelum dituai di bandar Nihonmatsu di daerah Fukushima, 56 kilometer ke barat loji jana kuasa nuklear Fukushima.
Loji itu lumpuh akibat gempa dan tsunami 11 Mac lalu, mencetuskan bencana nuklear terburuk dunia sejak 25 tahun lalu.
Kementerian itu berkata, pihak berkuasa daerah Fukushima akan memperluas kawasan pemeriksaan hampir 10 kali ganda kepada sekitar 300 tempat.

Ia adalah kes pertama di Jepun mengenai beras mengandungi caesium melebihi 200 Bq sekilogram, tahap yang memerlukan ujian lanjut di kawasan beras yang dituai.
Satu Bq digambarkan sebagai aktiviti satu kuantiti bahan radioaktif iaitu pereputan satu nukleus sesaat. Agensi 

Thursday, August 18, 2011

TEPCO akui gagal sejuk loji nuklear

PENUNJUK perasaan anti-nuklear memegang sepanduk bantahan di hadapan ibu pejabat  TEPCO di Tokyo, semalam.
PENUNJUK perasaan anti-nuklear memegang sepanduk bantahan di hadapan ibu pejabat TEPCO di Tokyo, semalam.

Tangguh operasi alat tak serap bahan radioaktif

TOKYO: Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berkata pihaknya gagal dalam cubaan untuk menyejukkan dan menutup loji jana kuasa nuklear yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami di Fukushima menjelang Januari depan, ketika krisis nuklear terburuk dunia sejak 25 tahun lalu itu berterusan.
Usaha menyahcemar air yang tinggi kandungan radioaktifnya di loji itu ditangguhkan berikutan kegagalan peralatan penyerapan bahan radioaktif cesium, yang menyebabkan kebocoran air dan kerosakan pam, menjejaskan proses menstabilkan loji yang semakin teruk itu.
“Tidak mustahil usaha menyahcemar tidak dapat diselesaikan seperti yang dirancang menjelang akhir tahun ini, walaupun kami masih belum memutuskan untuk mengubah sebarang perancangan.

“Ia mungkin akan menjejaskan proses penyejukan dan penutupan loji,” kata seorang jurucakap syarikat yang enggan dikenali.

Ulasannya disusuli kenyataan sama oleh jurucakap TEPCO mengenai isu nuklear, dan Junichi Matsumoto kelmarin yang dilaporkan dalam akhbar harian perniagaan Nikkei.

Penutupan dan penyejukan biasanya didefinisikan sebagai kandungan air di dalam reaktor yang berada di bawah paras 100 darjah selsius dalam atmosfera biasa, mengelak bahan api radioaktif itu daripada panas semula.
TEPCO juga mengesahkan semalam bahawa ia menguji satu peralatan pemprosesan air radioaktif ketika ia bertungkus lumus menangani kerosakan akibat gempa bumi dengan magnitud 9.0 dan tsunami yang meranapkan pantai timur laut Jepun Mac lalu.

Dengan anggaran hanya 42,000 tan air tercemar diproses menjelang 9 Ogos, 120,000 tan masih tinggal di ruang bawah bangunan turbin dan di tempat lain.

TEPCO menetapkan matlamat memproses 200,000 tan air radioaktif menjelang akhir tahun ini berikutan lebih banyak air akan tercemar dalam proses memastikan reaktor rosak terkawal.

Pihak berkuasa TEPCO dan Menteri Krisis Nuklear Goshi Hosono merancang mengadakan satu sidang media bersama jam 4.30 petang semalam (0730 GMT) untuk menjelaskan perkembangan tugas mengawal semula reaktor rosak.

Ujian bagi peralatan menyerap cesium Toshiba Corp, dikenali sebagai Sarry, dijalankan dengan mengalirkan air radiasi tahap rendah melalui peralatan dari syarikat nuklear Perancis Areva SA dan syarikat pengurusan sisa nuklear Amerika Syarikat Kurion Inc.

Ia dijadualkan beroperasi sepenuhnya seawal Khamis ini, kata pihak berkuasa
TEPCO. Sarry lebih mudah diurus kerana ia memiliki kurang pam yang sering rosak. Walaupun sistem ini beroperasi sepenuhnya, kadar keseluruhan operasi kekal pada 90 peratus. Secara kasar 195,000 tan air tercemar akan diproses tahun ini. – Reuters , bharian

Thursday, August 11, 2011

Beras Jepun pula diperiksa

TOKYO: Pihak berkuasa tempatan di seluruh Jepun kini menguji beras negara itu bagi memastikan keselamatan penduduk kerana bimbang makanan ruji tempatan itu juga dicemari radiasi. 
Pengumuman mengenainya dibuat minggu ini ketika penduduk gusar dengan pencemaran radioaktif dalam makanan selepas menghadapi krisis nuklear terburuk dalam tempoh 25 tahun disebabkan kebocoran loji Fukushima di timur laut Jepun.

Tahap pencemaran radioaktif tinggi sudah dikesan dalam daging, sayur, teh, susu, makanan laut dan air. Tetapi, jika beras juga tercemar, ia dianggap bencana besar, kata pakar makanan.
“Selepas gempa bumi melanda, penduduk menganggap sesuatu masih dilakukan bagi menggantikan apa yang hilang. Jika mereka tidak dapat menikmati kari daging, mereka boleh buat kari ayam yang diimport. 

“Tetapi, tidak begitu dengan beras tempatan,” kata Pakar Keselamatan Makanan di Kajian Makanan, Pertanian dan Sains Alam Sekitar Universiti Miyagi, Shigenobu Ikedo. – Reuters bharian

Wednesday, August 10, 2011

Makanan Jepun tercemar

TOKYO: Menteri Luar Jepun, Takeaki Matsumoto mengarahkan kementeriannya supaya mengelak memberi pengesahan mengenai keselamatan makanan Jepun. 
Pendirian kementerian itu berubah selepas daging lembu yang dicemari radioaktif dijual kepada pengguna di seluruh negara berkenaan, kata sumber yang dipetik agensi berita Kyodo.

Pencemaran daging dipercayai disebabkan ternakan diberi makan batang padi tercemar dengan isotop cesium yang dikeluarkan loji nuklear Fukushima Daiichi.
Bagi menangani kebimbangan yang meluas mengenai bekalan makanan, Kementerian Luar memberitahu kedutaan dan pejabat diplomatik di luar negara supaya menerangkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan, pengimport dan organisasi media mengenai pendekatan yang diambil kerajaan untuk menghalang makanan tercemar daripada masuk ke saluran pengedaran awam. 

Kementerian turut meminta pejabat diplomatik mengulangi pendirian mendedahkan maklumat keselamatan dengan tepat. 

Pada 8 Julai lalu, Matsumoto berkata beliau mahumengurangkan kebimbangan mengenai keselamatan makanan dengan apa yang dibuat kerajaan untuk menghalang makanan tercemar daripada masuk ke rantaian makanan. – Agensi 
-bharian

Thursday, June 16, 2011

Jepun temui radioaktif pada paus



TOKYO 15 Jun - Pemburu paus di Jepun menemui kesan-kesan bahan radioaktif caesium dalam badan dua ekor mamalia raksasa tersebut yang ditangkap baru-baru ini di perairan negara ini di Lautan Pasifik.
Dua ekor paus jenis minke yang ditangkap dekat pulau Hokkaido, utara Jepun menunjukkan bacaan 31 becquerel dan 24.3 becquerel caesium sekilogram, kata seorang pegawai agensi perikanan hari ini.
Puncanya dipercayai daripada kebocoran bahan radioaktif di loji nuklear Fukushima, katanya.
Paras itu masih jauh di bawah had selamat maksimum yang ditetapkan baru-baru ini bagi makanan laut iaitu 500 becquerel sekilogram.
Air radioaktif dari loji nuklear Fukushima Daiichi bocor ke Lautan Pasifik sejak dilanda gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu, yang merosakkan sistem pendingin lalu mencetuskan kecairan reaktor dan letupan.
Rakyat Jepun dan pakar hidupan laut melahirkan kebimbangan bahan radioaktif di laut boleh berkumpul dalam badan haiwan marin yang besar dan hidup lama. - AFP

Sunday, May 8, 2011

Radiasi Chernobyl mencengkam Jerman




PEKERJA  di Minsk menanam pokok bertujuan menyekat tiupan angin membawa radiasi di perkampungan Bogushi, dalam zon eksklusif 30 kilometer dekat Chernobyl, bulan lalu.

PEKERJA di Minsk menanam pokok bertujuan menyekat tiupan angin membawa radiasi di perkampungan Bogushi, dalam zon eksklusif 30 kilometer dekat Chernobyl, bulan lalu.

Ternakan, tanaman dicemari kesan radioaktif

BERLIN: Ancaman radiasi sukar difikirkan kesannya tetapi untuk mengetahui sejauh mana paras radioaktif boleh kekal, lihat saja babi hutan Jerman.
Selepas 25 tahun bencana nuklear Chernobyl di Kesatuan Soviet Union yang membawa kepulan asap radiasi di seluruh Eropah, haiwan ini cukup tercemar dengan radioaktif sehingga penduduk digesa supaya tidak memakannya.
Malah, cendawan yang dimakan haiwan terbabit juga tidak sesuai untuk dimakan manusia.

Pengalaman Jerman menunjukkan apa yang mungkin menanti Jepun jika masalah di loji jana kuasa nuklear di Fukushima tidak dapat diselesaikan dan menjadi tidak terkawal.

Babi hutan Jerman hidup bebas dalam hutan hampir 1,500 kilometer dari Chernobyl. Namun, jumlah unsur radioaktif dipanggil cesium-137 dalam tisu badan mereka sering mencatat berpuluh kali melepasi had yang dibenarkan untuk membolehkan ia dimakan dan ribuan kali ganda di atas paras normal.

“Kami masih merasai kesan kemusnahan loji Chernobyl di luar sana,” kata Christian Kueppers, seorang pakar radiasi di Institut Ekologi Gunaan Jerman di Freiburg.
“Pencemaran tidak akan pergi pada bila-bila masa, dengan separuh hayat cesium secara kasar berusia 30 tahun, unsur radioaktif hanya akan berkurangan sedikit dalam tempoh beberapa tahun akan datang.”

Cesium-137 boleh terbentuk dalam tubuh dan paras tinggi dianggap satu risiko untuk pelbagai jenis kanser lain.

Namun penyelidik yang mengkaji kesan pelepasan radiasi loji Chernobyl tidak dapat menemui satu peningkatan dalam kanser yang mungkin dikaitkan dengan unsur berkenaan.

Cesium-137 juga semakin lama semakin kekal mengikut masa dalam tanah, yang menjadikan babi hutan lebih tertarik kepadanya.

Haiwan itu menghidu tanah hutan dengan hidung dan makan cendawan tertentu yang biasa menyimpan bahan radioaktif tinggi, kata jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Thomas Hagbeck.

Masalah kini sangat biasa sehingga semua babi hutan yang ditangkap pemburu di rantau terjejas perlu diperiksa untuk sebarang pencemaran radiasi.

Pampasan kerajaan kepada pemburu yang mana tangkapan mereka terpaksa dihapuskan meningkat kepada AS$650,000 (RM1.93 juta) sejak 12 bulan lalu, kata Hagbeck. – Agensi , bharian

Wednesday, April 27, 2011

Satu dekad untuk dibaik pulih



Foto
BANDAR Minamisanriku di Miyagi musnah akibat gempa dan tsunami 11 Mac lalu.

Foto
SEORANG penternak lembu menunjukkan poster bantahan dan tuntutan ganti rugi akibat pencemaran reaktor nuklear t di depan bangunan Tokyo Electric Power Co, semalam.



Jepun anggar kemusnahan kawasan dilanda tsunami RM902 bilion

TOKYO: Pembinaan semula pekan dan bandar Jepun yang musnah teruk akibat gempa bumi dan tsunami bulan lalu akan mengambil masa sekurang-kurangnya sedekad, kata panel penasihat kerajaan semalam.“Tiga tahun pertama diperlukan untuk tugas membina semula jalan dan membaik pulih rumah sementara,” kata ahli Majlis Reka Bentuk Pembinaan Semula Jepun, Jun Iio.
Majlis itu ditubuhkan selepas gempa bumi melanda bertujuan memberi nasihat perundingan kepada kerajaan mengenai usaha membaikpulih.

Lio yang juga penganalisis politik memberitahu wartawan lebih empat tahun lagi diperlukan untuk membina semula pekan dan ia memerlukan lebih lama untuk mencapai pemulihan sepenuhnya.

“Kita harus ingat yang kawasan yang terjejas akibat gempa bumi lebih besar dari Kobe,” kata lio yang merujuk kepada gempa bumi kuat pada 1995 di bandar besar Jepun.

Majlis itu berkata gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac yang meninggalkan kemusnahan pada bandar timur laut Jepun, menyebabkan sekurang-kurangnya 13,000 terkorban, 130,000 lagi penduduk terpaksa berlindung di pusat perlindungan dan kemusnahan dianggarkan mencecah AS$300 bilion (RM902 bilion). 
Perbezaan fahaman politik perlu dipinggirkan bagi membolehkan pembinaan semula dijalankan dengan berkesan, kata majlis berkenaan.

“Usaha pembinaan semula perlu melangkaui isu politik. Kita boleh meminta pandangan daripada parti pembangkang selain parti memerintah,” kata pengerusi majlis itu yang juga Presiden Akademi Pertahanan Kebangsaan Jepun, Makoto lokibe.

Jumaat lalu, Kabinet Jepun meluluskan hampir AS$50 bilion (RM150 bilion) bagi perbelanjaan pembinaan semula selepas gempa bumi. Pakej seterusnya membabitkan cukai selain meminjam pada pasaran bon yang turut mengikat Jepun kepada bebanan hutang. – Reuters , bharian

Tuesday, April 26, 2011

Kecoh penyanyi protes separuh bogel




LEE MI duduk dengan memegang poster di depan pejabat Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di Taipei semalam.

TAIPEI - Seorang penyanyi, Lee Mi mencetuskan kekecohan kerana dia melakukan protes separuh bogel di depan pejabat Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di sini semalam.
Tindakan itu dibuat kerana dia mahu membangkitkan kesedaran mengenai kempen keselamatan nuklear.
Dalam protes itu, dia duduk sambil memegang poster yang menutup payu daranya manakala beberapa orang lagi memakai baju berwarna putih.
Bagaimanapun, beberapa anggota polis datang dan menghampiri penyanyi berkenaan.
Tubuh badan penyanyi itu yang separuh bogel kemudian ditutup dengan sehelai kain oleh anggota-anggota polis wanita.
Tunjuk perasaan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 krisis Chernobyl, Ukraine yang berlaku pada 26 April 1986.
Isu keselamatan nuklear semakin mendapat perhatian masyarakat dunia ekoran kejadian yang berlaku di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang bocor akibat dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu.
Sehingga kini loji itu gagal dibaiki menyebabkan berlaku kebocoran radioaktif. - Agensi, kosmo

Monday, April 25, 2011

Ancaman nuklear surut

TOKYO - Kerajaan Jepun mengeluarkan kenyataan bahawa risiko utama kebocoran radiasi dari loji nuklear Fukushima Daiichi telah surut, menurut media tempatan, kelmarin.


"Saya tidak boleh katakan situasi di loji nuklear benar-benar stabil tetapi selepas mengkaji kemungkinan kerosakan di negara ini, Tokyo selesa dengan polisi perpindahan sekarang," kata penasihat khas Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, Goshi Hosono.


Menurutnya, Tokyo atau Kyoto tidak mungkin berada dalam bahaya buat sementara waktu ini.


Sementara itu, kerajaan turut merancang untuk membina penghalang bawah tanah berdekatan reaktor No. 1 loji nuklear bagi mengelak bahan radioaktif tersebar ke dalam tanah dan air bersih.


Rancangan yang didedahkan pada Jumaat lalu, adalah usaha pertama kerajaan untuk mengatasi risiko air yang dicemari bahan radioaktif merebak terlalu jauh dari loji nuklear ke dalam tanah.


"Penghalang akan dipasang jauh di bawah tanah sehingga ia mencapai lapisan tanah yang tidak akan menyerap air.


"Dinding itu akan sepenuhnya mengelilingi tanah di mana reaktor No. 1, 2, 3 dan 4 berada," katanya lagi.

Air kencing unta cegah kesan radiasi nuklear


JEDDAH: Ketua Jabatan Implan Tisu di Pusat Penyelidikan Raja Fahd berkata, dia dihubungi Kedutaan Jepun di Malaysia yang ingin mengetahui mengenai kegunaan air kencing unta untuk merawat kanser dan mencegah radiasi nuklear.
Dr Fatin Khoursheed yang juga penyelia Kerusi Al-Zamil untuk Kanser memberitahu akhbar berbahasa Arab Al-Hayat, panggilan telefon itu diterimanya ketika krisis nuklear di Jepun semakin bertambah buruk.

“Ia dibuat selepas letupan di loji Fukushima 1,” katanya.

“Pihak berkuasa Jepun mahu mencuba kesan air kencing unta secara santifik dalam merawat individu yang terdedah kepada radiasi nuklear bagi mencegah mereka daripada mendapat penyakit kanser.” Dr Fatin berkata, dia sudah menjalankan penyelidikan mulai 2004 selepas berjaya memulihkan berpuluh-puluh kes pelbagai penyakit kanser dengan air kencing unta yang diambil secara meminumnya, dalam bentuk kapsul, salap atau syampu. Pesakit yang sudah menjalani rawatan itu di Arab Saudi dan negara lain menunjukkan penyembuhan 98 peratus.

Menurutnya, pertanyaan daripada pihak berkuasa Jepun itu cukup aneh kerana Badan Makanan dan Ubat-Ubatan Saudi gagal untuk mengiktiraf keputusan penyelidikan saintifik itu.

“Walaupun penyelidikan itu secara teori dan amali menunjukkan keberkesanan tetapi gagal diiktiraf Badan Makanan dan Ubat-Ubatan Saudi.


“Minat ditunjukkan pihak berkuasa Jepun itu meningkatkan semangat saya untuk membuktikan keberkesanan penyelidikan itu,” katanya lagi. - SG

Friday, April 22, 2011

Pekerja loji nuklear jatuh sakit



FUKUSHIMA - Pekerja di loji nuklear Jepun mula berhadapan dengan masalah kesihatan seperti insomnia, dehidrasi, tekanan darah tinggi dan berkemungkinan menghidap kemurungan atau masalah jantung.

Menurut pakar kesihatan yang melawat kumpulan pekerja itu kelmarin, keadaan berbahaya di loji itu meningkatkan kebimbangan mengenai banyak lagi masalah kesihatan lain akan mula dilaporkan.

Kumpulan pekerja itu berusaha mengawal keadaan di loji Fukushima Daiichi yang mengalami kebocoran radiasi selepas rosak teruk akibat gempa bumi kuat pada 11 Mac lalu.

Pengendali loji, syarikat Tokyo Electric Power mengumumkan 245 pekerja daripada syarikat itu ditempatkan di loji tersebut, selain dibantu oleh tentera, bomba dan pegawai polis.

Jepun semalam mengumumkan zon perpindahan seluas 20 kilometer dari loji itu kini menjadi kawasan larangan dan individu yang menceroboh akan dikenakan denda sehingga AS$1,200 (RM3,600) bagi menghalang penduduk kembali ke rumah masing-masing demi keselamatan mereka.

Radioaktif masuk Lautan Pasifik


KAN (kiri) bersalam dengan penduduk yang mendiami penempatan sementara di bandar raya Koriyama di Fukushima, semalam.
KAN (kiri) bersalam dengan penduduk yang mendiami penempatan sementara di bandar raya Koriyama di Fukushima, semalam.

Lebih 5,000 terabecquerels iaitu 20,000 kali had dibenarkan loji 


TOKYO: Tahap radioaktif yang masuk ke Lautan Pasifik dari loji nuklear Fukushima Daiichi yang musnah awal April lalu dianggarkan mengandungi lebih 5,000 terabecquerels bahan radioaktif iaitu lebih 20,000 kali had yang dibenarkan loji itu.
Agensi berita Kyodo melaporkan ini bukan kali pertama pengendali loji, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) mengeluarkan data.
TEPCO turut menambah jumlah kebocoran dianggarkan mencecah 520 tan. 


“Ini adalah kali pertama TEPCO mengeluarkan data menunjukkan jumlah sebenar bahan radioaktif yang mengalir keluar akibat kebocoran itu yang diuji dalam enam hari sejak 6 April. 


“Bagaimanapun kadar kebocoran itu adalah benar kerana pencemaran dikesan di laut sejak Mac,” katanya. 


Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam mengisytiharkan kawasan pemindahan sekitar 20 kilometer berhampiran loji nuklear Fukushima sebagai zon dilarang masuk. 
Langkah itu berkuat kuasa pada waktu tengah malam selepas polis mendapati lebih 60 keluarga masih lagi tinggal di kawasan di sekitar loji yang dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu. 


Loji terbabit di mana sistem penyejukan reaktor terjejas, dilanda siri letupan dan kebocoran radiasi ke udara, kawasan tanah dan laut dalam yang disifatkan bencana nuklear terburuk dunia sejak Chernobyl 25 tahun lalu. 


“Loji itu tidak stabil,” kata jurucakap Kan, Yukio Edano. 


“Kami meminta penduduk tidak pergi ke sana kerana ia berisiko tinggi.” 


“Hari ini, kami memutuskan mengisytiharkan kawasan itu darurat berdasarkan undang-undang bencana,” katanya. 


Kerajaan mengisytiharkan 20 kilometer kawasan loji itu sebagai zon tidak boleh masuk selepas gempa, selain meluaskan 30 kilometer kawasan lingkungan itu di mana penduduk mulanya digesa berada di dalam rumah tetapi kemudian diminta berpindah. – AFP , kosmo

Thursday, April 21, 2011

Jumlah kes radang paru-paru meningkat wilayah Miyagi

SENDAI: Sekurang-kurangnya 11 orang mati akibat radang paru-paru atau pneumonia, manakala 150 lagi dimasukkan ke hospital di Hospital Palang Merah Ishinomaki, wilayah Miyagi sejak gempa bumi dan tusnami pada 11 Mac lalu, kata hospital itu.
Akhbar Japan Times melaporkan jumlah pesakit adalah enam lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kebanyakan pesakit yang menghidap radang paru-paru itu berpunca daripada keradangan akibat air laut memenuhi paru-paru ketika tsunami atau suhu badan yang rendah sebaik saja bencana.
Debu dan bahan kimia yang memenuhi udara daripada lumpur kering dan kekurangan kebersihan oral dipercayai punca peningkatan kes.


Kes pneumonia juga meningkat di hospital di kawasan dilanda tsunami termasuk Hospital Kesennuma City, di Miyagi dan Hospital Miyako, wilayah Iwate.


“Kebanyakan pesakit adalah warga emas dan antara punca penurunan dari segi kesihatan ialah ketika tinggal di pusat perlindungan,” kata Hospital Palang Merah Ishinomaki.


Satu jenis radang paru-paru ini disebabkan udara yang masuk ke paru-paru dengan air liur yang dicemari ketika tidur dan lazimnya berlaku apabila kekurangan air untuk memberus gigi atau berkumur dan tidur yang lama. – Agensi Berita Harian Online | Jumlah kes radang paru-paru meningkat wilayah Miyagi

Pekerja TEPCO hadapi risiko murung, mati


Kerja tanpa henti, tidak dibenar keluar dari loji nuklear Fukushima


FUKUSHIMA: Pekerja Tokyo Electric Power Co (TEPCO) yang terbabit dalam usaha menstabilkan loji nuklear Fukushima Daiichi (pertama) yang terjejas akibat malapetaka bulan lalu, berhadapan dengan risiko kemurungan dan kematian akibat terlebih kerja, kata doktor yang memeriksa keadaan mereka semalam.
Agensi berita Kyodo melaporkan pekerja itu bukan saja bekerja dalam keadaan berbahaya tetapi berasakan tanggungjawab moral kepada syarikat yang dituduh mengakibatkan bencana nuklear, kata Takeshi Tanigawa.

Berita Harian Online | Pekerja TEPCO hadapi risiko murung, mati

Jepun isytihar loji nuklear zon larangan

TOKYO: Jepun hari ini mengisytiharkan kawasan 20 kilometer keliling di loji nuklear yang tercemar radiasi selepas tsunami dan gempa bumi bulan lalu sebagai kawasan larangan.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano, berkata perintah larangan itu dikeluarkan bagi menghalang sebarang kemasukan orang ramai sejak pihak berkuasa memindahkan mereka keluar pada 12 Mac lalu.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut termasuk hukuman kepada mereka yang mengingkari larangan itu.
Edano berkata, pihak berkuasa akan mengaturkan masa lawatan tertentu kepada penghuni di sekitar loji nuklear itu untuk balik ke rumah masing-masing bagi mengambil barang.


Hampir semua 80,000 penghuni di kawasan loji berkenaan sudah meninggalkan kediaman mereka selepas krisis kebocoran nuklear tercetus akibat tsunami dan gempa bumi paling kuat melanda negara itu bulan lalu.




Bagaimanapun sesetengah penduduk sudah kembali ke kawasan itu dan polis sebelum ini tidak mempunyai peraturan untuk menegah mereka. - AFP Berita Harian Online | Jepun isytihar loji nuklear zon larangan

Wednesday, April 20, 2011

Dua rektor nuklear Surry henti operasi

Foto
KEDIAMAN penduduk Raleigh, Carolina Utara ranap dipukul ribut, kelmarin.


Foto
SEORANG penduduk melihat keretanya yang musnah akibat dilanda puting beliung di Raleigh, Carolina Utara, kelmarin.

Bekalan elektrik ke loji terputus akibat puting beliung

WASHINGTON: Dua rektor di loji nuklear Surry di Virginia dihentikan secara automatik apabila puting beliung memutuskan bekalan elektrik ke loji itu.
Pengendali loji itu, Dominion Virginia Power, berkata penjana kuasa diesel mengambil alih peranan untuk menyejukkan bahan bakar.
Pihak berkuasa berkata tiada kebocoran bahan radiasi dan kakitangan bekerja untuk menyambung semula bekalan elektrik ke loji berkenaan.

Puting beliung adalah antara bencana alam yang paling teruk melanda Amerika sejak dua dekad lalu. Satu siri serangan puting beliung berlaku sejak minggu lalu dan meranap serta memusnahkan harta benda di beberapa negeri termasuk Carolina Utara dan Selatan. Sehingga hari ini, 45 kematian dicatatkan akibat ribut dan puting beliung sejak beberapa hari lalu.

Dua mangsa yang terselamat, Audrey McKoy dan suaminya, Milton, yang tinggal berdekatan Raleigh, Utara Carolina memberitahu mereka nampak puting beliung menerbangkan babi dan haiwan lain ke udara.

“Ia seperti filem Wizard of Oz,” katanya.
Mereka berlindung di bilik membasuh pakaian di awah tanah. Sebaik saja ribut reda, mereka sedar yang rumah bergerak mereka dan sudah terbalik.

Pusat kaji cuaca di Raleigh turut mengeluarkan maklumat terperinci mengenai ribut itu dengan angin selaju 160 kilometer sejam, memusnahkan pokok, menerbangkan bumbung dan merosakkan wayar elektrik.

Ia melanda Universiti Shaw Raleigh dengan kelajuan 177 kilometer sejam.
Ratusan pekerja daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan dikerahkan ke Carolina Utara bagi memantau kemusnahan dan bantuan.

Gabenor Carolina Utara, Bev Perdue, dalam temu bual program NBC Today berkata, ribut itu meranapkan rumah seolah-olah rumah itu diperbuat daripada kertas. – AP/Agensi.Berita Harian Online | Dua rektor nuklear Surry henti operasi

Tuesday, April 19, 2011

Robot kesan radiasi tinggi di dalam loji nuklear



SATU robot kawalan jauh masuk ke dalam sebuah bangunan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun kelmarin.


TOKYO - Bacaan data yang diperoleh daripada robot-robot yang memasuki dua bangunan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi buat pertama kali semalam mendapati persekitarannya masih mengandungi kadar radioaktif yang tinggi untuk dimasuki oleh para pekerja.
Para pegawai nuklear memberitahu data radiasi di kolam Unit 1 dan Unit 3 di loji nuklear tersebut diperoleh oleh dua buah robot buatan Amerika Syarikat (AS) yang diberi nama Packbots.
Packbots mengambil data mengenai suhu, tekanan dan tahap radioaktif.
"Lebih banyak data perlu diambil dan tahap radioaktif perlu dikurangkan lebih banyak sebelum para pekerja dibenarkan masuk," jelas Hidehiko Nishiyama dari Agensi Nuklear dan Keselamatan Industri Jepun.
Maklumat mengenai radiasi itu dilihat tidak akan menjejaskan matlamat untuk menutup loji tersebut dalam tempoh enam hingga sembilan bulan seperti yang diumumkan oleh pengendali loji berkenaan, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO).
"Kami sudah menjangkakan tahap radiasi yang tinggi di dalam bangunan reaktor. Namun begitu, saya pasti TEPCO dan pakar-pakar lain mengambil kira angka-angka ini apabila mereka merangka pelan (menutup loji tersebut)," kata Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano.
Pegawai TEPCO, Takeshi Makigami menyatakan robot-robot itu akan merintis jalan buat para pekerja untuk memasuki semula ke dalam bangunan berkenaan.
"Apa yang boleh dilakukan oleh robot adalah terhad. Justeru para pekerja perlu masuk ke dalam bangunan itu," kata Makigami.
Loji itu mengalami kebocoran nuklear selepas ia dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu akibat gempa bumi kuat di timur laut Jepun. - Agensi, kosmo

Monday, April 18, 2011

6-9 bulan lagi untuk tamatkan krisis nuklear: TEPCO


ATOKYO: Pengendali loji nuklear yang membocorkan radiasi di Jepun menyatakan ia mensasarkan untuk menamatkan krisis itu dalam tempoh enam hingga sembilan bulan. 


Pengerusi Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Tsunehisa Katsumata, memberitahu sidang media di sini bahawa syarikat sudah menyediakan pelan berfasa bagi menamatkan krisis dan membolehkan penduduk berhampiran loji itu yang dipindahkan kembali ke kediaman mereka.
Katanya, dalam tempoh tiga bulan pertama syarikat berharap dapat mengurangkan tahap kebocoran radiasi dan tiga atau sembilan bulan selepas itu dapat mengawal pelepasan bahan radioaktif.
Loji itu rosak akibat gempa bumi kuat yang disusuli tsunami pada 11 Mac lalu. - AP 

Kebocoran radiasi dapat dikurang dalam masa tiga bulan

TOKYO 17 April - Operator loji nuklear Fukushima di Jepun hari ini mengumumkan rancangannya untuk mengurangkan kebocoran radiasi dalam masa tiga bulan dan menstabilkan kesemua reaktor di kompleks tersebut dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.
Operator, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengumumkan jadual tersebut pada sidang media di sini, lebih lima minggu selepas gempa bumi kuat dan tsunami merosakkan sistem penyejukan di loji tenaga nuklear Fukushima itu yang menempatkan enam reaktor.
Radiasi telah merebak ke udara, tanah dan laut dari loji tepi pantai di timur laut Jepun itu, sementara pasukan kecemasan menggunakan air laut untuk menyejukkan reaktor dan menaikkan paras air kolam penyejuk bagi mencegah kecairan rod tenaga nuklear.
Pengerusi TEPCO, Tsunehisa Katsumata berkata, syarikat itu menetapkan sasaran untuk mula mengurangkan radiasi daripada kompleks yang rosak itu dalam tempoh tiga bulan.
TEPCO dalam kenyataan berasingan berkata, dalam masa enam hingga sembilan bulan, mereka berharap untuk mencapai 'cold shutdown' kesemua enam reaktor iaitu situasi yang stabil apabila suhu menurun dan kebocoran radiasi merosot dengan mendadak.
"Sebagai sasaran jangka pendek, kami menetapkan dua langkah, iaitu langkah satu untuk mengurangkan tahap radiasi, manakala dalam langkah kedua, kami mahu mengawal kebocoran bahan radioaktif dan mengawal tahap radiasi dengan banyak," kata Katsumata.
TEPCO juga akan memberi fokus awal untuk mencegah letupan hidrogen dalam reaktor satu, dua dan tiga dengan menyuntik nitrogen, dan mencegah kebocoran lanjut air radioaktif ke kawasan persekitaran.
Menurut Katsumata, beliau tidak pasti bila puluhan ribu penduduk yang terpaksa melarikan diri disebabkan krisis nuklear itu boleh pulang ke rumah masing-masing.
Namun, Menteri Perdagangan, Banri Kaieda berkata, sesetengah mereka boleh pulang dalam masa enam hingga sembilan bulan.
"Sudah tentulah sebilangan lagi penduduk tidak akan dapat balik ke rumah mereka, tetapi kami akan memaklumkan semua orang," katanya. - AFP/AP, Utusan

Sunday, April 17, 2011

Pakar cadang simpan bekalan darah sendiri





NEW YORK - Beberapa pakar di Jepun menyarankan pekerja di kilang loji nuklear rosak perlu menyimpan bekalan darah sendiri sekiranya perlu digunakan kemudian sebagai rawatan untuk dos radiasi tinggi.

Hal ini dibangkitkan kerana pekerja loji nuklear yang bertungkus-lumus mengendalikan kebocoran radiasi di loji nukelar Fukushima Daiichi akibat gempa bumi kuat yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu, berdepan dengan risiko terdedah kepada paras radioaktif tinggi yang dikesan di beberapa tempat di kawasan itu.

Dos radiasi tinggi menyebabkan sel membuat darah dalam tulang sum-sum rosak dan boleh menyebabkan kematian jika mereka tidak menerima rawatan dengan segera.

Kaedah ini kebiasaannya digunakan kepada pesakit yang menghidapi penyakit darah seperti leukemia dan untuk mendapatkan sel dalam tulang sum-sum daripada penderma memakan masa yang lama.

Selain itu, jika sel yang disumbangkan tidak sesuai dengan penerima, ia boleh mengakibatkan komplikasi buruk.

"Pekerja disarankan untuk menyimpan bekalan darah sendiri dan mendapatkan suntikan di hospital selama beberapa hari untuk membantu sel darah dalam tulang sum-sum memasuki saluran darah," menurut kenyataan pakar.