Portal berita People’s Daily Online melaporkan, haba panas sehingga mencecah 792 darjah Celsius itu boleh dirasai sejauh dua kilometer dari lubang tersebut.
Portal berita Mail Online pula melaporkan, rakaman video me­nunjukkan dahan pokok terbakar apabila penduduk menolaknya ke arah lubang seluas kira-kira 910 sentimeter lebar itu.
Penduduk tempatan membe­ritahu media China bahawa mereka menyedari kawasan ber­kenaan agak panas sebelum lubang ber­kenaan muncul.
Biro Geologi Meitian Xinjiang memaklumkan, kawasan tersebut tidak terletak di kawasan gunung berapi.
Seorang jurutera biro itu, Huang Wei berkata, lubang tersebut mungkin muncul selepas lapisan arang batu di dalam tanah habis terbakar yang menyebabkan lapisan permukaan runtuh.
“Fenomena ini telah wujud di kawasan berkenaan sejak beberapa dekad lalu,’’ katanya kepada stesen televisyen China Sentral TV Station.
Beliau berkata, asap boleh dilihat keluar dari tanah di bukit ber­kenaan ketika musim bunga dan musim luruh.
Penyelia Biro Kejuruteraan Kebakaran Meitian Xinjiang, Chen Long berkata, kawasan itu dipenuhi lombong arang batu pada 1970-an.