Pages

Monday, April 30, 2012

Lebanon rampas tiga kontena senjata

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


DAMSYIK 29 April - Pegawai perisikan Lebanon hari ini menyoal siasat krew kapal Sierra Leone berhubung tuduhan membawa bekalan senjata untuk pemberontak Syria.
Menurut Lebanon, mereka merampas tiga kontena yang sarat dengan senjata berat, peluru meriam, roket, pelancar roket dan beberapa bahan letupan untuk diberikan kepada pemberontak Syria dari kapal yang beroperasi di Libya itu.
Pihak berkuasa Syria sebelum ini berulang kali mendakwa bahawa senjata telah diseludup dari Lebanon untuk disalurkan kepada pemberontak di negara itu.
Sementera itu, tentera kerajaan menembak mati sekurang-kurangnya 10 pemberontak di wilayah Damsyik, semalam, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Seramai 20 orang awam turut terbunuh, lapan daripada mereka di tengah Hama, dua berhampiran Homs, tiga di Idlib, empat di Aleppo, empat di Damsyik dan seorang di al-Raqqah.
Agensi berita SANA turut melaporkan, tiga tentera dan dua pemberontak maut di bandar Aleppo dalam pertempuran antara tentera dan kumpulan bersenjata.
Kelmarin, Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan kebimbangan berhubung potensi tercetusnya perang ekoran gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 12 April lalu tercemar setiap hari.
Keganasan terbaru ini berlaku ketika veteran anggota pengaman Norway, Mejar Jeneral Robert Mood dalam perjalanan ke Syria selepas dilantik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon untuk mengetuai misi pemantau. - AFP

Mati kebuluran akibat diet rohani

Mati kebuluran akibat diet rohani - Global - Sinar Harian: "GENEVA - Akhbar Switzerland, Tages-Anzeiger, kelmarin melaporkan seorang wanita di Wolfhalden mati kebuluran gara-gara mengamalkan diet rohani( tidak makan atau minum dan hanya mendapat bekalan nutrien daripada cahaya matahari) pada tahun lalu.

Wanita malang berumur dalam lingkungan 50-an itu dipercayai terpengaruh dengan dokumentari dari Austria memaparkan gaya hidup seorang sami India yang mengamalkan diet rohani tersebut selama 70 tahun.

Akhbar tersebut juga mendedahkan beberapa kes sama melibatkan beberapa individu turut dilaporkan di Jerman, Britain dan Australia."

'via Blog this'

16 maut universiti Nigeria diserang

16 maut universiti Nigeria diserang - Global - Sinar Harian:


6 maut universiti Nigeria diserang
Universiti Bayero

KANO - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan tembakan dan bom di sebuah universiti di Kano, bandar utara Nigeria hari ini.
Enam lagi berada dalam keadaan serius.
Laporan awal menyebut enam orang terbunuh.
Beberapa lelaki dilaporkan menyerang kampus Universiti Bayero, di mana pengikut agama Kristian mengadakan upacara keagamaan mingguan.
Polis juga dilaporkan sedang memburu lelaki-lelaki yang melakukan serangan.
Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu, tetapi Kano terkenal dengan kumpulan Islam, Boko Haram, yang pernah menyerang beberapa gereja sebelum ini.
Serangan hari berlaku di salah sebuah dewan kuliah yang digunakan oleh penganut Kristian.

Doktor cabut semua gigi bekas kekasih

Berita Harian Online | Doktor cabut semua gigi bekas kekasih:
WARSAW : Seorang doktor gigi di Poland berdepan hukuman penjara kerana mencabut semua gigi bekas teman lelakinya selepas lelaki itu meninggalkannya hanya beberapa hari sebelum itu. 

Mangsa, Marek Olszewski, 45, ke klinik gigi tempat bekas teman wanitanya, Anna Mackowik, 34, bekerja akibat sakit gigi kerana menyangkakan wanita itu akan bertindak profesional dan melupakan tindakannya meninggalkannya, lapor akhbar Daily Mail.
Mackowiak memberi Olszewski ubat bius yang kuat dan memberitahu mulutnya akan berasa kebas dan tidak mampu merasa apaapa.
Doktor gigi itu turut membalut dagu Olszewski dengan balutan dan memberitahu bahawa beliau perlu berjumpa pakar. 

Lelaki itu hanya tahu kesemua giginya tiada selepas pulang ke rumah lalu melihat dirinya di cermin dan menyedari wanita itu sudah mencabut semua giginya. 

“Saya tidak meraguinya kerana saya sangkakan beliau akan bertindak sebagai seorang profesional,” kata Olszewki. 

Mackowiak memberitahu Daily Mail bahawa beliau cuba menjadi profesional dan cuba mengenepikan emosinya. 
“Tetapi apabila nampak dia baring di kerusi, saya terus terfikir, ‘dasar si celaka ini’,” kata wanita itu. 

Mackowiak kini berdepan penjara sehingga tiga tahun kerana mencabut kesemua gigi Olszewski. 

Beliau disiasat kerana melanggar amalan perubatan dan mencabul kepercayaan pesakit, lapor akhbar Daily Mail semalam. 

Olszewski terpaksa membelanjakan kos besar untuk menanam gigi semula. 

Tambahan kepada penghinaan kecederaan itu, teman wanita baru lelaki itu turut meninggalkannya dengan alasan tidak mahu bersama dengan lelaki tanpa gigi. – Agensi

Gillard arah Ahli Parlimen terbabit skandal undur diri

Berita Harian Online | Gillard arah Ahli Parlimen terbabit skandal undur diri:


Craig Thomson
Craig Thomson
SYDNEY: Perdana Menteri Australia Julia Gillard semalam berkata beliau sudah meminta ahli Parlimen yang terbabit dalam skandal bayaran kepada pelacur supaya meninggalkan Parti Buruh, satu tindakan yang menggoncang kepimpinan rapuhnya dalam pemerintahan minoriti itu.

Craig Thomson, 48, yang mempunyai kepentingan undi bagi Gillard, didakwa menggunakan kad kredit bekas majikannya untuk membayar pelacur dan menikmati hidangan mewah serta mengeluarkan wang tunai sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen.
Gillard berkata, Thomson berkeras menafikan dakwaan itu dan layak dianggap tidak bersalah tetapi beliau membuat keputusan berdasarkan keperluan untuk melindungi reputasi Parlimen.
Saya memaklumkan kepada Thomson bahawa saya sudah memutuskan adalah wajar bagi beliau untuk tidak lagi menyertai mesyuarat Parti Buruh. - Julia Gillard, Perdana Menteri Australia
“Saya memaklumkan kepada Thomson bahawa saya sudah memutuskan adalah wajar bagi beliau untuk tidak lagi menyertai mesyuarat Parti Buruh, iaitu digantung daripada parti ini,” kata Gillard memberitahu wartawan di Canberra.

Perdana Menteri berkata beliau juga meminta Speaker Parlimen Peter Slipper, yang berdepan dengan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan lelaki dan menyalahguna perkhidmatan teksi supaya mengundur diri untuk satu jangka masa.

Gillard berkata Thomson dan Slipper, yang juga ahli parlimen bebas, menafikan tuduhan terhadap mereka dan beliau tidak mahu membuat pengadilan awal terhadap mereka tetapi perlu mengambil langkah untuk melindungi maruah kerajaan.

“Saya rasa rakyat Australia dengan penuh minat melihat Parlimen ini dan pada satu masa mereka menyaksikan awan hitam menyelubunginya. 
“Saya mahu memastikan rakyat Australia boleh melihat bangunan, institusi dan rasa hormat terhadap institusi ini,” katanya. - AFP.

Sikap Breivik membimbangkan

Berita Harian Online | Sikap Breivik membimbangkan:

Mehtab Afsar, Ketua Majlis Islam Norway
Mehtab Afsar, Ketua Majlis Islam Norway
Pemimpin Islam kesal pihak berkuasa utama isu mental pembunuh Norway

OSLO: Pemimpin Islam di Norway melahirkan kebimbangan mereka mengenai ideologi anti-Islam Anders Behring Breivik, fanatik berhaluan kanan yang dibicarakan kerana membunuh 77 orang, ditenggelamkan oleh persoalan mengenai keadaan kesihatan mentalnya.
Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai militan anti-Islam itu mengejutkan Norway pada 22 Julai lalu dengan kejadian pengeboman dan tembakan menyasarkan ibu pejabat kerajaan dan kem tahunan remaja Parti Buruh. Sejak dia mengaku melakukan serangan itu, isu utama perbicaraan adalah menentukan sama ada Breivik dalam keadaan benar-benar siuman untuk bertanggungjawab terhadap jenayah dilakukannya.
Dia mahu hapuskan Muslim dan Islam dari Eropah. Kita tidak perlu buang masa menentukan sama ada dia siuman atau gila. - Mehtab Afsar, Ketua Majlis Islam Norway
“Dia mahu hapuskan Muslim dan Islam dari Eropah. Itu mesej utamanya. Kita tidak perlu membuang masa menentukan sama ada dia siuman atau gila,” ketua Majlis Islam Norway, Mehtab Afsar.

Breivik sebelum ini memberitahu mahkamah mangsanya mengkhianati Norway dengan membuka negara itu kepada pendatang. Dia menggesa satu revolusi patriotik bertujuan untuk membawa keluar masyarakat Islam dari Eropah.

Dalam satu manifesto setebal 1,500 muka surat yang dikirimkan melalui internet sebelum serangan, Breivik sering kali memetik penulis blog anti-Islam yang mengatakan penduduk Islam secara perlahan-lahan menjajah Eropah. Tetapi sehingga kini kebanyakan perbicaraan lebih memfokus kepada kesihatan mental berbanding ideologinya.

Sebilangan masyarakat Islam mempersoalkan kesahihan patologi Breivik, mengatakan rakyat Norway lebih mudah dibandingkan dengan pengganas Islam. 
“Tiada siapa mempersoalkan kewarasan Osama bin Laden,” kata doktor yang juga kolumnis akhbar, Usman Rana, selepas solat Jumaat di satu daripada masjid terbesar di Oslo.

Masjid berkenaan dihiasi di luar dan dalamnya dengan jubin biru dan putih serta kaligrafi Arab, dibuka kepada orang ramai dan seorang pemberita dibenarkan memasukinya dengan syarat dia membuka kasut.

“Saya percaya dia waras. Mereka yang berfikir Breivik gila tidak tahu apa-apa mengenai keganasan,” kata Rana. 

Satu daripada dua laporan psikiatri merumuskan Breivik amengalami paranoid skizofrenia, manakala laporan kedua mengatakan dia cukup waras untuk membawanya ke penjara kerana melakukan kesalahan jenayah yang diakui dirinya sendiri. – AP

Gadis tomboi disyaki turut diperkosa

Kosmo! Online - Negara:





KOTA BHARU - Siasatan polis berhubung kes kematian seorang gadis tomboi, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi (gambar) yang mayatnya ditemui dibakar bersama motosikalnya di kawasan ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang minggu lalu percaya mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dengan menyoal siasat sembilan suspek termasuk dua wanita yang ditahan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu.
Kesemua mereka merupakan rakan-rakan Nor Ain Shafnie, 16, dan kebanyakan mereka adalah penagih dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan.
"Polis mengesyaki gadis berkenaan telah dirogol sebelum dibunuh dan dibakar. Siasatan masih berjalan dan kita tidak boleh dedahkan semuanya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Siti Khadijah dan Buluh Kubu di sini semalam.

Arab Saudi tutup pejabat kedutaannya di Mesir

Kosmo! Online - Dunia:


PASUKAN keselamatan Mesir berkawal di hadapan pejabat kedutaan Arab Saudi di Kaherah, Mesir sewaktu tunjuk perasaan diadakan bagi menuntut pembebasan peguam hak asasi manusia dari Mesir, Ahmed el-Gezawi yang dituduh menghina keluarga diraja Arab Saudi.



RIYADH, Arab Saudi - Arab Saudi menutup pejabat kedutaannya di Kaherah pada Sabtu lalu dan memanggil balik dutanya sebagai tanda protes terhadap penunjuk perasaan berikutan penahanan seorang peguam hak asasi manusia dari Mesir.
Tindakan tersebut meningkatkan lagi ketegangan di antara kedua-dua buah negara yang sebelum ini sudah pun goyah berikutan kebangkitan rakyat di rantau Arab.
Tindakan diplomatik Arab Saudi yang tidak diduga itu dibuat selepas beberapa ratus orang penunjuk perasaan melakukan protes di hadapan pejabat kedutaan dan konsulat Arab Saudi di Kaherah serta bandar-bandar lain bagi menuntut pembebasan Ahmed el-Gezawi.
Ahli keluarga dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa el-Gezawi ditahan kerana dituduh menghina keluarga diraja Arab Saudi. Pihak berkuasa Arab Saudi bagaimanapun menafikannya dan menyatakan el-Gezawi ditahan kerana cuba menyeludup ubat anti-kemurungan ke negara tersebut.
Pemerintah tentera Mesir, Panglima Hussein Tantawi ada meminta Raja Abdullah supaya menilai kembali penahanan el-Gezawi. Raja Abdullah juga dikatakan bersetuju untuk melihat masalah itu demi hubungan baik di antara kedua-dua buah negara yang sudah lama terjalin. - Agensi

348 gadis sambut hari jadi ke-15 beramai-ramai

Kosmo! Online - Dunia:



SEJUMLAH gadis berpakaian gaun tersenyum pada acara sambutan hari jadi beramai-ramai di Bandar Raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Seramai 348 orang gadis menyambut hari jadi ke-15 mereka secara beramai-ramai di ibu negara Mexico di sini kelmarin.
Acara meriah yang dikenali sebagai Quinceanera itu diadakan bagi mengisytiharkan kepada masyarakat bahawa mereka telah memasuki fasa usia dewasa.
Pada pesta berkenaan, gadis-gadis sunti itu mengenakan gaun petang berwarna-warni sebelum berkumpul untuk menyertai satu perarakan.
Quinceanera merupakan acara tradisi di Mexico yang bermula sejak era kolonial Sepanyol pada kurun ke-16. - Agensi

Kurang wanita punca skandal seks ejen rahsia AS

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR pada 3 Mei 2007 menunjukkan seorang ejen Perkhidmatan Rahsia wanita memperkenalkan diri kepada anggota polis di luar kediaman Senator Barack Obama di Chicago, Amerika Syarikat.


WASHINGTON - Skandal seks yang melanda Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mendedahkan bahawa pasukan pengawal peribadi Presiden Barack Obama itu tidak mempunyai ramai ejen wanita.
Insiden memalukan itu menjadi petanda bahawa usaha perlu dilakukan bagi mengurangkan perbezaan gender yang kini ketara dalam agensi berkenaan.
"Saya berpendapat akan ada kemajuan sekiranya lebih ramai ejen wanita diambil berkhidmat dalam agensi ini," kata ahli Jawatankuasa Pemantau dan Penambahbaikan Kerajaan daripada Parti Republikan, Carolyn Maloney.
"Ia akan membawa kepada rasa lebih bertanggungjawab dalam kalangan anggota Perkhidmatan Rahsia," tambahnya.
Wanita mewakili 25 peratus dalam tenaga kerja agensi berkenaan dengan hanya 11 peratus daripada mereka terdiri daripada ejen dan pegawai beruniform, jelas jurucakapnya, Ed Donovan.
Angka itu adalah rendah berbanding 19 peratus ejen khas wanita dalam Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Namun, ia lebih ramai daripada ejen khas wanita yang bertugas di Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS.
"Kami memang mahu merekrut lebih ramai pegawai wanita dalam Perkhidmatan Rahsia AS," kata Donovan. Malah, agensi terbabit secara agresif merekrut dan cuba mendapatkan pegawai wanita dengan cara menyertai pameran kerjaya dan menghantar brosur ke kolej-kolej di AS.
Beberapa ejen Perkhidmatan Rahsia yang tiba di Cartagena untuk melindungi Presiden Barack Obama pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Amerika di Cartagena, Colombia 20 April lalu terpaksa dihantar pulang selepas mereka dilaporkan melanggan sekitar 21 orang pelacur. - Agensi