Pages

Showing posts with label jantung. Show all posts
Showing posts with label jantung. Show all posts

Tuesday, March 12, 2013

Manusia sudah alami masalah jantung sejak 4,000 tahun lalu




GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan mumia dari Mesir menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer di Institut Jantung Saint Luke's Tengah Amerika di Kansas.


CHICAGO - Walaupun tanpa makanan segera atau rokok, manusia telah mengalami masalah jantung tersumbat kira-kira 4,000 tahun lalu, menurut satu kajian ke atas lebih 100 mumia.
Menurut beberapa penyelidik, penemuan itu menunjukkan sakit jantung mungkin kerana faktor semula jadi kerana umur manusia semakin tua berbanding faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit tersebut seperti merokok, memakan makanan berlemak dan tidak bersenam.
Penemuan itu dibuat menerusi imbasan tomografi berkomputer ke atas 137 mumia.
Mumia-mumia itu ada yang berusia sehingga 50 tahun.
Imbasan tersebut menunjukkan satu pertiga daripada mumia itu mengandungi tanda-tanda aterosklerosis atau pengerasan arteri.
Ia dilakukan ke atas mumia yang dipercayai pernah menjalani kehidupan yang sihat semasa hidup.
Aterosklerosis menjadi punca berlakunya serangan jantung dan strok.
Lebih separuh daripada mumia yang menjalani imbasan itu berasal dari Mesir.
Baki mumia lain datang dari Peru, barat daya Amerika dan Kepulauan Aleutian di Alaska.
"Sakit jantung telah melanda manusia lebih 4,000 tahun di serata dunia," kata seorang pakar kardiologi di Institut Jantung Saint Luke's Tengah Amerika di Kansas, Dr. Randall Thompson.
Beliau merupakan ketua penulis kajian itu.
Mumia-mumia yang didapati mempunyai tanda-tanda aterosklerosis itu didapati mati pada usia yang tua.
Penyakit jantung merupakan punca utama kematian lelaki dan wanita di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, kira-kira 600,000 orang mati pada setiap tahun di negara ini kerana sakit jantung. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2NGvNtcUz 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, January 22, 2012

Lelaki tinggi kurang risiko jantung



NEW YORK 21 Jan. - Lelaki tinggi sebelum ini lebih mudah mencari jodoh dan lebih berjaya, namun satu kajian yang disiarkan di America Journal of Cardiology mendedahkan, lelaki tinggi juga kurang berisiko menghidapi masalah jantung.
Menurut satu kajian oleh penyelidik Universiti Harvard, lelaki yang mempunyai ketinggian lebih 1.8 meter adalah 24 peratus kurang berisiko menghidapi masalah jantung berbanding lelaki pendek.
Kajian itu dilakukan terhadap 22,000 doktor lelaki dalam lingkungan usia pertengahan 50-an dan kesihatan responden dipantau dalam tempoh 22 tahun.
Responden terlibat diminta mengisi borang soal selidik mengenai ketinggian, berat badan dan kesihatan am serta perlu mengemaskini maklumat itu setiap tahun.
Kajian tersebut mendapati, seramai 1,444 atau tujuh peratus daripada responden menghidapi masalah jantung.
Bagaimanapun, lelaki yang mempunyai ketinggian 1.8 meter atau lebih, didapati 24 peratus kurang cederung menghidapi masalah jantung berbanding lelaki yang mempunyai ketinggian 1.72 meter atau kurang daripadanya.
Keputusan itu diperoleh selepas mengambil kira beberapa kriteria lain seperti umur, berat badan dan tekanan darah tinggi.
Kumpulan penyelidik itu berpendapat, antara punca risiko sakit jantung di kalangan lelaki pendek disebabkan oleh penyakit zaman kanak-kanak yang membantutkan pertumbuhan mereka.
Oleh itu, ia boleh membawa kepada pengumpulan plak di arteri dan menyebabkan tekanan darah tinggi ketika dewasa.
Penyelidik itu turut berpendapat bahawa biologi lelaki yang lebih tinggi juga menyebabkan mereka kurang menghidapi masalah jantung. - AGENSI

Saturday, August 13, 2011

Wanita merokok lebih mudah diserang penyakit jantung

NEW YORK: Wanita yang menghisap rokok lebih mudah diserang penyakit jantung berbanding perokok lelaki sambil risiko terhadap golongan berkenaan semakin meningkat pada setiap tahun.

Penyelidikan diketuai Rachel Huxley dari Universiti Minnesota, mengkaji semula kajian yang pernah diterbitkan di antara 1966 dan 2010 terhadap 2.4 juta individu termasuk 44,000 pesakit jantung.
Kajian semula itu mendapati perokok wanita mempunyai risiko 25 peratus lebih besar untuk mengalami masalah jantung berbanding lelaki dan perbezaan risiko perokok lelaki dan wanita meningkat sebanyak dua peratus setiap tahun. - REUTERS; bharian

Friday, April 8, 2011

Derita bayi jantung di luar badan


GAMBAR ini menceritakan segalanya. Koh Jun Hao perlu dibedah 20 kali untuk menutup organ jantungnya yang terletak di luar tubuh menerusi pembedahan.

JOHOR BAHRU - Sukar dipercayai apabila seorang bayi lelaki comel dilahirkan dalam keadaan organ jantungnya terletak di luar tubuhnya sendiri.
Itulah takdir Koh Jun Hao yang kini berusia 14 hari apabila organ jantungnya terletak di dada, bukan di dalam tubuh sebagaimana kebiasaan.
Lebih menyayatkan hati, bayi berkenaan memerlukan 20 kali pembedahan bagi membolehkan jantungnya itu ditutup dengan kulit tiruan.
Bapanya, Koh Guan Siang, 33,berkata, anak keempatnya itu dijadualkan menjalani pembedahan pertama bulan ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Meskipun segala perbelanjaan untuk pembedahan menggunakan tabung bantuan perubatan HKL namun menurut Guan Siang, banyak kos lain yang perlu ditanggungnya.
Menurutnya, rawatan susulan Jun Hao terutama bagi kos susu khas dan ubat-ubatan yang perlu dimakan setiap hari amat tinggi.
Beliau menganggarkan kos itu kira-kira RM3,000 sebulan yang terpaksa ditanggung olehnya semasa bayinya itu dirawat di HKL.