Pages

Showing posts with label niat. Show all posts
Showing posts with label niat. Show all posts

Friday, May 18, 2012

Jaga niat kita setiap hari



Jaga niat kita setiap hari. Tentukan kerana Allah. Jika tidak, kita tidak akan sampai pada Allah. Alangkah sia sianya hidup kita dan alangkah sedihnya apabila sampai di Padang Mahsyar dan melihat akaun kita kosong kerana tidak niat kerana Allah. Walau kita berasa marah pun mesti kerana Allah. Jom audit emosi negatif kita adakah kerana Allah atau sebaliknya. Apatah lagi bagi anak anak yang marah pada ibu bapa, renung anak kita sendiri. Setiap apa kita buat pada ibu bapa akan dibalas. Kasihan anak kita jika mereka juga tidak berakhlak pada kita dan mendapat dosa. Ramai ibu bapa muda tertipu dgn anak comel yg diberi Allah tetapi mengecilkan hati ibu bapa dan 20 tahun kemudian menangis bila anak mereka mengecilkan hati mereka. Sama kita renungkan. Jaga niat kita sentiasa.
- Prof. Dr. Muhaya
 

Thursday, May 20, 2010

SIRI 3 (Tenaga Ritual 2): Kuasa niat, azan dan wuduk



Printer-friendly versionHantar kepada rakan-rakan
SIRI 3: Tenaga Ritual 2 - Kuasa niat, Azan dan Wuduk
Penulis: SHAHi The ASSOCIATE
...sambungan dari  SIRI 2 : Kuasa Getaran Azan
KISAH yang ingin disampaikan kali ini mungkin dianggap karut oleh sesetengah daripada kita. Namun, saya tidak memaksa sesiapa pun percaya dan terpulang kepada anda untuk membuat penilaian sendiri.
Kisah ini disampaikan hanya untuk berkongsi pengalaman dan ia sedikit sebanyak berkaitan dengan perkara yang kita pernah bincang sebelum ini.
Sekali lagi, saya memohon untuk menggunakan kata nama pengganti diri ‘aku’ bagi memudahkan penyampaian. oleh CLOVER (rakan SHAHi The ASSOCIATE)
Anda ingat lagi kes ini?
OGOS 2009, ia menandakan sudah sebulan aku mengikuti perkembangan masalah histeria melibatkan lebih 30 pelajar di sebuah sekolah di semenanjung tanah air (maaf, tak perlu sebut nama tempat. saya tidak mahu lokasi saya dan SHAHi dikesan 'sesetengah orang'). Masalah itu bermula sejak April 2009 dan terus berlarutan sehingga Ogos tanpa penyelesaian serta penjelasan yang kukuh. Malah, ia berlaku setiap hari.
Pelbagai teori muncul dari mulut penduduk-penduduk setempat dalam menghuraikan punca sebenar masalah itu tercetus. Guru-guru juga tidak terlepas daripada mengutarakan teori-teori mengenai punca terjadinya serangan histeria di sekolah itu.
Aku pula yang selalu hadir memantau bagi mendapatkan bahan berita di sekolah itu juga tidak terlepas daripada membuat tanggapan terhadap punca berlakunya histeria itu. Tanggapan yang aku buat pula hanya bersandarkan kepada teori-teori penduduk setempat dan guru-guru sekolah itu.
Disebabkan selalu sahaja berita mengenai kejadian itu tersiar di dada akhbar, nama aku mula menjadi tumpuan sejumlah bomoh, pengamal perubatan tradisional, pakar psikologi, pakar psikiatri dan pakar perubatan alternatif. Mereka semua tidak putus menghubungi aku, ada yang mahu menghulurkan bantuan kepada pelajar sekolah malang itu, ada pula yang hanya sekadar mahu tahu cerita sebenar dan ada pula bomoh palsu yang hanya mahu mempergunakan aku untuk meraih glamer di dada akhbar.
Bahkan, ada juga seorang psikik dari Indonesia yang datang menemui aku untuk menghulurkan bantuan kepada pelajar mangsa histeria di sekolah itu. Psikik itu ternyata seorang psikik, aku sudah mengujinya dengan modul aku sendiri. Namun, dia juga tidak berjaya memulihkan keadaan di sekolah itu. Histeria terus berlarutan.
Sepanjang memantau keadaan di sekolah itu, aku sempat menemui beberapa pelajar untuk ditemubual sebagai responden berita. Melalui temubual itu, pelajar-pelajar memberitahu aku bahawa mereka ternampak beribu-ribu makhluk hitam merayap di atas tanah, di lantai bilik kelas, di atas siling, di papan hitam dan sebagainya.
Ada pula yang besar setinggi bangunan tiga tingkat, ada yang kecil, ada yang seperti budak, ada seperti perempuan, ada juga seperti lelaki, semua makhluk itu berwajah hodoh. Ada juga seperti seorang ‘nenek’ yang gemar memanjat di belakang pelajar sekolah itu sehingga menyebabkan mereka terbongkok-bongkok menampung beratnya makhluk seperti nenek itu. Nenek itu sangat gemar menunggang manusia.
Malah pelajar sekolah itu turut beritahu aku bahawa mereka pernah mengadakan majlis bacaan Yassin dan doa selamat di sekolah itu untuk memohon perlindungan Allah daripada gangguan makhluk halus. Menurut seorang pelajar perempuan yang menceritakan perkara itu kepada aku, dia beritahu bahawa dia didatangi ‘nenek’ tadi semasa sedang membaca Yassin. Nenek itu sedikit pun tidak gentar dengan bacaan al-Quran. Nenek itu dengan wajah bengis membisikkan ke telinga pelajar itu: “La ila, La ila, La ila..” yang bermaksud ‘Tiada tuhan, tiada tuhan, tiada tuhan..” sebanyak berkali-kali dengan suara menakutkan. Pelajar itu ketakutan ketika tiada siapa melihat perkara yang dia sedang lihat ketika itu. Dia kemudian diserang histeria ketika majlis doa selamat itu.
Namun, kisah itu tidak aku laporkan dalam laporan akhbar kerana berasa kekok untuk menceritakan semuanya dengan terperinci. Kini, dengan ikhlas aku lapor kepada pembaca blog ini semua.
Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menamatkan episod histeria di sekolah itu, sudah berpuluh-puluh juga bomoh dan pengamal perubatan tradisional datang tampil untuk membantu tetapi gagal. Pada masa yang sama juga, berpuluh-puluh lagi menelefon aku untuk menyatakan mereka mahu menghulurkan bantuan. Kemudian setiap panggilan telefon seterusnya, aku minta mereka berhubung terus dengan pengetua sekolah. Aku sudah penat melayan mereka semua kerana aku juga ada tugas lain yang harus disempurnakan.
Kemudian pada September, seorang alim dari Perak menghubungi aku. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Pak Ku (bukan nama sebenar) dan menyatakan kesediaannya untuk membantu pelajar sekolah itu menyelesaikan masalah histeria. Katanya, dia bukan pengamal perubatan, dia juga bukan bomoh, dia hanya mahu membantu. Keikhlasannya terpancar jelas walaupun kami hanya bercakap melalui telefon pada ketika itu. Aku setuju, kemudian aku menghubungi pengetua sekolah itu dan menyatakan niat murni Pak Ku.
Selang dua hari selepas itu, Pak Ku tiba di sekolah itu dan mahu berjumpa dengan aku untuk menyatakan terima kasih atas bantuan yang aku berikan. Aku tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah itu untuk melihat proses pengubatan yang dilakukan Pak Ku. Aku hanya menunggu dari luar pagar.
Aku ingin melihat, lalu aku telefon pembantu Pak Ku menggunakan Video Call 3G dan aku menyaksikan pengubatan yang dilakukan Pak Ku. Biasa saja kaedah pengubatan Pak Ku, tak ada yang istimewa. Hanya sekadar membaca ayat al-Quran dan menghembus pada segelas air, lalu dipercikkan ke ubun-ubun pelajar yang terkena histeria.
Beberapa jam kemudian ketika aku sedang duduk di luar pagar sekolah, aku lihat Pak Ku mengekori seorang pelajar perempuan yang sedang dalam keadaan histeria (sampuk). Budak perempuan itu membawa Pak Ku ke satu kawasan dan menuding jari ke arah satu sudut. Kemudian dari jauh aku lihat Pak Ku berubah menjadi sedikit terkejut dengan benda yang ditunjukkan budak perempuan itu kepadanya. Pak Ku membaca sesuatu dan menyapu kepala budak itu dengan air, budak itu rebah dan kemudian dipapah guru-guru wanita. Budak perempuan itu adalah murid terakhir yang disembuhkan pada hari itu.
Pak Ku kemudian bertemu semua ibu bapa pelajar berkenaan dan menyampaikan pesanan mengenai cara mengelak anak mereka ‘diserang’ lagi pada masa akan datang. Apabila kelihatan seperti selesai semuanya, Pak Ku melangkah keluar dari pagar sekolah dan bertemu dengan aku.
“Dah beres ke Pak Ku?” aku tanya.
“Belum. Malam ini, Pak Ku nak hang ikut Pak Ku. Itu pun kalau hang tak ada urusan lain malam ni.” kata Pak Ku dalam dialek Perak Utara.
“Insya-Allah. Lagipun isteri dan anak saya ada di kampung hari ni. Boleh saja nak ikut Pak Ku, tapi pukul berapa nak jumpa?” aku balas.
“Kita jumpa solat Maghrib sama-sama nanti di masjid depan tu.” kata Pak Ku.
Menjenguk dari luar tingkap
Malam itu selepas selesai solat Maghrib, Pak Ku berpesan kepada aku supaya menjaga wuduk supaya tidak terbatal. Pak Ku juga berpesan supaya aku berniat dalam hati untuk terus pergi ke masjid untuk menunaikan Isyak apabila tiba waktu.
Pak Ku membawa aku ke belakang sekolah itu, dia duduk di sebelah kanan aku dan pembantunya di sebelah kiri aku.
“Pak Ku nak tunjuk satu perkara kat hang. Tapi Pak Ku pesan, jangan langkah ke depan atau ke belakang. Tetap berdiri tegak, jangan bergerak-gerak. Banyakkan bertasbih dan jadikan hati tak sabar nak menunaikan Isyak pula selepas ini.” pesan Pak Ku.
Aku mengangguk tanda faham walaupun aku sebenarnya kurang faham tujuan Pak Ku. Kemudian Pak Ku membaca ayat-ayat suci al-Quran dan diakhiri ‘sodaqollah-hul-azim’.
Pak Ku kemudian melafazkan:
“Kamu juga makhluk Allah. Kami juga makhluk Allah, tapi kami khalifah yang beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan semua janji-janji-Nya. Aku berserah kepada Allah, Maha pencipta yang menciptakan ‘kamu’ dan kami. Perlihatkan anak Adam ini dengan dunia kamu, dengan kalimah La-ila-ha-illallah.” lafaz Pak Ku.
Selepas kata-kata itu dilafazkan, terlihat seperti ada tingkap. Semakin lama, semakin luas bukaannya. Aku lihat ada perempuan cantik menanggalkan pakaiannya satu persatu di depan mataku. Kemudian aku sayup-sayup terdengar suara Pak Ku berulang kali memesan ‘jangan melangkah walau setapak’. Terdengar suara Pak Ku begitu jauh sekali walaupun hakikatnya Pak Ku hanya duduk beberapa inci di sebelahku.
Aku lihat ada dunia di belakang wanita itu. Ramai juga dayang-dayangnya yang cantik-cantik. Ada juga ular jinak berlingkar-lingkar di kaki wanita yang sudah tidak berpakaian itu. Aku tetap berpegang kepada pesanan Pak Ku, jangan bergerak walau setapak.
Kemudian aku terdengar suara wanita itu seperti dia berbisik ke telingaku walaupun bibirnya sedikit pun tidak bergerak: “Kamu manusia yang menginginkanku, aku berikan segala yang kamu mahu, melangkahlah ke arah ku,” itu bisikan yang menyusup deras ke pangkal jiwa, sekadar yang aku masih ingat.
Perlahan-lahan, wajah wanita muda itu bertukar hodoh. Ular jinak tadi pula semakin ganas seperti mahu membaham aku.
Sayup-sayup, aku terdengar satu suara seperti memanggil-manggil jiwaku. Suara itu sebati dengan niatku sebelum itu. Tingkap itu terus tertutup sedikit-demi sedikit, sempat juga terlihat ‘anak-anak kecil’ berlari menyusup masuk ke tingkap yang sedang tertutup itu. Terasa belakangku ditepuk, aku dengar suara Pak Ku membisikkan dua kalimah syahadah di telingaku. Kemudian, aku terasa seperti terjaga daripada lena.
Pak Ku kemudian membaca sesuatu dan melontar beberapa ketul batu bersama pembantunya ke arah kawasan yang aku menghadap tadi.
“Jom kita pergi sembahyang Isyak,” itulah peringatan Pak Ku sebaik aku ‘terjaga’.
Selesai solat Isyak, Pak Ku menceritakan perkara sebenar kepada aku. Menceritakan mengenai perkara yang aku lihat sebentar tadi tetapi tidak faham.
“Pak Ku suruh hang jaga wuduk supaya hang tak disentuh makhluk tadi. Pak Ku suruh hang kuatkan azam untuk tunaikan solat Isyak supaya azan Isyak yang hang dengar tadi itu dapat panggil jiwa hang daripada terus terbuai dengan godaan syaitan. Niat untuk tidak mahu tinggalkan waktu Isyak itulah yang menguatkan jiwa hang.
“Jiwa hang terpanggil oleh azan tadi disebabkan hang niat nak solat dengan ikhlas. Syaitan tak mampu goda manusia kalau manusia tu ikhlas. Itu senjata kita” kata Pak Ku.
“Yang tadi tu syaitan?” aku tanya.
“Ya. Itu syaitan yang sangat benci manusia dan selalu mahu menyesatkan manusia. Dia (syaitan) berusaha untuk goda dengan cara tadi (menjelma wanita berbogel) sebab dia tahu isteri hang tak ada di rumah. Sebab dia tahu hang rindu isteri hang.
“Tapi mujur hang tak melangkah walau setapak. Sebab kalau hang melangkah walau setapak tidak kira ke depan atau ke belakang pada masa tu, hang akan melangkah masuk ke dunia ‘dia’. Kita manusia ni dilarang masuk ke dunia dia (syaitan). Yang hang tengok tadi cuma dari luar pintu. Hang tak masuk pun dalam dunia tu.,” kata Pak Ku.
“Tapi, kenapa Pak Ku buat macam tu. Saya tak mintak pun Pak Ku tunjuk semua tu kat saya,” aku menyoal.
“Pak Ku buat macam tu sebab Pak Ku nak bagi peluang hang tengok apa yang sebenarnya ada di belakang sekolah ni. Sebab Pak Ku yakin, hang takkan melangkah masuk. Atas sebab tu Pak Ku bagi peluang kat hang,” kata Pak Ku.
“Sebelum saya sedar tadi, ada ‘benda’ macam budak-budak kecil berlari masuk ke situ. Apa benda tu? Lepas tu, apa yang Pak Ku lontar batu?” aku tanya lagi.
“Itu juga syaitan, jin. Lontar batu tu sebagai tanda benci kepada syaitan, tapi tak sama macam melontar di Mekah. Lontar tu sebagai amaran supaya dia jangan ganggu anak Adam lagi. Makhluk-makhluk kafir tu lari masuk ke dunia dia selepas dengar azan Isyak. Pak Ku pilih waktu antara Maghrib dengan Isyak sebab waktunya pendek. Kalau Pak Ku ambil waktu antara Isyak dengan Subuh, itu nampaknya hang kena tahan godaan dalam tempoh yang lama. Lagi pula kalau wuduk terbatal antara waktu yang panjang tu, maka lagi senanglah dia nak goda.
“ Pak Ku buat ni sebab dapat rasa yang hang ni susah nak percaya kat bomoh-bomoh tipu yang hanya nak ambik kesempatan atas hang untuk glamer di surat khabar. Pak Ku buat ni sebagai nak bagi hadiah atas kesudian hang bagi peluang kat Pak Ku untuk tolong budak-budak ni. Terima kasih sebab percaya dengan niat Pak Ku. Tak perlu tulis cerita Pak Ku cuba ubati budak-budak sekolah ni dalam surat khabar,” jelas Pak Ku.
Kemudian Pak Ku beritahu aku, dia tidak mengubat orang. Dia hanya mahu menolong budak-budak sekolah itu yang mahu belajar dan terganggu setiap kali ada kejadian histeria. Dia tidak pandai mengubat orang, dia hanya ‘menyuruh benda itu’ balik ke dunia mereka. Itu saja. Kata Pak Ku, dia tidak pandai mengubat saka, dia juga tidak pandai mengubat santau, tetapi dia boleh melihat dan berunding dengan makhluk-makhluk itu. Tetapi juga, dia hanya boleh berunding dengan makhluk-makhluk halus yang tidak ada perjanjian dengan manusia. Aku sukar mempercayainya, tetapi Pak Ku sudah buktikan kepada aku. Itu kelebihan yang Pak Ku ada.
Kes selesai
Seminggu kemudian, masalah histeria itu berakhir. Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana isu histeria di sekolah itu berakhir, Pak Ku lah orang yang menamatkannya dengan izin Allah. Aku pula sudah tidak perlu lagi berulang-alik ke sekolah itu untuk melapor berita yang aku sudah bosan menulisnya setiap hari. Aku sudah boleh memberi tumpuan kepada berita-berita lain terutama berita jenayah yang sangat aku suka tulis.
Pengalaman itu juga membuktikan bahawa azan mempunyai kuasa dalam mensejahterakan jiwa. Wuduk juga mempunyai kuasa sebagai perisai pertahanan diri daripada godaan syaitan. Niat yang mahu ke jalan Allah juga mempunyai kuasa yang akan menjadikan jiwa sebati dengan segala suruhan-NYA. Semua itu akan berkoordinasi dengan harmoni dalam tubuh manusia, menjadikan kita sedar tujuan kita diciptakan. Aku sudah merasainya, tapi sukar untuk aku buktikannya.
Sekali lagi, tidak ada bukti logik dalam perkara kuasa azan, wuduk dan niat. Tetapi, suara azan lah yang memanggil jiwa aku supaya sedar dengan niat aku sebelum itu. Ketika azanlah aku melihat ada ‘anak-anak’ berlari menyusup masuk ke alam itu. Aku juga tidak paksa pembaca semua percaya, mungkin ada yang kata ini hanya cerita karut. Jika karut bagi anda, maka terpulanglah.
Jangan pernah takut setiap kali melihat syaitan, jin atau hantu…makhluk-makhluk itu akan tersenyum bangga apabila mengetahui manusia berasa lebih takut kepada mereka melebihi rasa takut kita kepada Allah.
Hanya takut kepada Allah…
KREDIT KEPADA: SHAHi The ASSOCIATE
...Sila baca sambungan Siri 4: Getaran Busuk Muzik Barat
Share/Save

Wednesday, April 28, 2010

Keterangan Mengenai Hati Dan Niat


Ketahui olehmu bahawa hati itu terbahagi pada 2 bahagian:

1. Dinamakan hati sanubari
2. Dinamakan hati nurani

Adapun Hati Sanubari itu hal keadaannya zulmah ertinya gelap tiada menerima sinaran Nur atau cahaya ma'rifat, oleh kerana hati sanubari itu tempat dinaungi oleh Syaitan ditakluk dengan nafsu amarah yang sekeji-keji dan seburuk-buruk nafsu. Ianya termasuk di dalam satu dari anggota tubuh badan yang kasar ini yang terletak di sebelah kiri di dalam dada. Hati Sanubari adalah segumpal daging yang berbentuk bulat mamanjang dan mempunyai tugas-tugas tertentu yang didalamnya berongga dan ada terkandung darah hitam.

Hati inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW :

'Inni fi jasadabni adama mudghatan, fa'iza salakhat, jasadu kulluhu. Wa iza fasadat, fasadal jasadu kulluhu, ala wahiyal qalbu.'
Sesunggunya didalam tubuh anak Adam ada segumpal daging, maka apabila baik daging itu baiklah seluruh anggota badannya, dan manakala rosak daging itu binasalah seluruh tubuh badannya, ialah hati sanubari dan hati sanubari ini tidak lain melainkan jantung. Maka adalah jantung ini sesuatu yang amat penting bagi kehidupan tubuh badan. Ianya diperolehi pada manusia dan haiwan. Adapun kejadiannya dicipta dari alam nyata atau disebut alam syahadah.

2. Adapun hati yang kedua dinamakan Hati Nurani. Hati inilah yang dapat menerima sinaran nur ma'rifat dari Tuhan, bahkan ialah yang menerima tajalli Tuhan, menanggung amanah dan rahsia Tuhannya, berpakaian dengan tujuh Sifat Maani. Ianya merupakan Hakikat Insan dan bersifat Ketuhanan. Hati Nurani ini bukanlah kejadian yang dijadikan dari alam nyata, bahkan dicipta ia dari unsur unsur alam ghaib. Oleh kerana itu Hati Nurani ini tiada boleh dilihat dengan mata kasar. Maka hati inilah yang di tuntut hadir dalam sembahyang, menghadap Tuhannya, memuji dan bermohon kepada Tuhan. Hati Nurani inilah yang disebut Ruh Latifurabbaniyah atau Hakikat Insan atau juga disebut diri sebenar diri. Oleh kerana ianya merupakan hakikat insan maka dinamakan pula dengan sebutan Insan Hakiki. Dialah semulia mulia dan setinggi tinggi kejadian dan sebaik baik makhluk sebagaimana Firman Allah: "Laqad khalaknal insana akhsani taqwim" Demi sebaik baik kejadian yang Kami jadikan ialah Insan.

Insan hakiki inilah yang di isyarat oleh Allah dengan firmanNya didalam Hadith Qudsi:

"Al Insanu Sirri Wa ANA sirruhu" Adalah Insan itu rahsiaKu dan Aku rahsianya.
Demikian dengan terang dan tegas sekali dinyatakan oleh Allah. Dengan itu jua bererti ianya menjadi dalil yang nyata bagi wujud Allah, suatu dalil yang paling hampir kepada Allah, dengan dialah dijadikan sebagai jalan yang paling dekat untuk mencapai ma'rifat kepada Allah sebagaimana diisyaratkan oleh Nabi SAW dengan sabdanya yang begitu jelas dan tegas:
"Man arafa nafsahu, fakad arafa rabbahu" 
Barang siapa mengenal akan dirinya dengan sebenar-benar pengenalan, maka telah kenal ia akan Tuhannya.

Didalam Hadith Qudsi pula Allah berfirman:
"Man talaballahu bighairi nafsihi fakad dalla dalalan ba'idan".Barang siapa menuntut ma'rifat akan Allah dengan barang yang lain dari dirinya sendiri maka telah sesat ia dengan kesesatan yang amat jauh.

FirmanNya lagi dalam Hadith Qudsi:

"Man wasafallahu bisyai in min khalqihi fajad kafar, waman angkara ma wasafallahu bihi binafsidi fakad kafar."
Barang siapa mensifatkan Allah dengan sesuatu daripada barang yang dijadikan Allah, maka telah kafirlah ia dan barang siapa yang ingkar pada yang telah disifatkan Allah dengannya dengan Zatnya maka telah kufurlah ia.

Ketahui olehmu adalah Hati Nurani atau alam Ruh Latifurr Rabbaniah itu alam latif dan tiada padanya rupa dan warna yang dapat dilihat dengan mata kasar. Tuhan telah menjadikannya terdahulu dari kejadian jasad dua ribu tahun lamanya.

Adapun pada istilah Tahqiq bahawa adalah Ruh itu beberapa namanya iaitu :-

1. Ruhul Quddus
2. Ruh Idhafi
3. Ruhani
4. Ruhul Hayat
5. Ruhul Amar
6. Ruh Jamadi
7. Ruh Nabati
8. Ruh Haiwani
9. Ruh Insani
10. Ruh Kamalat
11. Ruhul Ajsad

Adapun yang bernama Ruh Nabati ialah tatkala darah yang setitik maka pada Alam Kabir iaitu segala tumbuh-tumbuhan.

Ruh Jamadi itu tatkala daging yang seketul atau segumpal. Maka pada Alam Kabir ialah segala batu-batu dan kayu-kayan.

Ruhani iaitu tatkala sudah dimasukkan nyawa padanya.

Ruh Haiwani iaitu tatkala berhajat kepada makan dan minum dan jimak, maka pada Alam Kabir ialah segala binatang.

Ruh Insan iaitu tatkala sudah zahir dari perut ibu.

Ruh Kamalat iaitu tatkala bersuara menangis pada pertama pertama jadi.

Maka adalah perbezaan roh dan nafas itu adalah roh itu batin dan nafas itu zahir. Maka nafas itu adalah roh atau kenyataannya yang juga disebut kelakuan atau sifatnya.
Yang demikian tertib Allah SWT yang amat halus pekerjaanNya lagi bijaksana, dengan IradatNya menggerakkan Ruhul Amar dan Ruhul Amar menggerakkan Ruhul Hayat dan Ruhul Hayat menggerakkan Nafas dan Nafas pula menggerakkan Jasad. Maka zahirlah kelakuannya pada Jasad.

MENGENAI ROH
Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan yang menghidupkan roh dipanggil nyawa. Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan untuk melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Roh yang satu boleh dilihat melalui empat aspek.
Aspek roh yang melahirkan bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-lain dinamakan roh juga.
Aspek roh yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek roh yang melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan dinamakan nyawa.

Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri walaupun sifat manusia bukan nya sifat Tuhan. Dalam persoalan roh, aspek roh yang menghasilkan bakat-bakat dikaitkan dengan sifat Kudrat.

Nafsu pula dikaitkan dengan sifat Iradat.
Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu.
Nyawa dikaitkan dengan sifat Hayat.

Kudrat Allah s.w.t yang memberikan keupayaan kepada roh. Roh berperanan membekalkan bakat-bakat, keupayaan serta tenaga. Kebolehan mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh mempastikan setiap bakat itu pergi kepada alat atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh menghantarkan bakat melihat kepada mata, mendengar kepada telinga, berkata-kata kepada lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada pancaindera yang sesuai untuk masing-masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah s.w.t. Sebab itu pekerjaan roh adalah tepat dan sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat mendengar kepada lutut. Dalam syariat roh diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang menjaga matahari, bulan, bintang dan planet-planet lainnya akan mengheret masing-masing itu pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan maklumatnya telah dibekalkan kepada malaikat atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan perintah Tuhan dengan tepat, tanpa kegoncangan yang datang daripada nafsu dan akal.

Roh atau malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat hanya mentaati perintah Allah s.w.t tanpa berfikir atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah negeri akan berbuat demikian tanpa kasihan belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu bapa, isteri dipisahkan daripada suami dan banyak nyawa terkorban serta harta benda yang rosak.

Malaikat atau roh yang menghantar bakat melihat kepada mata akan terus berbuat demikian walaupun mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t, melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya memberhentikan penghantaran bakat tersebut. Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa rangsangan nafsu dan pertimbangan akal.