Pages

Wednesday, August 17, 2011

Dibelenggu masalah kewangan




Mansor Ibrahim meriba Nurul Farisha dan Yusniza Yusof memangku Nurul Fasihah dan Nurul Farishah bersama Mohd. Adam Haikal di rumahnya di Kampung Kubang Rusa, Kampung Lalang, Baling, Kedah, semalam. – BERNAMA


BALING 16 Ogos — Sepasang suami isteri dari Kampung Kubang Rusa, Kampung Lalang di sini berhadapan dengan keperitan hidup untuk membesarkan tiga bayi kembar perempuan mereka yang kini berusia tiga bulan.
Bayi kembar tiga itu, Nurul Fasihah, Nurul Farishah, dan Nurul Farisha Mansor memerlukan sekurang-kurangnya 15 helai lampin pakai buang dalam sehari.
Mereka juga memerlukan susu botol sekurang-kurangnya enam hingga tujuh botol sehari. Dalam seminggu seberat 1.8 kg susu tepung bayi diperlukan.
Bapa bayi berkenaan Mansor Ibrahim, 44, seorang pemandu lori kayu getah secara sambilan sejak beberapa bulan ini hanya mampu memperoleh pendapatan RM400 sebulan manakala isterinya, Yusniza Yusuf, 37, tidak bekerja.
Mansor berkata, dengan pendapatan sebanyak itulah dia menyara keluarganya termasuk membesarkan anak sulung mereka Mohd. Adam Haikal, 3, dan terpaksa menumpang di rumah ibunya Esah Tahir, 73.
Katanya, paling menyedihkan, dia tidak dapat menyediakan persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.
Bagi meringankan beban yang ditanggung ketika ini, Mansor sudah pun membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, tetapi masih menunggu permohonannya diluluskan.
Ketika ini, keluarga itu tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, Pengarah JKM Kedah, Zulkifli Ramli ketika dihubungi berkata, kes permohonan Mansor akan diberi parhatian segera. – BERNAMA, utusan

Wajah penyamun simbah asid

BURU...lakaran wajah suspek.
BURU...lakaran wajah suspek.
KUALA LUMPUR: Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.
Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

“Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. “Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.


“Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999,” katanya.hmetro

'Tolong pulangkan Ameerah'

  AZIZAN   dan  isterinya menunjukkan risalah gambar  Ameerah Asha   yang hilang sejak empat hari lalu ketika pulang dari sekolah di kediamannya, Puchong.
AZIZAN dan isterinya menunjukkan risalah gambar Ameerah Asha yang hilang sejak empat hari lalu ketika pulang dari sekolah di kediamannya, Puchong.

Suami isteri buntu cari anak hilang sejak 12 Ogos lalu

KUALA LUMPUR: “Saya berharap dan merayu mereka yang melarikan Ameerah Asha supaya memulangkannya semula kepada kami... berilah kami peluang menghabiskan Ramadan serta menyambut kedatangan Syawal bersamanya,” kata bapa pelajar Tingkatan Lima itu, Azizan Hassan, semalam.
Azizan berkata, mereka sekeluarga amat sedih dengan kehilangan Ameerah Asha, 17, sejak lima hari lalu, selepas semua kelengkapan anak sulung dua beradik itu untuk menyambut Aidilfitri sudah disediakan dan hanya menunggu untuk disarungkan sebaik fajar Syawal menjelma.
“Semua kelengkapan Aidilfitri untuknya sudah kami sediakan lebih awal, tetapi saya dan isteri kini hanya mampu menatap baju kurung barunya dengan harapan dia akan ditemui segera dan menggayakan pakaian baru itu di pagi Syawal nanti,” katanya.

Ameerah Asha, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Puchong yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Jumaat lalu.

Pelajar itu ke sekolah jam 7 pagi dengan menaiki van sekolah sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah. Ameerah Asha sebelum itu dikatakan ada menghubungi ibunya memberitahu akan pulang lewat pada hari berkenaan kerana mengulang kaji pelajaran di sekolah bersama rakan.

Azizan berkata, sebelum kejadian itu, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mempunyai sebarang masalah dengan ahli keluarganya yang lain.
“Pelbagai usaha sudah kami lakukan untuk mencari Ameerah Asha, termasuk berjumpa guru serta rakan sekolahnya, selain beberapa ustaz untuk mendapatkan bantuan, tetapi sehingga kini tetap menemui jalan buntu dan tiada sebarang petunjuk baru yang kami terima.

“Sejak berita kehilangannya tersebar, saya menerima banyak panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang prihatin dan bersimpati, tetapi tidak menerima sebarang panggilan berhubung maklumat terbaru kehilangannya,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau berharap, orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubunginya atau isteri di talian 013-7743477 dan 012-6430432 atau memaklumkannya kepada mana-mana balai polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan kes berkenaan sebagai kes orang hilang. bharian

Cubaan jadikan Hitler pondan

LONDON: Perisik Britain merancang memasukkan hormon seks wanita dalam makanan diktator Jerman, Adolf Hitler, ketika Perang Dunia Kedua bagi mengekang sifat agresifnya, dakwa sebuah buku baru. Dalam buku bertajuk Secret Weapons: Technology, Science And The Race To Win World War II, tulisan Profesor Brian Ford dari Universiti Cardiff, menjelaskan hormon itu dipilih kerana tidak ada rasa dan memberi kesan lambat, bermakna ia dapat melepasi pengesan makanan Hitler. – Agensi

Facebook, YouTube diguna buli guru

LONDON: Satu pertiga guru, kebanyakannya tenaga pengajar wanita, menjadi mangsa buli online dengan 72 peratus dilakukan pelajar tetapi lebih 25 peratus penderaan diilhamkan oleh ibu bapa, menurut tinjauan Universiti Plymouth.

Banyak kes buli itu menggunakan laman web sosial dan kajian mendapati ramai mewujudkan kumpulan Facebook khas untuk mendera guru.< Dalam sesetengah kes, pelajar mengirim gambar guru ke laman web YouTube manakala yang lain meletakkan komen pedas di laman web ratemyteacher.com. Secara keseluruhan, 35 peratus guru yang disoal berkata mereka menjadi mangsa buli online dan daripada jumlah itu, 60 peratus daripadanya wanita. Lebih mengejutkan, 26 peratus kaki buli adalah ibu bapa.Kadang-kadang mereka turut sasar pelajar lain. Sekolah perlu buat sesuatu, jika tidak ia akan merebak,” kata penulis laporan, Profesor Andy Phippen.>Kes pelajar menjadi mangsa buli online diketahui ramai tetapi isu guru menjadi mangsa kurang disedari. – Agensi, bharian

Bashar, Gaddafi semakin agresif

SEORANG wanita memakai kain keffiyeh menggunakan telefon bimbit untuk merakam bantahan anti-Syria di Beirut.
SEORANG wanita memakai kain keffiyeh menggunakan telefon bimbit untuk merakam bantahan anti-Syria di Beirut.

Khemah pelarian Palestin kena bedil di Latakia, tentera Libya guna Scud serang pemberontak

BEIRUT: Presiden Syria, Bashar al-Assad dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dianggap semakin terdesak selepas mengarahkan pasukan bersenjata masing-masing meningkatkan kekerasan terhadap penentang.
Laporan dari Damsyik menyatakan, angka kematian meningkat kepada 35 orang selepas tentera Syria membedil kota Latakia buat hari ke-4, semalam.
Bashar memperhebat serangan bagi menghapuskan penentangan terhadapnya sejak lima bulan lalu mulai awal Ramadan menggunakan kereta kebal, tentera darat dan penembak curi, meskipun dikutuk dunia luar.

Bashar melancarkan operasi tentera di kubu penentang termasuk Hama, bandar Deir el-Zour di timur dan bandar tengah, Homs serta terbaru bandar pelabuhan Latakia.

Kebanyakan serangan disasarkan ke kawasan miskin al-Ramel, al-Shaab dan Ein Tamra. Al-Ramel menempatkan khemah pelarian Palestin selain penduduk bergaji rendah Syria.

Ia menyebabkan 5,000 warga Palestin lari meninggalkan tempat tinggal mereka, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA) menyatakan, seramai 10,000 pelarian Palestin berada di kawasan berkenaan.

Di Benghazi, penyokong Gaddafi melancarkan peluru berpandu Scud buat kali pertama dalam perang saudara negara itu selepas gagal menyekat kemaraan pemberontak yang diiktiraf Barat.

Kemaraan pemberontak menyebabkan Gaddafi semakin tertekan, dakwa pegawai pertahanan Amerika Syarikat.

Pemberontak yang berusaha menamatkan pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun, menawan dua bandar strategik dekat Tripoli membolehkan mereka memotong bekalan elektrik ke ibu negara.

Peluru berpandu Scud dilancarkan awal Ahad lalu dari satu lokasi 80 kilometer ke timur Sirte, kampung halaman Gaddafi dan mengenai bandar pelabuhan Brega.
Serangan peluru berpandu itu tidak menyebabkan kecederaan dan tiada ulasan dibuat dari Tripoli mengenainya.

Pelancaran peluru berpandu Scud itu dianggap tidak membahayakan kerana ia tidak tepat dan menunjukkan Gaddafi semakin terdesak, kata Shashank Joshi, Felo Bersekutu di Institut Diraja Royal United di Britain.

“Sudah terbukti bahawa ia menunjukkan keadaan rejim semakin tersepit,” katanya.
Dalam tempoh enam bulan lalu, tentera Gaddafi menggunakan roket jarak dekad Grad manakala Scud mempunyai jarak sasaran 300 kilometer. – AP/Reuters , bharian

Pemuda hilang komputer selepas disimbah asid





KAJANG - Seorang pemuda bukan sahaja kehilangan komputer riba malah muka dan belakang badannya turut melecur apabila disimbah sejenis cecair dipercayai asid di Batu 9, Cheras di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 11 malam itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang berusia 25 tahun memandu kereta dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di Taman Midah, Cheras di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rasyid Ab. Wahab berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa mendapati tayar keretanya pancit menyebabkan dia berhenti di tepi jalan untuk menukar tayar.
"Sejurus selepas berhenti, sebuah kereta dinaiki dua lelaki berhenti di sebelah kereta mangsa.
"Salah seorang daripada lelaki itu turun dari kereta dan terus menyimbah sejenis cecair ke badan mangsa," kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu kemudian cuba melarikan kereta mangsa namun gagal kerana kunci kereta mangsa berada dalam poket seluarnya.
Suspek kemudian merampas sebuah komputer riba mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian.
Mangsa masih dirawat di sebuah hospital dan kecederaan di muka dan belakangnya stabil.
Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur semalam mengedarkan fotofit (gambar lakaran) seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan menggunakan asid di sebuah stesen minyak Shell Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi pada 26 Julai lalu.
Lakaran suspek itu diperoleh selepas polis menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilokasi kejadian.
Polis menyeru orang ramai yang ternampak mana-mana individu menggunakan kereta Proton Wira dengan nombor pendaftaran WLC 1475 supaya tampil memberi maklumat.
Kosmo! pada 27 Julai lalu melaporkan seorang penghantar surat cedera di muka dan badan selepas disimbah asid manakala wang syarikatnya berjumlah RM18,000 dikebas sekumpulan perompak di Batu 2 1/2 Jalan Sungai Besi di sini.
Sebelum kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang mengisi minyak didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira.
Salah seorang suspek kemudian bertindak menyimbah asid ke arah mangsa dan merampas beg berisi wang itu sebelum melarikan diri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops di talian 03-21159999.-kosmo

Asing segera mentega DNA babi

y
SEBUAH pasar raya terkenal di Pulau Pinang masih menempatkan mentega DNA babi bersama mentega halal di tempat sejuk beku semalam.


KUALA LUMPUR - Semua pengusaha pasar raya dan peruncit diminta mengasingkan segera mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke dalam rak seksyen tidak halal dengan segera.
Ia bagi mengelakkan umat Islam daripada terbeli mentega berkenaan sebagai bahan membuat kek dan biskut sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, pihak berkenaan juga perlu melupuskan logo halal yang tertera pada bungkusan mentega tersebut.
"Kami meminta kerjasama semua pengusaha pasar raya dan peruncit supaya mengasingkan segera mentega mengandungi DNA babi itu daripada rak halal ke dalam rak tidak halal dengan segera,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia disahkan tidak halal kerana mengandungi DNA babi.
Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam pasar raya Carrefour, Salmieah Mohd. Zin berkata, pihaknya telah menghentikan penjualan mentega tersebut dua minggu lalu selepas pengguna mula meraguinya.
"Kita ada dengar cerita mentega ini ada DNA babi dan disebabkan logo halalnya bukan daripada Jakim, maka penjualannya kita hentikan dua minggu lepas," katanya.-kosmo

Amah Datuk larikan RM300,000



GAMBAR Rospita yang diedarkan untuk membantu siasatan polis.


KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mendakwa kerugian hampir RM300,000 apabila sejumlah barangan kemas dan wang tunai miliknya dilarikan seorang pembantu rumah warga Indonesia di Taman Mutiara Gombak 2 dekat sini pada Sabtu lalu.
Kehilangan barangan kemas, wang tunai serta beberapa barangan berharga lain disedari oleh isteri ahli perniagaan itu pada pukul 8 malam hari kejadian.
Antara barangan yang didakwa hilang ialah jam tangan jenama Rolex, Omega, Salvatore Ferragamo dan wang tunai berjumlah RM7,500.
Sejurus sebelum barang-barang berharga itu disedari hilang, pengawal keselamatan kediaman Datuk itu ternampak salah seorang amah di situ meninggalkan rumah majikannya dengan menaiki sebuah teksi selepas memberi alasan untuk membuang sampah.
Pembantu peribadi Datuk itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri berkata, amah yang dikenali sebagai Rospita, 20-an baru dua bulan bekerja di situ.
Menurut Zamri, ahli perniagaan berusia 56 tahun itu mempunyai dua pembantu rumah warga Indonesia dengan Rospita ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja seperti mengemas dan membersihkan rumah.
Seorang lagi amah ditugaskan untuk memasak serta menjaga dua orang anak majikannya yang berumur dua dan empat tahun.
"Dia dipercayai menyorok barang-barang yang hendak dilarikan di dalam baju yang dipakai," katanya semasa ditemui pemberita di Balai Polis Batu 6 Gombak dekat sini semalam., curi

Bayi ganjil seperti makhluk asing



GAMBAR menunjukkan bayi ganjil yang dilahirkan seorang ibu di sebuah hospital di Iyin Ekiti, Nigeria pada Khamis lalu.


ADO EKITI - Seorang ibu berusia dalam lingkungan 30-an di Iyin Ekiti, Nigeria melahirkan seorang anak yang kelihatan seperti gambaran makhluk asing dalam filem, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Ibu itu yang sudah mempunyai dua anak, hamil selama 13 bulan sebelum dia melahirkan anak ganjil tersebut di sebuah hospital di sini menerusi pembedahan pada pukul 2.15 petang pada Khamis lalu.
Kelahiran bayi itu mencetuskan kekecohan di hospital berkenaan kerana beberapa pegawai perubatan membincangkan keganjilan bayi berkenaan.
Pesuruhjaya Kesihatan Negeri Ekiti, Dr. Wole Olugboji mengesahkan kelahiran bayi tersebut.
"Terdapat seorang wanita yang melahirkan seorang bayi ganjil di Hospital Besar Iyin. Bayi itu sudah meninggal dunia tetapi ibunya okey," katanya.
Menurutnya, ubat sedatif diberikan kepada ibu itu supaya dia tidak sedarkan diri selepas melahirkan anak tersebut bagi memastikannya tidak melihat anaknya yang ganjil.
Akhbar Vanguard mendapat maklumat bahawa suami wanita tersebut bersetuju supaya pengebumian dilakukan terhadap bayi ganjil itu dengan segera.
Satu sumber memberitahu akhbar tersebut bahawa bayi ganjil itu mempunyai dua mata yang membonjol dan beberapa helai rambut di dahinya.
Bayi itu tidak mempunyai otak.
Satu lagi sumber menyatakan bahawa bayi itu terlalu kecil semasa dilahirkan.
- Agensi, kosmo

Pejabat baharu Apple seperti piring terbang




BENTUK pejabat baharu syarikat Apple di Cupertino, California.


CUPERTINO, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa lakaran gambar pejabat baharu syarikat Apple yang mengeluarkan komputer iPad dan telefon bimbit iPhone didedahkan kelmarin.
Pejabat baharu penyelidikan dan pembangunan itu dibina menyerupai sebuah piring terbang.
Foto kampus itu yang bakal dibina di sini didedahkan oleh arkitek Britain, Norman Foster dalam satu mesyuarat majlis perbandaran sebelum ia tersebar di Internet.
Kampus berkenaan yang digelar AppleSaucer, terdiri daripada sebuah bangunan pejabat serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di tapak seluas 260,000 meter persegi.
Ia merupakan bangunan kaca empat tingkat berbentuk bujur dan berkonsepkan mesra alam yang mengelilingi sebuah taman dan boleh menempatkan 13,000 kakitangan Apple.
Antara kemudahan yang bakal dibina termasuk sebuah auditorium korporat berkapasiti 1,000 tempat duduk, pusat kecergasan, loji janakuasa mesra alam dan tempat letak kereta.
Syarikat Apple diasaskan oleh Steve Jobs yang merupakan antara bilionair di dunia. - Agensi, kosmo

Laman web untuk lelaki tua cari gadis




SEORANG wartawan membaca laman web SeekingArrangement.com di Washington, DC pada 9 Ogos lalu.


WASHINGTON - Satu laman web, SeekingArrangement.com mengatur janji temu untuk golongan lelaki kaya mencari pasangan.
Ia merupakan salah satu daripada laman web yang memaparkan golongan lelaki tua untuk mencari gadis yang lebih muda.
Laman itu mendedahkan akaun bank si lelaki tua dan elaun bulanan yang boleh diberikannya kepada seorang wanita.
Lelaki yang berminat akan membuka akaun dengan bayaran AS$50 (RM149) dan tambahan sebanyak AS$1,000 (RM2,981) setahun.
"Orang ramai bertemu, mereka berunding dan berasa serasi. Jika kedua-dua mereka tidak menyukai di antara satu sama lain, tiada apa-apa perkara yang akan berlaku," kata pengasas laman itu, Brandon Wade. - AFP, kosmo

Paderi gay pertama Malaysia kahwin di New York





KUALA LUMPUR - Paderi gay pertama di Malaysia, Ouyang Wen Feng (gambar) akan berkahwin pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini.
Paderi berusia 41 tahun itu menyatakan, dia mahu melihat lebih banyak toleransi wujud di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Wen Feng mengasaskan bersama sebuah gereja gay di ibu kota Malaysia, di sini pada 2007 yang dikecam oleh kumpulan-kumpulan Islam konservatif.
Hubungan homoseks bertentangan dengan undang-undang Malaysia dan pengamalnya boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta disebat.
Paderi itu berkata, dia akan berkahwin dengan kekasihnya dari Amerika Syarikat, Phineas Newborn III, 47, yang merupakan seorang penerbit pementasan Broadway dalam satu majlis di New York, Amerika Syarikat (AS).
Negeri New York merupakan negeri keenam di AS yang membenarkan perkahwinan gay pada bulan lalu.
"Kami merancang untuk mendaftarkan perkahwinan kami pada Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos ini, ia penuh bermakna buat saya," kata Wen Feng. - Reuters, kosmo

Israel serang Gaza



BEBERAPA penduduk Palestin memeriksa lokasi serangan udara tentera Israel di Bandar Gaza, Palestin semalam.


BANDAR GAZA - Seorang penduduk Palestin maut dan tujuh lagi cedera dalam satu serangan tentera udara Israel di Genting Gaza, kata beberapa kakitangan perubatan Palestin semalam.
Tentera Israel menyatakan, pesawat-pesawatnya menjadikan empat kawasan di Genting Gaza sebagai sasaran bagi membalas serangan roket dari wilayah Palestin.
Jurucakap sebuah agensi perkhidmatan kecemasan yang dikendalikan pergerakan Hamas, Adham Abu Selmiya berkata, serangan itu menyebabkan seorang penduduk Palestin maut dan tujuh lagi cedera.
"Kami mengetahui kematian syahid Musa Shtawe akibat kecederaan selepas serangan di timur Bandar Gaza," katanya.
Tentera Israel tidak menyatakan secara terperinci lokasi sasaran serangan itu.
Namun, sumber-sumber Palestin menyatakan mereka mendapati terdapat lima serangan udara di Gaza.
Tiga daripada serangan itu mengenai sasaran di Bandar Gaza termasuk di kawasan penduduk Zeitun, kata mereka.
Di selatan, dua lagi serangan dilancarkan di timur Khan Yunis dan di sebuah terowong bawah tanah di sempadan Mesir dekat Rafah.
"Serangan di Rafah menyebabkan tiga orang cedera termasuk seorang kanak-kanak," kata Adham. - Agensi, kosmo

Penggodam komputer tunjuk perasaan



BEBERAPA anggota polis menghalang sekumpulan penggodam komputer daripada cuba menyekat pergerakan sebuah kereta api di Stesen Sivik, San Francisco, California kelmarin.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Empat stesen kereta api bawah tanah di sini ditutup buat sementara kelmarin dalam satu tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh kumpulan penggodam komputer, Anonymous berhubung kekejaman polis dan kebebasan bersuara.
Sebelum ini perkhidmatan kereta api bawah tanah utama di sini menutup rangkaian telefon bimbit di beberapa stesen kereta api bawah tanah pada Khamis lalu untuk mengelakkan para penunjuk perasaan daripada menganjurkan protes berhubung tindakan polis menembak mati seorang lelaki pada bulan lalu.
SEORANG wanita yang merupakan anggota penggodamkomputer memegang poster dalam tunjuk perasaan menuntut kebebasan bersuara di Stesen Sivik, San Francisco, California kelmarin.


"Tindakan ini adalah untuk menutup mulut orang ramai," kata seorang aktivis berusia 41 tahun, Carlos Wilson yang hadir untuk membantah kekejaman polis dan penutupan rangkaian telefon pada minggu lalu.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan muncul di sebuah stesen kereta api semasa waktu puncak pada pagi kelmarin tetapi mereka bersurai selepas pihak berkuasa menutup stesen kereta api berkenaan.
Tidak lama kemudian, tiga lagi stesen kereta api bawah tanah ditutup kerana penuh sesak dengan penunjuk perasaan.
Polis berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini walaupun sejumlah anggota polis tiba di lokasi kejadian dengan memakai seragam dan kelengkapan antirusuhan.
Anonymous merupakan kumpulan penggodam antarabangsa yang pernah menceroboh sistem komputer di kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia selain beberapa agensi kewangan utama seperti PayPal, MasterCard dan Visa.- Reuters, kosmo