Pages

Showing posts with label teksi. Show all posts
Showing posts with label teksi. Show all posts

Saturday, September 3, 2011

Pemandu teksi asing cetus masalah


PERBUATAN warga asing meminjamkan teksi kepada rakan yang tiada permit boleh menjejaskan imej perkhidmatan teksi negara di mata pelancong. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Masalah yang melibatkan teksi yang dipandu warga asing didakwa kian meruncing apabila kira-kira 7,200 pemandu di sekitar Lembah Klang terdiri daripada golongan berkenaan.
Jumlah tersebut mewakili 20 peratus daripada kira-kira 36,000 pemandu teksi di seluruh Lembah Klang.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/ Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, walaupun pihaknya percaya majoriti pemandu teksi warga asing itu berstatus Penduduk Tetap (PR) dan memiliki permit, mereka mungkin memajak atau meminjamkan teksi kepada rakan senegara yang tiada permit untuk mencari duit poket.
“Kita bukan sahaja bercakap pasal perbezaan budaya serta imej negara tetapi juga soal keselamatan menaiki teksi yang dibawa oleh pemandu haram.
“Apabila ada segelintir dalam kalangan mereka yang membuat masalah, tempiasnya terkena kepada semua pemandu teksi yang lain,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jelasnya, amalan meminjamkan teksi kepada rakan itu mendorong sesebuah syarikat teksi mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana teksi tersebut beroperasi selama 24 jam sehari, berbeza daripada 12 jam yang disarankan kepada pemandu teksi warga tempatan.

Saturday, December 25, 2010

Pemandu teksi dapat tambang RM4,785


PETA menunjukkan perjalanan teksi Bob Ransley dari Southampton, Britain ke resort Val D'Isere, Perancis.

HAMPSHIRE - Seorang pemandu teksi di Britain, Bob Ransley mendapat 'durian runtuh' apabila dia dibayar sebanyak £1,000 (RM4,785) untuk membawa sebuah keluarga dari rumah mereka di sini menuju ke banjaran Alps, di Perancis sejauh 1,280 kilometer untuk percutian bermain ski, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia dibayar untuk membawa sepasang suami isteri, Peter Lelliott dan pasangannya, Rebecca Butler serta lima anak mereka selepas syarikat British Airways memberitahu bahawa penerbangan mereka terpaksa dibatalkan kerana salji tebal.
"Tiada penerbangan manakala tren rentas Eropah juga penuh dengan penumpang," kata Lelliott, 47.
Berazam untuk meneruskan percutian mereka, Lelliott menelefon syarikat teksi tempat Ransley bekerja di Southampton dan pemandu tersebut bersetuju membawa mereka ke resort Val D'Isere di Pergunungan Alps dengan teksinya.
Perjalanan melalui lebuh raya dan jalan berliku serta bersalji memakan masa 15 jam dengan Lelliott dan Ransley bergilir-gilir memandu teksi pelbagai guna (MPV) itu. - Agensi, kosmo

Thursday, May 6, 2010

Teksi selaju 248 km/j




GAMBAR menunjukkan sebuah kereta sport dijadikan teksi di Rom, baru-baru ini.


ROM - Sebuah teksi yang mampu membawa penumpang ke destinasi mereka dengan kelajuan dua kali ganda lebih pantas beroperasi selama dua hari di Rom baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Teksi itu mencecah kelajuan sehingga 248 kilometer sejam (km/j).
Kereta itu pada asalnya sebuah kereta konsep rekaan firma pereka automotif terkenal, Giugiaro tetapi dipinjamkan selama dua hari untuk dijadikan teksi.
Ia mampu memecut hingga 100 km/j dalam masa cuma empat saat dan penumpang perlu melambaikan tangan dengan pantas jika mereka tidak mahu tertinggal hampir setengah kilometer di belakang kerana lambat menahan teksi berkenaan.
"Bandar raya ini penuh sesak dan hanya helikopter yang dapat membawa anda ke tempat ditujui dengan pantas," kata seorang penumpang bertuah yang dapat menaiki teksi itu.
"Namun, sekurang-kurangnya anda tiba dengan penuh bergaya," tambahnya.
Teksi berkuasa elektrik itu dapat membawa dua penumpang dan ia turut dilengkapi dua panel solar untuk menukar cahaya matahari menjadi kuasa elektrik. - Agensi