Pages

Showing posts with label Saif. Show all posts
Showing posts with label Saif. Show all posts

Tuesday, September 4, 2012

Kekasih gesa Blair bantu Saif

LONDON: Teman wanita terakhir anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam menggesa bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair supaya menyelamatkan nyawa rakan lamanya itu.

Saif berdepan hukuman mati di Libya, tempat dia dibicarakan kerana peranannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika pemberontakan menentang bapanya tahun lalu. Kumpulan hak asasi kemanusiaan bimbang dia tidak tidak akan dibicarakan dengan adil dan usaha untuk mengekstradisinya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di the Hague gagal. Orly Weinerman, 41, bekas aktres dan model Israel yang berpacaran dengan Saif selama enam tahun selepas berkenalan dengannya di London pada 2005, menggesa Blair membantu meyakinkan pendakwa raya supaya meneliti alasan diberikan.


Orly berkata: “Saif bekerjasama rapat dengan Blair sebelum dia ditangkap.

“Kedua-duanya adalah teman lama - sudah tiba masanya kini Blair menunjukkan kesetiannya.


“Blair adalah lelaki yang beragama dan sebagai penganut Kristian dia mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu teman yang memerlukan.” Hubungan rapat Saif dengan Blair dipaparkan dalam dokumen yang ditemui ketika pemberontakan.


Dalam surat yang ditulis Blair pada 2007, dia memberi cadangan untuk membantu Saif mendapatkan PhD ketika belajar di Sekolah Ekonomi London. - Agensi

Friday, May 18, 2012

Saif enggan lantik peguam Libya



THE HAGUE 17 Mei - Anak bekas pemimpin Libya, Saif al-Islam enggan melantik peguam dari Libya untuk membelanya atas dakwaan membunuh dan menyeksa ketika kebangkitan rakyat menentang pentadbiran bapanya.
Timbalan Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bansga Bersatu (PBB), Ibrahim Dabbashi memberitahu Majlis Keselamatan PBB, undang-undang negara itu menghalang Saif daripada dibicarakan tanpa peguam.
“Hal ini berlaku adalah kerana Saif enggan melantik peguam untuk membelanya. Jadi perkara ini tidak terletak dalam bidang kuasa pihak berkuasa Libya tetapi defendan dan tiada halangan untuknya melantik peguam,’’ katanya.
Tekanan semakin meningkat di Tripoli supaya menyerahkan Saif kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mendakwanya melakukan jenayah kemanusiaan.
Kerajaan Libya dan ICC juga berdebat sejak beberapa bulan lalu tentang siapakah yang akan membicarakan anak bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi itu.
Libya dilihat perlu memaklumkan kepada ICC bagaimana ia ingin membicarakan Saif kerana sistem kehakiman negara itu masih dipersoalkan beberapa pihak.
Dalam pada itu, pendakwa raya ICC semalam berkata, hakim akan membuat keputusan sama ada Saif akan didakwa di Libya atau di tribunal di The Hague, Belanda.
Dabbashi menegaskan, sistem perundangan Libya bersedia menjalankan perbicaraan yang adil dan telus yang memenuhi standard antarabangsa.
Bagaimanapun, Badan Pemantau Hak Asai Manusia (HRW) menyatakan, beberapa undang-undang baru Libya yang dilaksanakan menimbulkan persoalan serius sama ada perbicaraan boleh dijalankan secara adil. - REUTERS

Lokasi bicara Saif belum diketahui

Saif al-Islam
Saif al-Islam

ICC ragui Libya boleh bersikap tidak berat sebelah 

NEW YORK: Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kelmarin berkata hakim badan kehakiman itu akan memutuskan sama ada membenarkan anak lelaki Muammar Gaddafi didakwa atas tuduhan jenayah perang di Libya dan tidak di tribunal itu yang berpejabat di The Hague, Belanda.
Antara isu penting bagi ICC ialah sama ada mahkamah Libya itu mampu menjalankan perbicaraan secara bebas dan tidak berat sebelah.
Timbalan duta Libya ke PBB, Ibrahim Dabbashi, menegaskan badan kehakiman negara itu bersedia mengadakan perbicaraan yang adil dan saksama untuk memenuhi piawaian antarabangsa. 

Tetapi, Human Rights Watch berpendapat, undang-undang yang baru diluluskan Libya membangkitkan persoalan serius sama ada ia boleh melakukan perbicaraan secara adil. 

Pendakwa, Luis Moreno-Ocampo, memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa hakim meminta pelbagai pihak menghantar laporan mengenai tindakan Libya mencabar bidang kuasa mahkamah untuk membicarakan Saif al-Islam - perbicaraan pertama sejak tribunal jenayah perang memulakan operasi. 

ICC mendakwa Saif tahun lalu atas dakwaan jenayah kemanusiaan kerana peranannya dalam keganasan menghentikan pemberontakan rakyat menentang pemerintahan bapanya. 
Beliau ditahan November lalu di padang pasir selatan Libya oleh militia Zintan yang enggan menyerahkannya kepada Kerajaan Peralihan Kebangsaan. 

Moreno-Ocampo berkata, dia akan membentangkan pemerhatian itu kepada hakim pada 4 Jun depan dan akan mempertimbangkan sama ada Saif akan dibicarakan atas jenayah sama yang didakwa ke atasnya oleh mahkamah. 

Katanya, peguam mahkamah untuk mewakili Saif berkemungkinan membentangkan pemerhatian itu. 

Majlis Keselamatan, yang merujuk Libya ke ICC tahun lalu, juga diminta memberi pandangan tetapi Moreno-Ocampo memberitahu wartawan anggota majlis itu belum mahu berbuat demikian. 

Sementara itu, Saif dilaporkan enggan diwakili peguam untuk mempertahankan diri daripada tuduhan bunuh dan seksa ketika pemerintahan bapanya. 
Pada masa sama, tekanan juga semakin terasa di Tripoli supaya menyerahkan Saif kepada ICC. 

Libya dan ICC sudah berbulan-bulan berbincang mengenai lokasi perbicaraan Saif. 
Jika ICC memutuskan Libya tidak berupaya membicarakannya dan tidak memberi kerjasama, ia boleh merujuk kes itu kepada Majlis Keselamatan PBB. 

“Saya mahu menjamin Majlis Keselamatan PBB bahawa Saif akan mempunyai peguam bela kerana undang-undang kami tidak membenarkan mana-mana defendan kes jenayah mempertahankan diri tanpa bantuan guaman,” kata Dabbashi. – AP/Reuters