Pages

Tuesday, August 28, 2012

9 tentera AS hina Quran, jenazah 'didisiplinkan'




28 Ogos 2012
tentera as
Tentera Amerika Syarikat (AS) yang didakwa kencing ke atas beberapa jenazah Taliban di Afghanistan.
WASHINGTON - Sembilan anggota marin dan tentera Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membakar sejumlah naskhah kitab suci al-Quran dan kencing ke atas beberapa jenazah Taliban di Afghanistan awal tahun ini.

Anggota berkenaan kemungkinan besar akan hilang kerja dalam perkhidmatan tentera.

Bagaimanapun laporan CNN dan BBC menyebut tiada dakwaan dikenakan ke atas mereka.

Tiga anggota marin dikenakan tindakan disiplin selepas rakaman video menunjukkan empat anggota membuang air kecil ke atas jenazah pejuang Taliban pada Julai 2011, kata satu kenyataan dipetik CNN.

Insiden itu hanya terdedah awal tahun ini.

Dalam pada itu, enam anggota tentera juga berhadapan tindakan yang sama atas peranan mereka membakar kira-kira 100 naskhah al-Quran dan beberapa terbitan berkaitan dengan agama Islam.

Bangladesh tidak akan tarik balik sekatan



Gambar bertarikh Jun lalu merakamkan sebahagian penduduk Rohingya membawa barangan mereka ketika meninggalkan kediaman masing-masing bagi mencari perlindungan daripada keganasan etnik dan agama di Sittwe, ibu negara Rakhine. - AFP
DHAKA 27 Ogos - Timbalan Pesuruhjaya daerah Cox's Bazar, Joynul Bari berkata, Bangladesh tidak akan menarik balik keputusannya mengantung operasi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya di negara ini.
Kenyataan itu dibuat ketika Bangladesh menerima kecaman hebat daripada kumpulan hak asasi manusia antarabangsa berhubung layanan negara ini terhadap pelarian itu.
Human Rights Watch (HRW) yang beribu pejabat di New York pada minggu lalu menggesa kerajaan Bangladesh menghentikan segera sekatan ke atas NGO yang menyediakan bantuan kemanusiaan kepada lebih 200,000 pelarian Rohingya di negara ini.
Pengarah bagi program pelarian HRW, Bill Frelick dalam kenyataannya menyifatkan sekatan itu sebagai tindakan kejam.
Tiga NGO terlibat adalah Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan, Pasukan Tindakan Menentang Kelaparan (ACF) dan Badan Bantuan Islam United Kingdom.
Menurut kerajaan, kira-kira 300,000 etnik Rohingya berada di negara ini dengan kebanyakan mereka berada di daerah Cox's Bazar selepas melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Sementara itu, agensi bantuan tempatan berkata, mereka akan menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya jika mereka mendapat kebenaran daripada kerajaan.
"Bagi saya bantuan kepada pelarian Rohingya adalah penting. Mereka perlu ada pilihan untuk memperbaiki hidup.
"Seseorang perlu berjuang untuk mereka, tetapi tiada sesiapa yang mahu membuat kerajaan marah berhubung isu itu," kata koordinator Forum Kemajuan Komuniti, S. Lolcheo.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah mahkamah di Myanmar menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana didapati terlibat dalam keganasan etnik di barat negara itu pada Jun lalu.
Seorang jurucakap PBB yang beribu pejabat di Myanmar, Aye Win berkata, hukuman itu dijatuhkan Jumaat lalu di Maungdaw, negeri Rakhine.
Seorang daripada mereka adalah kakitangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan seorang lagi staf Program Makanan Sedunia (WFP).
Jurucakap PBB di Bangkok, Vivian Tan menyifatkan hukuman itu 'sangat mengecewakan'. - AGENSI

Kes babit PM Pakistan ditangguh



Raja Pervez Ashraf (tengah) melambai kepada penyokongnya semasa tiba di Mahkamah Agung di Islamabad, Pakistan, semalam. - AFP
ISLAMABAD 27 Ogos - Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf boleh menarik nafas lega sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu lagi berhubung proses undang-undang yang panjang berkaitan kes rasuah yang membabitkan Presiden, Asif Ali Zardari, setelah mahkamah sekali lagi menangguhkan kes itu.
Hakim Mahkamah Agung, Asif Saeed Khosa, sekali lagi menangguhkan kes itu sehingga 18 September ini, selepas Pervez mengemukakan rayuan bagi mencari jalan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Bulan lalu, Mahkamah Agung mengarahkan Pervez menulis surat kepada pihak berkuasa di Switzerland bagi meminta mereka membuka semula siasatan terhadap kes rasuah melibatkan jutaan dolar yang dikaitkan dengan Presiden tersebut.
Perdana Menteri Pakistan sebelum ini, Yousuf Raza Gilani dilucutkan jawatan setelah beliau menolak untuk mematuhi arahan mahkamah dan tindakan mahkamah itu seakan-akan memberi isyarat awal bahawa Pervez bakal menerima nasib yang sama seperti Gilani.
Selepas melucutkan jawatan Gilani pada Jun lalu, mahkamah memberi Pervez tempoh dua minggu supaya berbuat demikian sebelum menangguhkan kes tersebut.
Kerajaan, bagaimanapun selama lebih dua tahun menentang permintaan hakim untuk membuka semula siasatan terhadap Zardari dengan mendakwa pemimpin itu menikmati kekebalan sebagai ketua negara.
Pertelingkahan antara kedua-dua pihak tersebut dilihat bakal memaksa pilihan raya diadakan sebelum Februari 2013, dan ia dijangka menjadi sejarah bagi Pakistan buat pertama kalinya melengkapkan mandat lima tahun.
Tuduhan terhadap Zardari bermula sejak 1990-an lagi, apabila beliau dan isterinya, bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram bernilai AS$12 juta (RM36 juta) yang dibayar dalam bentuk rasuah oleh syarikat-syarikat yang mahukan kontrak-kontrak pemeriksaan kastam.
Pada 2009, mahkamah menolak amnesti politik yang menghalang siasatan terhadap Presiden dan beberapa lagi ahli politik, dengan mengarahkan kes tersebut dibuka semula. - AFP

14 lagi mayat ditemui di Daraya



Beberapa penduduk memerhatikan kepulan asap dari lori-lori tangki selepas kenderaan itu terkena tembakan jet pejuang di daerah Bab al-Nayrab, bandar Aleppo, Syria, semalam. - REUTERS
BEIRUT 27 Ogos - Sekurang-kurangnya 14 lagi mayat ditemui di Daraya selepas aktivis, semalam melaporkan tentang insiden 'pembunuhan beramai-ramai' mengerikan setelah lima hari tentera kerajaan melancarkan serangan ke atas bandar tersebut.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam melaporkan, menemui 320 mayat di Daraya selepas pemberontak menyatakan tentera melancarkan serangan hebat, melaksanakan 'hukuman mati' dan serbuan dari rumah ke rumah di bandar di pinggir Damsyik itu.
Menurut pertubuhan itu, 14 lagi mayat ditemui semalam dan mereka turut telah mengenal pasti 220 mayat yang ditemui kelmarin.
Sebuah rangkaian aktivis di Syria, Jawatankuasa Pengurusan Tempatan, menyifatkan pembunuhan itu sebagai 'pembunuhan beramai-ramai' oleh kerajaan Presiden Bashar al-Assad.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia turut menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 149 orang maut di seluruh Syria semalam terdiri daripada 105 orang awam, 26 pemberontak dan 18 askar kerajaan.
Tentera kerajaan turut membedil Basra al-Sham di wilayah Daraa menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang awam terbunuh.
Bedilan baru terus berlaku hari ini, mengorbankan tiga lelaki dewasa, tiga kanak-kanak dan dua wanita di Kafr Batna, wilayah Damsyik, menurut pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di London itu. - AFP

Menteri Komunikasi Iraq letak jawatan



BAGHDAD 28 Ogos - Menteri Komunikasi Iraq, Mohammed Tawfiq Allawi semalam meletak jawatan selepas menuduh Perdana Menteri Nuri al-Maliki campur tangan dalam urusan kementerian tersebut.
"Saya meletak jawatan kerana Nuri enggan berhenti mengganggu urusan Kementerian Komunikasi," katanya kepada AFP ketika dihubungi.
Pada Julai lalu, Tawfiq menggesa agar tiada 'campur tangan politik' dalam kementeriannya.
Keputusan Tawfiq itu merupakan yang pertama berlaku membabitkan peletakan jawatan di kalangan menteri-menteri sejak kerajaan perpaduan Iraq di bentuk pada lewat 2010. - AFP

Israel halang aktivis ke Tebing Barat



AMMAN 27 Ogos - Israel dan Jordan semalam menghalang aktivis pro Palestin dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menyeberangi Tebing Barat bagi menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar Palestin.
Menurut jurucakap misi 'Welcome to Palestine', Olivia Zemor, sebuah daripada lima buah bas yang dinaiki 100 aktivis telah dibenarkan melalui Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Jordan dengan Tebing Barat oleh pihak berkuasa Jordan, tetapi diminta berpatah balik oleh pihak berkuasa Israel.
Katanya, pihak berkuasa (Israel) telah mengambil semua pasport mereka dan dicopkan 'dihalang masuk' sebelum mengarahkan mereka berpatah balik.
"Bas kedua turut dihalang menyeberangi jambatan tersebut oleh Jordan atas permintaan pihak keselamatan Israel,'' katanya.
Tambahnya, seorang pengawai polis Jordan memberitahu bahawa dia mendapat perintah daripada pihak berkuasa Israel supaya tidak membenarkan sesiapa memasuki kawasan tersebut.
"Kami meminta untuk mendapatkan penjelasan, tetapi tiada sesiapa tampil berbuat demikian sebelum kami bertindak mengadakan demonstrasi,'' ujarnya.
Zemor berkata, misi disertai 100 aktivis dari Perancis, Belgium, Sepanyol, Switzerland dan AS itu merupakan cubaan keempat mereka untuk memasuki wilayah Palestin itu.
Katanya, antara bekalan bantuan yang dibawa untuk pelajar-pelajar Palestin itu ialah satu tan permainan, pen, komputer riba dan bekalan-bekalan lain. - AFP

30 mayat wanita dan kanak-kanak ditemui



AMMAN 27 Ogos - Lebih 30 mayat kebanyakan wanita dan kanak-kanak ditemui di jalan-jalan bandar Daraya, di barat daya Damsyik di sini, semalam selepas tentera President Bashar Assad melancarkan serangan besar-besaran menentang pemberontak.
Jumlah kematian terbaru di bandar Daraya melebihi daripada 120 orang, Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, berkata 32 mayat telah ditemui di jalan-jalanraya dalam kejadian tembak menembak, antara yang terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak.
Rejim zionis itu juga turut menggunakan helikopter untuk menawan kawasan di bandar Aleppo dan juga bandar Daraa yang terletak di sempadan Jordan. - AGENSI

10,000 pelarian Syria terkandas di sempadan Turki



28/08/2012 - 09:16:40 AM Cetak Emel Kawan
Tweet
ANKARA: Lebih 10,000 pelarian Syria dilaporkan menunggu untuk memasuki sempadan Turki yang semakin terdesak untuk menyelamatkan diri dan membina khemah selepas pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan keselamatan.

Pegawai Turki berkata, peningkatan jumlah pelarian itu akibat perang saudara menyaksikan lebih ramai rakyat Syria mahu menyelamatkan diri selepas konflik sejak Mac tahun lalu kini sudah meragut lebih 20,000 nyawa. Turki dilaporkan sudah menerima lebih 80,000 pelarian Syria yang ditempatkan di sembilan kem pelarian di sempadan negara itu yang dilaporkan semakin penuh dan sesak.
Berikutan itu, pihak berkuasa Turki merancang menempatkan pelarian baru di sekolah, asrama dan pusat sukan yang berhampiran sempadan sementara menunggu pembinaan empat lagi kem pelarian baru yang mampu menampung 100,000 orang.

Seorang pegawai Turki berkata, pihak berkuasa meningkatkan lagi pemeriksaan keselamatan di sempadan terhadap pelarian berikutan kebimbangan pejuang Kurdish di selatan akan menyusup masuk menerusi Syria.

Ia juga bagi mengelak pejuang jihad dari negara luar bebas daripada keluar masuk Turki untuk berjuang menentang rejim Syria. - AP

Saham Samsung susut RM36.5b

Komputer tablet Samsung Galaxy Tab (kiri) mempunyai ciri persamaan dengan iPad Apple. -  Foto REUTERS
Komputer tablet Samsung Galaxy Tab (kiri) mempunyai ciri persamaan dengan iPad Apple. - Foto REUTERS

Seoul: Harga saham Samsung Electronics susut lebih tujuh peratus semalam sekali gus menyaksikan penurunan nilai pasarannya sehingga AS$12 bilion (RM36.5 bilion).

Ia susulan kejayaan tuntutan undang-undang oleh pesaingnya, Apple Inc mengenai isu paten di Amerika Syarikat (AS), justeru mencetus kebimbangan berhubung keupayaan bahagian perniagaan telefon pintar yang menjadi penyumbang terbesar pendapatan syarikat Korea itu.
Juri AS yang mendapati Samsung meniru beberapa ciri penting dalam iPhone dan iPad, mengarahkan syarikat itu membayar pampasan kepada Apple sebanyak AS$1.05 bilion (RM3.26 bilion).

Pelarasan harga dalam beberapa hari akan datang adalah tidak dapat dielakkan. Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan pasaran serta masih terdapat ketidakpastian seterusnya seperti kemungkinan larangan jualan”. - John Park, Penganalisis Daishin Securities
Saham susut 7.5 peratus

Saham Samsung, syarikat teknologi terbesar di dunia dari segi pendapatan, susut 7.5 peratus, penurunan peratusan harian terbesar dalam tempoh hampir empat tahun, kepada 1.183 juta won (AS$1,000).

Jumlah dagangan awal semalam adalah tinggi iaitu lebih daripada dua kali ganda daripada purata harian minggu lalu.

“Pelarasan harga dalam beberapa hari akan datang adalah tidak dapat dielakkan. Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan pasaran serta masih terdapat ketidakpastian seterusnya iaitu seperti kemungkinan larangan jualan,” kata John Park, Penganalisis Daishin Securities.
Penganalisis menganggarkan pendapatan Samsung akan berkurangan empat peratus tahun ini berikutan peningkatan dalam peruntukan berkaitan dengan paten.

Juri Mahkamah Persekutuan San Jose, California, pada Jumaat lalu mendapati Samsung melanggar enam daripada tujuh paten Apple.

Beri kesan pengharaman jualan produk utama

Keputusan yang diputuskan menerusi perbincangan juri selama kurang daripada tiga hari itu juga boleh membawa kepada pengharaman langsung jualan produk utama Samsung dan mungkin akan mengukuhkan lagi dominasi Apple dalam pasaran pengkomputeran mudah alih.

Apple juga merancang untuk memfailkan injunksi jualan terhadap Samsung, kata peguam dan hakim dalam kes itu menetapkan tarikh pendengaran pada 20 September ini.

Eksekutif tertinggi di Samsung, diketuai oleh Naib Pengerusi, Choi Gee-sung dan Ketua Bahagian Mudah Alihnya, JK Shin, mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin.

Kebimbangan terbesar buat Samsung adalah sama ada produk terbaru Galaxy S III, yang tidak termasuk dalam kes itu, akan turut disasarkan oleh Apple dan dimasukkan dalam senarai produk yang diharamkan di pasaran AS. - REUTERS

El Salvador dilanda gempa bumi




         
SAN SALVADOR: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.3 magnitud melanda perairan El Salvador disusuli sejam kemudian oleh gempa susulan 5.4 magnitud.

Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan. Amaran tsunami dikeluarkan di Costa Rica, Nicaragua, El Salvador, Honduras, Guatemala, Panama dan Mexico selepas gempa itu melanda pada jam 10.37 malam (waktu tempatan) semalam. Ia ditarik balik tidak lama selepas itu. Pakar oseanografi di Pusat Tsunami Pasifik dan Pantai Ewa, Haiwaii, David Walsh berkata, tsunami setinggi 10 sentimeter dicatatkan di perairan Acajutla di El Salvador. - AP

Layanan buruk kanak-kanak Palestin rutin Zionis




         
BAITULMAQDIS: Bekas tentera Israel yang bertugas di wilayah Palestin yang dikuasai rejim Zionis berkata, layanan buruk terhadap kanak-kanak Palestin oleh mereka Yahudi adalah perkara rutin’, malah turut berlaku ketika waktu tenang.

Koleksi lebih 30 pengakuan yang diterbitkan kelmarin oleh Breaking the Silence, kumpulan bekas tentera yang terbabit dengan kekejaman berkata, keganasan fizikal sering digunakan terhadap kanak-kanak yang masih kecil.


“Pengakuan itu menggambarkan golongan bawah umur khususnya di bawah 10 tahun dilayan secara tidak sepatutnya,” lapor buku setebal 72 halaman itu. Bertajuk “Kanak-Kanak dan Belia: Pengakuan Tentera 2005-2011” meliputi jangka waktu selepas intifada kedua rakyat Palestin pada 2000-2005.

“Walaupun kejadian itu menerangkan ia berlaku selepas kemuncak intifada kedua, pada waktu yang dianggap tenang dari sudut ‘keselamatan’, realiti pengakuan menunjukkan layanan buruk terhadap kanak-kanak Palestin berterusan tanpa henti,” lapor kenyataan itu. - AFP

Indonesia beli peluru berpandu AS




         
JAKARTA: Indonesia akan membeli peluru berpandu udara ke darat daripada Amerika Syarikat untuk melengkapi senjata itu pada jet pejuang F-16 buatan AS.

Media tempatan memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia, Hartind Asrin sebagai berkata: “Jet pejuang F-16 kami mesti dilengkapi dengan senjata canggih. Ia adalah perkara biasa untuk pesawat jet pejuang seperti F-16.” Katanya, pembelian peluru berpandu yang mempunyai jarak sasaran sehingga 22 kilometer, tidak sepatutnya membimbangkan negara jiran kerana Jakarta hanya ingin memodenkan keupayaan pertahanan dan tidak mempunyai niat untuk menyerang negara lain.


“Ketika aman, sistem itu digunakan sebagai pertahanan. Pembelian ini untuk memastikan keselamatan negara kami. Ia bukan digunakan untuk menyerang kerana ia menyalahi perlembagaan kami,” katanya.

Indonesia memesan 18 peluru berpandu model AGM-65K2 Maverick. - JP

Pemberontak tembak jatuh helikopter




         
DAMSYIK: Pemberontak Syria mendakwa menembak jatuh sebuah pesawat tentera ketika pertempuran sengit di bandar raya ini semalam.

Mereka menyifatkan kejayaan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan peramai-ramai lebih 330 orang yang didakwa dilakukan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad di bandar Daraya.


Menurut laporan televisyen Syria, pesawat berkenaan terhempas berhampiran sebuah masjid di daerah Qaboon, tempat berlakunya pertempuran sengit antara tentera kerajaan dengan pemberontak Tentera Pembebasan Syria (FSA).

“Ia adalah pembalasan dendam terhadap pembunuhan beramai-ramai di Daraya,” kata jurucakap batalion Badar FSA, Omar al-Qabooni.


Dia juga mendakwa pihaknya menemui mayat juruterbang terbabit selepas helikopter berkenaan terbakar setelah terhempas.


Beberapa letupan menggegarkan bandar raya Damsyik sejurus selepas Subuh sementara Pemerhati Syria bagi Hak Asasi melaporkan pertempuran berlaku di Waboon dan Jubir.

Sentimen anti-Bashar amat kuat di kedua-dua daerah berkenaan.


FSA sebelum ini mendakwa menembak sebuah jet pejuang Syria pada 13 Ogos lalu di wilayah Deir Ezzor tetapi dakwaan itu tidak boleh disahkan.

Serangan di timur laut Damsyik itu dilancarkan sehari selepas aktivis pembangkang menuduh kerajaan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Daraya yang terletak di barat daya Damsyik.


Menurut Pemerhati Syria, ratusan mayat ditemui di bandar yang mempunyai penduduk majoriti berfahaman Sunni itu selepas aktivis mendakwa tentera yang setia kepada Bashar melancarkan serangan selama lima hari dengan mengguna meriam, membunuh dan menyerbu rumah ke rumah.


Menurutnya semalam, 334 mayat ditemui di Daraya dan 241 sudahpun dikenal pasti.


Tentera kerajaan melancarkan serangan itu Selasa lalu dalam usaha menawannya semula. - AFP

Dua askar Nato dibunuh tentera Afghanistan




         
KABUL: Seorang tentera Afghanistan membunuh dua askar Nato dalam satu serangan semalam.

Penyerang itu bagaimanapun ditembak mati oleh anggota Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF).


“Seorang tentera Afghanistan mengacukan senjata ke arah askar ISAF dan melepaskan tembakan, membunuh dua anggota kami di timur wilayah Laghman hari ini (semalam),” kata jurucakap ISAF kepada media. Pembunuhan terbaru itu meningkatkan jumlah kematian dilakukan penyerang dari kalangan pasukan keselamatan Afghanistan pada bulan ini kepada 12.

Ia juga menjadikan jumlah mereka yang mati dalam serangan seumpama itu tahun ini kepada 42, iaitu kira-kira 13 peratus daripada semua kematian tentera Nato sepanjang tahun.


Kejadian serangan oleh anggota beruniform Afghanistan menghakis kepercayaan antara tentera kedua-dua pihak. - AFP

Wanita 15 suami diburu

SHAHANAZ.
SHAHANAZ.

KERALA: Seorang wanita yang melarikan diri dari bandar raya ini diburu polis selepas meninggalkan setiap lelaki yang dikahwininya.
Shahanaz, 33, dipercayai berkahwin dengan puluhan lelaki sejak beberapa tahun lalu. Walaupun sesetengah laporan mendakwa dia ‘berkahwin’ lebih 50 kali, pihak berkuasa berkata hanya 15 lelaki yang tampil membuat laporan.

Shahanaz pertama kali berkahwin kira-kira 11 tahun lalu dengan seorang lelaki bernama Siddique dan mempunyai seorang anak.

Bagaimanapun, berita mengenai perkahwinannya hanya terbongkar apabila dua daripada suaminya tampil di balai polis Chennai dan aduan susulan dibuat oleh beberapa mangsa lagi.

Keseluruhannya tujuh aduan rasmi sudah dibuat terhadapnya, tetapi tidak mustahil lebih ramai lagi mangsa yang akan muncul.

Aduan pertama dibuat oleh Manikandan, 24, yang bekerja di bilik pameran kedai kereta.


Shahanaz memberitahunya dia mencari lelaki yang menipu kawannya selepas berjanji untuk mengahwininya.

Menurut akhbar Indian Express, mereka banyak kali bercakap di telefon dan kemudian menjadi rapat.

Shahanaz memberitahunya dia anak yatim sejak kecil dan mendakwa bekerja sebagai peguam bela di mahkamah tinggi Madras. Dia juga memberitahu sedang belajar untuk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam.

Mereka berkahwin April lalu tanpa restu ibu bapa Manikandan.

Dua bulan kemudian, Shahanaz meyakinkan Manikandan dia perlu tinggal di asrama supaya dapat bersedia untuk menduduki peperiksaan.

Manikandan mendakwa dia menjual barang kemas yang dibeli untuk perkahwinan mereka untuk digunakan Shahanaz. Dua minggu kemudian, Shahanaz hilang dari asrama dan tidak dapat dikesan.

Ketika polis mula menyiasat kes itu, seorang lagi lelaki, Prasanna, pemain bola sepak daerah tampil mengatakan dia juga berkahwin dengan Shahanaz beberapa tahun lalu.

Polis kini mendapati Shahanaz turut berkahwin dengan orang lain termasuk Rajesh, Chandrababu dan Saravanan. - DM

Masjid dijadikan berek tentera




         
MANILA: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Filipina, Kawagip, menuduh pasukan keselamatan Filipina menjadikan beberapa masjid di wilayah Maguidanao, selatan Filipina, berek sementara untuk anggota tentera dalam operasi memerangi pejuang Islam.

Wartawan Radio Australia melaporkan, pertubuhan Kawagip mendakwa mengumpulkan keterangan saksi yang berkata pihak tentera menduduki beberapa masjid di dua bandar di Maguidanao.


Mereka turut mendakwa, anggota tentera turut ditempatkan di rumah penduduk. Setiausaha Agung Kawagip berkata, mereka akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana dalam Konvensyen Peperangan menetapkan rumah ibadat dan penduduk tidak boleh digunakan ketika konflik.

Namun begitu, pegawai tentera Filipina menafikan tuduhan itu sebaliknya berkata pemberontak yang menduduki masjid di kawasan berkenaan. - Republika

Pejuang luar sertai pemberontak Syria



Pejuang luar sertai pemberontak Syria
Serangan balas di antara pemberontak Syria dan tentera kerajaan menyebabkan ribuan penduduk menjadi pelarian.
DAMSYIK - Kumpulan pemberontak di bandar terbesar Syria, Aleppo mengakui kini berhadapan tentangan hebat daripada rakyat tetapi memaklumkan tindakan serangan ke atas bandar-bandar dalam negara itu untuk menjatuhkan Presiden Bashar Al-Assad dibantu oleh pejuang asing.

Menurut pemberontak, sukar bagi mereka menentang tentera kerajaan terutama sekali apabila terpaksa menyerang beberapa kawasan kejiranan miskin dan menubuhkan pangkalan.

Kumpulan aktivis memberitahu, serangan bertalu-talu termasuk tembakan dengan helikopter setakat kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang yang sedang berlindung di kejiranan Kfar Souseh, Daraya, Qadam dan Nahr Aisha.

"Keseluruhan Damsyik kini bergegar dengan bunyi tembakan dan bedilan bom dari arah darat dan udara," kata seorang wanita di Kfar Souseh.

Dia yang enggan memberitahu nama berkata, kumpulan tentera kerajaan turut melepaskan tembakan ke arah ibu kota dari Qasioun dan pergunungan Saraya.

Serangan berterusan di Damsyik itu berlaku seiring dengan pemergian kumpulan pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang meninggalkan negara selepas gagal melakukan gencatan senjata.

Setakat ini, seramai 170,000 penduduk Syria menjadi pelarian selain PBB percaya angka sebenar lebih daripada itu .

Sebuah sekolah di pinggir Aleppo turut dijadikan tempat perlindungan kepada lebih 500 penduduk yang melarikan diri.

Sempadan Mesir dibuka semula




27 Ogos 2012
Seorang lelaki menyeludup peti sejuk melalui terowong bawah tanah dari Gaza ke Mesir sebelum pintu s
Seorang lelaki menyeludup peti sejuk melalui terowong bawah tanah dari Gaza ke Mesir sebelum pintu sempadan di Rafah di buka semula.
RAFAH - Mesir membuka semula pintu sempadannya dengan Gaza kelmarin, sejak ia ditutup sepanjang bulan ini ekoran serangan ke atas tentera Mesir pada 5 Ogos lalu.

Menurut sumber keselamatan Palestin dan Mesir, ia merupakan isyarat kepada penambahbaikan hubungan antara kerajaan Mesir baru yang diketuai Presiden, Mohammed Mursi dan pemimpin Islam Hamas di Gaza sejak serangan lelaki bersenjata yang mengorbankan 16 tentera Mesir di sempadan Israel.

"Pihak di sebelah Mesir telah memaklumkan kepada kita bahawa pintu sempadan Rafah akan dibuka sepanjang hari dalam minggu ini tanpa memberikan sebarang butir lanjut," kata Ehab Al-Ghsain, jurucakap kepada Menteri Dalam Negeri di Gaza.

Sebelum ini aktiviti perniagaan di antara dua negara itu lembab kerana kejatuhan tahap keselamatan Mesir namun beberapa perniagaan masih diteruskan di bawah terowong yang membolehkan mereka menyeludup barangan dari sempadan Gaza ke Mesir di bawah penyeliaan pemimpin Hamas.

Susulan berlakunya kepincangan terhadap keselamatan di Mesir, Mursi telah menyakinkan Hamas bahawa negaranya meminta satu perbatasan baru rejim yang bakal mewujudkan zon perdagangan bebas di antara Mesir dan Gaza.

Bagaimanapun, Mursi berkata perdagangan merentasi sempadan terbuka itu bakal mencetuskan beberapa kemungkinan yang tidak dijangka seperti menambahkan jurang ekonomi penduduk Gaza serta pemisahan politik dari Tebing Barat yang terletak di Israel.

Menteri Libya letak jawatan




28 Ogos 2012
Masjid besar Sha'ab dimusnahkan, termasuk makam tokoh Islam
Masjid besar Sha'ab dimusnahkan, termasuk makam tokoh Islam. Gambar kecil: Al
TRIPOLI - Menteri Dalam Negeri Libya, Fawzi Abdel-Al meletak jawatan selepas Ahli Parlimen menuduhnya gagal menghentikan serangan merobohkan sebuah makam tokoh Islam dan masjid besar Sha'ab.

Menurut laporan agensi berita Libya, Al telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Abdurrahim El-Keib sebaik saja serangan berlaku, kelmarin.

Jurucakap pasukan keselamatan Libya, Abdel Moneim Al-Hurr berkata, seramai 17 suspek ditahan bagi membantu siasatan.

"Penyerang memusnahkan masjid di tengah Tripoli yang menempatkan makam tokoh Islam sehari selepas makam tokoh di bandar Zlitan dan sebuah perpustakaan masjid dibakar," kata Hurr.

Kemusnahan di masjid Sha'ab itu dilakukan pada siang hari dan dikecam rakyat, pegawai kerajaan dan masyarakat luar negara.

Didakwa bising ketika berasmara




28 Ogos 2012
LONDON - Sepasang kekasih dari Adelaide, Australia, didakwa mengganggu ketenteraman awam kerana kerap membuat bising, terutama ketika berasmara hingga menimbulkan kemarahan jirannya.

Kediaman Jessica Angel, 34, dan Colin MacKenzie, 45, pernah didatangi polis sebanyak 20 kali dalam tempoh empat bulan selepas menerima laporan dari jirannya dan mereka juga pernah didenda 3,000 pound (RM14,410) mengikut Akta Pelindungan Ketenteraman Awam.

MacKenzie berkata, kekasihnya kerap memintanya melakukan hubungan seks empat hingga ke tujuh jam, lima kali dalam seminggu.

Menurut ketua polis daerah, Trevor Lovegrove, pasangan itu pernah diarah supaya tidak mengulangi kesalahan itu bagi tempoh 72 jam, tetapi tetap mengulangi kesalahan itu dua hari kemudian.

“Mereka menjerit, mengerang dan ketawa sekuat hati sehingga pihak kami terpaksa menahan mereka kerana mendapat laporan awam,” katanya.

Isu Rohingya: OIC lawat Myanmar minggu depan




28 Ogos 2012
Rohingya
Foto fail menunjukkan penunjuk perasaan Rohingya ketika mengadakan protes di hadapan pejabat PBB di Myanmar Jun lalu. - Foto ihsan
DUBAI - Susulan sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mengeluarkan kenyataan 14 perkara di Makkah dua minggu lalu, satu delegasi tertinggi akan mengunjungi Myanmar minggu depan.

Kenyataan 14 perkara itu bertujuan mengenakan tekanan ke atas kerajaan Myanmar bagi menghentikan diskriminasi yang berterusan dan hostiliti pentadbiran yang terpaksa dilalui Muslim Rohingya di wilayah Arakan.

Dipetik portal The Gulf Today hari ini, Ketua Pengarah Kesatuan Rohingya Rakhine, Profesor Wakar Uddin berkata, delegasi OIC akan melawat Myanmar minggu depan.

"Dua minggu lalu, OIC telah menghantar delegasi pertama bersama Palang Merah dan yang lain-lain ke Myanmar, yang telah melawat kem-kem yang menempatkan Muslim Rohingya selepas mereka dipaksa meninggalkan rumah mereka dan tinggal di kem-kem pelarian dalam keadaan yang amat menyedihkan," katanya.

"Delegasi kedua akan bertolak ke Myanmar minggu depan dan ia akan diketuai oleh Setiausaha Agung OIC (Dr Ekmeleddin Ihsanoglu), satu lawatan penerokaan untuk mendapatkan fakta mengenai penindasan dilakukan oleh polis Myanmar dan kumpulan-kumpulan lain ke atas Muslim Rohingya," kata beliau lagi.

ARU dibentuk atas arahan Ekmeleddin yang menggesa agar komuniti Islam Myanmar di seluruh dunia menubuhkan kesatuan itu. Ia ditubuhkan pada Mei 2011.

"Pada awalnya kami ada 25 organisasi Muslim Myanmar, yang beroperasi di seluruh dunia dan yang lain-lain akan menyertai kami sebagai satu platform tunggal untuk mewakili Muslim Rohingya," katanya lagi.

Menurut Wakar, Myanmar mempunyai tiga juta kaum Muslim dan separuh daripadanya adalah Rohingya, yang tinggal di negeri Rakhine, yang dahulu dikenali sebagai Arakan.

Katanya, minggu lalu sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia bercadang untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar.

"Ini satu perkembangan besar untuk membantu Muslim Rohingya," katanya.

Katanya, Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA) akan menganjurkan satu konvensyen di Washington DC mulai 31 Ogos hingga 2 September ini, yang akan memfokus Muslim Rohingya.

Ratusan korban di Daraya




27 Ogos 2012
Penduduk Daraya mengebumikan jenazah mangsa kekejaman di pinggir bandar itu.
Penduduk Daraya mengebumikan jenazah mangsa kekejaman di pinggir bandar itu.
DAMSYIK - Keganasan yang masih berlarutan di Syria susulan tercetusnya pemberontakan terhadap kerajaan Bashar Al-Assad kini menular ke pinggir bandar utama Syria, Daraya yang mana lebih 200 penduduk dibunuh.

Menurut aktivis, mayat-mayat berkenaan ditemui di dalam rumah-rumah dan di tingkat bawah tanah sekitar Daraya selain mempercayai dibunuh oleh tentera kerajaan.

"Tentera kerajaan telah membunuh mereka dengan menyerbu ke rumah-rumah mangsa. Malah semua badan mayat itu menunjukkan bukti bawah mereka telah ditembak oleh penembak hendap selain ada yang ditembak dari jarak dekat," kata aktivis, Abu Kinan.

Kinan berkata, serangan tidak berperikemanusiaan itu turut melibatkan pembunuhan ke atas kanak-kanak dari jarak yang amat dekat.

Dalam pada itu, penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, pertempuran di antara dua pihak itu telah mewujudkan rumusan bahawa mereka melakukan hukuman mati secara mendadak terhadap mangsa dan ianya adalah satu jenayah perang.

Walau bagaimanapun, tentera kerajaan dan pengikut setia Assad dilaporkan telah melakukan kesalahan melebihi kesalahan pemberontak.

Kanak-kanak, wanita dibunuh kejam




24 Ogos 2012
Kanak-kanak, wanita dibunuh kejam
Seorang penyerang (tengah) yang bersenjatakan lembing dan busur panah berjaya diberkas penduduk etnik Orma.
MOMBASA - Gara-gara merebut sumber air dan tanah untuk ternakan, sekurang-kurangnya 48 wanita termasuk 11 kanak-kanak dibunuh kejam oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang, lembing dan senjata api di tenggara Kenya, kelmarin.

Menurut ketua polis daerah Sungai Tana, Joseph Kavoo, serangan dalam Reketa wilayah Tarassa itu tercetus selepas kumpulan peladang dan penternak bertegang urat merebut kawasan pertanian mereka.

"Mereka memasuki beberapa kediaman kemudian mengelar, menikam dan menembak mangsa-mangsa yang keseluruhannya kanak-kanak dan wanita," kata Joseph.

Serangan dua etnik itu adalah yang terburuk di Kenya  sejak tercetusnya keganasan pilihan raya empat tahun lalu.

Saksi kejadian berkata, serangan bermotifkan dendam itu bermula pada waktu subuh apabila sekumpulan 200 lelaki daripada etnik peladang Pokomo menyerbu kampung dalam Reketa dan membakar rumah etnik gembala Orma.

Kes kecurian lembu, pergaduhan merebut kawasan padang ragut dan ladang serta sumber air adalah perkara biasa dalam dua komuniti yang menghuni timur Afrika.

Ribuan pelarian Syria terkandas




28 Ogos 2012
pelarian Syria
Keluarga pelarian Syria yang tidak memiliki pasport perjalanan terpaksa menunggu di tempat perlindungan selama beberapa hari sebelum menaiki bas ulang alik.
DAMSYIK - Pemberontakan untuk menjatuhkan Presiden Bashar Al-Assad sehingga mencetuskan kekacauan di Syria, sekali gus puluhan ribu rakyatnya bertindak melarikan diri ke sempadan ke negara jiran.

Menurut aktivis, daripada 10,000 pelarian yang melarikan diri ke Turki, masih berbaki 5,000 orang yang terkandas di sempadan Syria.

"Ratusan pelarian terpaksa berlindung buat sementara waktu di stesen bas sebelum melintasi sempadan Syria, Bab Al-Salama bersebelahan dengan sempadan Turki sebelum sampai ke kem pelarian yang dilengkapi dengan khemah, masjid dan piring satelit," kata aktivis.

Namun, kem pelarian kini semakin sesak dan tanpa pasport perjalanan serta bayaran tambang bas, pelarian terpaksa melalui jalan jauh untuk sampai ke sempadan negara.

Seorang lelaki yang terkandas di sempadan sejak lima hari lalu bersama keluarganya kerana ketiadaan pasport perjalanan, sehingga terpaksa duduk dan tidur di atas sehelai tikar sementara menunggu bas ulang alik tibamembawa mereka ke Turki.

"Tujuan kami ke Turki adalah semata-mata mahukan perlindungan. Pada mulanya saya agak berat untuk pergi tetapi mengubah fikiran selepas rumah kami musnah terkena serangan udara beberapa hari lalu di Aazaz," kata Ali, 34, yang turut membawa isteri, tiga anak serta ibunya.

Ali mengakui pembunuhan di beberapa bandar Syria semakin meruncing dan ramai orang awam yang tidak berdosa meninggal dunia hasil pertempuran tentera kerajaan dengan pemberontak.

17 dipancung kepala ketika berpesta



ANGGOTA kumpulan Taliban dipercayai mendalangi pembunuhan kejam di Musa Qala, Helmand, Afghanistan semalam.


KANDAHAR - Sebuah pesta larut malam di wilayah Helmand, selatan Afghanistan bertukar menjadi tragedi ngeri apabila seramai 15 lelaki dan dua wanita ditemui dalam keadaan kepala mereka dipenggal semalam, kata beberapa pegawai.
Semua mangsa dipercayai dibunuh hanya kerana mereka mengadakan sebuah parti melibatkan pergaulan antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta tarian.
Seorang gabenor daerah, Nimatullah ketika mengesahkan pembunuhan kejam itu berkata, semua mayat ditemui di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.
"Mereka mengadakan sebuah parti malam kelmarin berserta iringan muzik dan acara tarian apabila diserang oleh kumpulan Taliban," kata Nimatullah.
Menurutnya, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan kekejaman tersebut.

Kambing panjat pokok di Maghribi




BEBERAPA ekor kambing memanjat pokok argan untuk memakan buahnya di sebuah gurun dekat Essaouira, Maghribi semalam.


RABAT - Senario beberapa ekor kambing memanjat sebuah pokok argan di sebuah kawasan gurun dekat Essaouira, barat Maghribi mendapat sambutan hebat di laman perkongsian video YouTube.
Haiwan itu memanjat pohon berkenaan untuk memakan buahnya yang manis.
Pokok yang dapat hidup pada musim kemarau itu digunakan oleh penduduk Maghribi untuk menghasilkan sejenis minyak bagi pembuatan kosmetik dan ubat.
Minyak argan merupakan antara minyak termahal di dunia dengan komoditi tersebut dijual pada harga sekitar AS$300 (RM939) seliter. - AFP

Penganut fahaman Syiah di Indonesia diserang








SAMPANG, Indonesia - Serangan ke atas penganut fahaman Syiah di Indonesia menyebabkan dua lelaki terbunuh dan berpuluh-puluh buah rumah dibakar.
Kira-kira 500 orang penganut fahaman Sunni bersenjatakan parang kecil dikatakan menyerang sekumpulan pelajar di bandar Sampang, wilayah Jawa Timur pada Ahad lalu.
"Perselisihan fahaman agama kian meningkat kerana penguatkuasaan undang-undang untuk menangani keganasan tidak dilaksanakan dengan berkesan. Keadaan ini menggalakkan berlakunya keganasan ke atas orang awam," kata penyelidik Institut untuk Demokrasi dan Keamanan Setara, Ismail Hasani.
Jurucakap polis wilayah Jawa Timur, Hilman Thayib memberitahu, dua lelaki terbunuh dan enam yang lain cedera. Sementara sebanyak 39 buah rumah dibakar dalam serangan terbabit. Menurutnya, hampir 2,000 orang pegawai polis dan keselamatan diarah ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.
"Mangsa mati kerana diserang dengan sabit. Seorang mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia pagi tadi. Setakat ini, kami telah menahan lapan orang suspek," kata Thayib.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.
Ini bukan insiden pertama di wilayah tersebut. Disember lalu, penganut fahaman Syiah di Nangkernang diserang. Beratus-ratus rumah dan sebuah sekolah agama dibakar, sekali gus memaksa 500 orang mangsa melarikan diri dari kampung mereka. - AFP

14 lagi mayat ditemui dekat Damsyik



FOTO menunjukkan mayat-mayat terbaring di atas simen semalam di bandar Daraya dekat ibu kota Damsyik.



BEIRUT - Sekurang-kurangnya 14 lagi mayat ditemui di bandar Daraya dekat Damsyik selepas aktivis melaporkan satu pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan berlaku di situ dalam serangan lima hari oleh tentera rejim Syria, kata pemerhati semalam.
Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia sebelum ini melaporkan penemuan 320 mayat di Daraya selepas satu serangan yang disifatkan sebagai sangat kejam, pembunuhan tanpa perbicaraan dan serbuan rumah ke rumah oleh tentera kerajaan.
Pemerhati berkata, sehingga kini ia telah mengenal pasti seramai 220 mangsa yang dibunuh.
Jawatankuasa Penyelaras Tempatan sebuah rangkaian aktivis menyifatkan insiden itu sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.
Kumpulan pemerhati Britain menjelaskan sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh di negara bersengketa itu kelmarin. Mereka terdiri daripada 105 orang awam, 26 pejuang pemberontak dan 18 tentera.
Kelmarin, tentera rejim mengebom bandar Basra al-Sham dalam wilayah Daraa dan membunuh sekurang-kurangnya 17 orang awam.
Serangan terbaru yang berlaku semalam pula membunuh tiga orang lelaki, kanak-kanak dan dua wanita di Kafr Batna dalam wilayah Damsyik.
Menurut angka pemerhati, kira-kira 25,000 mangsa yang kebanyakannya orang awam telah terbunuh di Syria sejak tercetusnya kebangkitan rakyat pada Mac tahun lalu. - AFP