Pages

Showing posts with label simbah. Show all posts
Showing posts with label simbah. Show all posts

Thursday, January 19, 2012

Simbah air panas

KUALA LUMPUR: Tidak tahan mendengar leteran, seorang lelaki berusia lewat 30-an bertindak kejam apabila mencurahkan air panas terhadap adiknya dalam kejadian di rumah mereka di Jinjang Utara, di sini, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 31 tahun melecur teruk di tangan kanan dan badan selain mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh.

Mangsa kini masih dirawat di wad Hospital Selayang (HS) dan difahamkan, keadaannya stabil.

Menurut sumber, kejadian itu bermula apabila mangsa meleteri abangnya itu yang malas bekerja.

“Mangsa turut memarahi sikap abangnya itu yang sering meminta wang daripada ibu mereka. Ketika itu, abang mangsa sedang membaiki basikal miliknya di hadapan rumah,” katanya.

Sumber berkata, akibat tidak tahan dengan leteran itu, abang mangsa memarahi pula mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran.


“Selesai bertengkar, abang mangsa terus masuk ke dalam rumah dan kira-kira 15 minit, dia keluar semula dengan membawa cerek sebelum menyimbah air panas ke arah mangsa.

“Mangsa yang cuba melarikan diri bagaimanapun gagal sebelum terkena air panas berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian menggelupur menahan kesakitan sebelum ibunya yang berada di dalam rumah bergegas keluar mendapatkannya.

“Abang mangsa yang panik melihat kecederaan adiknya itu kemudian melarikan diri sebelum mangsa dibawa ke HS untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa yang melecur di tangan kanan dan badannya itu turut mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya dipercayai akibat terjatuh.

Lelaki terbabit dilaporkan stabil namun masih dirawat di hospital berkenaan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di pondok polis hospital berkenaan sebelum kes itu dirujuk semula ke Balai Polis Jinjang, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, sehingga kini abang mangsa belum ditahan, namun usaha memburunya sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Wednesday, September 7, 2011

Teman wanita ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 24 tahun yang menyimbah air panas ke kemaluan teman lelakinya ditahan reman bermula kelmarin sehingga Jumaat ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, penahanan wanita terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki melecur di perut dan kemaluannya selepas disimbah air panas oleh teman wanita terpaksa berlari bogel lebih lima kilometer (km) bagi mendapatkan bantuan di Balai Polis Kota Damansara.

Dalam kejadian jam 8 pagi di sebuah hotel di Jalan PJU5, Kota Damansara di sini, mangsa yang berusia lewat 20-an, diserang teman wanitanya selepas berlaku pertengkaran apabila mangsa mahu menamatkan hubungan mereka. Sebelum kejadian pasangan terbabit dilaporkan bertengkar selepas mendaftar masuk ke hotel itu jam 11 malam, Sabtu lalu.

Tuesday, June 14, 2011

Pacuan empat roda pegawai SPRM disimbah cat merah



Foto Menarik
PENOLONG Kanan Penguasa SPRM, Cawangan Perisikan Khas, Putrajaya, Mhd. Yussof Zakaria menjadi mangsa simbah cat apabila kereta pacuan empat roda miliknya disimbah dengan cat merah oleh pihak yang mungkin tidak berpuas hati terhadap tindakan SPRM. Foto: Afendi Mohamed (13/06/2011)


PUTRAJAYA: Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disimbah cat merah, disyaki angkara khianat pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan dilakukannya.
Berikutan kejadian itu, pegawai terbabit, Mhd Yussof Zakaria, 48, yang bertugas di Cawangan Perisikan Khas, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, di sini, semalam.

Mangsa mendapati kenderaannya disimbah cat merah pada cermin dan bahagian depan pada kira-kira jam 7 pagi semalam, ketika ke kenderaannya yang diletakkan berdekatan rumahnya di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Pada jam kira-kira 11 malam kelmarin beliau melihat kenderaan berkenaan dalam keadaan sempurna.

Justeru, beliau mengesyaki perbuatan berkenaan dilakukan oleh individu yang marah dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukannya.


Bagaimanapun, beliau ketika ditemui sebaik selesai membuat laporan itu enggan memberi ulasan lanjut mengenai kejadian berkenaan kerana tidak mahu mengganggu sebarang prosedur siasatan. Sementara itu, jurucakap balai berkenaan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pegawai terbabit.
myMetro | Pacuan empat roda pegawai SPRM disimbah cat merah

Saturday, December 18, 2010

Wanita koma ditikam 19 kali, disimbah asid



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Othman

2010/12/18

NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa   tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.
NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.


Bayi dalam kandungan maut

ULU TIRAM: Seorang wanita yang mengandung enam bulan koma manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas dia ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, di sini pagi kelmarin.

Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Intensif Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru berikutan cedera di bahagian perut, selain melecur di muka, belakang badan, tangan dan kaki.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, Nurain Ashikin Jemedi, 17, didatangi seorang lelaki berusia 42 tahun yang kemudian secara tiba-tiba menikam mangsa sebelum menyimbah cuka getah ke seluruh badan mangsa.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada bersama adik perempuannya berusia 13 tahun dan anak saudaranya berusia 2 tahun, manakala ibunya keluar menoreh getah di kawasan berhampiran rumah mereka.

Suspek dikatakan menyerbu masuk rumah mangsa sebelum menendang pintu biliknya dan menyerang mangsa dengan menikamnya sebanyak 19 kali.

Mangsa cuba melarikan diri ke bilik air, namun suspek mengejar mangsa serta menyimbahnya dengan cuka getah menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan.

Adik mangsa yang berada di tempat kejadian menelefon kakak mereka bagi memaklumkan kejadian itu yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, ketika mengesahkan kejadian berkata, suspek ditahan selepas menyerah diri sejurus kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca akibat cemburu selepas mangsa yang mengenali suspek sejak berusia 12 tahun, dikatakan keluar bersama lelaki lain.

“Anak dalam kandungan mangsa meninggal dunia akibat terkena tikaman suspek, malah mangsa juga kini koma dan hampir seluruh badannya termasuk bahagian muka melecur akibat disimbah asid.

“Suspek kini direman sehingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, kakak mangsa, Zuraidah Jemedi, berkata dia dan keluarganya tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa adiknya.

“Kami dan tidak menyangka suspek boleh berkelakuan sebegitu. Suspek memang baik dengan keluarga kami, malah dia turut ada hati dengan Ain,” katanya.

Friday, December 3, 2010

Saya tetap sayangkan ayah - Lin




CHE KU ZAIMAH sedih melihat wajah anaknya, Nurul yang cacat di rumahnya di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU – “Saya malu apabila kawan-kawan terutama yang lelaki mengejek saya hantu. Tolong jangan panggil saya begitu.”
Demikian luahan dan rayuan spontan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, mengenai nasib malang dirinya apabila wajahnya cacat akibat disimbah asid oleh bapanya sendiri.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan manja Lin mengakui tragedi yang berlaku kira-kira lima bulan lalu itu menyebabkan perasaan malu dan rasa rendah diri menghantuinya sepanjang masa.
Malah sejak kejadian itu, murid Sekolah Kebangsaan Padang Star itu tidak boleh pergi ke mana-mana melainkan ke hospital dan perpustakaan desa berdekatan rumah kerana tidak sanggup diejek rakan-rakan.
“Dulu saya pakai topeng apabila mahu keluar rumah tetapi apabila terserempak rakan-rakan, mereka akan bercakap hantu dah datang. Saya malu.
“Kerana malu dipanggil hantu, saya tak mahu pakai topeng rawatan muka yang diberikan oleh doktor.
“Tetapi inilah jadinya, parut jadi lebih teruk hingga kulit jadi menggelembung,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu, Kuala Berang di sini semalam.

Thursday, December 2, 2010

Lelaki simbah asid kena penjara



Oleh Abdul Halim Yusoff
halem@bharian.com.my
2010/12/02


  • Foto
    Dahyatul bersama ibunya, Che ku Zaimah, semalam.
  • Foto
    MANGSA simbah asid, Dahyatul (kiri), isteri Mat Haizan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang (dua dari kiri) serta Irfan (kanan) yang dipangku neneknya, Minah Omar di luar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
  • Foto
    Mat Haizan Mat Yasin
Foto
MANGSA simbah asid, Dahyatul (kiri), isteri Mat Haizan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang (dua dari kiri) serta Irfan (kanan) yang dipangku neneknya, Minah Omar di luar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.



Tertuduh mengaku bersalah cederakan dua anak turut dihukum dua sebatan

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini semalam, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kepada seorang lelaki kerana mendatangkan cedera parah terhadap anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, dengan simbahan asid.
Bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan cedera pada anak bongsunya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, tertuduh, Mat Haizan Mat Yasin, 32, dihukum penjara dua tahun dan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 16 Ogos lalu.
Hakim M Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu selepas menimbangkan pengakuan bersalah Mat Haizan serta mengambil kira sokongan keluarga itu yang masih melawat mangsa di Penjara Marang walaupun menjadi mangsa perbuatan kejam tertuduh.

M Bakri dalam penghakimannya berkata, penjara dalam tempoh panjang tidak boleh memberi jaminan seseorang akan berubah tetapi kasih sayang keluarga dapat memberi peluang pesalah memulakan hidup baru.

"Dalam kes ini, tertuduh bernasib baik kerana keluarga masih sudi melawatnya di penjara tetapi terpulang kepada isterinya sama ada mahu menerimanya semula atau tidak.

"Saya ingin mengingatkan orang yang kuat bukan kerana berjaya mengalahkan berpuluh musuh tetapi mereka yang boleh mengawal nafsu marahnya,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Mat Haizan yang menganggur didakwa sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Nurul Dahyatul Fazlinda dengan menggunakan benda melecur iaitu asid, pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu, di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Irfan Firdaus pada tarikh, masa dan tempat sama.

Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan empat beranak iaitu isteri, dua anak dan ibu mentua Mat Haizan cedera akibat terkena asid dilempar tertuduh yang berang dengan tindakan isterinya meminta cerai.

Dia dikatakan memecah masuk rumah ibu mentuanya, Minah Omar, 56, dengan membawa sebungkus plastik cecair mengandungi asid yang kemudian disimbah kepada mereka.

Dalam prosiding semalam, tertuduh diwakili peguam Faezahnoor Hassan, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan yang dijatuhkan mahkamah sama pada 25 Ogos lalu, selepas mengaku salah menyimbah asid ke atas isterinya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28.

Wednesday, November 17, 2010

Mangsa simbah asid jadi model menawan




GAMBAR menunjukkan gaya Katie Piper untuk majalah Reveal selepas dia menjalani pembedahan. GAMBAR KECIL:KATIE PIPER sebelum wajahnya dibedah.




LONDON - Seorang model dan hos televisyen, Katie Piper berusia 27 tahun yang mengalami kecacatan muka akibat disimbah asid kini tampil menawan dalam sesi fotografi majalah Reveal, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, dia dirogol, dipukul dan ditikam beberapa kali di lengannya oleh bekas kekasihnya yang cemburu, Daniel Lynch pada Mac 2008.
Dia kemudian menjalani lebih 40 pembedahan dan memakai topeng 23 jam sehari untuk mengurangkan parut di wajahnya.
"Ia merupakan satu perasaan yang mengagumkan untuk menjadi model dan saya mempunyai perasaan seperti seorang gadis yang normal semula.
"Saya sepatutnya menjadi seorang mangsa serangan asid tetapi akhirnya saya menjadi diri saya yang sebenar," kata Piper.
Menurutnya, dia berharap wanita lain yang wajah mereka mengalami kecacatan akan melihat wajahnya supaya mereka berasa yakin pada diri sendiri.
Piper yang telah menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu wanita lain yang menjadi mangsa melecur dan kecacatan wajah berkata, dia kini berasa gembira dengan kehidupannya.
- Agensi

Thursday, November 11, 2010

Mangsa simbah asid oleh ahli keluarga mohon bantuan kos pembedahan




Mangsa simbah asid oleh ahli keluarga mohon bantuan kos pembedahan

Derita mangsa disimbah asid dapat perhatian pelbagai pihak



ISMAIL Abi Hashim (kiri) bertanyakan keadaan Azri Abdullah (dua dari kiri) yang menderita akibat disimbah asid di Taman Tunku Putra, Kulim, Kedah kelmarin. - utusan/ ABD RAZAK OSMAN



KULIM 25 Jun - Nasib seorang bekas pekerja kilang, Azri Abdullah, 41, yang menderita akibat kecederaan di seluruh tubuh selepas menjadi mangsa disimbah asid Disember lalu, mula mendapat perhatian pelbagai pihak.
Kisahnya yang tersiar dalam akhbar ini bukan sahaja mendapat perhatian orang ramai, malah Pertubuhan Keselamatan Sosial turut melahirkan rasa simpati dengan menghulurkan sumbangan kewangan kepada Azri.
Pengarah Perkeso Kedah, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya bersetuju menghulurkan bantuan pencen ilat kepadanya mulai bulan ini.
Katanya, buat permulaan, Azri akan mendapat bantuan wang sebanyak RM410.75 seperti mana yang ditetapkan dalam syarat-syarat caruman majikannya sebelum ini.
"Kita bersimpati dengan nasib yang dialami Azri dan berharap sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan menampung makan minumnya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Azri, dari Taman Tunku Putra di sini kini terpaksa menahan sakit akibat kecederaan di seluruh tubuh selepas menjadi mangsa disimbah asid sejak enam bulan lalu.
Azri yang masih bujang adakalanya menangis akibat tidak tahan menanggung kesakitan apabila kulitnya ditumbuhi ruam dan kepanasan.
Kesakitan yang dideritainya menyebabkan dia tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana tidak mampu banyak bergerak selain mata kanannya menjadi kabur.
Lebih malang, dia yang kini disisihkan keluarga terpaksa bergantung harap kepada tiga rakan karib iaitu Md. Dori Osman, 34; Shahrel Mohd. Ali, 28, dan Shahrul Kamel Jamaluddin, 41, yang menyewa rumah untuk menjaganya.
Kejadian malang tersebut berlaku sekitar Disember lalu selepas dia disimbah asid ketika perselisihan faham antara ahli keluarga.
Dalam pada itu, Azri berkata, dia kini memerlukan wang hampir RM40,000 bagi membiayai pembedahan mata kanannya yang hampir buta serta pembedahan lain.
"Dengan bantuan rakan-rakan, saya kini dirujuk ke Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bagaimanapun, kos yang diperlukan agak tinggi dan saya terpaksa menunggu sehingga duit cukup," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, pihaknya kini sedang menggerakkan satu tabung khas bagi mendapatkan dana untuk membantu kos rawatan Azri.
"Kita amat bersimpati dengan nasib yang dialami Azri dan berharap dengan tabung khas sejumlah sumbangan boleh dijana untuk membantu membiayai kos perubatan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya sebelum ini turut berjaya mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim sebanyak RM300 sebulan mulai April lalu.
Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan yang dialami Azri boleh menghulurkan bantuan kepadanya menerusi akaun simpanan RHB Bank bernombor 10702800602905 atau menghubungi rakannya, Shahrul Kamel di talian 012-5772130.