Pages

Showing posts with label afghanistan. Show all posts
Showing posts with label afghanistan. Show all posts

Monday, March 11, 2013

Veteran perang Soviet jadi tabib di Afghanistan

Bakhretdin Khakimov
Dua keadaan berbeza ketika Abdullah menjadi tentera dan tabib.
SEORANG veteran perang Soviet dilaporkan hilang 33 tahun lalu, ketika berperang di Afghanistan ditemui masih hidup dan bekerja sebagai tabib tempatan di wilayah Heart, Afghanistan.

Media tempatan melaporkan, Bakhretdin Khakimov  diselamatkan penduduk Afghanistan selepas cedera dalam bulan pertama selepas pencerobohan Soviet Union pada 1979, telah dijejaki kumpulan veteran perang berpusat di Moscow.

Beliau berasal dari Uzbekistan itu kini menukar nama kepada Sheikh Abdullah.

Ketika di temui kumpulan itu, beliau mengenakan pakaian penduduk tempatan dan bekerja sebagai tabib  bagi menyembuhkan penyakit penduduk di bandar itu.

Timbalan Ketua jawatankuasa veteran perang Afghanistan, Alexander Lavrentyev berkata, Abdullah mengakui gagal bertutur dalam bahasa Rusia dan tidak pernah menghubungi keluarganya di Uzbekistan selepas mengalami kecederaan parah dan trauma kronik sepanjang berada dalam pertempuran itu.

“Saya bertemu beliau di Herat bulan lalu. Ketika dalam peperangan itu, usia menjelaskan usianya baru menjangkau 20 tahun," katanya.

Menurutnya, kini Abdullah kelihatan sangat tua dan tangannya menggigil.

“Abdullah berkata dia bersyukur dan gembira kerana terselamat,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa pencarian veteran perang berusaha mengesan 29, 264 askar yang masih disenaraikan sebagai orang hilang sepanjang konflik berdarah selama sembilan tahun itu.

“Tujuh daripada mereka dikesan di Afghanistan dan memilih untuk terus tinggal di negara tersebut,” katanya.

Kira-kira 15,000 askar Soviet terbunuh dalam pertempuran antara Kesatuan Soviet ketika cuba mempertahankan kerajaan Marxis Afghanistan, iaitu Republik Rakyat Demokratik Afghanistan, menghadapi Mujahidin Afghanistan yang ingin menggulingkan kerajaan.

Kesatuan Soviet menyokong kerajaan Afghanistan, sementara para mujahidin mendapat sokongan dari banyak negara, seperti Amerika Syarikat dan Pakistan.

Perang ini mempunyai kesan sangat besar dan merupakan salah satu faktor hancurnya Kesatuan Soviet pada 1991. - Reuters

Tuesday, December 18, 2012

52 terbunuh insiden keganasan di 3 negara


Foto
Di Afghanistan: Penduduk berdiri berhampiran mayat kanak-kanak perempuan yang terbunuh akibat letupan periuk api di Jalalabad semalam.

Foto
Di Pakistan: Pekerja penyelamat memungut cebisan mayat mangsa serangan bom.


Di Iraq: Seorang budak lelaki meninjau kemusnahan akibat letupan bom berkembar di wilayah Kirkuk semalam.

Angka korban di Afghanistan, Pakistan, Iraq dijangka meningkat



JALALABAD: Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak perempuan terbunuh apabila periuk api meletup ketika mereka mencari kayu api di wilayah Nangarhar di timur Afghanistan semalam, kata pegawai.
“Kanak-kanak berkenaan, berusia antara sembilan dan 11 tahun, meninggal dunia apabila salah seorang daripada mereka secara tidak sengaja mengetuk periuk api itu dengan kapak.

“Sisa tinggalan periuk api sejak zaman memerangi tentera Soviet pada tahun 1980-an meletup, membunuh 10 kanak-kanak perempuan dan mencederakan dua lagi,” kata gabenor daerah Chaparhar, Mohammad Sediq Dawlatzai.

Ditanam musuh

Jurucakap kerajaan Nangarhar, Ahmad Zia Abdulzai, bagaimanapun berkata, periuk api itu ditanam oleh musuh Afghanistan, merujuk kepada Taliban, walaupun ia sudah agak lama berada di situ.

Dawlatzai berkata, mangsa mencari kayu api awal pagi sebelum menuju ke sekolah. “Kebanyakan mayat berkecai sehingga sukar dikenali,” katanya.

Sejak 1989, apabila Soviet berundur selepas pencerobohan tentera selama 10 tahun, hampir 700,000 periuk api dan lebih 15 juta lagi tinggalan bahan letupan sejak peperangan selama berdekad dimusnahkan, menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di PAKISTAN, sebutir bom kereta membunuh 17 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dan mencederakan berpuluh yang lain apabila ia meletup berhampiran sebuah perhentian bas di sebuah pasar di Jamrud, barat laut Pakistan, semalam, kata polis.

Letupan bom terbabit membunuh dan mencederakan penduduk yang menunggu bas untuk ke barat laut dan beberapa bahagian lain di negara itu, kata pihak berkuasa.

Darah memenuhi jalan

Darah dan cebisan daging mangsa memenuhi tepi jalan selain sekurang-kurangnya 20 kenderaan terbakar, kata seorang pemberita AFP. Pakaian, buku sekolah, kasut kanak-kanak dan burqa turut kelihatan bertaburan.

Jamrud adalah kawasan di daerah Khyber yang menjadi sebahagian daripada wilayah separa autonomi di sempadan Afghanistan. Taliban dan kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda lain, mempunyai kubu kuat di kawasan terbabit.

“Seramai 17 orang terbunuh dalam letupan itu. Sebanyak 14 mayat dibawa ke hospital manakala tiga lagi yang mengalami kecederaan dibawa ke Kompleks Perubatan Hayatabad, di Peshawar,” kata Dr. Sameen Jan Shinwari di ibu pejabat hospital itu di Jamrud.

Di IRAQ, Siri serangan menyasarkan pasukan keselamatan Iraq dan orang awam menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh, kata pihak berkuasa dan kumpulan perubatan sehari sebelum ulang tahun pertama pengunduran tentera Amerika Syarikat.

Keganasan berlaku selepas siri serangan membunuh 19 orang dan mencederakan 77 yang lain kelmarin. Kejadian semalam paling banyak menyebabkan kematian di Iraq sejak 29 November apabila 50 orang terbunuh. - AFP

Monday, December 17, 2012

10 kanak-kanak perempuan maut terpijak periuk api di Afghanistan



KABUL: Sepuluh kanak-kanak perempuan maut selepas satu periuk api tiba-tiba meletup ketika mereka sedang mencari kayu api di timur Afghanistan, awal pagi tadi.

Polis berkata, mereka percaya bahawa letupan berpunca daripada periuk api yang tidak meletup sejak bertahun lamanya dan meledak ketika kanak-kanak berkenaan berjalan melalui kawasan terbuka itu.

“Sekurang-kurangnya satu periuk api lama lain berjaya dijumpai di kawasan berhampiran,” kata jurucakap polis daerah, Hazrat Hussian Mashreqiwal.

Beliau juga berkata, letupan itu tidak berlaku di tepi jalan atau mana-mana sasaran yang jelas.

Pentadbir kerajaan daerah Chaperhar di Wilayah Nangarhar, Mohammad Seddiq, berkata kanak-kanak perempuan terbabit berusia dalam lingkungan sembilan hingga 13 tahun dan semua mereka berasal dari berlainan keluarga di perkampungan Dawlatzai.

“Dua lagi kanak-kanak perempuan parah dan masih berada dalam keadaan kritikal di hospital,” katanya ketika dihubungi AFP ketika melihat tempat letupan.

Afghanistan adalah antara negara yang paling banyak memiliki periuk api di dunia walaupun bertahun-tahun sudah dibersihkan. - AFP

Tuesday, November 27, 2012

10,000 tentera kekal di Afghanistan




27 November 2012
Tentera AS afghanistan
Seramai 10,000 anggota tentera AS kekal di Afghanistan bagi tujuan latihan keganasan hingga 2014.
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengambil keputusan mengekalkan 10,000 tentera AS di Afghanistan selepas operasi tempur di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tamat pada 2014.

The Wall Street Journal melaporkan, rancangan itu dicadangkan oleh Komander Tentera Antarabangsa AS di Afghanistan, John Allen bagi tujuan latihan tangani keganasan.

“Kira-kira 67,000 tentera AS dikerahkan ke Afghanistan bersama 37,000 tentera gabungan dan 337,000 askar tempatan serta polis bagi membentuk Anggota Keselamatan Afghanistan (ANSF),” katanya.

Menurutnya, AS tidak berhasrat mencari pangkalan tetap di Afghanistan tetapi tetap menjamin keselamatan, negara itu daripada dicerobohi terutama dari negara kejiranan.

Sementara itu, Presiden Afghanistan Hamid Karzai berkata, pihaknya sentiasa bersedia dengan kehadiran tentera AS selagi mereka patuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Afghanistan.

Bagaimanapun, penganalisis pertahanan luar percaya, misi latihan itu memerlukan kehadiran tentera AS dalam skala lebih besar iaitu melebihi 30,000 anggota. - AFP

Thursday, November 22, 2012

Tentera diarah ambil alih Penjara Bagram



Penjara Bagram yang masih dikawal tentera Amerika Syarikat.
Penjara Bagram yang masih dikawal tentera Amerika Syarikat.
Kabul: Presiden Hamid Karzai mengarahkan tentera Afghanistan mengambil alih Penjara Bagram yang dibina Amerika Syarikat dan mendakwa pihak Washington melanggar perjanjian untuk memindahkan secara penuh kemudahan terbabit kepada Afghanistan, kata satu kenyataan dari pejabatnya semalam.

Langkah berkenaan dibuat selepas apa yang Karzai sifatkan tamatnya tempoh dua bulan yang dipersetujui Presiden Barack Obama untuk melengkapkan pemindahan penjara di Pangkalan Udara Bagram.

Ia membabitkan isu 57 tahanan penjara yang dibebaskan mahkamah Afghanistan tetapi ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat di penjara itu lebih sebulan, sekali gus mengingkari perintah pembebasan, kata jurucakap Presiden Karzai, Aimal Faizi dalam satu temubual.

Status pesalah terbaru

Pihak berkuasa Afghanistan juga bimbang mengenai status pesalah terbaru ditahan tentera Amerika Syarikat. Afghanistan merasakan tahanan terbabit perlu dipindahkan di bawah kawalan mereka berdasarkan perjanjian yang ditandatangani kedua negara tahun ini.

Faizi berkata beratus-ratus pesalah baru ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat di Penjara Bagram. Tentera Amerika Syarikat terutama bagi Operasi Khas menjalankan serbuan pada waktu malam, menahan lebih 100 suspek pemisah selama sebulan, kata pihak berkuasa Afghanistan. - Agensi

Saturday, October 27, 2012

Korban pagi Aidiladha



Foto
Mayat mangsa letupan bom di Masjid Eid Gah bandar
 Maymana di utara Afghanistan bergelimpangan
selepas penyerang meletupkan bom ketika umat
Islam bersiap sedia menunaikan solat Aidiladha. - Foto REUTERS

Foto
Anggota polis Afghanistan mengangkat mayat orang
awam yang terbunuh dalam letupan
berkenaan. - Foto REUTERS
Kabul: Sekurang-kurangnya 41 orang menjadi korban pada sambutan Aidiladha apabila penyerang bunuh diri meletupkan bom di dalam sebuah masjid di bandar Maymana, wilayah Faryab di utara Afghanistan ketika solat sunat hari raya semalam, kata pegawai.

Penyerang memakai seragam polis ketika meletupkan bom di masjid Eid Gah yang penuh sesak di ibu negeri wilayah Faryab, kata Timbalan Gabenor Wilayah, Abdul Satar Barez. Angka kematian terkini disebabkan letupan itu ialah 41 dan ia mungkin meningkat. Sembilan belas daripada mangsa yang maut adalah anggota pasukan keselamatan termasuk polis, tentera dan ejen perisikan, 17 penduduk awam dan lima kanak-kanak antara yang turut menjadi korban. Ketua polis wilayah, Abdul Khaliq Aqsai, antara yang cedera, katanya.
Kebanyakan pegawai kerajaan tempatan juga berada di masjid berkenaan, yang penuh sesak pada hari pertama daripada cuti empat hari sempena sambutan Aidiladha.

Kami baru selesai menunaikan solat sunat Aidiladha dan saling berbalas ucapan. Tiba-tiba letupan besar berlaku dan kawasan itu dipenuhi debu dan asap dan bahagian anggota mayat berselerak. Ia letupan yang amat kuat, kata Barez.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab, tetapi pengeboman bunuh diri adalah kaedah kegemaran Taliban untuk menumbangkan kerajaan Presiden Hamid Karzai yang disokong Barat.

Aidiladha diraikan dengan umat Islam menyembelih haiwan sebagai korban dan mengagihkan bahagian daging kepada orang miskin, dan hari pertama mengundang kehadiran ramai orang ke masjid di seluruh dunia.
Utara Afghanistan selalunya aman, dengan Taliban, yang ditumbangkan dalam pencerobohan tentera asing diketuai Amerika Syarikat pada 2001, menumpukan operasi di selatan dan timur negara itu.

Namun mereka meningkatkan aktiviti di utara sejak kebelakangan ini, di sebalik kehadiran lebih 100,000 anggota tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) di negara itu.

Minggu lalu, letupan bom tepi jalan memusnahkan bas mini membawa tetamu ke sebuah majlis perkahwinan di wilayah Balkh, berhampiran Faryab, membunuh 19 orang dan mencederakan 16 lagi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 1,145 penduduk awam maut dalam perang pada enam bulan pertama tahun ini, menyalahkan 80 peratus kematian itu ke atas pemberontak.

AFP

32 maut, bom meletup di luar masjid utara Afghanistan



KABUL: Pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar sebuah masjid di utara Afghanistan, hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 32 orang dan mencederakan 34 yang lain.

Serangan itu berlaku semasa umat Islam sedang menunaikan solat sunat Aidiladha di bandar Maymana, wilayah Faryab, kata jurucakap pejabat gabenor, Jawid Didar. Katanya, semasa letupan berlaku, pegawai atasan negeri termasuk gabenor dan ketua polis, berada di dalam masjid termasuk ribuan umat Islam. Bagaimanapun, pegawai terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. - AP

Monday, October 8, 2012

2 anak polis mati ditembak

GHAZNI: Dua murid sekolah, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditembak mati oleh anggota militan di Afghanistan selepas bapa mereka enggan berhenti kerja sebagai anggota polis, kata pihak berkuasa semalam.

Henna dan abangnya, Zelgai, 16, dibunuh oleh dua lelaki bersenjata yang menunggang motosikal lewat malam kelmarin ketika berada dalam kereta bapa mereka di kawasan Edgah di sini. “Mereka sedang bermain dalam kereta saya dan anggota Taliban mungkin menyangka saya yang berada dalam kereta. Mereka melepaskan tembakan ke arah kereta itu dan membunuh dua anak saya,” kata Zalmai kepada media.


Menurutnya, Taliban memberi amaran kepadanya beberapa kali sebelum ini bahawa keluarganya berdepan risiko jika dia tidak meninggalkan kerjanya. - AP

Tuesday, October 2, 2012

Lagi serangan bom di Afghanistan



Lagi serangan bom di Afghanistan
Seorang lelaki tempatan mengutip serpihan letupan di kawasan insiden yang dipenuhi darah mangsa.
KABUL - Seorang pengebom berani mati dipercayai memakai pakaian seragam polis meletupkan dirinya, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 terbunuh, termasuk tiga pegawai polis dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di bandar Khost, timur Afghanistan, semalam.

Menurut saksi, sasaran dilakukan ke atas konvoi pasukan keselamatan Nato tempatan berhampiran ibu pejabat polis.

Jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (Isaf) mengesahkan, tiga askar Nato meninggal dunia, tetapi tidak menjelaskan butiran insiden berkenaan.

Lebih 58 orang awam dilaporkan cedera selepas terkena serpihan letupan kuat di kawasan pasar dan menurut pegawai hospital, selain anggota Nato seramai enam penduduk awam turut maut.

"Kira-kira jam 8.30 pagi (waktu tempatan), seorang pengebom berani mati menggunakan sebuah motosikal menyasarkan sekumpulan anggota peronda di kawasan sibuk bandar," kata pegawai gabenor wilayah.

Letupan berlaku sehari selepas Nato mengumumkan pertempuran antara tentera kerajaan campuran dan sekutu Afghanistan telah membunuh askar Isaf, seorang kontraktor awam dan tiga tentera darat tempatan.  - Al-Jazeera

Monday, September 17, 2012

Disebat angkara cinta terlarang


Disebat angkara cinta terlarang
Remaja berkenaan disebat di khalayak ramai selepas didakwa menjalinkan hubungan sulit.
GHAZNI - Seorang remaja Afghanistan disebat di khalayak umum, manakala kekasihnya didenda AS$1,600 (RM4,824)  selepas didakwa menjalin hubungan sulit.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita Wilayah, Shukuria Wali berkata, remaja dikenali sebagai Sabera, 16, kini di bawah jagaan Jabatan Hal Ehwal Wanita, manakala teman lelakinya ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, remaja itu kini menghadapi gangguan mental dan fizikal sejak disebat pada 9 September lalu di Jaguri.

“Sabera diselubungi dengan kain putih kemudian disebat lalu disaksikan penduduk kampung dan ahli keluarga,” katanya.

Afghanistan merupakan sebuah negara konservatif Islam, di mana wanita belum berkahwin dilarang menjalinkan hubungan dengan lelaki luar serta pergerakan mereka terbatas.

Hukuman di khalayak umum atau sebatan kepada penzina adalah hukuman biasa yang dilaksanakan di bawah pemerintahan rejim Taliban 1996 hingga 2001.-AFP

4 tentera Nato ditembak mati

KABUL: Empat tentera Nato semalam terbunuh dalam serangan kedua yang disyaki dilakukan oleh polis Afghanistan dalam masa dua hari.

Pihak berkuasa Afghanistan berkata, serangan terbaru berlaku di Zabul.

Kumpulan Taliban yang sejak 10 tahun lalu memberi tentangan sengit terhadap kehadian tentera asing di wilayah berkenaan berkata, mereka tidak terbabit dalam serangan berkenaan.

Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai Amerika Syarikat tidak mendedahkan butir lanjut mengenainya kecuali berkata, ia mengesyaki pembabitan anggota polis Afghanistan.

Timbalan Ketua Polis Zabul, Ghulam Jilani berkata, sebuah pos polis di daerah Mizana diserang tetapi apabila tentera Nato datang untuk membantu, seorang anggota polis menembak mereka.

Seorang pegawai kanan kerajaan tempatan mengesahkan pasukan Nato membalas tembakan itu, membunuh seorang anggota polis.

“Tiga hingga empat anggota polis menghilangkan diri. Buat masa ini, kami tidak tahu di mana mereka. Kami tidak pasti sama ada mereka melarikan diri kerana bimbang ditangkap atau sama ada mereka mempunyai hubungan dengan Taliban,” kata pegawai berkenaan.

Jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi berkata, mereka yang bertanggungjawab bukan anggota Taliban.

“Mereka hanya rakyat Afghanistan yang melakukannya kerana kebaikan,” katanya. - Reuters

Serangan udara Barat ragut nyawa 8 wanita Afghanistan

       
MIHTARLAM: Lapan wanita terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan udara Nato di timur Kabul, semalam.

Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai Amerika Syarikat berkata, serangan di Kampung Dilaram, kawasan di daerah pedalaman Alingar di wilayah Laghman itu mensasarkan kumpulan militan.


Wanita berkenaan dikatakan berada di kawasan pergunungan untuk mengutip kayu api.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan, Sarhadi Zwak berkata, operasi itu dilancarkan tanpa penyelarasan dengan tentera Afghanistan.


“Lapan wanita terbunuh dan lapan yang lain cedera. Gabenor melantik satu perwakilan untuk menyiasat kejadian itu,” katanya.


Penduduk yang berhimpun di pejabat gabenor membantah serangan itu sambil melaungkan slogan ‘Jahanam Amerika, Jahanam Yahudi.” - AFP

Sunday, September 16, 2012

Serangan Taliban: 2 tentera laut AS terkorban

KANDAHAR 16 Sept. - Militan Taliban Afghanistan semalam, mengaku bertanggungjawab menyerang pangkalan tentera NATO di wilayah Helmand, menyebabkan dua anggota tentera laut Amerika Syarikat (AS) maut.
Serangan itu dilancarkan sebagai reaksi kepada penyiaran filem anti-Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Serangan di Kem Bastion yang turut menempatkan 

Wednesday, September 5, 2012

Majlis pengkebumian diserang, 25 maut


KABUL 5 Sept. - Sekurang-kurangnya 25 orang awam terbunuh dan 35 lagi cedera selepas seorang pengebom berani mati meletupkan diri di majlis pengkebumian di timur Afghanistan semalam.
Jurucakap kerajaan wilayah Nangarhar , Ahmad Zia Abdulzai berkata, serangan yang dipercayai didalangi oleh militan Taliban itu berlaku di daerah Dur Baba yang bersempadan dengan Pakistan.
"Gabenor Dur Baba, Hamesha Gul dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan anaknya merupakan antara mangsa yang terbunuh," katanya. - AFP

Tuesday, September 4, 2012

Amerika tangguh program rekrut polis Afghanistan

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat menangguhkan latihan merekrut seramai 1,000 polis tempatan Afghanistan susulan dakwaan dalang serangan terhadap tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) merupakan 'orang dalam' perkhidmatan keselamatan tempatan.

Pegawai ketenteraan AS bagaimanapun berkata, operasi bersama tentera Afghanistan masih diteruskan dan latihan Tentera Kebangsaan Afghanistan serta Polis Tempatan di bawah Nato tidak akan terjejas susulan penangguhan program latihan merekrut polis itu.

Di bawah program itu, pasukan keselamatan Amerika Syarikat dipertanggungjawabkan melatih polis baru Afghanistan dalam kerjasama dengan Kementerian Pedalaman Afghanistan dan ketua-ketua polis wilayah untuk menyediakan khidmat keselamatan dalam komuniti kecil.

Penangguhan yang dilakukan Amerika  itu, selepas timbulnya beberapa serangan dipercayai didalangi sendiri polis dan tentera Afghanistan terhadap tentera Nato yang menimbulkan rasa kurang selesa kumpulan keselamatan dua negara itu.

Pada minggu lalu, seorang lelaki tempatan memakai pakaian seragam Tentera Kebangsaan Afghanistan menembak mati tiga askar Nato di selatan negara dan jumlah tersebut meningkat kepada 15 orang pada Ogos lalu.

Wednesday, August 29, 2012

Wanita punca 17 orang dipenggal




AP
BEBERAPA anggota kumpulan Taliban menaiki sebuah trak pikap semasa meronda kubu kuat mereka di Shawal, dalam wilayah Waziristan Selatan di Pakistan pada 5 Ogos lalu.


KABUL - Seorang jurucakap di Afghanistan menyatakan, 17 orang termasuk yang ditemui mati dengan kepala mereka dipenggal kelmarin merupakan mangsa yang terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Beberapa pegawai tempatan sebelum ini mendakwa, kumpulan Taliban menyerang satu parti di kawasan yang dikuasai mereka di selatan Afghanistan dan memenggal kepala 17 orang termasuk dua wanita, malam Ahad lalu.
Seorang pegawai tersebut, Neyamatullah Khan berkata, mereka dibunuh kerana mengadakan parti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta acara tarian yang melanggar ajaran Islam.
Serangan kejam itu berlaku di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.
Namun, jurucakap gabenor wilayah Helmand memberitahu, semua mangsa maut akibat terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Jurucakap berkenaan, Daoud Ahmadi berkata, mereka bergaduh dipercayai kerana berebutkan dua wanita itu.
Menurutnya, satu kejadian tembak-menembak berlaku semasa pergaduhan tersebut.
Namun, jelasnya, beliau tidak pasti pergaduhan itu mempunyai kaitan dengan muzik dan acara tarian yang diadakan atau sama ada beberapa anggota Taliban adalah antara mereka yang maut dalam insiden tersebut.
"Semua mangsa dipenggal kepala mereka tetapi tidak jelas sama ada mereka ditembak terlebih dahulu," ujarnya.
Dalam pada itu, jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi menafikan dakwaan pihaknya terbabit dalam pembunuhan tersebut.
"Anggota Taliban tidak akan membunuh orang awam. Komander Taliban juga tidak bergaduh sesama mereka," kata Qari.
"Kami tidak tahu tentang kejadian ini. Sama ada ia berlaku atau sebaliknya, kami tidak terbabit," tegasnya.
Kumpulan Taliban menguasai sebahagian besar daerah Musa Qala yang mengandungi lebih 100 buah kampung sejak 2001. - AP

Tuesday, August 28, 2012

Dua askar Nato dibunuh tentera Afghanistan




         
KABUL: Seorang tentera Afghanistan membunuh dua askar Nato dalam satu serangan semalam.

Penyerang itu bagaimanapun ditembak mati oleh anggota Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF).


“Seorang tentera Afghanistan mengacukan senjata ke arah askar ISAF dan melepaskan tembakan, membunuh dua anggota kami di timur wilayah Laghman hari ini (semalam),” kata jurucakap ISAF kepada media. Pembunuhan terbaru itu meningkatkan jumlah kematian dilakukan penyerang dari kalangan pasukan keselamatan Afghanistan pada bulan ini kepada 12.

Ia juga menjadikan jumlah mereka yang mati dalam serangan seumpama itu tahun ini kepada 42, iaitu kira-kira 13 peratus daripada semua kematian tentera Nato sepanjang tahun.


Kejadian serangan oleh anggota beruniform Afghanistan menghakis kepercayaan antara tentera kedua-dua pihak. - AFP

Sunday, August 12, 2012

3 lagi askar Nato dibunuh



         
KABUL: Seorang rakyat Afghanistan yang bekerja di markas tentera Nato menembak mati tiga askar antarabangsa kelmarin pada hari sama tiga lagi dibunuh oleh polis negara itu, kata pegawai Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) semalam.

“Penembak tidak memakai uniform dan laporan kami menyatakan dia adalah pekerja awam yang bertugas di markas itu, tetapi tiada bukti menyatakan dia adalah anggota tentera Afghanistan,” kata jurucakap ISAF. Jurucakap itu berkata, dia tidak mempunyai maklumat bagaimana pekerja awam terbabit mendapat senjata di markas tentera Afghanistan-Nato di selatan negara itu.


Kelmarin seorang anggota polis Afghanistan melepaskan tembakan terhadap empat askar Amerika yang diundang untuk menjamu selera, membunuh tiga daripada mereka, kata pihak berkuasa Afghanistan dalam insiden serangan ketiga dalam tempoh empat hari saja. Tentera AS di Afghanistan mengesahkan bahawa tiga tentera mereka dibunuh oleh “seorang penjawat awam beruniform Afghanistan” di daerah Sangin di wilayah Helmand, tetapi tidak memberi ulasan lanjut. - AFP

Sunday, August 5, 2012

Parlimen Afghanistan pecat dua menteri keselamatan



KABUL 5 Ogos - Parlimen Afghanistan semalam memecat dua menteri keselamatannya ekoran kegagalan menyelesaikan konflik serangan di sempadan negara membabitkan Pakistan dan beberapa isu keselamatan yang lain.
Presiden Hamid Karzai membuat keputusan untuk memecat Menteri Pertahanan, Abdul Rahim Wardak dan Menteri Dalam Negeri, Bismillah Mohammadi.
Kedua-dua menteri tersebut dijangka terus berkhidmat sehingga pelantikan baru dibuat. - AFP

Monday, July 9, 2012

6 tentera AS maut serangan bom di Afghanistan

KABUL: Enam tentera Amerika Syarikat (AS) yang bertugas untuk NATO maut dalam serangan bom di timur Afghanistan semalam, demikian disahkan NATO dan pegawai Amerika hari ini. 

“Enam tentera yang berkhidmat untuk Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) terbunuh dalam serangan bom di timur Afghanistan hari ini," kata pegawai ISAF. Di Washington, pegawai mengesahkan semua mereka yang maut itu adalah warga Amerika. 
Sementara itu, seorang lagi tentera NATO tuut terbunuh dalam serangan sama Ahad lalu, menjadikan semua jumlah terkorban meningkat kepada 234 orang tahun ini. - AFP