Pages

Thursday, December 5, 2013

Buaya, aligator cerdik umpan mangsa


Buaya dan aligator dikatakan lebih kreatif mencari makanan dengan menggunakan batang kayu kecil untuk mengumpan burung. - AGENSI
NEW YORK 4 Dis. - Buaya dan aligator lebih kreatif dan cerdik dalam mencari dan mengumpan makanan berbanding yang disangkakan sebelum ini.
Penyelidikan terbaharu mendapati reptilia itu menggunakan beberapa alat termasuk ranting kecil untuk mengumpan burung.
Buaya di India, selain buaya dan aligator di Florida dan Louisiana, Amerika Syarikat (AS) dilihat menggunakan teknik berkenaan ketika musim burung mengawan apabila mereka mencari ranting untuk membina sarang.
Ahli zoologi Universiti Tennessee berkata, buaya dan aligator meletakkan ranting berkenaan di bahagian hidung mereka untuk menarik perhatian burung.
Penyelidik mengkaji perbuatan itu dalam kalangan haiwan reptilia berkenaan berdekatan sarang burung gagak di Louisiana dan semasa burung bangau dan burung pucung bersarang antara Mac dan April.
Penyelidikan berkenaan merupakan yang pertama memberikan maklumat terperinci mengenai kelakuan reptilia itu menggunakan peralatan tersebut dan kes pertama pemangsa mengatur waktu menyerang mangsa semasa musim mengawan.
Saintis berkata, beberapa spesis burung memilih untuk bersarang di atas pokok yang tumbuh berdekatan kawasan buaya dan aligator bagi menggunakan haiwan reptilia itu sebagai perlindungan daripada pemangsa yang boleh memanjat pokok termasuk ular dan monyet. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_10/Buaya-aligator-cerdik-umpan-mangsa#ixzz2mYDtcd9C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki habiskan sandwic gergasi


Aksi James Brettle ketika menghabiskan sandwich gergasi pada pertandingan makanan di sebuah restoran di Southend-on-Sea, Essex, baru-baru ini. - AGENSI
LONDON 4 Dis. - Seorang lelaki kurus Britain mempamerkan kehebatannya berjaya menghabiskan sebiji sandwic gergasi seberat 2.49 kilogram mengandungi 8,000 kalori dengan hanya mengambil masa 36 minit.
James Brettle, 26, menjadi orang pertama menghabiskan sandwic gergasi terbabit mengatasi 116 peserta lain pada pertandingan makanan di restoran Mangetout Bistro, Southend-on-Sea, Essex.
Brettle, seorang juruukur bertauliah, berjaya menghabiskan sandwic bersaiz seorang bayi kecil yang mengandungi sosej, empat jenis daging dan kentang selain pelbagai jenis keju, telur, tomato, timun, salad, mayonis, sos barbeku, mustard dan bawang.
Ramuan sandwic berkenaan terletak antara enam lapisan roti, dan peserta perlu membayar sebanyak 17.95 pound (RM93.30) jika gagal menghabiskannya dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 45 minit.
Brettle memenangi sehelai baju khas, Gigantwich dan wang sebanyak 116 pound (RM602) yang dikumpul daripada setiap peserta yang gagal menghabiskan hidangan masing-masing.
Pemilik restoran, Will Fishenden berkata, dia menawarkan cabaran menghabiskan sandwic berkenaan selama setahun namun semua peserta gagal melakukannya sehinggalah kejayaan Brettle pada Sabtu lalu.
"Idea ini diambil berdasarkan rancangan Man vs Food (Manusia lawan Makanan) dan saya menganjurkan cabaran tersendiri dengan menghasilkan sandwic gergasi.
"Saya kagum melihat keupayaan Brettle menghabiskan sandwic gergasi yang disediakan kerana dia hanya mempunyai saiz badan yang lebih kecil berbanding peserta lain," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_09/Lelaki-habiskan-sandwic-gergasi#ixzz2mYDCdH00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lautan awan di Taman Negara Grand Canyon



LAUTAN awan kelihatan di kawasan Taman Negara Grand Canyon di Arizona pada Jumaat lalu.


PHOENIX, Amerika Syarikat - Lautan awan menyelubungi kawasan pergunungan Taman Negara Grand Canyon di Arizona pada Jumaat lalu, lapor agensi berita Reuters semalam.
Fenomena unik itu berlaku disebabkan keadaan cuaca panas dan sejuk yang saling berinteraksi di kawasan tersebut.
Seorang pegawai meteorologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Flagstaff, Robert Bohlin berkata, fenomena itu berlaku apabila udara sejuk terperangkap di bawah lapisan wap panas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2mY8GUoiw 
Hakcipta terpelihara 

Roket milik bilionair berlepas ke angkasa lepas



ROKET Falcon-9 berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida kelmarin.


CAPE CANAVERAL - Roket Falcon 9 yang tidak mempunyai juruterbang dan membawa sebuah satelit komersial berlepas ke angkasa lepas kelmarin.
Roket itu membawa satelit sebuah syarikat dari Luxembourg.
Syarikat Space Exploration Technologies milik bilionair internet di Amerika Syarikat, Elon Musk.
Ia juga merupakan satelit pertama yang dilancarkan oleh syarikat itu.
Roket tersebut berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida pada pukul 5.41 petang waktu tempatan.
Sebelum ini dua percubaan untuk melancarkan roket tersebut mengalami kegagalan ekoran masalah teknikal.
Para jurutera kemudian mendapati masalah itu berpunca daripada oksigen yang terdapat di dalam sistem enjin roket tersebut.
Roket itu membawa satelit seberat 3,175 kilogram yang dimiliki syarikat SES.
Sebelum ini, syarikat SES menggunakan roket Proton buatan Rusia dan European Ariane milik Agensi Angkasa Lepas Eropah untuk menghantar satelitnya ke angkasa lepas.
Satelit itu akan digunakan untuk menyediakan perkhidmatan memancarkan siaran televisyen kabel dan untuk perkhidmatan komunikasi lain di negara China, India dan Vietnam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2mY7qQsl1 
Hakcipta terpelihara