Malah kanak-kanak tersebut, Amie Rose terpaksa dimasukkan ke hospital setiap empat minggu bagi menjalani rawatan, ekoran penyakit Diamond Blackfan Anaemia atau kekurangan darah merah yang hanya dihidapi kira-kira 125 orang di negara ini.
Menurut laporan Mail Online yang memetik kenyataan ibu Amie, Jo Rose dari Horley, anak­nya itu menghadapi masalah degupan jantung berbunyi selepas dilahirkan tetapi doktor memaklumkan masalah tersebut akan hilang dalam tempoh enam minggu.
Jelas Rose, beberapa hari kemudian, dia membawa Amie untuk sesi pemeriksaan kesihatan dan mendapati muka anaknya kelihatan pucat, sekali gus membuatkan doktor mengambil keputusan menjalankan ujian darah bagi mengetahui masalah yang dihadapi kanak-kanak itu.
“Apabila keputusan keluar, doktor mendapati anak saya tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi dan Amie terpaksa menjalani proses memasukkan darah.
“Namun, selepas beberapa hari keluar wad, Amie mengalami kesukaran untuk bernafas dan terpaksa dimasukkan semula ke hospital bagi menstabilkan kan­dungan zat besi dalam badannya,” katanya.
Bagaimanapun Amie masih perlu menjalani pembedahan memasukkan satu liang khas yang disambung pada urat leher yang bercantum dengan jantungnya.
Setiap minggu, Amie dibawa berjumpa jururawat untuk membuang lebihan zat besi menggunakan sejenis pam yang disambung pada liang terbabit untuk membuang zat besi yang berlebihan kerana situasi itu boleh mengakibatkan kematian atau kegagalan fungsi organ utama.
Menurut bapa Amie, Gordon, 53, pada usia empat tahun, Amie mula diberi ubat antibiotik bagi mengatas masalah sistem ketahanan diri yang lemah dan hanya menggunakan pam tersebut pada waktu malam sahaja.
“Kami berharap kadar kan­dungan zat besi dalam badannya menjadi normal sehingga hujung tahun ini supaya Amie boleh menjalani pembedahan pemindahan tulang sumsum bagi menyelamatkan nyawanya.
“Pembedahan berkenaan boleh mengubah hidup Amie dan tidak perlu lagi menjalani rawatan yang sedang dihadapi sekarang ini,” katanya.