Pages

Showing posts with label alkohol. Show all posts
Showing posts with label alkohol. Show all posts

Thursday, June 16, 2011

Ujian UKM sahkan Barbican bebas alkohol



UJIAN pengesanan halal UKM mendapati produk Barbican bebas daripada elemen alkohol baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol.
Pengarah Suria Wholesaler Sdn. Bhd., Ahmad Al Yateem berkata, laporan itu diterima pada 7 Jun selepas syarikat itu menghantar sampel minuman edaran pihaknya ke UKM pada 1 Jun lalu.
“Perkembangan positif ini membuktikan Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam.
“Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan, syarikat tersebut menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Iranian Corporation Sdn. Bhd. yang tampil menegaskan bahawa produk edaran mereka bebas alkohol dan boleh diminum oleh pengguna beragama Islam.
Kosmo! Online - Negara

Wednesday, August 25, 2010

Minuman ringan beralkohol



MOHAMED menunjukkan sebahagian minuman ringan beralkohol menggunakan label buah-buahan di pejabatnya di Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Kerajaan digesa mengharamkan minuman ringan beralkohol yang menggunakan label buah-buahan kerana ia dibimbangi menjejaskan otak penggemarnya terutama pelajar dalam jangka panjang.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris berkata, satu kajian hasil daripada aduan guru-guru mendapati, sekelompok pelajar sebuah sekolah di barat daya Pulau Pinang telah ketagih minuman tersebut.
Beliau berkata, terdapat 15 jenis minuman mengandungi alkohol sehingga 5.5 peratus kini dijual secara meluas di pasar raya dan kedai 24 jam di negeri itu.
Menurutnya, ia juga diletakkan sebaris dengan minuman biasa dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk remaja dan kanak-kanak.
"Penjualan minuman dengan harga di antara RM4 hingga RM10 sebotol ini bertentangan dengan undang-undang yang melarangnya dibeli oleh individu berumur 18 tahun ke bawah,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Friday, August 13, 2010

Bufet berbuka sos alkohol

PETALING JAYA: Sos mengandungi alkohol dan arak digunakan sebagai bahan masakan juadah berbuka puasa. Itulah yang dibongkar penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berikutan operasi khas ke beberapa hotel di sekitar Lembah Klang, semalam dan kelmarin.

BUKTI...seorang penguat kuasa Jakim menunjukkan botol arak masakan yang ditemui di sebuah hotel, semalam.
BUKTI...seorang penguat kuasa Jakim menunjukkan botol arak masakan yang ditemui di sebuah hotel, semalam.


BUKTI...seorang penguat kuasa Jakim menunjukkan botol arak masakan yang ditemui di sebuah hotel, semalam.
Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, sepanjang dua hari itu pihaknya memeriksa sembilan hotel dengan tumpuan diberikan kepada hotel yang menawarkan sajian bufet Ramadan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu menemui bukti kukuh arak dan sos beralkohol digunakan sebagai bahan masakan termasuk juadah berbuka puasa di dua hotel.

“Operasi itu dilakukan bagi mengotakan janji Jakim bertegas mengambil tindakan terhadap hotel yang menganjurkan promosi bufet berbuka puasa tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan, khususnya dalam aspek halal,” katanya.

Beliau berkata, satu daripada hotel yang menggunakan bahan beralkohol sebagai resipi masakan dikesan hasil operasi terbaru dilakukan jam 11 pagi semalam di pinggir ibu negara.

Menurutnya, pemeriksaan rapi dilakukan di dapur hotel berkenaan yang dibahagikan kepada bahagian penyediaan makanan tempatan serta bahagian dapur khusus makanan Cina dan barat.
“Ketika memeriksa di dapur makanan Cina dan barat, kami menemui deretan botol arak masakan dan sos beralkohol diletakkan di rak khas. Setiap botol arak dan sos itu kandungan alkohol melebihi 10 peratus.

“Selepas disoal siasat, tukang masak di hotel berkenaan mengaku mencampurkan arak dan sos beralkohol ke dalam masakan bagi menambah perisa hidangan.
“Tindakan mencampurkan arak ke dalam masakan yang kemudian disajikan dalam hidangan bufet berbuka puasa jelas perbuatan melampau dan memperdaya pengguna Islam yang berbuka puasa di hotel berkenaan,” katanya.

Amri berkata, berikutan itu dia berjumpa pihak pengurusan hotel terbabit dan memberi amaran terhadap kesalahan dilakukan dan meminta mereka memastikan ia tidak berulang.

“Penjelasan diberikan bagi memastikan mereka mematuhi syarat terutama membabitkan makanan pelanggan beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, pihak hotel berkenaan sebelum ini pernah memohon sijil halal Jakim, namun ia ditolak disebabkan mereka gagal mematuhi prosedur dan syarat ditetapkan.

Katanya, penguat kuasa Jakim dibahagikan lapan kumpulan membabitkan hampir 20 anggota untuk melakukan tugas pemantauan di hotel sepanjang Ramadan ini.

“Tujuan Jakim bukan saja mengambil tindakan undang-undang, malah kami cuba mendidik dan memberi maklumat tepat kepada pihak hotel berhubung kaedah bagi mendapatkan sijil halal Jakim. Maklum balas diterima menunjukkan ramai pengusaha hotel tidak faham berhubung kaedah memohon sijil halal berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz memaklumkan hanya 51 dapur restoran dan premis makanan di 22 hotel di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberikan pensijilan halal Jakim.

Beliau menasihatkan pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal tidak menyalahgunakan mengelirukan pengguna termasuk penggunaan terma ‘Bufet Ramadan’ kerana ia menggambarkan persediaan makanan halal sedangkan hakikat sebenar belum terbukti.

Saturday, May 15, 2010

Bahaya Rokok & Alkohol

 by shah


Nasihat pakar pemakanan supaya kita mengamalkan sajian seimbang jangan diperlekehkan, terutama di kalangan perokok. Kerana rokok itu punca utama pelbagai masalah kesihatan, terutama kanser mulut.

Bagi perokok, jika tanda seperti lesi (tompok sel akibat keradangan) berwarna putih, merah atau gabungan kedua-dua warna muncul dalam mulut anda, disertakan masalah gusi mudah
berdarah, anda disarankan segera berjumpa doctor dan jalani pemeriksaan. Ini salah satu tanda awal yang boleh merebak menjadi kanser.


Dua faktor risiko utama yang boleh menyebabkan kanser mulut ialah tabiat merokok dan terlalu banyak minum alkohol. Faktor lain yang boleh menyumbang kepada kanser mulut ialah jangkitan virus human papilloma, tetapi ia jarang berlaku.

Seminar Kanser Mulut di Rantau Asia Pasifik anjuran bersama Pusat Koordinasi dan Penyelidikan Kanser Mulut, Fakulti Pergigian Universiti Malaya (OCRCC) dan Persatuan Mulut Malaysia, rata-rata penyelidik bersetuju dua factor itu adalah punca pelbagai masalah dalam mulut.

Ketua Jabatan Pembedahan dan Radiologi Oral, Pusat Pergigian Universiti Berlin, Jerman, Profesor Peter Reichart berkata, kajian yang dijalankan di Sepanyol dan Uruguay mendapati, memakan buah-buahan dan sayur-sayuran beraneka warna, khususnya hijau, kuning dan merah, boleh membantu mengelakkan kanser
mulut. Sebab utama buah-buahan dan sayur-sayuran beraneka warna amat penting ialah kerana mengandungi banyak antioksidan untuk menstabilkan tindakan radikal bebas dan menghalang pembentukan sel tidak normal yang boleh berubah menjadi sel kanser.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah perokok kini mencecah 1.3 bilion orang dan daripada jumlah ini, 900 juta perokok adalah penduduk negara membangun, termasuk negara kita.

Antara tanda kanser mulut:

1. Lesi putih (leukoplakia).

2. Lesi merah (erittroplakia) – warnanya merah
terang dan terasa licin.

3. Gabungan lesi putih dan merah.

4. Luka pada bibir yang sukar sembuh.

5. Mulut kerap berdarah.

6. Gigi bergoyang.

7. Terasa sakit setiap kali menelan.

8. Lidah dan anggota lain dalam mulut terasa kebas.

9. Ada benjolan pada leher.

10.Rahang menjadi bengkak.

11.Sakit Telinga.

Lesi putih adalah tanda paling biasa. Lazimnya ia bersifat benigna (sel tidak normal dan tidak berbahaya) tetapi boleh berubah menjadi malignan (kanser).

Asap rokok dan alkohol berlebihan boleh menyebabkan masalah di mulut dan farinks (bahagian tekak). Masalah boleh terjadi pada:

1. Bibir
2. Dinding dalam pipi
3. Kelenjar liur
4. Lelangit keras
5. Lelangit lembut dan Uvula
6. Lantai mulut (bahagian di bawah lidah)
7. Gusi
8. Lidah
9. Tonsil

Kira-kira dua per tiga kes kanser mulut berlaku dalam mulut dan satu per tiga membabitkan farinks. Sel kanser mulut biasanya merebak dengan cepat. Malangnya ramai pesakit hanya datang mendapatkan rawatan pada peringkat lewat.

Menurut Dr. Reichart, perokok perlu memberi lebih perhatian kepada perubahan yang berlaku dalam mulut kerana ia petanda paling awal kemungkinan diserang kanser. Risiko lebih tinggi jika seseorang itu turut minum minuman keras.

Selain itu, amalan lama sesetengah orang tua, terutama wanita India, yang suka makan sirih juga boleh meningkatkan risiko mendapat kanser mulut.

Amalan makan sirih bercampur kapur, pinang dan sedikit tembakau wujud di India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Malaysia, Indonesia, China dan Papua New Guinea.

Jika ada ahli keluarga masih makan sirih, nasihatkan mereka supaya berhenti kerana kajian membuktikan sirih tanpa tembakau adalah beracun.

- Maaf, artikel ini hanyalah sekadar renungan kita bersama. - sa

Note: Satu input yang 'sihat' untuk para perokok :)