Pages

Showing posts with label apple. Show all posts
Showing posts with label apple. Show all posts

Wednesday, February 15, 2012

Apple Inc. ketepi Google

iPad merupakan antara gajet Apple yang mendapat
sambutan tinggi. - AGENSI

SAN FRANCISCO 14 Feb. - Apple mengenepikan Google sebagai syarikat paling dipandang tinggi oleh pengguna, menurut hasil kajian Harris Interactive yang dikeluarkan semalam.
Syarikat pengeluar iPhone, iPad, iPod dan komputer Macintosh itu turut merekodkan pencapaian tertinggi dalam kajian tahunan Harris Poll RQ itu, yang meminta orang ramai menilai reputasi 60 firma terkemuka di Amerika Syarikat.
Apple ketika ini mendominasi pembinaan pelaburan besar dalam jenama dan mempunyai pengaruh kuat melalui produk dan perkhidmatannya.
"Walaupun dalam persekitaran yang mencabar, Apple berjaya mencatat pencapaian tertinggi dalam sejarah Harris Poll RQ," kata penulis kajian itu dalam rumusannya.
Daripada enam kategori yang dinilai, syarikat beribu pejabat di California itu mengungguli aspek prestasi kewangan, produk dan perkhidmatan, visi dan kepimpinan serta persekitaran tempat kerja.
Google yang dinobatkan sebagai syarikat mempunyai reputasi tertinggi tahun lalu, jatuh ke kedudukan kedua walaupun mencatat 'pencapaian cemerlang'.
"Kami dapat melihat kemunculan beberapa kumpulan syarikat yang dapat mengumpulkan reputasi ekuiti melalui hubungan dengan pelbagai industri.
"Syarikat seperti Apple dan Google mempunyai kelebihan melalui penggabungan inovasi dan kepimpinan di dalam pelbagai bidang perniagaan," kata Naib Presiden Eksekutif Harris Interactive, Robert Fronk. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Friday, January 27, 2012

Apple miliki wang RM1.26 trilion




SEBUAH telefon bimbit iPhone (kiri), komputer MacBook Air dan iPad dipamerkan di sebuah kedai Apple pada Selasa lalu.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Apple sekali lagi memintas Exxon sebagai syarikat AS paling berharga selepas ia mencatat suku kewangan yang mengagumkan.
Harga saham Apple Inc. meningkat enam peratus dalam dagangan tengah hari kelmarin untuk diniagakan pada harga AS$445.29 (RM1,354.35) sesaham dengan modal pengilang gajet iPhone dan iPad itu kini mencecah AS$415 bilion (RM1.26 trilion).
Ia jauh lebih besar daripada Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia yang berjumlah RM429.7 bilion setakat 15 November tahun lalu.
Sementara itu, saham Exxon Mobil Corp. turun satu peratus kelmarin kepada AS$86.52 (RM263) sesaham manakala modal syarikat pula berjumlah AS$414 bilion (RM1.21 trilion).
Apple pertama kali mengatasi ExxonMobil sebagai syarikat paling bernilai pada Ogos tahun lalu dengan kedua-duanya bersaing sengit sejak itu.
Dalam satu kenyataan pada Selasa lepas, Apple memberitahu, pendapatan bersihnya untuk suku kewangan terbaharu yang berakhir pada Disember tahun lalu meningkat lebih dua kali ganda manakala perolehan syarikat pula melonjak 73 peratus.
Apple mengetepikan syarikat perisian komputer, Microsoft Corp yang kini berada di tempat ketiga dengan modal AS$247 bilion (RM751.25 bilion) untuk menjadi syarikat terbesar AS pada 2010.
Apple menyatakan ia menjual 37.04 juta iPhone pada suku kewangan tersebut, meningkat 128 peratus berbanding setahun lalu manakala jualan komputer iPad pula meningkat 111 peratus kepada 15.43 juta unit.
Pada suku kewangan sama, Apple turut menjual 5.2 juta komputer meja Macintosh, meningkat 26 peratus.
Namun, jualan pemain muziknya, iPod menurun 21 peratus kepada 5.4 juta berbanding setahun lalu.
Sebelum ini, kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs selepas dia menghidap kanser pada 5 Oktober 2011 ketika berusia 56 tahun menimbulkan spekulasi bahawa jurutera-jurutera Apple gagal meneruskan legasi kejayaannya.
Tim Cook, 51, yang mengambil alih tugas Ketua Eksekutif Apple pada Ogos 2011 dalam satu kenyataan pada Selasa lepas bagaimanapun percaya kesinambungan tersebut akan dapat diteruskan. - Agensi

Thursday, January 19, 2012

Kilang Apple upah pekerja kanak-kanak




Juruteknik wanita bergambar di kilang pemasangan iPhone di Shenzhen, China baru-baru ini. - AFP


CALIFORNIA 18 Jan. - Pemeriksaan yang dijalankan syarikat gergasi teknologi Apple Inc. mendapati pekerja-pekerja di kilang pengeluarannya di China terpaksa bekerja lebih masa sehingga 60 jam seminggu bagi menyiapkan iPhone dan iPad untuk pelanggan di Barat.
Menurut laporan pemeriksaan, pekerja di 93 daripada 229 kilang didapati bekerja lebih masa berbanding tempoh kerja maksimum yang ditetapkan Apple.
Syarikat itu juga mendapati terdapat bukti menyatakan sebanyak lima kilang turut mengambil kanak-kanak sebagai pekerja, namun mendakwa Apple tidak pernah berniat menggaji pekerja bawah umur.
Pendedahan tersebut dilihat memalukan dan juga satu tamparan baru kepada Apple, dua minggu selepas pekerja-pekerja di sebuah daripada kilang pengeluarannya mengancam untuk membunuh diri kerana masalah gaji.
Mengambil kira layanan yang diterima pekerja di kilang-kilang pengeluarannya terutama di China, Apple telah memperluas program pemeriksaan syarikatnya sejak beberapa tahun lalu.
Sebanyak 80 peratus kilang pengeluarannya diperiksa tahun ini berbanding tahun lalu, termasuk 100 buah kilang yang tidak pernah diperiksa sebelum ini.
Menurut laporan berkenaan, pemeriksa Apple mendapati 42 kilang telah melanggar peraturan pembayaran gaji termasuk lewat membayar gaji pekerja, sementara 108 kilang tidak membayar bayaran kerja lebih masa.
Sebanyak 49 buah kilang pula tidak membenarkan pekerja mengambil cuti berbayar atau bercuti, sementara 67 kilang turut memotong gaji pekerja kononnya sebagai langkah mendisiplinkan mereka.
Pengurus di 24 buah kilang juga didapati menjalankan ujian kehamilan ke atas pekerja wanita, satu amalan yang disifatkan Apple sebagai diskriminasi.
Walaupun Apple merupakan syarikat teknologi terbesar dunia, ia tidak mengeluarkan produknya sendiri, tetapi menyerahkan tugas itu kepada kilang-kilang pengeluarannya di seluruh dunia. - Agensi

Wednesday, August 17, 2011

Pejabat baharu Apple seperti piring terbang




BENTUK pejabat baharu syarikat Apple di Cupertino, California.


CUPERTINO, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa lakaran gambar pejabat baharu syarikat Apple yang mengeluarkan komputer iPad dan telefon bimbit iPhone didedahkan kelmarin.
Pejabat baharu penyelidikan dan pembangunan itu dibina menyerupai sebuah piring terbang.
Foto kampus itu yang bakal dibina di sini didedahkan oleh arkitek Britain, Norman Foster dalam satu mesyuarat majlis perbandaran sebelum ia tersebar di Internet.
Kampus berkenaan yang digelar AppleSaucer, terdiri daripada sebuah bangunan pejabat serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di tapak seluas 260,000 meter persegi.
Ia merupakan bangunan kaca empat tingkat berbentuk bujur dan berkonsepkan mesra alam yang mengelilingi sebuah taman dan boleh menempatkan 13,000 kakitangan Apple.
Antara kemudahan yang bakal dibina termasuk sebuah auditorium korporat berkapasiti 1,000 tempat duduk, pusat kecergasan, loji janakuasa mesra alam dan tempat letak kereta.
Syarikat Apple diasaskan oleh Steve Jobs yang merupakan antara bilionair di dunia. - Agensi, kosmo

Friday, August 12, 2011

Apple sekat jualan Samsung Galaxy




Komputer tablet keluaran Samsung Electronics iaitu Galaxy Tab 10.1 (kanan) dan iPada keluaran Apple Inc. yang hampir serupa. - REUTERS


DUSSELDORF 11 Ogos - Apple berjaya mendapatkan perintah mahkamah di Jerman untuk menyekat Samsung daripada memasarkan keluaran komputer tablet terbaru mereka, Galaxy Tab 10.1 di Kesatuan Eropah (EU).
Dalam pertikaian terbaru mengenai paten dan hak cipta antara kedua-dua syarikat itu, perintah sekatan penjualan tersebut akan dilaksanakan di semua negara anggota EU kecuali Belanda, menurut satu sumber yang rapat dengan perundingan tersebut kepada agensi berita Jermandpa.
Perintah yang dibuat oleh mahkamah negeri Dusseldorf itu dikenakan ke atas anak syarikat Samsung di Jerman iaitu Samsung Electronics GmbH dan syarikat induk di Korea Selatan.
Keputusan dibuat ketika Samsung bersiap sedia untuk melancarkan keluaran terbaru mereka, Galaxy Tab 10.1 di Jerman bulan ini.
Apple turut memfailkan tuntutan saman sebanyak 250,000 (RM1.09 juta) atau hukuman ke atas syarikat Korea Selatan itu jika tidak mematuhi perintah tersebut.
Pertikaian ini mencapai kemuncak pada April lalu apabila Apple menyaman Samsung di Amerika Syarikat dengan mendakwa telefon Galaxy dan komputer tablet syarikat itu meniru perisian iPhone dan iPad, tetapi Samsung bertindak mengemukakan saman balas.
Sejak itu, pertikaian di mahkamah antara kedua-dua syarikat itu merebak ke beberapa negara dan pada awal Ogos lalu, Samsung menangguhkan pelancaran Galaxy Tab 10.1 di Australia ekoran Apple memfailkan tuntutan mahkamah bagi menghalang penjualan produk itu di seluruh dunia.
Mahkamah Australia turut mengarahkan Samsung menangguhkan pengiklanan dan pemasaran produk tersebut sehinggalah pertikaian itu selesai. - dpa, utusan

Thursday, August 11, 2011

Apple jadi syarikat terbesar dunia



SEORANG pelanggan melihat komputer iPad 2 keluaran Apple di syarikat telekomunikasi KT di Seoul semalam.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Gergasi komputer dan telefon bimbit AS, Apple memintas pengeluar minyak global, Exxon Mobil sebagai syarikat terbesar di dunia untuk seketika kelmarin.
Nilai syarikat Apple yang diasaskan oleh Steve Jobs pada 1976 yang mengeluarkan telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad itu ialah AS$341.5 bilion (RM1.027 trilion) kelmarin sekali gus berjaya mengatasi Exxon yang bernilai AS$340 bilion (RM1.023 trilion).
Namun, Exxon kemudian merampas kembali gelaran syarikat terbesar dunia apabila sahamnya mengukuh kepada AS$352.9 bilion (RM1.06 trilion) manakala Apple di tempat kedua dengan nilai saham AS$346.7 bilion (RM1.04 trilion).
"Kreativiti kini mengambil alih kekuatan dan kudrat manusia," kata pengasas laman web Lastminute.com, Brent Hoberman.
Exxon juga dikenali dengan jenama Esso, mendapat pujian aktivis mesra alam manakala Apple dipuji kerana berjaya mengubah kehidupan harian dengan pengenalan gajet seperti iPod, iPad dan iPhone.
Pakar-pakar bagaimanapun, percaya Apple akan menjadi perniagaan pertama melepasi nilai AS$1 trilion (RM3 trilion) pada masa akan datang susulan pertumbuhan pesat syarikat tersebut. - Agensi, kosmo