Pages

Showing posts with label menyamar. Show all posts
Showing posts with label menyamar. Show all posts

Sunday, January 22, 2012

Lelaki menyamar jadi jeneral

MAQSOOD (tengah) ditunjukkan kepada media oleh polis selepas ditahan.
MAQSOOD (tengah) ditunjukkan kepada media oleh
 polis selepas ditahan.

Maqsood Shah tipu ahli politik, desak menteri jual tanah harga murah 

ISLAMABAD: Seorang lelaki Pakistan mungkin yang paling berani melakukan penipuan apabila dengan gaya bersahaja menyamar sebagai jeneral meskipun dia akhirnya ditangkap.
Polis Pakistan menahan Maqsood Shah kerana menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat jeneral dan cuba menipu menteri dan ahli politik supaya memenuhi kehendaknya.
Dia adalah pentadbir di sebuah hospital di bandar pelabuhan selatan Karachi. Maqsood ditahan di Malir Cantonment selepas berjalan sambil memakai seragam Leftenan Jeneral, kata Superintendan Ghulam Subhani dari Jabatan Jenayah Anti Keganasan pada sidang media. 

“Beliau cuba menipu semua orang tidak kira siapa. Malah, dia turut menghubungi Menteri Wilayah, ketua parti politik Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) dan Menteri Kerajaan Tempatan, Agha Siraj Durrani, sambil mendakwa dia seorang jeneral dan arahannya perlu dipatuhi,” kata Subhani yang dipetik The Express Tribune. 

“Ketika menghubungi Durrani, Maqsood mendakwa yang beliau adalah Jeneral Imtiaz. Kemudian dia mendesak Menteri Kerajaan Tempatan itu supaya menjual tanah bersebelahan hospital dengan harga murah,” kata Subhani. 

Maqsood pula mendakwa bahawa dia tidak lama lagi akan dilantik sebagai Komander Ibu Pejabat 5 Corp di Karachi, lapor akhbar Press Trust India. 
Polis turut merampas raifal AK-47, telefon BlackBerry dan sebuah kereta dalam pemilikannya. 

Ketika menggunakan nama Jeneral Imtiaz, Maqsood juga memaksa seorang pegawai cukai memulangkan 180,000 rupee (RM6,179) yang sudah dibayar hospital. 

Malah, beliau turut menyamar sebagai jeneral dengan memakai seragam lengkap tentera dan meluahkan rasa sedih berikutan kematian pemimpin politik dan agama, Pir Pagara. 

Apa yang lebih mengejutkan ialah Maqsood berjaya menyamar sebagai pemimpin tentera selama tiga tahun. 

Maqsood dikenakan tahanan reman selama tujuh hari dan boleh dihukum penjara jika didapati bersalah melakukan penipuan. – Agensi 

Thursday, January 19, 2012

Gadis menyamar lelaki demi cinta sejenis

LONDON: Seperti remaja normal, Gemma Barker kelihatan meminati kumpulan penyanyi lelaki, gemar siri televisyen dan mengimpikan hidup sebagai pelakon.
Namun, di sebalik penampilan sopan itu, remaja berusia 19 tahun berkenaan menjalani hidup songsang yang mendorongnya menyamar sebagai lelaki semata-mata untuk bercinta dengan dua teman wanita yang memberahikannya.

Melalui helahnya itu, Gemma tampil sebagai remaja lelaki supaya dapat berasmara dengan dua mangsanya - masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.

Gemma memiliki tiga identiti palsu, iaitu Aaron Lampard, Connor McCormack dan Luke Jones.

Menurut sumber, Gemma memperdaya mangsanya dengan bercakap dan berkelakuan seperti budak lelaki.

Dia juga sering memakai pakaian longgar dan bertopi bagi melindungi bentuk fizikal sebenarnya.


“Gemma membuka akaun Facebook menggunakan identiti Lampard, McCormack dan Jones dengan setiap satu menampakkan personaliti tersendiri,” katanya.

Sumber melaporkan, Gemma mengelirukan semua rakan dan keluarganya dengan menampilkan diri sebagai tiga remaja lelaki berbeza.

“Mangsa digoda walaupun kedua-dua mereka belajar di sekolah sama,” katanya.

Akhirnya penyamaran Gemma terbongkar apabila mangsa itu mengesyaki mereka berkongsi ‘teman lelaki.’ “Seorang daripada mereka membuka topi Gemma ketika dia tidur dalam bilik dan menyedari ‘lelaki’ terbabit adalah orang yang sama dikenali sebagai Lampard dan bercinta dengan rakan mangsa,” katanya.

Polis kemudian menahan Gemma kerana disyaki melakukan serangan seksual. - DM

Tuesday, September 20, 2011

Padah menyamar untuk program TV



BEN BOYCE menyamar sebagai juruterbang di Lapangan Terbang Auckland, New Zealand pada Sabtu lalu.


WELLINGTON - Seorang lelaki yang menyamar dirinya sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan dan cuba untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Auckland di New Zealand mungkin merupakan sebahagian daripada lawak jenaka untuk satu program televisyen.
Bagaimanapun, polis New Zealand mendakwa perkara itu bukannya satu gurauan.
"Percubaan untuk melanggar keselamatan lapangan terbang perlu diambil perhatian yang serius," kata seorang pegawai polis, Andy Lovelock dalam satu kenyataan.
Polis berkata, seorang lelaki memasuki pekarangan lapangan terbang dengan memakai pakaian seragam juruterbang dan lencana perak di topi pada Sabtu lalu.
Dia juga didapati membawa beg bimbit yang besar.
Polis memberitahu, lelaki itu cuba memasuki kawasan larangan sebelum dia dikejar oleh kakitangan-kakitangan di lapangan terbang tersebut dan melarikan diri dengan menaiki sebuah van Toyota berwarna hitam.
Juruterbang itu, Ben Boyce yang menyedari kesilapannya berkata dalam satu kenyataan: "Saya meminta maaf berhubung semua masalah yang telah berlaku.
"Kami tidak berhasrat untuk melanggar peraturan atau menyebabkan sebarang kebimbangan atau kerisauan. Ia merupakan satu percubaan gurauan yang kami menerima sepenuhnya sebagai berlaku di tempat yang silap."
Dia dan seorang deejay radio, Bryce Anthony Casey dan penerbit program televisyen, Andrew Logan Robinson dihadapkan ke sebuah mahkamah semalam ekoran kejadian itu.
Menurut dokumen mahkamah, kesemua mereka didakwa di bawah Akta Penerbangan Awam.
Mereka didakwa memasuki satu kawasan keselamatan di lapangan terbang tersebut walaupun mengetahui ia merupakan satu kesalahan.
Ketiga-tiga mereka dibenarkan diikat jamin dan diminta tampil di mahkamah pada 18 Oktober depan. - Agensi

Wednesday, August 3, 2011

Cubaan kelentong pemilik kedai runcit gagal

KUALA LUMPUR: Tindakan dua lelaki warga tempatan cuba menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut seorang pemilik kedai runcit warga Bangladesh sebanyak RM4,000 gagal apabila mereka ditahan di kedai mangsa di Segambut Dalam, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, kedua-dua lelaki itu yang berusia lingkungan 30-an berjaya diberkas kira-kira jam 7 malam di kedai mangsa ketika datang untuk menuntut jumlah wang yang diminta.

Polis kemudian membawa suspek ke balai untuk disoal siasat dan hasil daripada pemeriksaan terhadap kediaman suspek, polis berjaya menemui gari dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai polis.

Menurut sumber, suspek yang datang ke kedai mangsa pada kira-kira jam 2 petang mendakwa mereka adalah anggota polis dari Bukit Aman dan meminta wang perlindungan daripada mangsa sebelum menunjukkan gari sebagai bukti.

“Mangsa kemudian merayu agar memberikan sedikit masa kepadanya untuk menyediakan wang diminta dan berjanji akan memberinya kepada mereka pada sebelah malam.

“Sebaik kedua-dua suspek beredar, mangsa kemudian menghubungi polis dan selepas dinasihati, mangsa membuat laporan di Balai Polis Travers,” katanya.


Selain itu, mangsa turut mengadu kedua-dua suspek sudah beberapa kali datang ke kedainya bagi tujuan meminta wang perlindungan dan kali terakhir adalah empat bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes terbabit dan siasatan sedang dijalankan.
http://www.hmetro.com.my

Monday, June 6, 2011

Wanita berpakaian lelaki ditangkap di Masjid Nabawi


MADINAH: Polis di Masjid Nabawi menahan seorang wanita Saudi yang berpakaian lelaki selepas dia memasuki kawasan jemaah lelaki berhampiran makam Rasulullah (SAW).
Jurucakap polis, Fahd Al-Ghaman memberitahu akhbar Okaz, pegawai mengesyaki sesuatu tidak kena pada ‘lelaki’ itu kerana bentuk badannya. Dia kemudian ditahan ketika meninggalkan kawasan berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

Satu sumber berkata, penyiasat tidak yakin dengan dakwaan wanita itu bahawa dia hanya mahu melihat kawasan berkenaan.
“Wanita itu cuba melarikan diri apabila ditahan. Tetapi dia menyerah diri selepas lelaki yang ada bersamanya, berjaya ditangkap. Lelaki itu ialah suaminya,” kata seorang pengawal masjid berkenaan. - Agensi
myMetro | Wanita berpakaian lelaki ditangkap di Masjid Nabawi

Saturday, April 9, 2011

SEORANG lelaki didakwa menyamar sebagai Britney Spears dalam klip video Till The World Ends.

Kosmo! Online - Dunia: "

SEORANG lelaki didakwa menyamar sebagai Britney Spears dalam klip video Till The World Ends.
LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Britney Spears didakwa menggunakan seorang lelaki yang menyamar sebagai dirinya, lapor sebuah akhbar semalam.

Pendedahan itu dibuat semasa klip video Till The World Ends itu menjadi perbincangan hangat di Internet.

Salah seorang peminat Spears berkata, wanita mirip penyanyi tersebut bukan dirinya.

'Saya memikirkan perkara itu kerana dia tidak boleh menari seperti kebiasaan,' katanya.

Menurutnya, dia menghentikan video tersebut dan berasa terkejut kerana wanita tersebut tidak kelihatan seperti Spears.

Laman peminat penyanyi berkenaan dihujani dengan teori sama ada Spears menggunakan orang lain untuk menyamar dirinya. - Agensi"

Thursday, December 2, 2010

Doktor' kena tahan selepas sambut bayi



Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/12/02

Lelaki diburu berikutan cabul pembantu klinik 

KAPAR: Seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang doktor sejak 2008 dan diburu kerana mencabul seorang pembantu klinik wanita, ditahan selepas menyambut kelahiran seorang bayi di sebuah klinik swasta di Klang Utama di sini.
Bayi terbabit adalah yang ke-10 disambut kelahirannya oleh suspek yang bertugas di klinik swasta terbabit sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata suspek berusia 41 tahun pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dalam satu kes cabul seorang pembantu klinik di klinik swasta terbabit. 

“Pembantu klinik yang berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 15 November lalu mendakwa dirinya dicabul suspek yang berkahwin dengan dua wanita dan mempunyai sembilan anak itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Beliau berkata, sebaik menerima laporan itu, polis bergegas ke klinik swasta itu untuk menahannya tetapi gagal kerana suspek dikatakan pulang bercuti di kampung sempena Aidiladha. 

“Polis sekali lagi pergi ke klinik swasta terbabit untuk menahan suspek kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 November lalu. 
“Ketika itu suspek sedang membantu menyambut kelahiran seorang bayi di klinik berkenaan dan selepas tugasnya selesai, polis terus menahannya untuk siasatan,” katanya. 

Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan susulan mendapati lelaki terbabit bukan doktor seperti didakwanya, sebaliknya hanya bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital tentera di Melaka. 

“Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga mengesahkan lelaki terbabit bukan seorang doktor. Siasatan men-dapati suspek hanya memiliki Diploma Pembantu Perubatan daripada Kolej Pembantu Perubatan, Seremban,” katanya. 

Katanya, siasatan juga mendapati, suspek pernah terbabit dalam penipuan sama di Rawang dan Batang Berjuntai. 

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar,” katanya.

Saturday, November 6, 2010

Orang tua dari Hong Kong jadi pemuda di Kanada


TOPENG muka yang dipakai pemuda dari Hong Kong.


VANCOUVER, Kanada - Polis menangkap seorang penumpang yang menaiki sebuah pesawat di Hong Kong sebagai orang tua tetapi semasa tiba di Vancouver dia menjadi seorang pemuda, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia ditahan pada 29 Oktober lalu selepas pesawat yang dinaikinya tiba di sebuah lapangan terbang di sini.
Satu amaran perisikan yang dikeluarkan oleh Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada yang menyatakan: "Maklumat telah diterima daripada pihak Keselamatan Penerbangan Kanada berhubung kemungkinan seorang penyamar dalam satu penerbangan dari Hong Kong.
"Penumpang itu diperhatikan dari permulaan penerbangan merupakan seorang lelaki tua Kaukasia yang didapati memiliki tangan orang muda.
"Dalam penerbangan, lelaki itu pergi ke tandas dan kemudian keluar sebagai seornag lelaki Asia berumur dalam lingkungan 20-an."
Selepas pesawat itu mendarat, lelaki yang menyamar itu diiringi oleh beberapa anggota pengawal sempadan Kanada.
WAJAH sebenar pemuda yang memakai topeng.


Agensi itu enggan mendedahkan butiran lanjut tetapi menyatakan, lelaki itu menaiki penerbangan dengan menggunakan pas milik orang lain.
Pemuda itu memakai topeng muka silikon sebagai orang tua dan menanggalkannya semasa berada di dalam tandas pesawat.
Anggota-anggota agensi tersebut turut menemui beg yang mengandungi topeng muka silikon itu. - Agensi