Pages

Showing posts with label Penunggu. Show all posts
Showing posts with label Penunggu. Show all posts

Wednesday, June 16, 2010

Misteri: Penunggu pohon jejawi



Oleh Hazirah Che Sab



Penduduk bakar pokok sebuah kampung di Sungkai, Perak, gara-gara gangguan pontianak

APA perasaan anda apabila hasrat hati untuk pulang ke kampung, sering kali terencat disebabkan kewujudan penunggu pokok jejawi di satu-satunya jalan menghala masuk ke rumah.

Inilah dilema dialami seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad setiap kali dia memutuskan untuk pulang melawat ibu bapa tersayang di sebuah perkampungan di Sungkai Perak. Sudah pasti, waktu malam menjadi pilihan untuk pulang ke kampung berikutan kekangan kerja sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat di Shah Alam.

Namun, rasa takut yang lebih ketara gara-gara kepulangan Ahmad sebelum ini pernah ‘disambut’ pontianak iaitu wanita berambut panjang, berbaju putih dengan tangan melambai-lambai di tepi pokok jejawi yang terletak di satu-satunya jalan masuk ke rumah orang tuanya.

“Wajahnya amat menggerunkan. Saya boleh nampak dengan jelas siung dan biji matanya yang kemerah-merahan. Tuhan saja tahu betapa terkejutnya saya melihat kelibatnya yang muncul secara tiba-tiba.

“Mujurlah ketika panik itu, saya masih sempat memecut laju kenderaan sehingga sampai ke rumah. Bapa saya yang terkejut mendengar bunyi brek dan melihat wajah pucat saya, sudah boleh mengagak apa puncanya,” kata Ahmad kepada penulis, baru-baru ini.
Ini kerana bapanya, Pak Salim yang bertugas sebagai imam, sudah menerima banyak aduan penduduk kampung, selain rungutan anak-anaknya mengenai penunggu pokok jejawi itu. Bukan saja pada waktu malam, malah pada siang hari, siapa saja yang melintasi pokok jejawi - sejenis sub spesies pokok ara yang mana pokoknya dilingkari akar panjang, boleh meremangkan bulu roma mereka yang memandang.

Aduan yang diterima Pak Salim itu semua membabitkan subjek, pokok dan jelmaan sama - penunggu pokok jejawi yang ancamannya meniti dari bibir ke bibir dan ‘kemuncak’ usikan itu kian menjadi-jadi pada November lalu.

Malah, Pak Salim yang bergelar ustaz itu pun pernah diganggu makhluk itu apabila motosikal yang dinaikinya tiba-tiba menjadi sebegitu berat dan sukar bergerak ketika pulang kira-kira jam 1 pagi selepas memberi ceramah di sebuah surau, tidak lama dulu. Pak Salim dan motosikalnya itu hanya dilepaskan selepas beliau terkumat kamit membacakan beberapa potong ayat suci bagi mengusir jelmaan pontianak berkenaan.

“Takkan bapak nak biarkan begitu saja. Lagi kita biar, lagilah pontianak itu bermaharajalela mengganggu orang kampung. Ahmad yang jarang balik pun boleh kecut perut dibuatnya, inikan pula orang kampung yang kerap keluar masuk menggunakan jalan raya itu, termasuk ke masjid,” kata Ahmad, mengejutkan Pak Salim yang mengelamun seketika mengenangkan pengalaman buruknya diganggu makhluk itu. Wajah Ahmad sebegitu serius dan cuba memujuk bapanya segera bertindak mengusir gangguan itu serta temannya, si pokok jejawi berkenaan.
“Nantilah. Memang bapak dah terima banyak aduan. Tetapi selalunya, pokok dan tuannya itu mana boleh dihapuskan begitu saja. Kalau tak cukup ilmu di dada, mana kita boleh melenyapkan makhluk itu,” kata Pak Salim, menenangkan Ahmad.

Keesokan harinya, selepas mengimamkan solat Subuh di masjid, Pak Salim memanggil dua sahabat karibnya, Pak Abu dan Pak Ali, bagi membincangkan gangguan itu.

“Eh, kamu tak tahu ke, kan ada orang pernah cuba bakar pokok itu sebelum ini. Tetapi lain jadinya apabila dia pula yang jatuh sakit, demam seminggu,” kata Pak Ali.

“Mana boleh pergi bakar macam tu saja. Mestilah ada adabnya apalagi pokok itu sudah lama ada penunggu. Jangan main-main, takut nanti lain yang dituju, lain pula jadi mangsanya. Pokoknya, kita tak boleh biar macam ini saja. Kacau nanti kalau semua orang tak berani keluar malam. Bimbang nanti, jemaah masjid penuh takat solat Isyak saja dan aktiviti selepas itu seperti ceramah, tak ada sambutan,” kata Pak Salim.

Selepas berbincang lama, mereka akhirnya memutuskan untuk melakukan langkah drastik - menebang lalu membakar pokok jejawi berkenaan yang menjadi lubuk gangguan pontianak berkenaan.

Mereka memilih pagi Isnin yang cerah. Selain Pak Salim, Pak Ali dan Pak Abu, mereka turut dibantu lima pemuda lain. Sebaik menjejakkan kaki, mereka diuji dengan bau busuk yang entah dari mana asalnya serta perasaan takut yang menegakkan bulu roma.

Ia tidak mematahkan semangat mereka, sebaliknya mereka meneruskan usaha dengan didahului doa. Pada awalnya usaha mereka tidak ke mana kerana entah mengapa pokok berkenaan tidak boleh ditebang. Peralatan yang digunakan untuk tujuan itu tidak boleh digerakkan.

Penduduk kampung cuma memandang antara satu sama lain. Tiada sebab pokok itu tidak boleh ditebang kecuali ada halangan yang tidak dapat dilihat mata kasar. Sebagai ketua misi menumbangkan pokok itu, Pak Salim tidak bertangguh lagi terus membaca ayat suci al-Quran, selain memohon doa supaya segala-galanya dimudahkan.

Berkat kesabaran mereka, pokok itu akhirnya berjaya ditumbangkan dan dibakar untuk mengelak ia terus menjadi tempat persinggahan jelmaan itu. Kini penduduk kampung kembali aman kerana tiada lagi gangguan penunggu pohon jejawi itu.

Sunday, May 9, 2010

Sarang penunggu




TERDAPAT beberapa kejadian histeria yang dikaitkan dengan makhluk halus yang menghuni pokok. - Gambar hiasan


POHON rendang di lokasi terpencil di kawasan tempat letak kereta Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu sudah lama dikaitkan dengan kisah seram. Keadaannya yang seperti ‘tidak boleh diusik’ membuatkan ada yang bertanggapan ia berpenunggu.
Ramai yang sekadar menyedapkan hati dengan membisu sehinggalah, baru-baru ini apabila tapak di kawasan itu hendak dibangunkan untuk satu projek baru.
Dua orang pekerja yang bertugas menebang pokok itu dikatakan ditimpa malapetaka. Yang seorang telah menemui ajal dan seorang lagi lebam-lebam di seluruh tubuh.
Kejadian kemalangan di tapak projek pembinaan bukanlah suatu yang asing.
Selain dilihat daripada perspektif teknikal seperti kecuaian atau penggunaan peralatan yang tidak berkualiti, tidak kurang yang mengaitkannya dengan perkara paranormal seperti gangguan makhluk halus.
Gangguan yang melibatkan tapak pembinaan juga pernah terjadi di kawasan sebuah sekolah menengah di Kuantan, Pahang, dua tahun lalu.
Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Tanjung Lumpur diserang histeria secara berterusan dan berulang sehingga ada yang terpaksa dipindahkan ke sekolah lain malah sekolah itu terpaksa ditutup sementara.
Ganjil
Salah seorang bapa kepada pelajar yang menjadi mangsa histeria itu berpendapat kejadian aneh tersebut berpunca daripada tindakan pihak sekolah merata dan membersihkan kawasan sekolah untuk membina bangunan makmal tiga tingkat di sebelah bangunan sekolah sedia ada.
Kejadian aneh juga banyak dikaitkan dengan tapak-tapak projek yang merupakan bekas hutan.
Pada tahun 1980-an, dua batang pokok besar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pernah dikaitkan sebagai punca gangguan histeria dan fenomena rasuk di kalangan pelajar dan pekerjanya.
Kontraktor pun tidak berani tebang walaupun diberikan ganjaran tiga kali ganda. Namun, dengan bantuan Datuk Dr. Haron Din akhirnya pokok tersebut dapat ditebang dan dibakar.
Haron memberi kenyataan pada sebuah akhbar pada tahun 2007 bahawa memang benar ada keganjilan pada pokok itu kerana ia tidak tumbang pada mulanya walaupun nampak hampir putus.
Di India, pada tahun yang sama, kecoh apabila panik melanda sebuah perkampungan di Orissa, Khurda apabila sebatang pokok dikatakan berhantu dan tidak boleh dimusnahkan.
Siapa sahaja yang cuba untuk menebangnya akan mati. Sebanyak tujuh orang dilaporkan mati di tangan ‘pokok pembunuh’ itu. Seluruh penduduk kampung takut mendekati pokok tersebut terutamanya ketika senja.
Seorang kakak kepada pemuda yang terbunuh memberitahu, selepas cuba menebang pokok itu, adiknya batuk berdarah dan melihat seekor kucing putih yang menyeramkan di pokok itu.
Pengamal perubatan Darussyifa’ yang enggan dikenali berkata, jin atau makhluk halus sebenarnya bukan sahaja mendiami pokok, sebaliknya ada di mana-mana sahaja termasuk di dalam bangunan dan di atas jalan raya.
Ini kerana bilangan jin adalah lebih ramai daripada manusia pada nisbah seorang manusia bersamaan 10 jin.

KEMALANGAN atau insiden buruk yang berlaku di tapak projek mungkin mempunyai kaitan dengan makhluk halus yang marah 'rumahnya' diceroboh.


Pemujaan
Namun katanya, pokok atau hutan, lombong dan paya merupakan antara tempat yang digemarinya. Di kawasan bandar, pokok yang digemarinya untuk ‘bersarang’ ialah pokok yang rendang dan terpencil atau pokok tunggal yang kawasan sekitarnya telah dibangunkan.
Ditanya mengapa pokok disukai makhluk halus, salah satu puncanya adalah kerana amalan sekelompok manusia dahulukala yang menyembah pokok, sekali gus membuatkan makhluk halus itu sehingga ke hari ini suka mendampingi pokok.
“Tempat-tempat pemujaan memang biasa dikaitkan dengan perkara seperti ini, bukan sahaja pokok, tetapi juga kubur dan sebagainya,” ujarnya ketika dihubungi Jurnal.
Berpengalaman selama 10 tahun dalam rawatan gangguan makhluk halus, beliau berkata, memang terdapat banyak kejadian malapetaka seperti kematian dan kemalangan akibat membangunkan sesuatu projek pembangunan.
“Ia boleh jadi kebetulan, tetapi tidak mustahil disebabkan kemarahan makhluk halus yang menghuni kawasan itu. Ia berasa dirinya diganggu.
Kemalangan
“Dalam dunia ini, manusia pun ada yang samseng, jin pun macam itu juga. Kalau ganggu jin yang samseng memang dia boleh ‘balun’ terus,” katanya sambil memberitahu jin tidak akan menunjukkan rupa sebenarnya melainkan secara jelmaan.
Oleh itu, beliau menyarankan sebaik-baiknya, sebelum sesuatu projek hendak dibangunkan, ambillah langkah-langkah perlindungan dan halau mereka secara lebih beradab.
Jangan terus dimusnahkan tempat mereka begitu sahaja. Membaca surah Yaasin mungkin boleh menjadi amaran kepada mereka supaya berpindah.
“Tetapi bukan mudah untuk menghalau jin atau iblis. Sedangkan hendak mengarahkan manusia berpindah misalnya dari rumah setinggan pun susah, inikan pula untuk menghalau makhluk yang lebih angkuh daripada manusia. Semua orang pasti tahu tentang peristiwa keangkuhan iblis bersujud kepada Adam,” katanya.
Ditanya bagaimana untuk kita ketahui sama ada sesuatu tempat itu dihuni makhluk halus, beliau berkata ia mungkin dapat dilihat dengan berlaku gangguan-gangguan seperti histeria, kehidupan yang tidak tenteram, selalu berlaku kemalangan atau pertengkaran.
Sementara itu, pegawai kastam di Pangkalan Marin Kastam di Tanjung Puteri, Syed Idid, 57 menceritakan, beliau telah mendengar bermacam-macam cerita pelik ketika projek pembinaan kompleks kastam di Tanjung Puteri, Johor dilaksanakan.
“Orang cakap ada kawasan berhampiran pokok besar itu tidak boleh dibangunkan. Diceritakan, jentolak terbalik ketika hendak meratakan kawasan itu,” ujarnya.
Arkitek Azman Md. Nor, 56, mempunyai pengalaman bekerja selama 24 tahun dengan Jabatan Kerja Raya. Kini menerajui Arkitek Azman Zainal, beliau tidak menolak kewujudan entiti asing dalam lapangan yang diceburi.
“Dalam banyak projek pembinaan, sudah beberapa kali juga saya berdepan dengan kemalangan di lokasi pembinaan. Ada yang sehingga mengakibatkan kematian.
“Tetapi yang paling kerap berlaku ialah pertelagahan antara pihak-pihak yang terlibat berikutan timbulnya masalah komunikasi,” ujarnya.
Kerana sudah begitu lazim dengan keadaan itu, Azman melabelnya sebagai pendekatan makhluk halus melaga-lagakan manusia.

Monday, April 19, 2010

Misteri: Penunggu Alcatraz


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/03/28


pix_gal0
Penjara paling berhantu di dunia sentiasa menyeramkan pengunjung 

HANTU ada di mana-mana di Alcatraz. Jika satu ketika dulu, pulau yang menempatkan banduan ini tidak boleh dihampiri, kini ia ‘membuka pintu’ kepada pelancong yang berminat untuk mengetahui rahsia penghidupan di dalam penjara.
Sebagai pulau terpencil, Alcatraz, penjara yang menempatkan ramai pembunuh kejam dan penjenayah licik, kini menjadi antara tempat pelancongan yang perlu dilawati sekiranya berkunjung ke California, Amerika Syarikat. Juga dikenali sebagai The Rock, Alcatraz, tidak hanya menyimpan kenangan banduan yang pernah menghuni tempat diberi jolokan Penjara Paling Berhantu Di Dunia’ itu, sebaliknya turut diselubungi 1,001 misteri dan kisah menyeramkan. 

Ia diakui sendiri oleh seorang pengawal malam penjara terkenal itu, Gregory Johnson, yang mengaku tidak dapat membayangkan harus berada di situ tanpa senjata. 

Sebaik bot pelancong terakhir berlepas, Johnson, bersendirian di situ berdepan segala fenomena Alcatraz yang tidak boleh dijelaskan dan menghabiskan semalaman berperang dengan keberanian dan bayangan, meronda tempat yang pernah dikenali sebagai Pulau Kejahatan itu, sehingga bot pertama pula tiba keesokan hari. 

Sejak menjadi Penjara Persekutuan pada 1934 hingga penutupannya pada 21 Mac 1963, Alcatraz adalah perhentian terakhir bagi 1,576 penjenayah termasuk pembunuh dan kumpulan samseng. Antara yang pernah tinggal di Alcatraz ialah Al Capone, samseng keturunan Itali yang menguasai Chicago dengan darah dan senjata. 
“Saya tidak percaya ada hantu. Namun di Alcatraz, suasananya sungguh berbeza. Pada satu malam saya mendengar bunyi gelas berlaga seolah-olah ada parti sedang berlangsung. Tempat ini amat menyeramkan sebaik gelap. Bulu roma sentiasa meremang,” katanya. 

Seorang lagi pengawal yang pernah bekerja syif malam mengawal penjara itu selama 10 tahun, Erik Novencido, turut mengalami pengalaman menyeramkan. 
Dia pernah mengambil gambar bilik terapi kejutan elektrik pada waktu malam untuk ditunjukkan pada seorang rakan. 

“Apabila filem itu selesai diproses, gambar menunjukkan satu muka dalam bilik itu merenung saya. Saya tidak tahu ia apa. Kadang-kadang saya diselubungi ketakutan yang keterlaluan,” katanya. 

Mary McClure, 52, bekas anggota paramedik yang bekerja di situ selama 12 tahun, pernah berasa punggungnya dipicit. 

“Ia berlaku agak kerap. Saya tiada penjelasan mengenai perkara itu dan tidak pernah bercerita kepada orang lain kerana ia tidak masuk akal,” katanya. 

Menurut cerita, sel 14D dipercayai antara bilik kurungan yang paling menyeramkan. Pelawat dan pekerja dilaporkan berasa seram sejuk sebaik tiba di sel berkenaan. 

Kejadian berlaku pada 1940-an apabila seorang banduan yang dikurung di sel 14D menjerit sepanjang malam mengenai satu makhluk dengan mata terbeliak cuba membunuhnya. Keesokan hari, pengawal menemui lelaki itu mati dicekik di dalam sel itu. 

Tiada siapa mengaku bertanggungjawab di atas kematian itu. Bagaimanapun, apabila dikira pada keesokan hari, bilangan banduan terlalu ramai, malah sebahagian pengawal mendakwa melihat banduan yang mati itu di celah tahanan lain, sebelum ia lesap dalam sekelip mata. 

Sementara itu, Al Capone yang menghabiskan sisa usianya di Alcatraz dengan kesihatan merosot disebabkan penyakit sifilis, suka bermain banjo, sejenis alat muzik bertali seperti gitar, dengan kumpulan pancaragam penjara. 

Bimbang dibunuh jika berada di luar sel, Capone diberi kebenaran menghabiskan masa lapang berlatih bermain banjo dalam bilik air. 

Menariknya, ia tidak terhenti dengan kematian Capone, sebaliknya seorang renjer mendakwa mendengar muzik banjo dimainkan dalam bilik air. 

Tidak biasa dengan sejarah Alcatraz, renjer berkenaan tidak mengetahui punca bunyi itu dan mendokumentasikan kejadian aneh berkenaan. Pelawat dan pekerja juga melaporkan pernah mendengar bunyi banjo dimainkan. 

Perkara pelik lain yang dialami pelawat dan pekerja penjara itu, termasuk terbau asap tetapi tidak menemui api, bunyi tangisan dan mengerang, berasa seram sejuk di bahagian tertentu, malah ada mendakwa ternampak hantu banduan atau anggota tentera. 

Mungkin ada yang berkata ia cuma mainan perasaan apabila menjejakkan kaki di tempat paling menyeramkan tetapi rasionalnya tetap ada, apatah lagi dengan fizikal Alcatraz itu sendiri yang menyimpan pelbagai kisah duka.