Pages

Showing posts with label Terry Jones. Show all posts
Showing posts with label Terry Jones. Show all posts

Friday, October 8, 2010

Hikmah di sebalik idea Paderi Terry Jones





idea membakar al-Quran yang dicetuskan Terry Jones, biarpun menimbulkan kemarahan umat Islam namun ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Islam.


Terima kasih Terry Jones! Ini kerana cetusan idea beliau untuk membakar al-Quran memberikan terlalu banyak hikmah kepada umat Islam. Ini termasuklah;
*Ia telah memberikan peluang perniagaan yang sangat menguntungkan. Ramai yang tercari-cari dan membeli buku-buku mengenai Islam, sekali gus naskhah al-Quran itu sendiri. Ini memberikan pendapatan kepada pengusaha kedai-kedai buku. Hikmah-hikmah lain yang kita nikmati dari idea Jones.
*Ramai kini tanpa mengira Islam dan bukan Islam mengunjungi masjid-masjid untuk menghadiri kelas-kelas pengajian mengenai Islam dan pulang dengan menerima pelbagai pesanan-pesanan indah mengenai Islam.
*Semakin ramai juga yang menghubungi talian panas (hotline) dan bertanya mengenai percaya, iman dan doktrin Islam. Ini memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menjelaskan mengenai Islam.
*Perkataan 'Islam' dan 'al-Quran' adalah antara yang paling banyak dilayari melalui Google atau Internet. Fenomena ini menyebabkan semakin ramai berbicara mengenai Islam dan al-Quran dengan mengunjungi pelbagai laman web Islam untuk belajar mengenai kebenaran Islam.
*Perpustakaan-perpustakaan menjadi semakin sibuk untuk melayani pinjaman cetakan al-Quran dan terjemahannya dalam pelbagai bahasa. Iaitu gedung-gedung perpustakaan terutamanya di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah sibuk meminjamkan salinan al-Quran itu kepada orang ramai.
*Setinggi-tinggi terima kasih kepada Terry Jones dan watak-watak yang anti al-Quran kerana memberikan 'iklan-iklan' percuma mengenai Islam. Ia berjaya menjimatkan jutaan dolar untuk tujuan membeli tapak-tapak iklan untuk mempromosikan al-Quran dan Islam. Terima kasih sekali lagi kepada anda kerana firman-firman atau kata-kata Allah kini menjadi perkataan yang popular dan tersebar luas.
*Terima kasih juga kerana kenyataan Terry Jones telah membangkitkan umat Islam itu sendiri. Umat Islam seluruh dunia kini lebih ghairah untuk kembali kepada keindahan iman dan kedamaian dalam Islam untuk dikongsi bersama dengan seluruh ahli keluarga, jiran tetangga, para sahabat dan kemanusiaan.
*Terima kasih kerana anda telah memberikan 'dorongan' yang sangat kuat untuk lebih ramai lagi yang memeluk Islam.
*Terima kasih kerana 'berjaya' menyatupadukan hati nurani rakyat-rakyat Muslim, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha malah atheis pada platform kebaikan bersama, cinta dan toleransi untuk sama-sama melawan kebencian, bias dan fanatik.
*Umat Islam berdoa kepada Allah supaya anda benar-benar dapat membaca dan menghayati al-Quran dengan fikiran dan hati yang terbuka. Merenung kembali kepada keesaan tuhan.
*Semoga anda mendapat hidayah. Anda mulai menyembah Tuhan Yang Esa seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Selamat Datang kepada Islam wahai Terry Jones!

Monday, September 20, 2010

Paderi Terry Jones tanggung kos AS$180,000


ORLANDO, Amerika Syarikat 19 Sept. - Pihak berkuasa bandar raya Gainesville di Florida akan menghantar bil berjumlah lebih AS$180,000 (RM576,000) kepada paderi Terry Jones bagi kos keselamatan yang ditanggung berhubung ugutannya untuk membakar al-Quran sempena hari ulang tahun memperingati serangan 11 September, 2001, baru-baru ini.
Agensi-agensi polis menghabiskan masa lebih sebulan untuk menyediakan pelan keselamatan bagi memastikan keselamatan komuniti di sekitar gereja Jones, Dove World Outreach Center iaitu lokasi yang dirancang bagi membakar lebih 200 naskhah al-Quran, kata jurucakap polis Gainesville, Korperal Tscharna Senn kelmarin.
Jones juga memberitahu pihak berkuasa bahawa dia menerima banyak ugutan bunuh berikutan rancangannya untuk membakar al-Quran, yang akhirnya dibatalkannya ekoran tekanan hebat daripada para pemimpin dunia.
Jabatan Polis Gainesville membelanjakan lebih AS$100,000 (RM320,000), manakala Pejabat Syerif Daerah Alachua menghabiskan kira-kira AS$80,000 (RM256,000) untuk langkah-langkah keselamatan pada hujung minggu lepas, iaitu hari yang dijadualkan bagi pembakaran tersebut.
"Kami ada 286 anggota beruniform dan hampir setiap orang bertugas sama ada di Dove Center atau di tempat lain yang boleh menjadi sasaran serangan.
"Melainkan seseorang anggota itu sakit atau cedera, mereka semua bekerja pada hari pembakaran itu dijadualkan," kata Senn.
Anggota polis memperketatkan kawalan keselamatan di gedung-gedung membeli-belah di kawasan berhampiran, stadium bola sepak Universiti Florida serta di kawasan sekitar gereja pada hari-hari sebelum pembakaran itu dijadualkan.
Jones kelmarin berkata, pihak gereja 'tidak menyedari mereka akan dikehendaki membayar bil keselamatan'.
"Jika kami mengetahui perkara ini awal-awal lagi, sudah tentu kami tidak mahu kawalan keselamatan disediakan," katanya.
Beberapa pihak menuduh pihak berkuasa melakukan persiapan keselamatan yang keterlaluan.
"Memang mudah untuk mendakwa kami membuat persiapan keterlaluan, tetapi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, kami akan dituduh kurang bersedia," kata Senn. - CNN