Pages

Showing posts with label Bangkai. Show all posts
Showing posts with label Bangkai. Show all posts

Tuesday, February 5, 2013

Lelaki Pelik Kemaruk Makan Bangkai Haiwan

Bangkai haiwan yang mati akibat dilanggar kenderaan dan terbiar di tepi jalan seringkali menimbulkan perasaan yang tidak menyenangkan. Namun, seorang pesara kerajaan di Britain, Arthur Boyt, 75, menganggap bangkai seperti itu merupakan hidangan paling enak untuk dimakan dan ia percuma.


Selera pelik lelaki dari Cornwall, England itu bermula sejak lebih 60 tahun dahulu.

“Semasa berumur 13 tahun, saya terjumpa burung kuang yang mati dilanggar kereta di tepi jalan.

“Saya terus membawanya pulang dan meminta ibu memasaknya. Rasanya sungguh lazat,” cerita Boyt.

Lelaki kulit putih itu mengaku dirinya seorang pencinta haiwan tetapi kandungan peti sejuknya membuatkan dakwaan itu boleh dipersoalkan. Ini kerana peti sejuknya yang bersaiz besar dipenuhi bangkai haiwan seperti burung kuang, kancil, rubah, angsa, burung hantu dan tupai. Dalam masa yang sama, saiz peti sejuk terus menjadikan dia gelisah.

“Rasanya saya perlu memikirkan ruang penyimpanan lain di dalam rumah untuk mengisi stok makanan,” tutur Boyt.


Walaupun perbuatannya itu bersifat eksentrik, Boyt sebenarnya memiliki ijazah dalam bidang sains biologi, yang membolehkan dia mengenal pasti bahagian daging bangkai haiwan yang masih baik untuk dimakan.

Boyt yang gemar memakai topi bulat berwarna biru dan kaca mata bersaiz besar memberitahu, daging haiwan tersebut perlu dimasak dalam suhu yang tinggi serta tempoh yang lama.

“Saya meneruskan kehidupan dengan makan bangkai haiwan selain memakan sayur-sayuran yang ditanam sendiri di rumah.”

“Kelebihannya, saya sudah lama tidak membeli barangan basah seperti daging, ikan dan sayur-sayuran di pasar raya,” katanya.

Boyt akan memastikan keseluruhan bulu haiwan, darah, jantung, buah pinggang dan bahagian kulit dibuang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, kepala haiwan dan isinya tidak dibuang kerana baginya otak haiwan mempunyai rasa yang mengagumkan.

“Saya juga akan melabel setiap stok makanan, menyimpannya di dalam beg plastik bersaiz besar sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk,” terang Boyt.

Walaupun terdapat bangkai haiwan yang disimpan Boyt merupakan spesies haiwan yang terancam, ia tidak menjadi satu kesalahan di Britain. Antara makanan eksotik kegemarannya ialah kelawar dan memerang.

“Secara jujur daging haiwan yang telah busuk lebih enak dan rangup. Saya lebih mengetahuinya berbanding orang lain,” ujarnya yang tidak pernah mengalami sebarang keracunan.

Boyt menggelar dirinya freegan iaitu gabungan dua perkataan bahasa Inggeris, free dan vegetarian yang bermaksud percuma dan pemakan sayur-sayuran.

Individu freegan akan mencari pelbagai jenis makanan terbuang sama ada untuk disimpan atau dimakan terus.

Isteri Boyt, Sue yang telah menjadi pasangan hidupnya selama lebih 20 tahun tidak menggemari tabiat pemakanan suaminya itu.

“Sue sanggup makan seorang diri di dalam bilik tidur berbanding duduk semeja dengan saya,” kata Boyt.

Pasangan suami isteri itu masih tidak mempunyai zuriat dan memelihara dua ekor anak kucing betina yang salah seekor diberi nama Pie.

Boyt turut dilontarkan pertanyaan andai Pie dilanggar kereta adakah ia akan menjadi pengisi perutnya juga?

“Tidak sama sekali. Isteri saya pasti tidak akan menyukainya,” kata Boyt yang mengakui dia sering dimarahi si isteri kerana terlupa mengeluarkan bangkai haiwan dari but kereta hinggakan kereta sering berbau busuk.

[Sumber]

Thursday, December 27, 2012

Bunga bangkai mekar pada Hari Krismas

MELBOURNE - Sekuntum bunga bangkai atau nama saintifiknya, Titan Arum mekar sepenuhnya pada Hari Krismas di Taman Botani Diraja di sini, lapor akhbar dalam talian Daily Telegraph semalam.
Media berkenaan melaporkan, orang ramai mempunyai masa cuma 48 jam untuk melihat bunga itu sebelum tumbuhan tersebut layu dan mati.
"Saya dapat menghidu bau bunga itu walaupun berada di luar rumah kaca taman botani ini," kata koordinator tapak semaian taman botani berkenaan, David Robbins.
Berukuran setinggi 1.8 meter, Titan Arum mengeluarkan bau busuk seperti mayat reput.
Tumbuhan yang berada dalam keadaan dorman dari satu hingga tiga tahun sebelum berbunga itu merupakan yang pertama di negeri Victoria. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2GCPAXnu0 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, November 21, 2012

Bunga bangkai mekar buat kali kedua




ORANG ramai berkumpul untuk melihat bunga bangkai mekar buat kali kedua di Taman Botanikal Basel, Switzerland kelmarin.


BASEL, Switzerland - Para pengunjung di Taman Botanikal Basel di sini berpeluang melihat dengan lebih dekat bunga terbesar di dunia, Amorphophallus titanum, yang mekar untuk kali kedua pada tahun ini kelmarin.
Dikenali juga sebagai bunga bangkai kerana bau tumbuhan itu seperti daging mereput, bunga berkenaan mekar buat kali pertama pada April lalu selepas 17 tahun ditanam.
Tumbuhan setinggi 2.27 meter itu berwarna kuning dan merah gelap.
Dalam pada itu, beberapa pakar botani di taman berkenaan memberitahu bahawa mereka terkejut kerana bunga tersebut mekar buat kali kedua dalam tempoh kurang 20 bulan. - AFP

Monday, October 31, 2011

Bangkai kapal selam Jepun Perang Dunia Kedua ditemui



SEBAHAGIAN badan kapal selam tentera Jepun yang ditemui di luar pantai Rabaul, Papua New Guinea.


CANBERRA - Sebuah kapal selam tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua ditemui di dasar laut Papua New Guinea semasa satu pemeriksaan mengesan bahan letupan.
Kapal perang Australia dan New Zealand menemui kapal selam itu 55 meter di dalam dasar laut pada Khamis lalu.
Sebahagian bangkai tersebut ditemui tertanam di dalam dasar laut. - Agensi

-kosmo

Monday, September 13, 2010

Bangkai bom kereta jadi pameran




SEORANG wanita melihat bangkai kereta yang musnah akibat letupan bom yang dipamerkan di Muzium Perang Imperial di London pada Jumaat lalu

LONDON – Sebuah bangkai kereta yang musnah disebabkan letupan bom telah dipamerkan di Muzium Perang Imperial di London.
Bangkai itu diselamatkan oleh pemenang Hadiah Turner, Jeremy Deller yang mahu menunjukkan kemusnahan dalam kehidupan seharian akibat peperangan.
Kereta tersebut musnah selepas bom yang terdapat di dalam kenderaan itu diletupkan di jalan Al-Mutanabbi, Baghdad dengan menyebabkan 38 orang terbunuh pada 5 Mac 2007.
Deller berkata: “Adalah sesuatu yang luar biasa untuk melihat sesuatu dalam konflik kehidupan di Iraq menyebabkan saya berminat untuk menunjukkan kereta ini kepada orang awam.”
Bangkai kereta itu pada mulanya dipamerkan di New Museum, New York sebelum dipamerkan di Muzium Perang Imperial.
Sesi jurugambar merakamkan bangkai kereta itu telah diadakan pada Jumaat lalu. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Thursday, August 5, 2010

Bangkai pesawat Skyvan ditemui selepas 17 tahun





2010/08/05




<strong></strong>
Akhbar Indonesia dakwa bangkai kapal terbang, rangka manusia dikesan di Aceh

KUALA LUMPUR: Polis Aceh mendakwa menemui bangkai sebuah pesawat dipercayai jenis SC-7 Skyvan milik Pan Malaysia Air Transport (PMAT) Sdn Bhd yang hilang ketika dalam perjalanan dari Medan ke Banda Aceh, 17 tahun lalu.
Akhbar Waspada kelmarin menyiarkan di muka depannya berita mengenai penemuan bangkai pesawat itu dan rangka manusia di dalamnya yang dikesan di kawasan pergunungan Aceh Besar di Utara Sumatera.
Usaha Berita Harian sehingga lewat malam tadi untuk mendapat pengesahan sama ada bangkai pesawat itu adalah milik PMAT tidak membawa kejayaan, berikutan pasukan mencari diketuai Polis Indonesia yang memasuki kawasan pergunungan berkenaan dikatakan belum keluar dari kawasan lokasi penemuan bangkai itu.

Ketua Polis Daerah Aceh Besar, Agus Susanto memberitahu akhbar itu pasukannya sudah berlepas ke kawasan Gunung Leuser bagi mencari bahan bukti untuk mengesahkan penemuan berkenaan.

“Kita harus mengharungi perjalanan sekurang-kurangnya dua hari untuk sampai ke lokasi bangkai pesawat itu dikesan,” katanya.

Difahamkan, pasukan itu dijangka keluar lewat petang ini.
Pesawat jenis SC-7 Skyvan Malaysia itu hilang pada 30 Januari 1993 selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan Lapangan Terbang Medan kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Medan menuju ke Banda Aceh.

Dalam kejadian itu, 16 dilaporkan hilang iaitu 11 penumpang dan lima krew.
Lima krew itu termasuk tiga rakyat Malaysia, iaitu Pengarah Urusan PMAT, Piaruddin Fathodin, 48, yang juga juruterbangnya; pembantu juruterbang, Achuthan Ramadas, 27 dan juruteknik, Augustine Joseph serta dua lagi juruterbang rakyat Myanmar.

Sepuluh penumpang pesawat itu adalah rakyat Singapura manakala seorang lagi rakyat India. Rakyat Singapura itu dikenali sebagai Mansur Usman, Kaharudin Salamat, Zuraini Syakdan, Saharudin Jaldi, Samsul Bahri, Janri Isa, Lee Mon Thong, Palamisami, Abu Nasir dan Lim Pun Wan, manakala warga India dikenali sebagai Prem Kumar.

Ketika kejadian itu, pesawat berkenaan disewa syarikat Esso Singapura dan dipercayai dalam perjalanan ke Kepulauan Nicobar untuk memeriksa sebuah kapal tangki Denmark, Maersk Navigator yang terbabit dalam pelanggaran dengan sebuah kapal lain di Selat Melaka pada 21 Januari 1993.

Waspada turut memetik Ketua Divisyen Operasi Angkasa Pura Blangbintang Aceh Besar, Mustari mengesahkan pesawat ringan milik Malaysia terhempas di kawasan itu pada 1990-an dan belum ditemui sehingga kini.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia, Norlin Othman yang dihubungi Berita Harian, semalam, berkata pihak berkuasa republik itu belum dapat mengesahkan sama ada pesawat terbabit milik syarikat Malaysia.

“Pasukan polis republik itu sedang berusaha untuk sampai ke lokasi bangkai pesawat ditemui bagi mengesahkan spesifikasinya daripada segi jenis atau sama ada ia pesawat Malaysia.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, dua pesawat Malaysia yang disyaki terhempas di kawasan berkenaan, termasuk SC-7 Skyvan milik PMAT,” katanya.

Norlin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan sebaik pihak berkuasa republik itu mengesahkan bangkai pesawat milik syarikat Malaysia.

‘Saya tak berhenti berharap suami pulang’

KUALA LUMPUR: “Saya berharap pesawat yang ditemui polis Aceh itu daripada jenis SC-7 Skyvan yang hilang ketika dalam perjalanan dari Medan ke Banda Aceh, 17 tahun lalu,” kata Noorhidayati Cheah Abdullah.

Wanita kelahiran Kelantan itu kehilangan suaminya, Piaruddin Fathodin dalam tragedi itu bersama empat lagi anak kapal, selain 11 penumpang warga Singapura dan India.

Dalam kejadian 30 Januari 1993 itu, pesawat yang dikendalikan Piaruddin yang juga juruterbang pesawat itu merangkap Pengarah Urusan Pan Malaysia Air Transport (PMAT) Sdn Bhd itu disyaki hilang apabila terputus hubungan dengan Lapangan Terbang Medan ketika dalam perjalanan ke Banda Aceh.

“Berita terkini mengenai penemuan pesawat SC-7 Skyvan itu suatu rahmat menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini, lebih-lebih lagi kejadian 17 tahun lalu itu juga berlaku sebulan sebelum umat Islam menunaikan ibadat puasa.

“Malah perasaan terkejut, sedih dan tertekan yang dialami 30 Januari 1993 lalu turut dirasai sebaik menerima berita penemuan bangkai pesawat yang hilang itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berusia 35 tahun ketika peristiwa itu menimpa diri dan keluarganya, Noorhidayati berkata, dalam beberapa bulan selepas pesawat itu hilang, nalurinya kuat menyatakan suaminya masih hidup dan turut mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

“Saya tidak pernah berhenti mengharapkan kepulangannya kerana sebelum berlepas suami berjanji akan pulang, malah saya tidak dapat menerima kenyataan beliau sudah pergi meninggalkan kami sekeluarga.

“Siapa tahu, mungkin juga beliau sesat dalam hutan, mungkin juga beliau salah seorang yang bernasib baik dan terselamat serta dijaga penduduk di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya sudah jangka berita penemuan pesawat itu pasti diterima suatu hari nanti, cuma entah bila dan hari ini (semalam) apa yang saya jangkakan benar-benar berlaku,” katanya yang menggalas tugas Pengarah Eksekutif syarikat yang pernah diterajui suaminya itu.