Pages

Showing posts with label Kampung Baru. Show all posts
Showing posts with label Kampung Baru. Show all posts

Thursday, January 6, 2011

Kampung Baru berusia 111 tahun

Kosmo! Online - Negara

PEMANDANGAN Kampung Baru, Kuala Lumpur yang akan berusia 111 tahun pada hari ini.





KUALA LUMPUR - Ramai yang tidak menyedari bahawa Kampung Baru di sini yang merupakan penempatan utama masyarakat Melayu di tengah-tengah ibu kota akan berusia 111 tahun hari ini.
Sehubungan itu, pelbagai program bakal dianjurkan oleh Centrepro Sdn. Bhd. bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia akan turut diraikan kira-kira 35,000 penduduknya.
Menurut Pengarah Urusan Centrepro Sdn. Bhd., Ishak Abdul Kadir, acara akan bermula hari ini dengan majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Jamek dan beberapa buah surau di kawasan itu.
"Acara kemuncak sambutan ialah majlis makan malam yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan depan atau bulan berikutnya," katanya yang merupakan Penyelaras Acara Kampung Baru Warisan di sini semalam.
Kampung Baru berkeluasan 122.93 hektar mula dibuka pada tahun 1899 dan merupakan sebuah perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Tuesday, August 3, 2010

Kampung Baru ikut model Mekah




PROJEK pembangunan komersial Kampung Baru turut dicadang mengikut model perniagaan di Mekah.


MELAKA - Projek pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur di kawasan seluas 90 hektar berkemungkinan dibangunkan mengikut model perniagaan di Mekah, Arab Saudi.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Lambaga Tabung Haji (LTH) adalah antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan membangunkan Kampung Baru telah mengemukakan cadangan itu.
Sebuah lagi GLC yang menyatakan persetujuan ialah Permodalan Hartanah Berhad (PHB) manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang turut dipelawa sebagai pemaju telah menyatakan persetujuan secara dasar.
"Pembangunan di Kampung Baru kelak yang diibaratkan sebagai permata bagi penduduk Melayu di sebuah kawasan di tengah-tengah Kuala Lumpur diharapkan dapat menandingi pembangunan di kawasan sekitarnya termasuk kawasan segi tiga emas yang menempatkan Menara Berkembar Petronas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Lab Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru di sini semalam.
Lab bagi merangka draf undang-undang yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menunjangi penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dijangka berfungsi pada tahun depan.
Raja Nong Chik berkata, selain Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai penyediaan dana dan melaksanakan pembangunan fizikal Kampung Baru juga akan diwujudkan.
Kerajaan juga akan membantu pembangunan infrastruktur di kampung itu.
Mengenai penilaian tanah di Kampung Baru, beliau berkata ia akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan sebuah syarikat swasta, Rahim & Co.
"Kita jangkakan penilaian tanah di Kampung Baru akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga bulan yang akan bermula dalam masa terdekat," katanya.