Pages

Tuesday, March 19, 2013

Sisa radioaktif ditemui dalam ikan di Tokyo




19 Mac 2013
Sisa radioaktif ditemui dalam ikan di Tokyo
Hasil tangkapan ikan di wilayah Fukushima dikhuatiri masih tercemar dengan sisa radioaktif. Foto: AFP
TOKYO - Tokyo Electric Power (Tepco) memberitahu mereka telah mengesan 740,000 becquerel radioaktif sesium dalam ikan yang ditangkap berhampiran dengan loji nuklear Fukushima.

Difahamkan, jumlah itu 7,400 kali ganda melebihi had selamat dibenarkan kerajaan untuk dimakan oleh manusia.

Memetik laporan AFP, spesies ikan greenling tersebut ditemui pada 21 Februari lalu dalam sangkar bersebelahan Loji Nuklear Daiichi.

Sebelum ini, beberapa pakar mendakwa sisa radioaktif yang tertumpah secara tidak sengaja akibat kemalangan di loji itu boleh meresap ke dasar laut dan menjejaskan hidupan akuatik.

Insiden kebocoran radiasi tersebut turut menyebabkan hasil tangkapan ikan di sepanjang pantai wilayah Fukushima dilarang untuk dipasarkan.  - AFP

Festival burung unta tarikan di Arizona


18 Mac 2013
Festival burung unta
Peserta, Dustin Murley dan Jessey Sisson bersedia di dalam kandang burung unta sebelum dilepaskan.
Festival burung unta
Murley dipijak burung tunggangannya selepas gagal mengawal perlumbaan
PENDUDUK Arizona, Amerika Syarikat menyifatkan burung unta adalah haiwan paling banyak berjasa kepada manusia sejak tahun 1890.

Kira-kira 80 peratus masyarakat ketika itu, menternak haiwan ini bagi membekalkan bulunya kepada agensi fesyen.

Awal 1920-an dunia fesyen  tidak lagi menggunakan bulu burung tersebut tetapi masyarakat terus menganggap burung unta ini masih banyak berjasa kepada kehidupan mereka.

Burung unta juga dikenali sebagai haiwan mempunyai kepantasan berlari cukup luar biasa. Kepantasan itu membuatkan masyarakat di Arizona mengadakan festival tahunan burung unta bermula 1998 di Chandler.

Acara tiga hari diadakan setiap penghujung musim sejuk itu dipenuhi pelbagai program termasuk perlumbaan burung unta.

Penganjur perlumbaan, Steve Boger menyifatkan, perlumbaan burung unta sebagai acara sukan berbahaya kerana haiwan itu tidak boleh dikawal dengan tali atau sebarang alat untuk mengatur langkahnya.

“Tiada jaminan keselamatan. Penunggang seperti mendapat kereta dan setereng tanpa tali pinggang keledar,” katanya dipetik laporan Reuters

Bagaimanapun, Persatuan Pencinta Haiwan Amerika Syarikat tidak lagi membenarkan penganjuran perlumbaan burung unta ini.

Pengarahnya, Kari Nienstedt berkata, perlumbaan melibatkan burung unta bukan keseronokan untuk ditonton sebaliknya, ia adalah penganiayaan terhadap haiwan itu.

“Kami tidak bertolak ansur dengan mana-mana tindakan seksaan terhadap hidupan liar kerana tidak wajar untuk melihat dan kecederaan serius terhadap haiwan itu,” katanya.

Teknik revolusi baru pemindahan hati

Teknik revolusi baru pemindahan hatiCiptaan ini dapat memastikan hati terus berada pada suhu tubuh, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan organ berkenaan. Foto: Reuters
LONDON - Pakar bedah Britain mendakwa mereka berjaya melakukan pemindahan hati ke atas dua pesakit menggunakan 'teknik revolusi' yang akan memastikan organ kekal pada suhu sepatutnya dan terus berfungsi walaupun sudah dikeluarkan dari tubuh.

Memetik laporan Al-Jazeera kumpulan pakar yang melakukan prosedur itu di Hospital King College di London memaklumkan kejayaan mereka akan menjadi titik tolak dalam bidang perubatan.

Difahamkan, teknologi baru tersebut dicipta hasil cetusan idea 20 jurutera di Universiti Oxford dan ia mengambil masa lebih 20 tahun untuk direalisasikan.

Profesor Constantin Coussios di universiti terkemuka itu menyatakan ciptaan mereka membolehkan hati kekal pada suhu seperti berada dalam tubuh manusia kerana sel darah merah masih bergerak dalam kapilari.

Dalam satu kenyataan lain, perunding pakar bedah pemindahan hati, Wayel Jassem berkata, teknologi tersebut mempunyai potensi besar untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa memandangkan angka dalam senarai menunggu juga semakin meningkat setiap tahun

Sebelum ini, organ yang didermakan perlu disimpan dalam bekas ais untuk tujuan memperlahankan metabolisme tetapi kaedah tersebut sebenarnya menjadi punca ia menjadi rosak sebelum dipindahkan ke tubuh penerima.

Anak-anak banduan di sebalik tirai besi

19 Mac 2013
Anak-anak banduan di sebalik tirai besi
Valdez menghabiskan waktu hukuman bersama bayinya, Nicole di penjara Los Hornos, La Plata.
Anak-anak banduan di sebalik tirai besi
Rodas bersama anaknya Anahi di penjara Los Hornos, La Plata.
Anak-anak banduan di sebalik tirai besi
Romero terpaksa menjual barangan rumah melalui jendela bagi menampung kehidupannya bersama Lautaro, 6, di kediaman mereka di Buenos Aires.
MENGHARUNGI kehidupan bergelar banduan bukan suatu yang mudah terutamanya bagi golongan wanita. Apatah lagi, bagi kalangan mereka yang sedang hamil atau mempunyai anak.

Di Amerika Selatan, banduan wanita dibenarkan menghabiskan waktu hukuman bersama anak-anak daripada peringkat bayi hingga berusia empat tahun.

Sejak 20 tahun lalu, satu pertiga wanita di negara itu memenuhi sel kecil dengan keadaan serba daif selepas didapati bersalah melakukan jenayah rompak, penyeludupan dadah atau pembunuhan.

Malah, terdapat juga kalangan mereka yang dikenakan perintah berkurung di rumah kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah kecil.

Namun, biar pun diberi kebebasan bersama anak-anak tetapi kehidupan itu bukanlah yang terbaik buat anak-anak mereka yang sedang membesar. 

Banduan, Sandra Valdez, 33, tinggal di penjara Unidad di Los Hornos berhampiran La Plata bersama anak perempuannya berusia yang lapan bulan bernama Nicole. Dia mempunyai  sembilan anak dari tiga hubungan haram. Ketika sarat mengandung dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menjual dadah.

“Tiada masalah timbul untuk membesarkan Nicole di sini, walaupun kami dikelilingi banduan. Saya berharap Nicole tidak mengikut jejak langkah saya sebagai seorang banduan,” katanya.
Seorang lagi banduan Silvia Rodas, 27, turut tinggal bersama anaknya yang berumur empat tahun di penjara sama. Beliau dikenakan hukuman penjara selepas terbabit dalam kes pembunuhan dan rompakan.  Selama dua tahun dia dan anaknya Anahi menghabiskan waktu di sel tersebut.

“Kehadiran anak saya di sini meringankan keperitan bergelar sebagai banduan. Sekurang-kurangnya, saya mempunyai teman sepanjang menghabiskan masa hukuman,” katanya.

Dia berkata, kehadiran anak-anak banduan di sini dapat mengukur nilai persahabatan di antara banduan lain.

Menurutnya, percampuran kanak-kanak dengan banduan lain di penjara merupakan contoh negatif.

“Kanak-kanak di sini terdedah dengan perbuatan buruk banduan lain dan mereka tidak mempunyai nilai atau contoh yang boleh dijadikan teladan,” katanya dipetik laporan Daily Mail

Bagi banduan Julia Romero, 45, hukuman perintah berkurung yang sedang dilaluinya amat berat untuk ditanggung.

“Saya terpaksa menjual barangan rumah melalui jendela bagi membeli keperluan untuk anak yang masih bersekolah.,” katanya.

Menurutnya, apabila sesi pendengaran di mahkamah berlangsung, sekumpulan anggota polis menjemputnya di rumah.

Lima beradik kongsi satu isteri




Foto
RAJO Verma mendukung bayinya Jay bersama lima suaminya (dari kiri) Sant Ram, Bajju, Gopal, Guddu dan Dinesh di depan rumah mereka.
Foto
RAJO memasak, mengemas rumah dan menjaga anak ketika kelima-lima suaminya pergi bekerja.


New Delhi: Seorang ibu muda semalam mendedahkan dia mempunyai lima suami.

Lebih menarik lagi, kelima-limanya adalah adik-beradik.


Rajo Verma, 21, tinggal dalam sebuah rumah satu bilik dengan kelima-lima suaminya dan tidur bersama suami berbeza setiap malam mengikut giliran.
Suri rumah itu juga tidak tahu siapa bapa bayi lelakinya.


Rajo berkata: “Pada awalnya, ia rasa agak pelik. Dan saya tidak mempunyai suami kegemaran.” Suami pertamanya, Guddu, 21, menegaskan: “Kami semua melakukan seks dengannya tetapi saya tidak cemburu. Kami sebuah keluarga besar yang bahagia.” Pasangan itu berkahwin mengikut istiadat Hindu yang diatur keluarga mereka empat tahun lalu dan dia menjadi satu-satunya suami Rajo yang sah. Tetapi adat di kampung mereka mewajibkan Rajo turut mengambil adik-beradik suaminya sebagai suami. Mereka ialah Bajju, 32, Sant Ram, 28, Gopal, 26, dan Dinesh — yang dikahwininya tahun lalu ketika pemuda itu mencecah usia 18 tahun.


Abang sulung Bajju berkata: “Saya menganggap Rajo sebagai isteri saya dan tidur bersamanya sebagaimana adik saya yang lain.” Rajo memasak, mengemas dan menjaga bayinya, Jay yang berusia 18 bulan ketika semua suaminya pergi bekerja di Dehradun, utara India.




Rajo berkata mengenai tradisi purba bergelar poliyandri: “Ibu saya turut berkahwin dengan tiga beradik. Bila saya berkahwin saya tahu saya terpaksa menerima semua lelaki itu sebagai suami.” “Saya tidur dengan mereka mengikut giliran. Kami tiada katil, kecuali beberapa selimut. “Yang menariknya, saya mendapat lebih perhatian dan kasih sayang daripada kebanyakan isteri lain.” - Agensi

Beruang ketagih hidu minyak



Seekor beruang perang Rusia menghidu bau minyak kerosin di Hutan Simpan Kronotsky, South Kamchatka di timur Rusia. - AGENSI
SOUTH KAMCHATKA, Rusia 18 Mac - Seorang jurugambar Rusia, Igor Shpilenok berjaya 'membongkar' aktiviti sekumpulan beruang perang Rusia yang ketagih menghidu minyak kerosin dan gasolin.
Dia melakukan tugas itu selama tujuh bulan di Hutan Simpan Kronotsky, South Kamchatka di timur Rusia.
Beruang-beruang itu kelihatan gembira bermain dengan tong-tong minyak yang tidak digunakan lagi.
Shpilenok sempat memerhati gelagat mamalia tersebut menarik nafas panjang selama beberapa minit sebelum memasukkan hidung mereka ke dalam lubang tong itu dan kemudian 'khayal' dalam alam mereka sendiri.
Menurutnya, minyak itu digunakan bagi menghidupkan penjana dan juga helikopter yang digunakan oleh pekerja hutan simpan tersebut.
Jurugambar berusia 52 tahun itu berkata, sesetengah haiwan tersebut akan mengintai helikopter yang mendarat di kawasan itu bagi tujuan membuang minyak.
Sejurus helikopter itu beredar, beruang-beruang tersebut akan menghampiri kawasan itu dan mula menguis tanah untuk menghidu minyak yang telah dibuang itu.
"Dalam beberapa kes, terdapat helikopter yang membawa beberapa tong gasolin untuk ditinggalkan kepada pekerja hutan simpan di situ.
"Bagaimanapun, disebabkan pekerja taman itu tidak mengambil tong tersebut tepat pada masanya, seekor beruang betina yang diberi nama Suzemka, yang sudah ketagih dengan bau bahan itu, mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti kegemarannya," katanya.
Beruang perang Rusia dipercayai merupakan beruang perang paling besar di dunia dengan berat kira-kira 544 kilogram. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130319/lu_09/Beruang-ketagih-hidu-minyak#ixzz2NxkTJuYq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rokok elektronik berbahaya

ROKOK elektronik yang dianggap sebagai alat
 bantu berhenti merokok masih diragui kesahihannya.
 – Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan tidak memperakui rokok elektronik sebagai alat bantuan berhenti rokok dan tidak menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keberkesanannya sebagai alat bantuan berhenti merokok masih belum disahkan serta keselamatan cecair nikotin rokok elektronik juga diragui.
Menurutnya, kementerian telah menjalankan analisis terhadap beberapa jenama cecair rokok e-elektronik yang dijual di pasaran dan mendapati kesemua cecair tersebut mengandungi nikotin iaitu bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
“Cecair rokok tersebut dikesan mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya seperti Diethylene glycol yang beracun dan Nitrosamine yang boleh menyebabkan kanser.
“Pengambilan nikotin yang berlebihan juga boleh menyebabkan keracunan manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini pernah memberi amaran bahawa kemasukan nikotin terus ke dalam paru-paru berkemungkinan boleh menyebabkan kesan keracunan dan ketagihan yang lebih memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2NwMgFunQ 
Hakcipta terpelihara 

Jamalul Kiram mahu pengikutnya dibantu



GAMBAR fail menunjukkan Jamalul Kiram dan adiknya, Bantilan Esmail Kiram II bercakap kepada media di Manila pada 26 Februari lalu.


MANILA - Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III meminta bantuan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) bagi menyediakan khidmat undang-undang kepada para pengikutnya yang telah ditahan pihak berkuasa Malaysia di Sabah.
Menurut portal berita GMA News, jurucakap Hal Ehwal Luar, Raul Hernandez (gambar kecil) semalam berkata, keluarga Jamalul Kiram melalui seorang anak perempuannya telah meminta khidmat Pejabat Peguam Awam untuk menghantar surat kepada Setiausaha Luar Negara, Albert del Rosario bagi memohon bantuan.
"Ia sedang dipertimbangkan untuk tindak balas," Hernandez memberitahu para wartawan.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada mandat jabatan itu bagi memberi bantuan guaman kepada warga Filipina yang menghadapi masalah di luar negara.
Hernandez berkata, pemerintah Filipina perlu mengetahui pertuduhan yang dihadapi mereka terlebih dahulu dan bentuk bantuan diperlukan.
Hernandez berkata, pemerintah memerlukan akses ke atas pengikut Jamalul Kiram.
Pemerintah Filipina mendakwa hanya 10 warganya ditahan oleh kerajaan Malaysia dalam pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
"Kami selalu berkata yang kami sedia membantu orang kita untuk apa jua bantuan yang diperlukan," kata Hernandez.
Hernandez berkata, langkah seterusnya bergantung kepada penilaian DFA terhadap kes itu.
Para penceroboh itu menuntut tanah yang didakwa milik Kesultanan Sulu di Lahad Datu menyebabkan pertempuran berlaku antara mereka dengan pasukan keselamatan Malaysia bulan lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2NvtCHYvx 
Hakcipta terpelihara 

Rekod beli pesawat Airbus




RUSDI (kiri) dan Bregier memegang replika pesawat Airbus A320 sambil diperhatikan Holland (tengah) di Istana Elysee, Paris semalam.


PARIS - Pembuat pesawat Eropah, Airbus semalam mengumumkan rekod pesanan tertinggi bernilai 18.4 bilion euro (RM74.7 bilion) daripada Syarikat Lion Air, Indonesia untuk 234 buah kapal terbang keluaran syarikat berkenaan.
Syarikat Lion Air merupakan syarikat penerbangan swasta terbesar Indonesia.
Ia adalah salah sebuah syarikat penerbangan terpantas yang berkembang di dunia dan merupakan pelanggan terbaharu Airbus.
Sebelum ini kebanyakan pesawat yang digunakan syarikat itu dibekalkan oleh syarikat Boeing.
Presiden Perancis, Francois Hollande menyifatkan ia sebagai perjanjian yang terbesar dalam sejarah penerbangan awam yang akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan di Perancis dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Perjanjian yang dianggap bersejarah oleh Hollande itu ditandatangani di kediaman rasmi beliau di Istana Elysee oleh Ketua Airbus, Fabrice Bregier dan rakan sejawatannya dari Lion Air, Rusdi Kirana.
Syarikat Lion Air akan membeli 60 pesawat Airbus A320 dan bakinya merupakan pesawat jimat minyak iaitu Neo.
Menurut kenyataan Elysee, pesawat A320 dalam proses pengeluaran dan akan diserahkan pada tahun hadapan manakala pesawat Neo dijangka dikeluarkan pada tahun 2016. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Nvt7rBeZ 
Hakcipta terpelihara 

Bangunan ke-19 tertinggi di dunia dibina di Melbourne



LAKARAN artis menunjukkan bangunan ke-19 tertinggi 
dunia yang akan dibina di Melbourne.


MELBOURNE - Bandar kedua terbesar di Australia, Melbourne akan mempunyai sebuah bangunan tertinggi di Hemisfera Selatan selepas projek pembinaannya diluluskan semalam.
Bangunan baharu yang bakal dibina itu mempunyai ketinggian 388 meter dan mengandungi apartmen dan hotel.
Kerajaan negeri Victoria menyatakan bangunan yang mempunyai 108 tingkat itu bakal menjadi bangunan ke-19 tertinggi di dunia apabila ia siap dalam tempoh lima tahun sekali gus menjadi bangunan pencakar langit paling terkemuka di Melbourne.
"Saya berbangga untuk meluluskan pembinaan bangunan yang bakal menjadi mercu tanda bandar kita untuk tahun-tahun akan datang," kata Menteri Pembangunan Victoria, Matthew Guy.
Projek bangunan yang bernama Australia 108 itu melibatkan pelaburan sebanyak A$600 juta (RM1.9 bilion).
Arkitek bangunan itu, Nonda Katsalidis berkata, bangunan tersebut akan mempunyai 646 unit apartmen, 288 bilik hotel bertaraf enam bintang selain kedai runcit dan ruang pejabat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2NvseX5B9 
Hakcipta terpelihara