Pages

Showing posts with label Berlusconi. Show all posts
Showing posts with label Berlusconi. Show all posts

Monday, August 27, 2012

Berlusconi nafi hamilkan model

Sabina Began, model yang digelar ‘Ratu Lebah’. Gambar kecil, bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi
Sabina Began, model yang digelar ‘Ratu Lebah’. Gambar kecil, bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi

ROME: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi menafikan dakwaan seorang model yang berkata dia mengandung anak keenamnya.
Sabina Began yang digelar ‘Ratu Lebah’ kerana peranan utamanya dalam parti Bunga-Bunga mendakwa dia mengandung anak tokoh politik kontroversi itu tetapi kandungannya gugur.
Jumaat lalu, model dan aktres warga Jerman berusia 38 tahun itu memberitahu akhbar Itali, Il Fatto Quotidiano bahawa dia pasti kandungannya itu anak Berlusconi, 75, kerana dia hanya ‘tidur dengannya.’

Dia kemudian menghantar mesej kepada penulis untuk laman web gosip Itali, Dagospia, bahawa dia mengalami keguguran pada Sabtu lalu.


Laporan itu menyebabkan peguam Berlusconi, Niccolo Ghedini mengeluarkan kenyataan penafian.

“Ia sama sekali tidak benar,” kata Ghedini dalam satu kenyataan.

Berlusconi meletak jawatan selaku perdana menteri pada November lalu selepas Itali hampir berdepan dengan krisis hutang seperti Greece ketika beliau menghadapi tuduhan mengadakan seks dengan pelacur bawah umur dan menggunakan kedudukannya untuk melindungi perbuatan itu.

Bekas perdana menteri itu kini dibicarakan untuk tuduhan itu.

Beberapa wanita sudah pun memberi keterangan mengenai parti seks ‘bunga-bunga’ di vila Berlusconi.

Media Itali berkata, Sabina digelar ‘Ratu Lebah’ kerana peranannya menganjurkan parti itu.

Dia berulang kali menyatakan secara terbuka mengenai cintanya kepada Berlusconi.

Dalam wawancara Jumaat lalu, dia menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai magis dan menyeronokkan.

Meskipun karier politiknya dilihat musnah kurang setahun lalu, Berlusconi yang mempunyai lima anak hasil daripada dua perkahwinan, dijangka mengumumkan dia akan bertanding untuk jawatan perdana menteri bagi kali keenam, kata pemimpin partinya.

Dia sudah berpisah dengan isteri keduanya.

Nama Sabina dikaitkan dalam akhbar Itali dengan parti yang dianjurkan Berlusconi dikediamannya di Sardinia dan Rome.

Sekumpulan wanita muda mengadakan tarian bogel yang disifatkan oleh bekas perdana menteri itu sebagai ‘pertandingan melucukan.’

Sabina terkenal di Jerman selaku aktres dan model. Dia keturunan Bosnia dan nama sebenarnya ialah Sabina Beganovic.

Berlusconi mengahwini Carla Elvira Dall'Oglio pada 1965 dan mempunyai dua anak.

Dia memperoleh tiga lagi anak selepas berkahwin dengan aktres, Veronica Lario. - DM

Saturday, April 14, 2012

Berlusconi akui bayar pelacur

PASANGAN kembar Imma dan Eleonora De Vivo.
PASANGAN kembar Imma dan Eleonora De Vivo.


SILVIO Berlusconi.
SILVIO Berlusconi.

ROME: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi membayar lebih 100,000 pound (RM500,000) kepada pelacur yang dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes pelacuran ‘bunga bunga.’
Peguamnya semalam mengesahkan bayaran itu dibuat, tetapi menafikan ia cubaan untuk mempengaruhi keterangan wanita berkenaan.
Rekod bank yang diperoleh pendakwa raya menunjukkan bilionair itu membayar RM525,000 kepada bintang harapan Anglo-Itali yang kemudian menjadi ahli politik, Nicole Minetti dan gadis panggung yang menghadiri partinya iaitu pasangan kembar Imma serta Eleonora De Vivo.

Ketiga-tiganya akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan Berlusconi, yang menghadapi tuduhan membayar untuk mendapatkan khidmat seks kepada pelacur bawah umur, penari keturunan Maghribi yang bergelar Ruby atau ‘si pencuri hati.’


Berlusconi juga dituduh menyalahgunakan jawatannya apabila cuba membebaskan wanita itu daripada tahanan polis.

Perbicaraan yang bermula setahun lalu itu masih berjalan dan disambung Isnin ini.

Berlusconi dan Ruby atau nama sebenarnya Karima El Mahroug menafikan tuduhan itu.

Menurut pendakwa raya, kembar De Vivo antara lebih 30 wanita yang didakwa dibayar Berlusconi untuk mendapatkan khidmat seks.

Berlusconi sebelum ini pernah berkata, walaupun dia ‘nakal,’ dia memerlukan stamina lelaki berusia 30 tahun untuk melakukan perbuatan sedemikian.

Nicole yang mempunyai ibu yang bekerja sebagai jurulatih tari dan berasal dari Britain tetapi tinggal di Itali, dituduh dalam perbicaraan berasingan kerana mendapatkan pelacur untuk parti seks ‘bunga bunga’ Berlusconi di kediamannya di luar Milan.

Berlusconi, 75, menegaskan parti yang diadakan di kediamannya itu hanya parti makan malam untuk rakan dan pembantunya. - Agensi 
-metro

Sunday, September 11, 2011

‘Rahib’ sertai parti seks Berlusconi

pix_middle

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi didakwa membawa masuk penari riba yang berpakaian rahib wanita untuk membuat persembahan dalam parti seks anjurannya.
Menurut kenyataan Fadile Imane, 26, penari terbabit, Nicole Minetti, 25 dan Barbara Faggioli, 25, berpakaian seperti rahib wanita sebelum melakukan tarian berahi di depan Berlusconi.

Fadile, kelahiran Maghribi, adalah tetamu di parti itu dan dipelawa menghadiri parti itu oleh bekas pembaca berita televisyen, Emilio Fede, 80, dan ejen industri hiburan, Lele Mora, 55.

Minetti, Fede dan Mora didakwa mengupah sekumpulan wanita untuk menjadi sebahagian daripada penghibur di parti itu.

Fadile dipetik oleh akhbar The Sun yang diterbitkan di London sebagai berkata: “Saya ke parti itu dan bertemu Silvio Berlusconi serta wanita lain. “Di dewan majlis, terdapat tiang untuk menari. Nicole dan Barbara melakukan tarian tiang dengan berpakaian rahib wanita.

“Apabila DJ memainkan muzik, kedua-dua wanita itu menanggalkan pakaian rahib itu lalu membuat persembahan dengan hanya berseluar dalam.


“Sudah tentu saya terkejut,” kata Fadile meskipun sebelum ini mengaku dia pernah membuat persembahan tarian gelek untuk Berlusconi.

Berlusconi berulang kali menafi menganjurkan parti seks.
Dia akan dibicarakan bulan depan kerana mengadakan seks dengan pelacur bawah umur, Karima El Mahroug. - Reuters

Monday, August 1, 2011

Gaddafi ancam bunuh Berlusconi

ROME: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilaporkan mengancam untuk membunuh Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, lapor akhbar Corrierre della Sera.
Berlusconi mengetahui mengenai rancangan pembunuhan itu melalui sumber yang boleh dipercayai tetapi pemimpin Itali terbabit enggan mengesahkan lebih lanjut.
Berlusconi berkata, Gaddafi tidak merujuk kepada tindakan menghancurkan kerjaya politiknya tetapi kematiannya, lapor akhbar itu.
“Ada orang dengar Gaddafi membuat ikrar melaksanakan perkara itu,” kata Berlusconi yang dipetik akhbar terbabit. 

Libya dilanda pertempuran antara pasukan tentera pro dan anti Gaddafi sejak Februari lalu. 

Satu operasi antarabangsa tentera bermula pada Mac berikutan satu resolusi dan dilanjutkan sehingga September. 

Itali memainkan peranan penting dalam operasi tentera Barat di Libya. 
Dalam kejayaan terbaru, pemberontak Libya menawan perkampungan Josh di kaki gunung Nafusa, barat negara itu. 

“Kami tawan Josh dan sedang menuju ke arah Barat. Kami sedang cuba menawan Tiji pula,” kata panglima perang pemberontak, Juma Brahim. – Agensi 
http://www.bharian.com.my

Wednesday, April 13, 2011

Berlusconi beri Ruby RM200,000


GAMBAR Berlusconi dan Karima daripada botol minuman di galeri Edward Cutler di Milan mulai 
6 April lalu.
GAMBAR Berlusconi dan Karima daripada botol minuman di galeri Edward Cutler di Milan mulai 6 April lalu.


PM Itali dakwa wang beli alat rawat bulu 
ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, buat pertama kali kelmarin mengaku memberi £40,000 (RM200,000) kepada penari remaja erotik yang menjadi tumpuan skandal seks untuk membeli peralatan laser membuang bulu bagi pusat kecantikan yang dirancang dibuka wanita itu.
Perdana Menteri itu berkata, beliau mahu membantu Karima El Mahroug menjalankan perniagaan kerana bimbang kemiskinan dan kurangnya peluang bekerja akan membawa remaja terbabit ke kancah pelacuran.

Beliau juga berulang kali berkata, pada masa itu beliau menganggap gadis terbabit cucu Hosni Mubarak, bekas presiden Mesir. 


Tetapi, pembangkang politik menuduh beliau berbohong, mempersoalkan bagaimana seorang yang ada hubungan dengan pemerintah terkaya Asia Barat itu berisiko menjual diri bagi mendapat wang. 


“Beliau cuba menyesuaikan sesuatu yang tidak sesuai,” kata Anna Finocchiaro, ahli parlimen pembangkang dari Parti Demokratik. 


Berlusconi, 74, bercakap kepada wartawan ketika memasuki mahkamah di Milan bagi perbicaraan terhadap satu daripada tiga membabitkan rasuah dihadapi beliau ketika berhadapan kes pelacuran. 
Dalam perbicaraan seks yang bermula di bangunan mahkamah sama minggu lalu, beliau berhadapan dakwaan membayar khidmat seks dari bintang kelahiran Maghribi membabitkan 13 majlis di kediaman beliau di Milan dan cuba menutup hubungan melalui salah guna kuasa. 


Dakwaan menyatakan, ia berlaku antara Februari dan Mei tahun lalu, ketika gadis terbabit berusia 17 tahun, setahun kurang daripada usia boleh melacur di Itali, kesalahan yang boleh menyebabkan pemimpin itu dipenjara selama tiga tahun. 


Tetapi sebaik Berlusconi memasuki mahkamah, beliau sekali lagi menafikan melakukan hubungan seks dengan Karima yang lebih dikenali Ruby the Heart Stealer sebaliknya kasihan kerana gadis terbabit lari dari rumah. 


Beliau mengaku memberi berpuluh ribu euro untuk memenuhi keperluan gadis itu supaya tidak terjebak ke lembah pelacuran. 


Beliau mahu membantu mencari spa kecantikan yang diingini gadis itu dengan memberikan 45,000 euro bagi membeli mesin membuang bulu roma. 


“Gadis itu menceritakan kisah sedih kepada saya. Jadi, saya berikan beliau peluang membuka sebuah pusat kecantikan bersama seorang rakannya,” katanya. – Agensi 


Beliau mengulangi gesaan kepada polis di Milan supaya membebaskan remaja yang ditahan kerana mencuri pada Mei lalu kerana percaya Karima adalah cucu perempuan Mubarak dan bimbang sekiranya hubungan diplomatik dengan Kaherah terjejas. – Agensi 

Tuesday, February 22, 2011

Ruby terima hadiah mahal dari Berlusconi


ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, menghadiahkan penari gelek bawah umur - digelar Ruby Si Pencuri Hati - pelbagai hadiah mahal dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta.
Laporan media menyatakan, Ruby - atau nama sebenarnya Karima El-Mahroug - menerima dua jam tangan Rolex dan satu daripadanya bernilai RM221,425.

Turut dihadiahkan, satu selendang bulu bernilai RM73,805.

Berlusconi, 74, juga menghadiahkan Ruby, 18, satu rantai berlian bernilai RM59,048 buatan pengeluar barang kemas berpangkalan di Valenza.

Syarikat itu pernah menyediakan cincin kepada Berlusconi untuk dihadiahkan kepada 24 ahli Parlimen dan 13 senator wanita negara itu pada Krismas lalu.

Perdana menteri itu diarah hadir di mahkamah di Milan pada 6 April ini untuk menghadapi dakwaan mengadakan hubungan seks dengan pelacur remaja.


Dia juga dituduh menyalahgunakan kuasa bagi menekan polis membebaskan Ruby yang ditahan kerana disyaki mencuri pada Mei tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, Berlusconi turut berdepan dengan tiga pertuduhan lain kerana disyaki mengelak cukai serta terbabit dalam rasuah.
Ruby diperkenalkan kepada Berlusconi oleh seorang kawan rapatnya pada tahun lalu ketika mereka mengadakan pesta bogel ‘bunga bunga’ di vila mewah milik perdana menteri itu.

Pesta berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai wanita cantik dan pelacur.

Pendakwa Itali berkata, Berlusconi dan Ruby bertemu 15 kali, selain berbalas-balas mesej pesanan ringkas atau panggilan telefon sebanyak 67 kali.

Ruby menafikan pernah mengadakan hubungan seks dengan Berlusconi.

Ahli politik itu pula tetap mendakwa tidak pernah memberi serangan upah kepada penarik gelek berkenaan bagi melayan nafsunya. - DM

Wednesday, February 16, 2011

PM Itali dibicara atas dakwaan seks




SILVIO BERLUSCONI duduk di kerusi belakang sebuah kereta di Mineo dekat Catania, Sicily, Itali semalam. RUBY (gambar kecil)


MILAN - Seorang hakim Itali semalam memerintahkan Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dibicarakan atas tuduhan membayar sejumlah wang kepada seorang gadis bawah umur dari Maghribi untuk mendapatkan khidmat seksnya dan cuba menutup perbuatan itu.
Hakim Cristina Di Censo membuat keputusan tersebut semalam dan menetapkan kes Berlusconi dibicarakan pada 6 April depan.
Kes beliau akan didengar oleh satu panel yang disertai oleh tiga juri wanita.
Berlusconi didakwa membayar gadis tersebut yang dikenali sebagai Ruby yang ketika itu berusia 17 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan pengaruhnya untuk membebaskan Ruby yang nama sebenarnya Karima El Mahroug daripada tahanan polis.
Ruby ditahan polis kerana disyaki mencuri wang berjumlah AS$4,103 (RM12,522) tetapi Berlusconi campur tangan bagi meminta polis membebaskannya.
Perdana Menteri itu dipercayai berusaha untuk membebaskan gadis tersebut kerana bimbang rahsianya akan bocor.
Undang-undang Itali membenarkan pelacur dilanggan tetapi mengharamkan hubungan seks dengan remaja berusia di bawah 18 tahun.
Bagi kesalahan pertama, beliau berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga tiga tahun manakala hukuman salah guna kuasa adalah lebih serius iaitu penjara maksimum 12 tahun.
Berlusconi, bagaiamanapun, menafikan semua tuduhan ke atas dirinya itu.
Perdana menteri berkenaan memberitahu, arahan pembebasan Ruby dilakukan bagi mengelak ketegangan diplomatik kerana beliau percaya gadis itu ialah cucu Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak.
Hosni telah meletakkan jawatan pada Jumaat lalu.
Berlusconi turut mendakwa tindakan pihak pendakwa raya mengheretnya ke mahkamah adalah bermotifkan politik dengan tujuan untuk menggulingkannya.
Berlusconi, 74, pernah dibicarakan kerana beberapa kes berkaitan perniagaan tetapi ini adalah kali pertama beliau dihadapkan ke mahkamah kerana tingkah lakunya.
Berlusconi didakwa susulan pihak pendakwa raya memberitahu, mereka memiliki bukti kukuh untuk mensabitkannya dalam kes tersebut. - AP
Kosmo! Online - Dunia

Sunday, January 23, 2011

Saya lebih kuat daripada Superman: Berlusconi





2011/01/23

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mungkin tertekan kerana hanya memiliki majoriti kecil di Parlimen tetapi beliau tiada masalah ‘mendapat sahabat intim’, sindir media. 

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang tiga kali menjadi Perdana Menteri, sudah lama diketahui suka dikelilingi wanita jelita sejak terbabit dalam kerjaya politik, kata akhbar Britain, The Sun, semalam.
Bezanya sekarang ialah pemimpin Parti Kebebasan Rakyat itu diselubungi skandal seks yang berkemungkinan menyebabkannya hilang kuasa.
Berlusconi dituduh menjalin hubungan seks dengan pelacur kelas atasan, seorang daripadanya di bawah umur, pada parti anjurannya yang digelar ‘bunga-bunga’. 

The Sun turut menyiarkan gambar wanita yang digelar ‘Babes of Berlusconi’ termasuk Roberta Guerra, Camilla Ferranti, Marysthell Garcia, Barbara Faggioli, kembar Imma dan Eleanora de Vivo, Karima el Mahroug, Iris Bernardi, Eleanora Gaggioli, Roberta Bonasia, Patrizia D’Addario dan Nicole Minetti. 

Seperti biasa, pemimpin itu menolak dakwaan terhadapnya sambil mengulas: “Saya lebih kuat daripada Superman jika dapat berparti dengan 24 wanita.” 

Pendiriannya dikecam pembangkang dengan seorang daripada mereka menyifatkan Berlusconi umpama maharaja purba Rome yang paling ‘miang’. 
Tetapi, Berlusconi menolak melakukan sebarang kesalahan selepas dituduh terbabit dalam pelacuran dan salah guna kuasa. 

Penasihat Berlusconi juga menolak tuduhan terhadap Berlusconi bahawa pemimpin itu memberi wang untuk seks kepada gadis bawah umur. 

Giuseppe Spinelli yang disyaki menguruskan wang untuk wanita yang berdamping dengan Berlusconi, menyifatkan isu terhadap Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang diperbesar-besarkan. 

Beliau, sebaliknya, berkata pembayaran dan pemberian pangsapuri kepada gadis terbabit adalah satu ‘kebajikan’ untuk golongan memerlukan. 

“Ia tidaklah serumit yang didakwa. Kami bantu orang yang ada masalah. Saya faham mengapa orang tidak tahu. Mereka tidak tahu berapa ramai yang kami sudah bantu,” katanya. 

Malah, aktres Sabina Began yang digelar ‘Queen Bee’ oleh media Itali kerana dianggap ketua gadis pendamping Berlusconi, berkata pemimpin itu sedia membantu siapa saja. 

“Sama ada yang muda, tua, hodoh mahupun yang sudah bongkok, beliau pemurah,” katanya kepada stesen berita Sky Italia. – Agensi 

Monday, January 17, 2011

Berlusconi didakwa simpan 14 wanita muda



Karima El Mahroug


LONDON 16 Jan. - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang sedang disiasat berhubung skandal seks dengan remaja dari Maghribi, menyimpan sekurang- kurangnya 14 wanita muda glamor lain di beberapa pangsapuri berpagar di luar Milan.
Independent melaporkan, wanita-wanita jelita itu bukan sahaja tinggal di kediaman itu tanpa perlu membayar sewa tetapi pemimpin itu turut memberi wang tunai yang banyak kepada mereka sebagai ganjaran menyediakan perkhidmatan seks.
Mereka ditempatkan di Milano Due yang merupakan sebuah kompleks kediaman berpagar pertama di Itali, yang dibina oleh Berlusconi ketika dia menjadi pemaju hartanah muda pada 1970-an yang turut dilengkapi taman yang indah.
Kompleks itu turut dilengkapi tempat letak kereta bawah tanah, pasar raya, bar dan kemudahan-kemudahan lain. Ia lambang kemewahan paling menonjol di Milan ketika itu.
Setelah menceburi industri penyiaran, Berlusconi kemudian menjadikan tempat itu sebagai ibu pejabat bagi operasi stesen televisyennya, Mediaset.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia disyaki telah dijadikan ibu pejabat dan 'markas' kegiatannya itu.
Akhbar Corriere della Sera mendedahkan kehadirannya di situ yang menjadi satu lagi tamparan yang mencemarkan imejnya sebagai Perdana Menteri, ketika beliau sedang bersiap sedia untuk membela dirinya dalam skandal seks yang boleh mengugat karier politiknya.
Para pendakwa di Milan mahu Berlusconi segera didakwa berhubung perlakuan seksnya dengan seorang pelacur bawah umur.
Karima El Mahroug, penari belet remaja dari Maghribi yang mengguna nama Ruby Rubacuori turut mendedahkan mengenai kewujudan pangsapuri- pangsapuri berkenaan. - AGENSI

Penari akui terima wang daripada PM Itali






ROM - Seorang remaja perempuan yang berusia 18 tahun, Karima El Mahroug mengaku Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi memberinya 7,000 euro (RM28,615) ketika dia menghadiri parti Hari Kekasih pada tahun lalu.
Menurutnya, dia menghadiri parti itu di sebuah vila milik Berlusconi tetapi menjelaskan mereka tidak melakukan hubungan seks.
Bagaimanapun, pendakwa raya di Milan melakukan siasatan berhubung dakwaan bahawa Berlusconi membayar gadis bawah umur itu untuk melakukan seks dan menggunakan kuasa yang ada untuk menutup kesalahan itu.
Remaja itu lebih dikenali sebagai Ruby berbanding nama asalnya merupakan penari di sebuah kelab malam.
Ketika sesi temu bual dengan stesen televisyen Sky TG24 kelmarin, Ruby mengaku bahawa dia menyamar sebagai wanita dewasa yang berumur 24 tahun ketika menghadiri parti itu.
Menjawab soalan kenapa Berlusconi memberinya wang itu, Ruby menjawab: "Saya baru sahaja sampai ke Milan pada ketika itu dan dia tahu kesusahan keluarga saya. Dia ingin membantu."
Menurut Ruby, Berlusconi tidak mengetahui bahawa ketika itu dia merupakan remaja bawah umur.
Pada Jumaat lalu, pendakwa raya menghantar notis saman untuk perdana menteri itu dan peguamnya hadir untuk disoal siasat berhubung isu tersebut. - AP