Pages

Showing posts with label rusuh. Show all posts
Showing posts with label rusuh. Show all posts

Tuesday, April 10, 2012

Rusuhan agama di Gujarat, 23 dibebas




Gambar fail, sekumpulan perusuh Hindu membakar rumah penduduk Islam di Ahmedabad semasa rusuhan agama pada 28 Februari 2002. - agensi


ANAND, India 9 April - Seramai 23 orang didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di India hari ini kerana membunuh 23 orang penduduk Islam dalam satu rusuhan agama di Gujarat pada 2002.
Seramai 23 orang lagi dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti yang cukup dalam kes sekumpulan perusuh di perkampungan Ode mengunci pintu sebuah rumah di mana beberapa keluarga penduduk Islam berlindung sebelum membakarnya.
Kejadian itu dikenali sebagai 'pembunuhan besar-besaran Ode'.
Keganasan di Gujarat itu berpunca daripada pembunuhan hampir 60 orang penduduk beragama Hindu dalam sebuah kereta api yang dibakar oleh sekumpulan orang.
Seramai 31 orang didapati bersalah pada tahun lepas selepas didakwa membunuh dan bersubahat dalam pembakaran kereta api tersebut.
Sekumpulan perusuh beragama Hindu yang mahu membalas dendam merusuh di beberapa kawasan kediaman orang Islam di beberapa bandar raya di Gujarat selama tiga hari, keganasan agama terburuk sejak India mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947.
Lebih 2,000 orang, kebanyakan mereka beragama Islam, ditetak, dipukul atau dibakar sampai mati.
Pembunuhan besar-besaran Ode merupakan satu daripada kes disiasat oleh pasukan siasatan khas yang dilantik oleh Mahkamah Agung India.
Dakwaan yang dikemukakan termasuk membunuh, bersubahat, merusuh, mengadakan perhimpunan haram, cubaan membunuh dan memusnahkan bukti. - AFP

Friday, March 16, 2012

75 suspek tragedi rusuhan bola hadapi tuduhan membunuh




         
KAHERAH: Pendakwa raya tertinggi Mesir semalam mendakwa 75 orang yang terbabit dalam tragedi rusuhan bola di Port Said, apabila pihak berkuasa berkata penyokong mati ketika hendak keluar dari stadium, manakala sesetengahnya terbunuh akibat letupan ketika cuba melarikan diri.

Puluhan penyokong menghadapi dakwaan membunuh dan sembilan pegawai polis dituduh bersubahat dalam pembunuhan dalam rusuhan pada 1 Februari lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 74 orang maut. Ia adalah insiden terburuk dalam sukan bola sepak di dunia sejak 15 tahun lalu. Rusuhan berlaku beberapa minit selepas wisel penamat ditiup dalam perlawanan liga di antara kelab al-Ahly, Kaherah dan al-Masry dari Port Said. Tuan rumah memenangi perlawanan 3-1, tetapi penyokongnya bertindak ganas terhadap penyokong lawan yang dikatakan berlangsung selama 30 minit. Ramai saksi mendakwa anggota polis di stadium itu tidak melakukan apa-apa bagi menghentikan keganasan itu.


Rusuhan itu mengejutkan peminat bola sepak Mesir, meningkatkan rasa tidak pasti dengan masa depan negara itu apabila terus dilanda pergolakan setahun selepas penggulingan pemimpin diktator Hosni Mubarak. - AP

Friday, February 24, 2012

Rusuhan di penjara Bali


SEJUMLAH anggota polis tiba di luar penjara Kerobokan, Bali semalam.


DENPASAR - Pihak berkuasa Indonesia semalam memulakan perpindahan banduan asing dan wanita dari sebuah penjara di Bali yang telah ditawan oleh sekumpulan banduan sejak kelmarin.
Kumpulan pertama banduan asing dan wanita itu menaiki bas di luar pintu masuk penjara Kerobokan.
Sejumlah anggota polis yang memakai topi dan peralatan perlindungan rusuhan turut tiba bagi menambahkan bilangan ratusan anggota pasukan keselamatan yang mengepung penjara tersebut.
Empat banduan lelaki asing dilihat dibawa keluar dengan menaiki sebuah bas diikuti dengan sembilan wanita termasuk banduan dari negara Barat dan Asia.
Seramai 17 banduan Indonesia dilihat menaiki bas yang ketiga.
Polis dan pasukan tentera telah menyerbu penjara itu pada subuh kelmarin untuk menguasai penjara tersebut selepas berlaku kebakaran dan batu dibaling para banduan.
Namun, para banduan kembali menawan penjara tersebut pada waktu malam.
Jurucakap polis Bali, Hariadi berkata, sekumpulan banduan masih mengawal penjara tersebut tetapi situasi di dalamnya dilihat tenang.
"Ekoran rundingan telah dibuat, para banduan itu berjanji tidak akan mencetuskan sebarang anarki," katanya.
Seramai 12 daripada 60 banduan asing yang terdapat dalam penjara tersebut disabitkan kesalahan melakukan penyeludupan dadah.
Jurucakap tentera komando wilayah, Wing Handoko menyatakan, pihaknya tidak akan menyerbu penjara tersebut sebelum banduan asing dan wanita itu dipindahkan.
Ketua Penjara Kerobokan, Bowo Nariwono berkata, pihak berkuasa telah berunding dengan para banduan sebagai usaha untuk menamatkan penawanan tersebut yang menempatkan 1,015 banduan, lebih tiga kali ganda daripada bilangan banduan sebenar yang sepatutnya ditempatkan di penjara berkenaan.
Para banduan yang menawan penjara itu menuntut penghantaran pulang tiga banduan yang dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang tentang cara layanan terhadap mereka.
Beberapa pegawai dan laporan media menyatakan masalah itu bermula selepas salah seorang banduan ditikam pada Ahad lalu sekali gus mencetuskan tindakan balas dendam dalam kalangan banduan sehingga menyebabkan para pengawal penjara meninggalkan kemudahan tersebut.
- Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Tuesday, September 13, 2011

Indonesia kerah tentera ke Ambon reda rusuhan




Rusuhan tercetus di Ambon antara penduduk islam dan Kristian, kelmarin mengakibatkan tiga orang terkorban dan 80 yang lain cedera. – REUTERS


AMBON 12 Sept. – Indonesia mengerahkan 200 anggota keselamatan ke wilayah timur negara ini, selepas berlaku pertempuran antara kumpulan Islam dan Kristian yang mengakibatkan lima orang terbunuh, manakala 80 lagi cedera, hari ini.
Menurut ketua polis trafik, Kapten Marinus Djati, keganasan di kawasan Maluku, wilayah Ambon itu tercetus selepas tersebar khabar angin mengenai seorang pemandu teksi bergama Islam yang terbabit dalam kemalangan, dikatakan didera dan dibunuh oleh penduduk Kristian.
Tambahnya, kumpulan Islam bersemuka dengan kumpulan Kristian selepas mangsa dikebumikan dan kedua-dua kumpulan saling mencaci antara satu sama lain, sebelum mereka mula membaling batu dan bertempur menggunakan parang.
“Mereka turut membakar beberapa rumah, kereta dan motosikal, walaupun polis melepaskan tembakan amaran untuk meleraikan pertempuran tersebut,” katanya.
Jurucakap hospital, Ita Sabrina berkata, dua daripada tiga mangsa yang terbunuh merupakan pelajar sekolah tinggi dan 80 lagi yang cedera dirawat di hospital.
Jurucakap Polis Negara, Mejar Jeneral Anton Bachrul Alam berkata, lebih 200 anggota pasukan khas dikerah ke Ambon bagi meredakan ketegangan yang tercetus antara dua kumpulan itu.
Indonesia mempunyai majoriti penduduk Islam, namun Maluku dikuasai majoriti penduduk beragama Kristian.
Lebih 9,000 penduduk terbunuh dalam pertempuran antara penduduk Islam dan Kristian di Ambon dari 1999 hingga 2002 sebelum wilayah itu kembali aman.
– Agensi

Tuesday, August 23, 2011

London buru 30,000 perusuh




Sebuah van melalui sebatang jalan di Birmingham tengah England memaparkan imej perusuh yang dikehendaki berhubung keganasan dan kecurian di beberapa tempat di Britain dalam rusuhan, baru-baru ini . - AFP


LONDON 22 Ogos - Polis Metropolitan London sedang memburu kira-kira 30,000 perusuh yang terlibat dalam kejadian merompak, kebakaran dan keganasan sepanjang rusuhan selama empat hari di kota London, baru-baru ini.
Statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa itu, semalam turut mendedahkan sebanyak 3,296 jenayah dilakukan perusuh selama empat hari rusuhan itu.
"Berdasarkan statistik, inilah yang dikatakan sebagai keganasan berkumpulan dan pihak kami tidak akan melepaskan semua perusuh terlibat," kata sumber polis kepada Sunday Times.
Bilangan perusuh diburu yang terlalu ramai itu segera menimbulkan kebimbangan bahawa ianya mungkin menyebabkan kelewatan prosedur di mahkamah serta kesesakan di penjara.
Bilangan banduan yang berada di penjara-penjara England dan Wales kini dilapor mencapai jumlah tertinggi apabila semakin ramai perusuh disumbat ke penjara setiap hari berhubung pembabitan mereka dalam kekacauan dan keganasan terburuk di London dalam tempoh 30 tahun itu.
Data Kementerian Kehakiman London menyatakan bahawa jumlah banduan kini mencecah 86,654 orang, lebih 723 berbanding pada minggu lalu.
Penjara-penjara seluruh England dan Wales hanya mampu menempatkan sebanyak 88,093 banduan pada satu-satu masa.
Kerajaan yakin Perkhidmatan Penjara United Kingdom mempunyai ruang yang cukup untuk menempatkan lebih ramai banduan yang disabit kesalahan kerana keganasan dan merompak yang berleluasa di seluruh kota London baru-baru ini.
Perkhidmatan Penjara berkata, pihaknya kini berhadapan 'situasi tidak menentu' dan 'sedang membangunkan pelan luar jangka bagi meningkatkan kemampuan kapasiti sekiranya tekanan berlaku di dalam penjara kelak'. - Agensi
-utusan

Monday, August 22, 2011

CCTV rakam kumpulan perusuh mencuri skuter




PENUNGGANG skuter itu kemudian terjatuh.


CROYDON, selatan London - Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan detik-detik sekumpulan samseng mencuri sebuah skuter yang ditunggang pemiliknya di sini baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku semasa rusuhan yang melanda London ekoran kematian seorang suspek penjenayah, Mark Duggan yang ditembak mati oleh polis.
Dalam kejadian itu, pemilik skuter tersebut pada mulanya berunding dengan sekumpulan samseng yang merusuh di sebatang jalan raya.
Pemilik skuter itu kemudian memecut tetapi dia dikejar oleh beberapa perusuh.
Sorang perusuh itu menarik leher pemilik skuter tersebut menyebabkan dia terjatuh.
Dia kemudian diheret oleh seorang perusuh ke tepi jalan manakala seorang perusuh lain melarikan skuter tersebut.
Detik-detik perusuh itu melarikan skuter tersebut telah dimuat naik ke laman YouTube. - Agensi

Sunday, August 14, 2011

Model perosak

SHONOLA...dihukum penjara enam bulan bersama adik dan rakannya kerana bersalah memecah masuk pasar raya di Croydon.
SHONOLA...dihukum penjara enam bulan bersama adik dan rakannya kerana bersalah memecah masuk pasar raya di Croydon.
LONDON: Rusuhan melanda beberapa bandar di England beberapa hari lalu menampakkan kemunculan watak baru sebagai dalang penjarah harta awam.
Jika biasanya perusuh terdiri daripada ahli kumpulan samseng atau penjenayah, kali ini ia turut membabitkan remaja yang pada zahirnya tidak ganas.

Antara individu yang berjaya ditahan ialah model wanita berusia 22 tahun dan dua remaja perempuan.

Model itu, Shonola Smith, kelihatan menyeka air matanya ketika hakim menjatuhi hukuman penjara enam bulan kerana memecah masuk pasar raya di Croydon.

Dia ditangkap bersama adiknya, Alicia, dan rakan mereka Donness Bissessar, 22, ketika polis menyerbu bangunan itu malam Isnin.

Ketika ditahan, Alicia membawa 10 bungkusan gula-gula getah yang dicurinya dari sebuah kedai serbaneka berhampiran.


Ketiga-tiga mereka tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan sebelum ini dan hakim mengarahkan mereka dipenjara enam bulan atas tuduhan menceroboh pasar raya dengan niat mencuri. Hakim, Robert Hunter, berkata ia satu tragedi apabila seseorang yang memiliki perwatakan baik dan berpelajaran akhirnya dipenjara atas kesalahan jenayah.“Bagaimanapun, saya tak boleh mengabaikan hakikat bahawa kamu menyebabkan kerugian kepada perniagaan dan penduduk setempat.Perbuatan kamu sangat serius dan hanya hukuman penjara layak untuknya. Mudah-mudahan ia menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya.Sementara itu, Hollie Bentley, 19 berdepan hukuman penjara kerana menggunakan Facebook menghasut orang ramai memulakan rusuhan.Hollie didakwa mengepos catatan “Siapa mahu?” di status Facebook miliknya.Walaupun tiada rusuhan berlaku di tempatnya di Wakefield, Yorkshire Barat, Hollie tetap ditahan kerana disyaki menggalakkan orang ramai mengganas.>Remaja kedua baru berusia 14 tahun dan berdepan empat tuduhan mencuri pakaian, cakera padat, dan minyak wangi dari beberapa pasar raya sekitar London.Dia kini diikat jamin sementara menunggu perbicaraan tidak lama lagi. - DM, hmetro

Duta Olimpik, model antara perusuh

Demonstrasi ganas dedah penjenayah di sebalik topeng warga kota elit
Foto
PENDUDUK Greater Manchester lalu dekat papan iklan polis menyuruh mereka memaklumkan identiti suspek penjenayah ketika rusuhan di bandar itu.

LONDON: Seramai 700 sudah didakwa manakala 1,900 lagi ditahan kerana melakukan rusuhan dan mencuri selain merosakkan harta benda awam selepas protes terhadap kematian seorang lelaki kulit hitam yang ditembak mati polis bertukar ganas, Sabtu lalu.
Antara yang didakwa termasuk Duta Olimpik Britain, Chelsea Ives, 18, yang dituduh mencuri, berkelakuan ganas dan membaling batu ke arah polis ketika rusuhan meletus di utara London, Ahad lalu.
Akhbar melaporkan, ibu bapanya mengecam anak mereka antara perusuh di televisyen dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. Dia ditahan untuk dihadapkan ke mahkamah, Rabu depan.

Dalam kes lain, seorang model menitiskan air mata di mahkamah selepas dihukum penjara enam bulan kerana cuba mencuri barangan sebuah pasar raya ketika rusuhan. 

Shonola Smith, 22, ditahan di luar Argos di Croydon bersama kakaknya, Alicia dan rakan mereka, Donness Bissessar, 22.

Mereka mengaku masuk ke kedai itu untuk mencuri, malam Isnin lalu. Alicia dan Bissessar dikenakan hukuman sama. 
Orang lain yang turut menghadapi pendakwaan termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, penari balet yang masih remaja dan pelajar universiti.

Seorang graduan universiti, Natasha Reid, 24, turut mengaku mencuri televisyen di sebuah kedai elektronik dan menyerah diri kerana tidak dapat tidur akibat rasa bersalah, kata peguamnya.

Datuk Bandar London, Boris Johnson, berkata hukuman dikenakan ke atas semua tertuduh setimpal dengan kesalahan mereka.

“Inilah yang mahu dilihat penduduk London,” katanya.

Sementara itu, ribuan anggota polis berkawal sebagai langkah berjaga-jaga di kota utama Britain.

Ratusan kedai dipecah masuk dan dicuri, bangunan dibakar dan lima orang terbunuh dalam kekacauan terburuk negara itu sejak beberapa dekad lalu.

Ia sebagai menjawab pandangan Perdana Menteri, David Cameron bahawa anggota keselamatan mulanya gagal mengawal perusuh atas alasan ‘terlalu sedikit anggota polis ditempatkan di tempat awam dan taktik digunakan gagal.’

Keadaan terkawal mulai Selasa apabila 16,000 anggota polis mula berkawal di London, tiga kali ganda daripada malam sebelumnya.

Parlimen Britain kembali bersidang bagi perdebatan kecemasan kekacauan itu, Khamis lalu dengan Cameron menjanjikan pihak berkuasa menggunakan undang-undang bagi menyekat masalah berulang. – AP 

Penyerang Ashraf didakwa


PAPARAN YouTube menunjukkan seorang perusuh mencuri barang daripada beg sandang Ashraf (kanan) sambil diperhatikan rakan-rakan mereka dalam rusuhan di London pada 8 Ogos lalu.

LONDON – Polis Britain mendakwa seorang lelaki kerana merompak pelajar Malaysia, Muhammad Ashraf Haziq Rosli di sini dalam insiden yang ditonton oleh berjuta-juta orang menerusi klip video di Internet, kata agensi polis Scotland Yard semalam Dalam klip video berkenaan, Ashraf yang mengalami patah tulang rahang dalam kekacauan di Barking, timur bandar raya ini, dilihat sedang dibantu untuk berdiri oleh beberapa lelaki sebelum mereka sebaliknya meragut barang-barang di dalam beg sandangnya. Susulan kejadian itu, polis Britain mendakwa Reece Donovan yang berusia dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Romford, di sini, kerana merompak Ashraf. Seorang jurucakap polis berkata, Donovan dihadapkan ke mahkamah lewat semalam. Dia ditangkap pada Khamis lalu berikutan kemarahan orang ramai berhubung serangan yang berlaku ke atas pelajar Malaysia berusia 20 tahun itu. Ashraf menjalani pembedahan kerana patah tulang rahang pada Rabu lepas susulan serangan tersebut dan dibenarkan keluar dari hospital pada keesokan harinya. Klip video serangan tersebut ditonton hampir tiga juta kali di laman perkongsian video YouTube dengan insiden itu dikecam Perdana Menteri David Cameron yang menganggapnya sebagai ‘menjijikkan’. Polis Britain telah menangkap lebih 1,600 orang semasa rusuhan empat hari yang menggemparkan bandar raya ini dan beberapa bandar utama lain di Britain pada minggu ini.

Saturday, August 13, 2011

Britain pertimbang sekat laman sosial


Foto
ANGGOTA polis mengawal seorang lelaki yang ditahan selepas menceroboh harta awam di Pimlico, London, semalam.



PM Britain mahu tindakan tegas ke atas perusuh bertopeng, perintah berkurung

LONDON: Britain mempertimbangkan untuk menyekat rangkaian online sosial seperti mesej BlackBerry dan Twitter berikutan rusuhan yang melanda ibu negara itu, kata Perdana Menteri, David Cameron.
Pada masa sama Perdana Menteri itu berkata pihak polis mengakui mereka tersilap taktik ketika menangani rusuhan dan mengumumkan langkah membantu pemilik rumah dan kedai yang rosak. Rusuhan itu setakat ini sudah mengorbankan lima nyawa.
Kami bekerjasama dengan polis, perkhidmatan risikan dan industri untuk melihat sama ada ia langkah tepat untuk menghentikan orang ramai daripada berkomunikasi menerusi laman web dan perkhidmatan seumpama ini apabila kita mengetahui mereka merancang keganasan dan jenayah. - David Cameron, Perdana Menteri Britain
Polis dan ahli politik berkata rangkaian online sosial, terutama mesej BlackBerry (BBM), digunakan perusuh dan pencuri untuk menyelaraskan tunjuk perasaan ketika ketegangan selama empat hari di seluruh England minggu ini.

“Kami bekerjasama dengan polis, perkhidmatan risikan dan industri untuk melihat sama ada ia langkah tepat untuk menghentikan orang ramai daripada berkomunikasi menerusi laman web dan perkhidmatan seumpama ini apabila kita mengetahui mereka merancang keganasan dan jenayah,” katanya.

Cameron juga mengumumkan tindakan ke atas perusuh yang memakai topeng dan menimbang pelaksanaan perintah berkurung. Lebih 1,500 tangkapan dibuat sejak ketegangan bermula Sabtu lalu.

Ramai perusuh memilih BBM milik firma Kanada, RIM, berbanding Twitter dan media sosial lain berikutan mesejnya lebih berbentuk peribadi.
RIM berkata, ia bekerjasama dengan semua syarikat telekomunikasi, penguat kuasa undang-undang dan pihak berkuasa tetapi enggan memberitahu sama ada akan menyerahkan maklumat perbualan kepada polis.

Perkhidmatan rahsia RIM dipersalahkan kerana melindungi serangan militan di Indian dan membolehkan lelaki dan wanita bukan muhrim berkomunikasi di sesetengah negara Teluk.

Media online sosial turut digunakan secara meluas oleh penduduk Britain untuk membantu orang ramai menghindari kawasan bermasalah dan menyelaraskan usaha pembersihan selepas rusuhan berakhir.

BBM mempunyai lebih 45 juta pengguna aktif di seluruh dunia, 70 peratus daripadanya menggunakan perkhidmatan itu setiap hari, menghantar berjuta-juta mesej, gambar dan fail lain secara keseluruhan setiap bulan.

Sementara itu pegawai kanan agensi perisikan Britain, John Bassett, berkata pihak berkuasa yang bergelut dengan ketegangan perlu mengelak daripada mengenakan sekatan ke atas media sosial sebaliknya cuba mendapatkan bantuan orang ramai menentang perusuh. – AP/Agensi , bharian

Friday, August 12, 2011

Rusuhan di London ragut mangsa kelima

LONDON: Seorang lelaki yang diserang ketika rusuhan di sini mati di hospital akibat kecederaan yang dialami sekali gus menjadi kematian kelima akibat huru-hura yang melanda London sejak enam hari lalu.

Richard Mannington Bowes, 68, ditemui tidak sedarkan diri di Ealing, barat London di mana berlaku kecurian serta kereta dibakar.
Lelaki berkenaan disahkan mati pada kira-kira jam 11:52 malam tadi serta bedah siasat akan dijalankan. - AFP, bharian

Awas perusuh: PM Britain

Foto
POLIS menahan seorang suspek perusuh dalam serbuan di Churchill Gardens, Pimlico, London.
Foto
PEKERJA sekolah, Alexis Bailey menutup muka selepas mengaku bersalah di mahkamah mencuri ketika rusuhan melanda London.



Cameron janji hukuman setimpal cetus kekacauan, kerugian ditaksir RM960j

LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron, berjanji menghukum perusuh dalam kekacauan terburuk negara itu dan kerugian ditaksirkan mencapai £200 juta (RM960 juta) selepas ketegangan sejak hujung minggu lalu mengorbankan empat nyawa.
Cameron yang membenarkan anggota polis melepaskan tembakan peluru getah dan meriam air jika perlu juga sedia menimbang tindakan mengehadkan penggunaan alat media sosial jika ia didapati membantu ‘keganasan, kekacauan dan jenayah.’
Kepada mereka yang tidak mematuhi undang-undang termasuk penjenayah, saya mahu berkata bahawa kami akan kesan dan tahan kamu, kami akan hukum kamu. - David Cameron, Perdana Menteri Britain
“Usaha bertindak balas sudah bermula,” katanya dalam sesi kecemasan Parlimen yang mengakui bilangan anggota polis dan taktik keselamatan gagal menyekat keganasan daripada merebak dari London ke bandar lain.

“Kepada mereka yang tidak mematuhi undang-undang termasuk penjenayah, saya mahu berkata bahawa kami akan kesan dan tahan kamu, kami akan hukum kamu.

“Kamu perlu terima padahnya atas apa yang kamu lakukan,” kata Perdana Menteri Britain itu yang mengekalkan kawalan 16,000 anggota polis di London.

Pegawai juga berkata, mereka sedang berbincang dengan agensi perisikan dan syarikat komunikasi sama ada perkhidmatan mesej dapat dihentikan di kawasan tertentu pada masa tertentu.
“Pihak berkuasa menimbang sama ada wajar menghentikan komunikasi mereka yang menggunakan laman web dan khidmat tertentu apabila kita tahu mereka merancang keganasan, kekacauan dan jenayah,” kata Cameron.

Beliau berjanji memberi pampasan kepada penduduk yang kehilangan rumah meskipun kediaman itu tidak ada perlindungan insurans.

Cameron yang menunggu dua hari sebelum pulang daripada bercuti untuk menangani isu itu menafikan kekacauan itu ada kena dengan rancangan kerajaan mengurangkan perbelanjaan awam,.

Pemimpin masyarakat berkata, jurang taraf hidup terlalu besar, pengurangan bajet perkhidmatan awam dan pengangguran di kalangan remaja adalah punca utama keganasan di Birmingham, Manchester dan bandar lain yang dihuni pelbagai etnik.

“Kulit hitam, keturunan Asia , kulit putih tinggal dalam satu kawasan. Mengapa kita perlu bunuh sesama kita,” kata Tariq Jahan yang kehilangan anaknya selepas dilanggar kereta oleh perusuh.

Ramai penduduk Britain berang dengan keganasan yang meletus di tempat sendiri selepas kes seorang pelajar Malaysia diserang dan seorang wanita Poland melompat dari bangunan terbakar disiarkan di dada akhbar. – Reuters , bharian

Polis London serbu rumah perusuh




BEBERAPA anggota polis menangkap seorang lelaki di Eltham, selatan London kelmarin dalam operasi mengekang rusuhan.


LONDON - Bandar-bandar di Britain yang terlibat dalam rusuhan sejak Sabtu lalu kini tenang selepas hampir 900 orang ditangkap.
Polis berikrar untuk menangkap para perusuh yang menyebabkan rompakan dan kebakaran berlaku dalam rusuhan itu.
Pihak polis mula menyerbu rumah-rumah untuk mencari para perusuh yang terlibat dalam rusuhan tersebut.
Polis Britain telah menangkap 880 orang berhubung rusuhan yang berlaku di London dan di beberapa bandar lain.
Bandar Manchester, Birmingham dan Liverpool yang dilanda rusuhan pada Selasa lalu turut tenang semalam.
Di London, seramai 371 orang setakat ini sudah disabitkan kesalahan berhubung ketenteraman awam.
Bandar Birmingham kekal tegang semalam selepas tiga lelaki Asia dilanggar sebuah kereta semasa mereka cuba mengawal kediaman daripada dirompak perusuh.
Namun, situasi di bandar tersebut tenang semula semalaman selepas bapa salah seorang mangsa meminta orang ramai tidak membalas dendam ekoran kematian tersebut.
Seorang lelaki berusia 37 tahun sudah ditangkap dan satu siasatan pembunuhan telah bermula.
Keganasan dan rompakan bermula pada Sabtu lalu di Tottenham di utara London ekoran kematian suspek penjenayah, Mark Duggan dalam satu operasi polis.
Suruhanjaya Bebas Aduan Polis menyatakan pada Selasa lalu bahawa, tidak ada bukti bahawa Duggan yang berkulit hitam melepaskan tembakan sebelum dia mati ditembak. - Agensi, kosmo

Thursday, August 11, 2011

16,000 polis Britain dikerah




ASAP tebal memenuhi ruang udara sebuah gudang Sony Centre di Enfield, London, semalam selepas dibakar oleh perusuh. – Reuter



LONDON 10 Ogos – Rusuhan terburuk di Britain dalam tempoh puluhan tahun berlarutan ke hari keempat hari ini apabila gerombolan pemuda mengganas di Manchester dan kawasan perindustrian tengah England tetapi keadaan di London agak tenang selepas 16,000 anggota polis dikerahkan untuk membendung keganasan. Di Manchester, perusuh memecah masuk dan mencuri barang kedai serta menghalau jurugambar dari tempat kejadian dalam keganasan terburuk di bandar raya ketiga terbesar di Britain itu dalam tempoh 30 tahun. Kejadian mencuri juga berleluasa di Birmingham buat malam kedua dan dalam insiden paling serius malam tadi, tiga lelaki yang baru keluar dari sebuah masjid terbunuh apabila mereka dirempuh sebuah kereta dalam kes langgar lari di bandar raya tersebut. Di tempat lain, perusuh membakar bangunan di West Bromwich dan Wolverhampton di tengah England dan sebuah balai polis di Nottingham diserang dengan bom petrol, walaupun tiada kecederaan dilaporkan, sementara kira-kira 200 perusuh membaling objek ke arah polis di Liverpool. Bagaimanapun di London, tiada lagi gelombang keganasan yang menyebabkan beberapa bahagian ibu kota ini terbakar malam semalam, selepas polis dikerahkan beramai-ramai dan kumpulan penduduk membanjiri jalan untuk mempertahankan komuniti mereka. Scotland Yard awal hari ini berkata, 768 orang ditangkap di London kerana disyaki melakukan keganasan, mencetuskan kekacauan dan mencuri. Sebanyak 109 lagi ditangkap di wilayah West Midlands, 108 di Manchester dan Salford, dan 44 di Liverpool dan sekitarnya, manakala di Bristol 19 tangkapan dilakukan kerana pelbagai kesalahan termasuk memiliki topeng ski. Fokus keganasan malam tadi ialah Manchester, barat laut England, di mana polis terpaksa berundur akibat kemaraan ratusan pemuda yang menutup muka dengan skarf dan topeng ski. Dua perusuh memecahkan pintu kaca pusat membeli-belah Arndale, gedung membeli-belah utama di Manchester, membolehkan ratusan pemuda masuk dan melarikan pelbagai barangan termasuk pakaian dan kasut. Polis hanya mampu menjadi pemerhati apabila pencuri mengosongkan sebuah kedai barangan elektrik manakala kumpulan lain bersemuka dan memaki-hamun anggota polis. Dalam perkembangan yang tidak akan membantu meredakan ketegangan, badan pemantau polis Britain berkata, pihaknya tidak menemui bukti Mark Duggan, lelaki yang ditembak mati oleh polis minggu lepas dalam insiden yang mencetuskan protes dan seterusnya rusuhan di London, telah melepaskan tembakan ke arah polis. Dalam operasi terancang, anggota polis bersenjata menahan teksi yang dinaiki oleh Duggan, 29, di daerah berbilang etnik Tottenham, utara London, tembakan dilepaskan dan Duggan mati di tempat kejadian. Keluarga Duggan berkata, hasil siasatan itu menyebabkan mereka berasa amat kesal dan mereka menuntut ‘jawapan’ daripada polis. – AFP, utusan

Kekacauan kian merebak

AMBIL KESEMPATAN...penjarah bertopeng melarikan kotak berisi barangan elektrik mahal dari sebuah kedai di tengah Birmingham.
AMBIL KESEMPATAN...penjarah bertopeng melarikan kotak berisi barangan elektrik mahal dari sebuah kedai di tengah Birmingham.





DIMAKAN API...butik Miss Selfridge yang terletak di Jalan Pasar musnah terbakar.
DIMAKAN API...butik Miss Selfridge yang terletak di Jalan Pasar musnah terbakar.


LONDON: Rusuhan terburuk dalam sejarah Britain sejak beberapa generasi, kini merebak ke bandar lain semalam, sementara tiga lagi terbunuh ketika mempertahankan komuniti mereka. Walaupun London kini tenang ekoran penempatan lebih ramai polis di jalan bandar raya itu, perusuh menyerbu tengah Manchester dengan membakar serta merompak kedai di situ. Polis menganggap insiden terbaru ini sebagai “keganasan paling ekstrem melanda Britain dalam tempoh 30 tahun.” Penjarah turut menyebabkan kekacauan di beberapa bandar di sekitar Midlands, termasuk Birmingham yang menjadi lokasi tiga pemuda Islam Asia terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta. Laporan mendakwa, mangsa baru saja meninggalkan masjid dan melindungi komuniti mereka ketika kejadian berlaku. Kira-kira 200 orang keturunan Asia dari Birmingham berkumpul di luar hospital yang menempatkan mayat berkenaan. Namun, di London, tiada keganasan terbaru dilaporkan selepas bandar raya itu kacau-bilau pada malam Isnin lalu. Polis menahan lebih 1,100 orang di seluruh negara kerana terbabit dalam keganasan, kekacauan dan mencuri sejak rusuhan tercetus pada Sabtu di Tottenham, utara London. Perdana Menteri, David Cameron, berikrar untuk “melakukan apa saja yang perlu bagi memulihkan keadaan di jalanan” tetapi kebanyakan kedai di London masih ditutup awal atas nasihat polis. Datuk Bandar London, Boris Johnson, menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan mengurangkan jumlah polis sebagai sebahagian daripada langkah berjimat-cermat dan mengurangkan defisit bajet negara. Ketika Kerajaan menyalahkan penjenayah mengambil kesempatan atas kekacauan itu, pembangkang berkata, pemotongan belanjawan untuk perkhidmatan sosial dan kegagalan pihak berkuasa menangani masalah sosial menyumbang kepada rusuhan berkenaan. Sesetengah daripada kawasan paling mundur di Britain menjadi lokasi rusuhan dengan kira-kira 200 orang menyerang polis dengan pelbagai objek di Toxteth, barat laut Liverpool. Daerah itu pernah berlaku rusuhan besar-besaran pada 1981. Di lokasi lain, perusuh membakar bangunan di West Bromwich dan Wolverhampton, manakala sebuah balai polis berhampiran Nottingham dilontar bom api. Kekacauan turut dilaporkan berlaku di bandar Gloucester. - AFP

Kota London bagaikan medan perang

PEMILIK kedai menyewa peralatan dapur di utara London,  Azim Mohamed (kiri) dan pembantunya, Riaz Mohamed hanya mampu melihat kedai mereka musnah dibakar perusuh.
PEMILIK kedai menyewa peralatan dapur di utara London, Azim Mohamed (kiri) dan pembantunya, Riaz Mohamed hanya mampu melihat kedai mereka musnah dibakar perusuh.
KEGANASAN dan kekacauan dicetuskan perusuh sejak malam Sabtu lalu menjadikan beberapa kawasan di bandar raya ini bagaikan medan perang dengan banyak kesan kemusnahan.

Beberapa kawasan dilihat seperti pelantar minyak apabila api marak membakar bangunan akibat perusuh melontar bom petrol serta mercun.
Paling teruk ialah deretan premis dan bangunan di London Road, Croydon yang hangus dibakar perusuh, malam kelmarin hingga sesetengahnya dilihat bagaikan dibom apabila hanya tinggal rangka.
Perusuh yang majoritinya belia turut membakar dan merosakkan kenderaan di bahu jalan. Tidak cukup dengan itu, mereka membaling batu kedai dan pusat beli-belah sehingga menyebabkan cermin dan tingkap permis itu pecah.

Mereka juga menceroboh premis berkenaan dan mencuri pelbagai barangan mengakibatkan pemiliknya rugi besar. Ramai peniaga menutup premis lebih awal dan mengetatkan keselamatan bagi mengelak jadi sasaran dan menanggung kerugian.

Mereka juga sanggup berjaga sepanjang malam untuk berkawal dan mengelakkan premis dan bangunan menjadi sasaran kerana rusuhan hanya dicetuskan pada waktu malam.

Bagaimanapun, bandar raya ini mulai tenang sejak beberapa kejadian sejak malam Sabtu lalu, tetapi penduduk tetap bimbang ia berulang. Kumpulan perusuh dikatakan mengalihkan tumpuan dengan menjadikan bandar seperti Manchester dan Birmingham yang hanya tiga jam perjalanan dari bandar raya ini sebagai sasaran baru.
Rusuhan yang paling buruk sejak beberapa dekad lalu tercetus berikutan kemarahan orang ramai terhadap kematian Mark Duggan, 29, yang ditembak polis, pada Khamis lalu.bharian

Rusuhan merebak di luar London




SEORANG perusuh berjalan meredah api di Liverpool kelmarin.


LONDON - Ribuan anggota polis tambahan yang berkawal di jalan-jalan raya berjaya menyebabkan London tenteram semalam selepas tiga hari berlaku rusuhan dan rompakan oleh sekumpulan golongan muda.
Bandar Manchester dan Liverpool di timur laut dan Birmingham di tengah England berdepan dengan rusuhan selepas London tenteram semalam.
Di Birmingham, polis melancarkan siasatan selepas tiga penganut Islam terbunuh kerana dilanggar sebuah kereta.
KEROSAKAN berlaku di sebuah kedai akibat rusuhan di Manchester semalam.


Seorang rakan tiga lelaki itu memberitahu stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa ketiga-tiga penganut Muslim itu merupakan sebahagian daripada kumpulan keturunan Asia yang melindungi kawasan kediaman mereka daripada menjadi sasaran golongan muda yang merompak.
Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu dilanggar selepas bersolat di sebuah masjid.
"Kereta itu melencong ke arah mereka dengan tiba-tiba," katanya.
Keadaan di London tenteram semalam selepas rusuhan bermula di Tottenham pada malam Sabtu lalu.
Kira-kira 16,000 anggota polis mengawal jalan-jalan raya di London semalam.
KESAN kerosakan akibat kebakaran dilihat pada sebuah bangunan di Manchester semalam.


Rusuhan itu berlaku akibat perasaan tidak puas hati golongan muda terhadap kematian seorang lelaki berusia 29 tahun yang ditembak polis pada minggu lalu.
Protes golongan muda itu bertukar menjadi ganas apabila mereka membakar beberapa bangunan, kereta polis dan merompak di Tottenham, utara London.
Perdana Menteri Britain, David Cameron terpaksa menyingkatkan percutiannya di Itali untuk pulang ke London bagi berdepan dengan krisis tersebut.
Cameron akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Krisis dan memanggil parlimen bersidang untuk membincangkan isu berkenaan.
Rusuhan itu merupakan situasi yang paling buruk pernah berlaku di London kurang setahun sebelum bandar raya ini menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012. - Agensi, kosmo

Wednesday, August 10, 2011

Rusuhan di Manchester tidak pernah berlaku dalam 30 tahun

LONDON: Rusuhan dan kecurian yang melanda Manchester disifatkan sebagai "kelakuan ganas dan jenayah tidak masuk akal" yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun. Penolong Ketua Konstabel, Garry Shewan, berkata keganasan itu dilakukan oleh pihak yang "tiada sebab untuk membantah" sehingga menyebabkan "rasa malu di jalan-jalan" bandar raya berkenaan. "Ini adalah jenayah tulen dan ringkas berlaku secara liar malam ini. Tiada apa yang perlu dibantah kerana memang tiada puncanya dan ini adalah keganasan dan jenayah tidak masuk akal yang tidak pernah saya lihat sebelum ini,” katanya. - AFP
-bharian

BBM pilihan perusuh

LONDON: Kekacauan yang melanda sebahagian besar bandar raya ini selama tiga hari sejak malam Ahad lalu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai peranan yang boleh dimainkan teknologi dalam menganjur dan mengumpulkan orang ramai.
Ketika revolusi Arab awal tahun ini, tumpuan ialah terhadap Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun, bagi perusuh di Tottenham, Enfield dan Brixton, peralatan komunikasi utama mereka ialah BlackBerry Messenger (BBM). Ia seolah-olah menjadi rangkaian kod sosial persendirian sepanjang keganasan itu.

Telefon bimbit pintar Blackberry begitu polular di kalangan remaja di kedua-dua belah Atlantik.

Ia juga lebih murah berbanding model Android dan iPhone.

Namun, perisian canggih yang dimiliki membolehkan Blackberry berjaya menguasai pasaran. BBM ialah aplikasi penghantaran mesej segera, membolehkan penggunaan berkomunikasi dengan cara yang sama untuk menghantar mesej serta percuma kerana penghantaran dan penerimaan dilakukan menerusi Internet, Menurut penganalisis, ia menggantikan penggunaan mesej pesanan ringkas (SMS) di kalangan golongan muda.

“Kami melihat kejatuhan dalam penggunaan SMS di kalangan golongan muda dan pemacu utama kini ialah BlackBerry,” kata Graham Brown dari Mobile Youth, April lalu. Setiap pengguna mempunyai nombor pengenalan diri (PIN) yang unik yang membolehkan pengguna BBM lain menghubungi mereka.

PIN BBM lebih tersedia untuk dikongsi bersama berbanding nombor telefon, membolehkan berita tersebar lebih cepat menerusi rangkaian itu berbanding SMS.

Bagi pihak berkuasa yang berhasrat mengesan kekacauan menerusi teknologi ini, ia berdepan dengan masalah, tidak seperti rangkain sosial Facebook dan Twitter. - Agensi, hmetro

Tiga ditahan atas tuduhan cuba membunuh

LONDON: Tiga orang ditahan kerana disyaki cuba membunuh selepas seorang anggota polis dilanggar oleh sebuah kereta ketika rusuhan di Brent, barat laut London, semalam.
Anggota berkenaan terpaksa dimasukkan ke hospital ekorang kejadian itu sementara seorang lagi cedera ringan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Scotland Yard, kejadian itu berlaku selepas polis menahan beberapa kereta kerana mengesyaki penumpangnya terbabit dalam kejadian menjarah sebuah kedai elektrik berhampiran. “Pemandu sebuah kereta memecutkan kenderaannya menyebabkan ia merempuh dua anggota polis.

“Tiga penumpang kemudian ditahan kerana disyaki cuba membunuh,” menurut kenyataan itu lagi.

Rusuhan melanda London untuk malam ketiga semalam dengan remaja menguasai jalan raya, menjarah kedai, membakar bangunan dan kereta. - AFP, hmetro