Pages

Showing posts with label khalwat. Show all posts
Showing posts with label khalwat. Show all posts

Wednesday, September 19, 2012

Didenda RM2,500 kerana berkhalwat



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 September 2012
BESUT – Lelaki yang pernah menggemparkan daerah ini kerana ditangkap penduduk gara-gara disangka pencuri ketika melepaskan diri daripada dicekup suami kekasihnya, didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut, di sini.

Hukuman dijatuhkan setelah Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof berpuas hati terhadap pengakuan salah tertuduh yang berusia 22 tahun itu.

Turut menerima hukuman sama, pasangannya, 22, yang ketika ditangkap berstatus isteri orang dan mereka diperintah menjalani hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh lelaki seorang penjawat awam dan pasangannya yang bekerja sebagai pembantu dapur didakwa di bawah Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di rumah wanita berkenaan di Kampung Kubang Ikan dekat Kampung Raja kira-kira jam 2 pagi, 15 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Norzilawati Said manakala pasangan tersebut tidak diwakili peguam.

Norzilawati yang membacakan fakta kes memberitahu mahkamah, pada 3.15 petang 15 Jun lalu, pegawai Penguat kuasa Syariah Daerah Besut menerima panggilan telefon daripada pihak polis tentang satu tangkapan oleh orang awam terhadap pasangan tersebut di kampung itu.

Pegawai penguat kuasa yang tiba di balai polis kemudiannya bertemu dengan suami wanita berkenaan dan suaminya memberitahu, pada pagi kejadian dia pulang ke rumah lalu memanggil isterinya tetapi tidak dijawab.

“Melalui ruang bawah pintu, dia melihat ada dua orang keluar dari bilik tidurnya lalu dia bertindak masuk melalui pintu belakang dan mendapati ada seorang lelaki sedang cuba memanjat tingkap untuk melarikan diri," katanya.

Dalam kejadian tersebut, suami wanita berkenaan berjaya menangkap lelaki terbabit lalu berlaku sedikit pergelutan namun tertuduh berjaya melarikan diri sebelum ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada polis.

Lelaki beralamat di Kampung Gong Nangka, Apal dan pasangannya dari Kampung Mak Sara Jertih membayar denda yang dikenakan.

Saturday, February 18, 2012

Bogel depan penguat kuasa

Bogel depan penguat kuasa
BATU PAHAT – Tergamam! Demikian reaksi sekumpulan pegawai penguat kuasa agama selepas tubuh yang membuka pintu sebuah bilik di hotel bajet di sini, tidak dibaluti waima dengan seurat benang sekalipun.

Lagak selamba si gadis yang terus menayangkan tubuhnya itu, diburukkan lagi selepas dengan tidak semena-mena gadis itu meracau kepada pegawai penguat kuasa agama yang ketika itu sedang menjalankan operasi banteras maksiat.

Timbalan Penguatkuasa Jabatan Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pegawai bertugas berulang kali mengarahkan gadis itu supaya mengenakan pakaian, namun tidak diendahkan dan berterusan membiarkan tubuhnya diperhatikan tanpa sedikit pun rasa malu.

Katanya, ketika serbuan dalam operasi banteras maksiat kira-kira jam dua pagi kelmarin, gadis berusia 26 tahun itu dipercayai berdua-duaan bersama pasangannya di dalam bilik hotel bajet berkenaan sebelum diserbu.

“Melihat keadaan gadis terbabit tanpa pakaian, kami mengarahkannya mengenakan pakaian lengkap, namun dia berlagak selamba dan tidak mengendahkan arahan itu.

"Anggota wanita yang bertugas kemudiannya memberikan tuala sebelum gadis itu mengenakan pakaian lengkap sebelum berulang kali mengatakan dirinya hanya berseorangan di bilik hotel itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, turut ditemui sekeping nota penuh contengan bersamanya dan berdasarkan nota itu, gadis berkenaan dipercayai mengalami masalah kemurungan.

“Antara isi kandungan kertas itu termasuk, 'aku tertekan kejar akhirat’, serta beberapa contengan lain yang agak sukar difahami malah tulisannya seperti individu yang berada di bawah pengaruh dadah yang kebiasaannya sering berimaginasi.

“Turut ditemui bersama gadis terbabit satu kotak berisi kondom dipercayai digunakan bagi tujuan hubungan seksual," katanya.

Bagaimanapun katanya, pasangan gadis itu dipercayai mengetahui kehadiran unit penguat kuasa lebih awal, sebelum meloloskan diri menerusi tingkap tingkat dua hotel terbabit.

"Hasil siasatan mendapati gadis terbabit merupakan warga tempatan, malah turut mendakwa dirinya anak yatim piatu.

"Malah, dia mula menangis serta meracau sejurus diperiksa anggota bertugas sebelum diberikan kaunseling,” katanya.
Bogel depan penguat kuasa - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Friday, February 17, 2012

'Ustaz' kena cekup bersama wanita bukan muhrim

khalwat
PERMATANG PAUH – Seorang pengarah syarikat produk makanan yang juga kakitangan awam sebuah syarikat pelabuhan bergelar ustaz dicekup kerana bersekedudukan dengan seorang wanita bukan muhrim di sebuah rumah dekat Pangsapuri Pesona, di sini, petang semalam.

Serbuan ke atas rumah yang terletak di Blok A pangsapuri itu dilakukan Biro Keselamatan Persatuan penduduk Pangsapuri Pesona, kira-kira jam 6 petang selepas menerima aduan daripada jiran tetangga.

Sinar Harian difahamkan, lelaki berusia lingkungan 50-an itu sudah berkahwin dan mempunyai anak dan tinggal di Lunas, Kedah.

Difahamkan juga, rumah di pangsapuri itu dibeli dari seorang doktor kira-kira dua tahun lalu hanya dijadikan sebagai tempat persinggahan.

Sementara itu, wakil biro yang hanya mahu dikenali sebagai Lan berkata, intipan sudah dibuat ke atas rumah berkenaan sejak setahun lalu selepas pihaknya banyak menerima aduan daripada jiran lelaki berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu didakwa menggunakan tiga kenderaan berbeza setiap kali singgah ke pangsapuri itu, selain mendakwa setakat ini kira-kira enam wanita berlainan dibawa masuk ke rumah berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, lelaki itu enggan memberi kerjasama dan hanya membuka pintu selepas kira-kira 20 minit diketuk. Apabila pintu dibuka, dia hanya berkain pelekat dan berbaju, manakala wanita itu pula sudah menanggalkan tudungnya.

“Pada mulanya, dia memberitahu bahawa wanita berusia lingkungan 20-an itu adalah anaknya. Tetapi, apabila pemeriksaan dilakukan ke atas kad pengenalan kedua-dua mereka mendapati sebaliknya. Dia kemudiannya menukar kenyataan pula dengan mengatakan wanita
itu anak saudaranya dan memberi alasan mahu memberikan gula kepada wanita itu,” katanya.

Dalam pada itu, ibu wanita berkenaan yang tiba tidak lama kemudian dilihat terkejut dengan situasi yang berlaku dan mengakui lelaki itu adalah anak angkatnya.

Pengerusi Kariah Masjid Timah, Ibrahim Talib turut hadir bagi memberi nasihat kepada pasangan berkenaan.

Kedua mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

'Ustaz' kena cekup bersama wanita bukan muhrim - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Thursday, February 16, 2012

Tiket tuju ke hotel

KLANG: Helah seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Negeri Sembilan memberi alasan tiket bas habis gagal mengelakkannya daripada dicekup khalwat dengan duda beranak empat, di sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi semalam.

Ketika dicekup, siswi berusia 22 tahun berasal dari Perlis itu merayu dilepaskan sambil memberi alasan tiket bas ke negeri kelahirannya itu sudah habis dan kononnya kebetulan teman lelaki iaitu duda berkenaan berhasrat membantunya mencarikan tempat bermalam.


Bagaimanapun, alasan itu tidak diterima pegawai penguat kuasa sebelum menahan siswi dan pasangannya berumur 32 tahun itu kerana berada dalam bilik yang dikunci berdua-duaan tanpa ikatan muhrim.

Itu antara gelagat 14 pasangan yang dicekup berusia antara 20 dan 40-an dalam operasi serentak di 32 hotel bajet seluruh Klang. Operasi bersepadu dinamakan Ops Kasih Kekasih itu dilakukan Jabatan Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK); Jabatan Agama Islam Selangor (Jais); Jabatan Imigresen dan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) cawangan Klang.


Dalam serbuan sama, seorang wanita masih berstatus isteri berusia 32 tahun dicekup bersama seorang mualaf berumur 35 tahun di sebuah hotel bajet lain.


Ketika serbuan pada jam 1 pagi itu, lelaki yang bekerja sebagai juruteknik dan baru memeluk Islam Oktober lalu itu turut gagal ujian saringan awal air kencing dijalankan AADK apabila positif heroin.


Ketika serbuan, lelaki itu mengaku hanya mahu menemani kekasihnya yang berasal dari Kuantan bagi menghadiri perbicaraan terakhir perceraian pasangannya dan mendakwa tak cukup duit untuk menyewa dua bilik.


Difahamkan, lelaki mualaf itu sudah lima tahun menjalinkan hubungan terlarang bersama wanita beranak empat itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPK, Sharul Hazri Abd Majid berkata, ketika serbuan, lelaki itu hanya berseluar pendek membuka pintu bilik serta membenarkan pemeriksaan dijalankan.


“Ketika membuka pintu, pasangan itu kelihatan terkejut dan mengaku tidak melakukan apa-apa.


“Bagaimanapun, lelaki itu dan pasangannya tetap ditahan berikutan disyaki berkhalwat. Lelaki berkenaan gagal ujian awal saringan air kencing dan disyaki positif dadah,” katanya ketika ditemui di lokasi, selepas serbuan berakhir jam 4 pagi semalam.


Beliau berkata, jika air kencing lelaki berkenaan disahkan positif oleh Jabatan Patologi, dia bakal didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah 1983 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tiga tahun dan tiga sebatan.


Selain itu, katanya, seorang wanita warga Indonesia dari Palembang berusia 20 tahun yang sepatutnya baru mula bekerja di sebuah kilang di sini antara yang dicekup bersama pasangan senegara berusia 30-an berasal dari Lombok.


“Wanita itu menangis teresak-esak kerana esok (hari ini) dia memberitahu akan mula bekerja hari pertama di sebuah kilang di sini.


“Keseluruhan seramai 14 pasangan dicekup berusia antara 20 hingga 40-an dalam operasi hampir 5 jam yang diadakan serentak di 32 hotel bajet seluruh Klang.


“Operasi diadakan bagi mencegah kes mungkar terutama pasangan khalwat dan zina yang kebiasaannya menumpukan hotel bajet sebagai tempat melampiaskan nafsu serakah.


“Semua pesalah dihantar ke lokap sementara Jais Klang dan operasi berakhir kira-kira jam 4 pagi,” katanya.

Wednesday, February 15, 2012

Khalwat: JAIPP tahan 14 pasangan

BUTTERWORTH 14 Feb. - Seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah universiti awam di sini dan janda antara 14 pasangan yang ditahan kerana berkhalwat dan berkelakuan tidak sopan pada sambutan malam Hari Kekasih di negeri ini malam tadi.
Dalam operasi cegah maksiat oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) itu, lelaki yang berusia 30-an tersebut ditahan di sebuah hotel murah di Bukit Gambier bersama pasangannya berusia 20-an pada pukul 2 pagi.
Pasukan jabatan agama itu terpaksa menunggu setengah jam sebelum pintu bilik dibuka dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidur di ruang tamu manakala pasangannya di dalam bilik.
Kesemua ditahan dalam operasi bermula pukul 10 malam hingga 3 pagi ini di sekitar Batu Feringghi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Bukit Gambier, Gelugor, Pantai Bersih dan Bukit Mertajam berusia 20-an hingga 30-an.
Ketua Unit Operasi Penguatkuasaan JAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam operasi itu, tujuh pasangan ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 iaitu kerana disyaki berkhalwat di bilik-bilik hotel murah.
Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun ataupun kedua-duanya.
Tambahnya, tujuh lagi pasangan diberikan notis kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 enakmen sama iaitu berkelakuan tidak sopan di tempat awam yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan ataupun kedua-duanya.
"Kesemua mereka dibawa ke pejabat agama di sini untuk disoal siasat dan dibebaskan dengan jaminan oleh ahli keluarga masing-masing serta akan didakwa di Mahkamah Syariah," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Tiga kali ditangkap khalwat


ANGGOTA Penguat Kuasa JAIJ (kanan) bertanyakan sesuatu kepada sepasang kekasih dalam serbuan di sebuah hotel di Johor Bahru, malam kelmarin. - UTUSAN/Baazlan Ibrahim.


JOHOR BAHRU 14 Feb. - Seorang wanita yang pernah dua kali ditahan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) kerana berkhalwat, sekali lagi dicekup dalam Ops Kekasih di sebuah hotel murah di Taman Puteri Wangsa di sini, semalam.
Wanita berusia 22 tahun dan pasangannya berusia 30-an itu dicekup dalam serbuan yang dijalankan sempena Hari Kekasih atau Valentine's Day pukul 11.30 malam.
Difahamkan, wanita yang bekerja di sebuah kilang dan berasal dari Felda Tebrau di sini itu didapati bersama lelaki yang berlainan setiap kali ditahan.
Pemeriksaan lanjut di bilik yang disewa oleh pasangan itu turut menemui peralatan dan dadah dipercayai jenis syabu.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaannya, Mohd. Zamri Kambari berkata, 102 orang ditahan di seluruh negeri ini dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 10 malam.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 38 orang ditahan di Johor Bahru; Kulaijaya (15), Kluang (13), Pontian (8), Kota Tinggi (8), Batu Pahat (6) manakala Muar, Segamat dan Ledang seramai empat orang.
"Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun ini ditahan dalam beberapa serbuan di hotel bajet dan tempat awam.
"Daripada jumlah tersebut, 94 orang merupakan rakyat tempatan, tujuh warganegara Indonesia dan seorang warganegara Bangladesh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, 44, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27 (1)(a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat.
Katanya, 12 orang disiasat mengikut Seksyen 29 enakmen sama kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam dan dua orang di bawah Seksyen 19 enakmen sama kerana meminum minuman memabukkan.
Kesemua mereka diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pendakwaan.
Utusan Malaysia Online - Johor:

'via Blog this'

Wednesday, January 18, 2012

Bapa serbu anak di hotel

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ayah selepas mendapat tahu anak gadisnya berusia 15 tahun yang lewat pulang ke rumah sebenarnya menginap di hotel bajet di Taman Desa bersama dua lelaki.
Malah, remaja bawah umur itu turut mengakui mengadakan hubungan seks dengan seorang daripada lelaki itu, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, pekerja kilang berusia 39 tahun itu bersama rakan baik anaknya pergi ke hotel berkenaan sebaik mendapat tahu anaknya berada di hotel itu.

Menurut sumber, dia pada mulanya menyangka anak gadisnya itu lewat pulang dari sekolah kerana mengulang kaji pelajaran sebelum menghubungi rakan baik anaknya untuk mengetahui ke mana anaknya itu pergi.

“Lelaki berkenaan terkejut selepas dimaklumkan anaknya berada di bilik hotel di kawasan berhampiran sebelum mengajak rakan anaknya pergi ke hotel itu.

“Namun sebaik pintu bilik hotel dibuka, dia terkejut mendapati anaknya berada bersama dua lelaki.


“Tergamam melihat keadaan itu, lelaki terbabit terus bertindak menahan kedua-dua rakan anaknya itu, namun seorang daripada mereka berjaya melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu kemudian membawa anaknya dan rakan lelakinya itu untuk membuat laporan di Balai Polis Petaling.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Wednesday, December 28, 2011

Ahli politik ditangkap khalwat

Jaips
KANGAR - Tindakan seorang ahli politik duduk bergelap dalam kereta bersama isteri orang, mengundang padah, apabila gelagat mereka disedari sekumpulan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang kemudian memanggil imam kampung, sebelum pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat.
Kejadian berlaku pada jam 1.26 pagi berdekatan resort di Sungai Batu Pahat, di sini, 24 Disember lalu.
Menurut sumber daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (Jaips), ahli politik berusia 35 tahun dan sudah berkeluarga, ditahan bersama pasangannya berusia 30 tahun dalam kereta Proton Wira, berhampiran semak-samun.
Menurutnya, kelibat pasangan itu pada awalnya disedari sekumpulan ahli SRS Kampung Sungai Baru, Sungai Batu Pahat sebelum imam kampung dipanggil untuk menyoal siasat pasangan berkenaan.
“Mereka kemudian ditahan selepas gagal menunjuk-kan dokumen sebagai bukti hubungan mahram atau suami isteri sebelum diserahkan kepada Jaips untuk tindakan selanjutnya.
“Laporan ke atas kedua-dua pasangan itu turut dibuat di Balai Polis Kangar sebelum dijamin oleh keluarga masing-masing,” katanya di pejabat Jaips di sini, semalam.
Menurut sumber itu lagi, ahli politik berkenaan dan pasangannya hadir ke pejabat Jaips semalam, untuk memberikan keterangan selama sejam.
“Keterangan tertuduh mula diambil oleh pegawai Jaips pada 9.45 pagi dan berakhir 10.45 pagi, dimulakan dengan tertuduh lelaki diikuti dengan pasangannya.
“Buat masa ini, Jaips memutuskan 18 Januari 2012 sebagai tarikh permohonan agar kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kangar, memandangkan kami masih menunggu keterangan saksi yang menahan pasangan itu termasuk imam masjid,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pasangan berkenaan ditahan dan didakwa bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis, 1991 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ahli politik ditangkap khalwat - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Saturday, December 24, 2011

Guna alasan ambil telefon

Guna alasan ambil telefon
LEDANG – “Saya mahu ambil telefon bimbit,” itu helah seorang wanita untuk melepaskan diri daripada ditahan ketika dicekup berkhalwat oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) di sebuah rumah di Parit Bunga di sini, awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan dibuat kira-kira jam 3.30 pagi itu, wanita berusia 23 tahun terbabit dan pasangannya warga Indonesia ditahan kerana didapati berdua-duaan dalam bilik di rumah berkenaan.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh binaan sudah setahun setengah berhijrah ke negara ini dan baru sebulan mengenali wanita itu ketika membeli pau di gerainya yang terletak kira-kira 15 meter dari rumahnya.

Sejak itu, mereka saling bertukar-tukar nombor telefon bimbit dan wanita itu sering dilihat penduduk berhampiran datang ke rumah lelaki terbabit pada awal pagi untuk bersembang.

Kadi Daerah Ledang, Su­laiman Maidin berkata, berda­sarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Pe­­gawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran dan dibantu penduduk kampung memeriksa rumah tersebut.

Menurutnya, PPADL terpaksa memecahkan pintu rumah itu apabila pasangan terbabit enggan membuka pintu setelah memberi salam dan menunggu kira-kira 15 minit.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tidak berbaju dan berkemban sedang sembunyi dalam bilik.

“Manakala pasangannya tidak berbaju dan berseluar berada di dapur dan dipercayai cubaan untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hu­bun­gan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dike­nakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya Guna alasan ambil telefon - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wednesday, December 21, 2011

Sewa bilik RM50 untuk maksiat


khalwat

DUNGUN – Tindakan seorang gadis sunti yang masih menuntut di institutsi pengajian tinggi awam (IPTA) menyewa sebuah bilik hotel murah untuk memadu asmara bersama pasangannya membawa padah apabila bilik penginapan mereka diserbu pihak berkuasa, awal pagi kelmarin.

Menyedari bilik mereka didatangi tetamu tidak diundang kira-kira jam 1.50 pagi itu, teman lelakinya yang juga seorang rakan sekolej dikatakan nekad terjun melalui tingkap lalu terjatuh di atas bumbung sebuah kenderaan yang di letakkan di ruang letak kereta di bangunan terbabit sebelum berjaya melarikan diri.

Siasatan awal ke atas gadis terbabit mendapati, dia mendaftar masuk ke bilik hotel yang disewa dengan kadar RM50 itu kira-kira jam 5 petang selepas turun dari bas ekspres di tempat hentian bas berdekatan.

Ketika ditemui, gadis berasal dari Klang, Selangor itu memberitahu, dia menyewa bilik hotel murah itu untuk bertemu teman lelakinya.

Gadis berusia 19 itu turut mengakui dia mula menjalinkan hubungan cinta dengan teman lelakinya yang melarikan diri dari bilik hotel itu sejak dua tahun lalu dan sempat melakukan adegan panas bersama pasangannya sebelum bilik mereka diserbu pihak berkuasa.

Katanya, dia sama sekali tidak menyangka kali pertama menginap di hotel terbabit akhirnya memerangkap dirinya setelah dicekup pihak berkuasa jabatan agama.

“Saya terkejut apabila bilik saya tiba-tiba diketuk pada waktu awal pagi, tak sangka pula diserbu pencegah maksiat, saya ingat hotel itu selamat,

“Bagaimanapun ketika berada di bilik itu, saya sempat melakukan beberapa adegan panas, dan nyaris melakukan hubungan seks dengannya, nasib baik saya sempat menolak keinginannya untuk menodai saya,” katanya yang merupakan penuntut semester empat Diploma Perakaunan di sebuah IPTA.

Ketika ditanya mengenai nasibnya selepas pihak pengurusan IPTA mendapat tahu kes membabitkan dirinya, remaja terbabit memberitahu dia kini buntu memikirkan perkara itu, apatah lagi dia hanya menunggu dua semester lagi untuk memastikannya mendapatkan segulung diploma seperti yang dicita-citakan.

“Saya tidak berniat untuk melakukan perkara sumbang.

“Saya benar-benar menyesal, jika diberi peluang, saya bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi, berilah saya peluang terakhir,” katanya.

Dia dibawa ke pejabat Unit Penguat kuasa Syariah untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan selepas dijamin oleh ibu bapanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu bagaimanapun bakal dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan khalwat mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 manakala teman lelakinya yang berjaya melarikan diri itu sudah dikenal pasti identitinya dan kini sedang diburu pihak penguat kuasa syariah untuk tindakan selanjutnya. Sewa bilik RM50 untuk maksiat - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tuesday, September 13, 2011

Dara, janda asuh siang malam

ALOR GAJAH: Siang mengasuh anak, sebelah malam mengulit buah hati masing-masing menjadi rutin harian dua wanita penjaga taman asuhan kanak-kanak (Taska) di sebuah taman perumahan di Kuala Sungai Baru, sebelum dicekup berkhalwat, awal pagi semalam. Difahamkan kedua-dua wanita terbabit, seorang masih bujang manakala seorang lagi janda, berasal dari sebuah negeri di pantai timur manakala pasangan mereka, lelaki bujang dan suami orang berasal dari kampung berlainan di Durian Tunggal. Ketua Kampung Lubok Redan, merangkap Sidang Adat, Md Said Ali berkata, serbuan jam 1.30 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan penduduk. Beliau berkata, tujuh penduduk taman serta seorang imam dan dua anggota polis mengepung rumah taska dan dihuni dua wanita itu bersama pasangan mereka, semuanya berusia 24 tahun. “Setiba di lokasi, didapati pintu rumah serta jeriji berkunci dan kami memberi salam, namun tidak berjawab.

Rayu benar pakai seluar dalam

 WANITA dan pasangannya (kiri) disoal siasat sebaik diserbu ketika berdua-duaan di bilik rumah kongsi di Grik.
WANITA dan pasangannya (kiri) disoal siasat sebaik
 diserbu ketika berdua-duaan di bilik rumah kongsi di Grik.

Wanita kena cekup di rumah kongsi akui hidup seperti suami isteri

GRIK: Seorang wanita merayu kepada pegawai pencegah maksiat untuk masuk semula ke dalam bilik tidur teman lelakinya bagi membolehkan dia memakai semula seluar dalam yang tidak sempat dipakainya sejurus selepas dia ditahan, pagi kelmarin.
Permintaan itu dipenuhi oleh pegawai berkenaan apabila mendapati wanita itu berada dalam keadaan mengghairahkan kerana memakai seluar ketat nipis, selain baju yang dipakainya kelihatan dalam keadaan tidak sempurna.
Wanita yang hanya tinggal dengan ibunya di kampung itu mengaku hidup seperti suami isteri sejak mereka menjadi pasangan kekasih lima tahun lalu. - Mohd Jonid Abdul Syukor, Penolong Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Grik
Wanita berusia 21 tahun dan pasangan kekasihnya 26 tahun berasal dari kampung berlainan di pinggir pekan ini diserbu penguat kuasa pada jam 10 pagi kelmarin dipercayai ketika sedang memadu asmara dalam sebuah bilik di rumah kongsi itu.

Wanita berkenaan pada mulanya mengeluarkan suara tinggi ketika ditahan tetapi selepas itu menangis sambil menceritakan kisah hidupnya dan keluarga pasangan berkenaan.

Penolong Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Grik, Mohd Jonid Abdul Syukor berkata, enam pegawainya dibantu dua anggota RELA menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat orang awam mengenai perlakuan pasangan itu.

“Selepas kira-kira 10 minit kami mengetuk pintu bilik yang berkunci dari dalam itu, ia dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek sebelum mendapati seorang wanita sedang duduk di atas tilam nipis.
“Keadaan atas tilam berselerak dengan kain selimut dan sehelai kain sarung di dalam bilik sempit hanya kira-kira tiga meter persegi itu,” katanya ketika ditemui di tempat serbuan, kelmarin.

Katanya, ketika diajukan soalan mengenai status mereka bukan pasangan suami isteri, wanita berkenaan mula meninggikan suara sambil menceritakan masalah keluarga pasangannya yang enggan menerima dia sebagai menantu.

Wanita berkenaan mengaku pergi ke rumah kongsi tempat tinggal kekasihnya yang bekerja di kilang papan di situ dengan menunggang motosikal sehari sebelum itu dan bermalam bersama kekasihnya.

“Malah, dia juga mengaku dalam seminggu dia pergi beberapa kali ke rumah itu sejauh kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bagi melepaskan rindu selain memberi alasan untuk membawa makanan.

“Ketika disoal, wanita yang hanya tinggal dengan ibunya di kampung itu mengaku hidup seperti suami isteri sejak mereka menjadi pasangan kekasih lima tahun lalu.

“Malah, apabila ditanya berapa kali sudah terlanjur melakukan hubungan seks, wanita itu tanpa segan silu mengaku tidak terkira banyaknya dengan alasan dia terlalu sayang kepada pasangannya,” katanya.

Ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Grik, Mohd Jonid berkata pemeriksaan pada telefon bimbit milik lelaki berkenaan didapati mengandungi beberapa adegan rakaman hubungan seks dengan berlatarkan bunyi unggas pada waktu malam dipercayai hasil rakaman peribadi mereka.

“Telefon itu kemudian dirampas untuk dijadikan bahan bukti dan mereka ditahan satu malam di lokap polis sebelum menghubungi keluarga untuk dijamin.

“Pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 54 Enakman Jenayah Syariah Perak dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara, jika sabit kesalahan,” katanya. 

Monday, August 29, 2011

Hantar SMS talak diri sendiri

MALU...pasangan yang dicekup, kelmarin.
MALU...pasangan yang dicekup, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 41 tahun nekad ‘menceraikan dirinya sendiri’ selepas rahsia hubungan sulitnya dengan lelaki lain sejak tiga tahun lalu dikesan suaminya.
Perbuatan itu dilakukan apabila dia mengambil telefon bimbit suaminya dan menghantar SMS ke telefon bimbitnya dengan menjatuhkan talak tiga terhadapnya demi memastikan dia dapat meneruskan hubungan sulit dengan kekasihnya.
Bagaimanapun, perbuatan curang wanita itu sejak hampir dua tahun lalu terbongkar apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika bersekedudukan bersama kekasihnya di sebuah rumah di Setapak, di sini, kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.

Suami mangsa, ahli perniagaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berusia 48 tahun yang mahu dikenali sebagai Jason, berkata dia dan isterinya mendirikan rumah tangga sejak 1996 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua perempuan serta seorang lelaki berusia 10 hingga 16 tahun.


Jason yang sering pulang ke negara asal untuk menguruskan perniagaannya berkata, dia mula mengesyaki kecurangan isterinya itu selepas terserempak wanita terbabit bersama lelaki lain turun dari sebuah hotel di Ampang pada hujung 2009.bharian

Saturday, August 27, 2011

‘Habuan’ selamat dua adik maksiat

JOHOR BAHRU: Demi menyelamatkan dua adik perempuannya daripada terus bergelumang dosa, seorang kakak menempuh pengalaman pahit apabila putus jari kelengkeng akibat ditetak teman lelaki seorang adiknya.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Hidayah itu berkata, selain putus jari kelengkeng, jari manisnya cedera dan kecacatan itu menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.
“Lebih memilukan majlis perkahwinan saya yang sepatutnya diadakan akhir Jun lalu turut dibatalkan. Itu ‘habuan’ yang saya terima dalam usaha menyelamatkan dua adik daripada kancah maksiat,” katanya.

Menurutnya, insiden itu berlaku pada 24 Mei lalu di rumah sewa kedua-dua adik perempuannya, dikenali sebagai Aishah, 20 dan Ain, 16, di sebuah taman perumahan di sini dan mereka bersekedudukan dengan teman lelaki masing-masing.


“Kakak mana boleh bersabar dengan sikap mereka yang bukan saja tinggal bersekedudukan dengan lelaki bukan Islam itu sejak April lalu, malah teman lelaki seorang daripada adik saya juga terbabit penagihan dadah,” katanya.hmetro

Friday, August 26, 2011

Dicekup ketika lepas rindu



GEORGETOWN - ‘Dia baru balik dari Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), kami dah lama tak jumpa, mungkin kami berpeluk sebab rindu ustaz’, demikian pengakuan dua remaja yang dicekup Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp).

Ketika ditahan pada jam 3.20 pagi itu, kedua-duanya duduk di tepi pantai yang agak gelap dan jauh daripada pandangan orang awam.

Namun lokasi mereka berjaya dijejaki penguat kuasa Jaipp apabila dalam keadaan gelap kelihatan sebuah motosikal dan dua helmet, tetapi yang menjadi tanda tanya apabila penguat kuasa tidak dapat melihat sesiapapun di lokasi berkenaan.

Kemudiannya, kelihatan pasangan kekasih yang duduk berdua-duaan dengan keadaan duduk dan si lelaki memeluk pasangan wanitanya dari arah belakang.

Si gadis yang baru sahaja berusia 18 tahun mengakui sudah mengenal teman lelakinya itu sejak tujuh tahun yang lalu, dan mengambil kesempatan pada malam berkenaan kerana sudah lama tidak bertemu selepas menjalani latihan PLKN.

Dia yang juga anak yatim piatu itu mengakui lelaki berkenaan hanya memegang pinggangnya dari arah belakang dan meluahkan rasa rindu.

“Kami sudah lama tidak berjumpa, sebab itu sahaja kami duduk di sini,” katanya ketika ditanya penguat kuasa.

Si lelaki kemudiannya ditanya sama ada tidak bimbang sekiranya dirompak atau disamun kerana duduk di dalam gelap, namun dia hanya terdiam membisu sahaja.

Setelah beberapa lama ditanya, remaja lelaki berkenaan juga diminta supaya membacakan dengan jelas niat berpuasa, namun mungkin kerana masih terkejut akibat dicekup, dia tergagap-gagap membacakan niat puasa berkenaan.

“Kamu berkawan dengan dia terlalu lama sampai tujuh tahun, kenapa kamu tidak berkahwin dengan dia sahaja kalau kamu beri dia pegang badan kamu,” tanya seorang penguat kuasa.

“Saya tidak bagi dia pegang semua,” jawab gadis tersebut.

“Tetapi mula-mula pegang pinggang, nanti kalau kamu seronok kamu bagi pegang tempat lain pula,” tambah penguat kuasa lagi.

“Tidak, saya tak akan bagi dia pegang,” jawab si gadis kembali.

Hadir sama dalam Ops Santai 3 itu juga ialah Ketua Unit Operasi dan Penguat kuasa Jaipp, Khairul Azman Azizan dan hampir 14 anggota.

Kemudiannya, kedua-dua pasangan berkenaan diberikan notis mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan melakukan perbuatan kurang sopan di tempat awam, jika disabitkan atas kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan.

Thursday, August 25, 2011

Raja Azmi dakwa dirinya difitnah tiga individu



KUALA LUMPUR - Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendakwa dirinya difitnah oleh tiga individu yang dikenalinya berhubung kes khalwat membabitkan dirinya dengan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim.
Tegas Raja Azmi, 51, dia mempunyai bukti yang lengkap untuk menyabitkan ketiga-tiga individu terbabit dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka bagi membersihkan nama dan maruahnya yang telah tercemar ekoran tuduhan khalwat berkenaan.
"Saya akan mengheret semua individu yang terlibat yang menganiaya saya dan suami (Jailani Sidek) ke muka pengadilan bagi membersihkan maruah saya yang telah difitnah," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Concorde di sini semalam.-kosmo

Tuesday, August 23, 2011

Kes Raja Azmi, Roslin selesai



KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung kes khalwat yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membabitkan penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman dan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim telah diserahkan kepada mereka semalam.
Satu sumber Jawi berkata, keputusan tersebut diserahkan oleh pegawai dari bahagian siasatan Jawi kepada Raja Azmi dan Roslin ketika mereka datang ke pejabat itu semalam.
Raja Azmi, 51, dan Roslin, 39, hadir bersama menaiki sebuah kereta ke pejabat Jawi pada pukul 10 pagi sebelum mereka beredar 15 minit kemudian.
Raja Azmi dan Roslin sebelum ini dilaporkan disiasat berhubung kesalahan berkhalwat tanpa tangkapan mengikut Seksyen 58 subseksyen 1 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).
Pada 7 Ogos 2010, bekas isteri kedua Roslin, Norhayati Othman, 39, bersama ahli keluarganya menyerbu bilik bernombor 533 Hotel Corus di Jalan Ampang di sini dan mendakwa menemui pemain badminton itu dan Raja Azmi berdua-duaan dalam bilik itu.
Berikutan itu, Roslin menceraikan Norhayati selepas mendakwa isterinya itu tidak mempercayai dirinya.
-kosmo

Monday, August 22, 2011

Pasangan ‘bersahur’ kena cekup

Kakitangan Pejabat Agama Daerah serbu hotel murah di Kuah
ALOR SETAR: Empat remaja, termasuk dua daripadanya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa bermalam di lokap selepas dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik hotel murah di Kuah, Langkawi, awal pagi kelmarin. 

Tindakan berani dua remaja lelaki berusia 15 tahun itu membawa pasangan mereka yang setahun lebih tua menyewa di hotel itu dengan alasan hanya untuk bersahur sebenarnya membongkar kegiatan maksiat mereka.

Dua remaja lelaki itu adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Kuah, Langkawi, manakala pasangan mereka pula tidak bersekolah.
Pegawai Penyiasat Pejabat Agama Daerah Langkawi, Muhammad Hidayat Halim, berkata dalam serbuan jam 3.45 pagi kelmarin, sepasukan anggotanya membuat pemeriksaan di hotel itu selepas mendapat maklumat awam. 

Katanya, pasangan remaja itu agak berani kerana sanggup menyewa hotel yang hanya bersebelahan dengan pejabat agama daerah. 

Beliau berkata, ketika anggota penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam berulang kali seorang remaja perempuan yang hanya memakai tuala dalam keadaan panik dan takut membuka pintu. 

"Pemeriksaan menemui pasangannya yang hanya berseluar pendek dan pemeriksaan lanjut menemui seluar dalam mereka di tepi katil. Kedua-dua remaja itu mengaku baru selesai melakukan hubungan seks," katanya. 
Muhammad Hidayat berkata, hasil pemeriksaan turut menemui sepasang lagi kekasih berpakaian lengkap dan dipercayai baru bangun tidur terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa berada di bilik berkenaan. 

Ketika disoal siasat kedua-dua remaja perempuan itu mengaku bekerja di sebuah kafe di Langkawi dan baru berkenalan dengan pelajar lelaki terbabit. 

"Mereka yang berasal dari Langkawi, mengaku menyewa hotel semata-mata untuk melakukan hubungan seks," katanya. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. bharian

Friday, August 12, 2011

Bapa subahat

JITRA: Tindakan duda membawa teman wanitanya pulang ke rumah hampir setiap malam akhirnya membawa padah apabila dia dan pasangannya dicekup berkhalwat di rumah di Kampung Darat, Changlun, di sini, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 28 tahun yang mempunyai dua anak itu dikatakan menjadikan rumah bapanya sebagai tempat memuaskan nafsu bersama pasangannya berusia 18 tahun berasal dari Kampung Alor Janggus, Napoh, di sini.

Ketika kejadian, bapanya berusia 70 tahun yang tidur dalam bilik berasingan di rumah itu terkejut apabila pintu rumah mereka diketuk sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu (PADKP) jam 1.15 pagi.

Difahamkan, kegiatan maksiat lelaki itu pernah ditegur penduduk kampung kerana tidak mahu bersubahat tetapi disebabkan takut dengan ugutan si anak, si bapa mendiamkan diri dan membenarkan anaknya bergelumang dengan dosa terutama pada Ramadan ini.

Mereka memberi alasan terpaksa tinggal bersama di rumah itu kerana hubungan cinta tidak direstui keluarga perempuan walaupun mereka berhasrat berkahwin.

Sumber berkata, berdasarkan aduan, pihaknya memeriksa rumah terbabit dan ternampak kelibat lelaki itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang, tetapi gagal apabila dikepung anggota penguat kuasa.


Katanya, lelaki yang berkemeja-T dan memakai boxer itu gagal meloloskan diri apabila dia terperangkap lalu terpaksa menyerah diri.

“Hasil pemeriksaan menemui wanita memakai kain pelikat dan berkemeja-T keluar dari bilik dipercayai bilik pasangannya itu.
“Selepas disoal siasat, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai ikatan suami isteri,” katanya.

Selain pasangan itu, bapa lelaki terbabit turut ditahan untuk diambil keterangan kerana bersubahat dan membenarkan anaknya melakukan maksiat.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untukt laporan tangkapan.
-hmetro

Saturday, July 30, 2011

Hadiah kahwin paling bermakna


 NORMAN dan Memey  di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.
NORMAN dan Memey di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.

Norman, Memey bebas tuduhan khalwat selepas penantian hampir tiga tahun 

KUALA LUMPUR: "Ini hadiah perkahwinan paling bermakna bagi kami," kata pelakon Memey atau nama sebenarnya Suhaizah Suhaimi selepas beliau dan bakal suami, Norman Hakim dibebaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini semalam daripada tuduhan berkhalwat, tiga tahun lalu.
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon pula menangis dan melahirkan kesyukuran sebaik Hakim Syarie, Salehan Yatim membacakan keputusan itu atas hujah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Salehan antara lain berkata, pendakwa gagal membuktikan dua daripada elemen khalwat, iaitu sama ada pasangan itu berada bersama-sama ketika tangkapan dibuat kerana keterangan saksi menunjukkan Norman berada di sebuah bilik di tingkat atas premis manakala Memey berada di kaunter pertanyaan dengan berpakaian lengkap.

Beliau berkata, wujud percanggahan dalam keterangan enam saksi pendakwaan kerana hanya saksi keenam iaitu pengadu kes yang memberitahu mahkamah beliau melihat pasangan itu bersama-sama dalam premis dan Norman lari dengan memanjat bahagian ruang atas bangunan itu.

Norman dan Memey diwakili Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, dihadapkan di mahkamah berkenaan pada 21 Januari 2009, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4/1A Jalan UP1, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini antara jam 1.45 pagi hingga 3 pagi, 30 Oktober 2008. Pasangan itu yang mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu.

Ketika ditemui pemberita, Memey yang berbaju kurung kapas dan bertudung ungu, menyifatkan dirinya seolah-olah baru bebas dari penjara selepas penantian hampir tiga tahun, manakala Norman pula bersyukur kerana dugaan itu berakhir dan berharap perkahwinan mereka dua bulan lagi akan berkekalan.
Bekas isteri Norman, Abby Abadi ketika dihubungi Berita Harian, berkata berita itu tidak memberikan kesan kerana peristiwa berkenaan sudah tiga tahun berlalu dan beliau juga sudah memaafkan perbuatan bekas suaminya itu.
http://www.bharian.com.my