15 Ogos 2015 1:24 AM
Syarikat Penerbangan Emirates akan memulakan penerbangan Dubai ke Panama City pada bulan Februari tahun depan. AGENSI
DUBAI 14 Ogos – Syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates akan melancarkan penerbangan paling jauh dan paling lama di dunia dengan melibatkan masa selama 17 jam dan 35 minit.
Menurut portal Daily Mirror, penerbangan dua hala itu dijadualkan bermula seawal Februari tahun depan, berlepas dari Dubai ke Panama City menggunakan sejumlah pesawat jenis Boeing 777-200LR.
Jelas laporan itu, kos tiket bagi penerbangan tersebut kira-kira 1,300 pound (RM7,977) melibatkan jarak perjalanan 13,830 kilometer, sekali gus mengetepikan perjalanan paling jauh setakat ini oleh syarikat penerbangan Australia, Qantas dari Sydney ke Dallas, Amerika Syarikat (AS) dengan dipisahkan jarak 16 kilometer.
Pemilik Emirates, Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum berkata, Panama City akan menjadi laluan pertama syarikatnya ke tengah benua Amerika dan dijangka dikembangkan lagi ke destinasi lain.
“Penumpang akan mempunyai pilihan untuk mengembara ke benua Amerika, Caribbean, dan utara bahagian Amerika Selatan dengan menggunakan perkhidmatan penerbangan Emirates di Dubai,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Republik Panama, Isabel Saint Malo de Alvarado berkata, usaha Emirates mengembangkan rangkaian penerbangan ke benua Amerika menunjukkan kejayaan diplomatik untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negaranya.
“Panama akan menjadi laluan baharu yang menghubungkan rantau Asia Barat secara terus, sekali gus memberi keuntungan yang besar kepada negara ini dan Amerika Latin,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/emirates-lancar-penerbangan-paling-jauh-di-dunia-1.124515#sthash.Wh5cyqzJ.dpuf