Pages

Thursday, March 25, 2010

Daimler bayar denda RM613j selesai kes rasuah



GAMBAR fail menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif Daimler AG, Dieter Zetsche berdiri dekat kereta Mercedes F 800 pada Pertunjukan Kereta Geneva, Switzerland pada 2 Mac lalu.


WASHINGTON - Syarikat pengeluar kereta Daimler AG akan membayar denda AS$185 juta (RM613.27 juta) bagi menyelesaikan siasatan jenayah dan sivil selepas dituduh membayar berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah kepada pegawai-pegawai di 22 buah negara, kata dua sumber kelmarin.
Fail di sebuah mahkamah persekutuan di Washington, Amerika Syarikat (AS) menyatakan syarikat beribu pejabat di Jerman itu dan tiga daripada anak syarikatnya terlibat dengan silap laku dari 1998 hingga 2008 di negara-negara termasuk China, Rusia, Mesir dan Greece.
Bayaran itu didakwa dilakukan untuk membantu mendapatkan kontrak dengan pelanggan kerajaan bagi membeli kenderaan Daimler yang bernilai berjuta-juta dolar.
Syarikat itu akan mengelak daripada dikenakan pendakwaan apabila dua daripada anak syarikatnya mengaku bersalah di mahkamah persekutuan pada 1 April ini.
Menurut sumber itu, penyelesaian itu melibatkan pembayaran denda AS$93.6 juta (RM310.28 juta) kepada Jabatan Kehakiman dan AS$91.4 juta (RM303.17 juta) kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Saham.
Di New York, jurucakap Daimler, Han Tjan berkata, syarikat itu tidak akan memberi sebarang kenyataan mengenai kes itu sehingga pendengaran di mahkamah pada 1 April depan.
Menurut dokumen mahkamah, Daimler menyediakan peruntukan AS$300,000 (RM995,100) hadiah hari jadi kepada seorang pegawai di Turkmenistan sebuah kereta penumpang Mercedes Benz kelas S.
Syarikat itu didakwa membayar wang sogokan kepada pegawai-pegawai sebuah kementerian Iraq untuk mendapatkan bisnes.
Dokumen itu menyatakan, hadiah hari jadi diberikan kepada anak-anak seorang pegawai kanan di Indonesia daripada sebuah syarikat tempatan bersekutu dengan Daimler.
Antara negara-negara yang terlibat dengan bayaran tidak sah itu ialah di Hungary, Ivory Coast, Latvia, Nigeria, Rusia, Serbia, Montenegro, Thailand, Turki, Uzbekistan dan Vietnam. - AP

No comments: