Pages

Thursday, March 25, 2010

Rentetan Pembunuhan Birch


Sepanjang perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld), yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Bandar Taiping, Perak kelihatan banyak pokok besar di sepanjang jalan terutama di kawasan Matang yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.

Di antara puluhan pokok besar itu, ada dua batang pokok besar, setinggi kira-kira 20 meter dan mungkin usianya mencecah hampir ratusan tahun yang terletak di arah bertentangan dengan pokok yang dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris.

Dua pokok mempelam pauh itu terletak di satu selekoh. Kedudukannya agak terpinggir, kawasannya tidak dijaga, dipenuhi lalang manakala sebuah rumah lama di tepinya kelihatan usang dan terbiar. Jika diteliti, kedudukannya di sebelah kanan dari arah Taiping betul-betul berdepan dengan Kompleks Sejarah Matang.

Di situlah sebenarnya British menggantung sehingga mati tiga pejuang dan pemimpin Melayu yang disabitkan kesalahan bersubahat dan membunuh Residen Perak yang pertama, James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch di Pasir Salak.

Dato Seri Maharaja Lela, Dato Sagor dan Pandak Indut menghembuskan nafas terakhir di tali gantung yang diikat pada pokok induk mempelam pauh berkenaan. Ketika berlakunya pembunuhan Birch, Pandak Indut adalah orang pertama yang merejam lembing kepada residen British itu disusuli libasan lembing oleh Si Puntung.

Pandak Indut atau nama sebenarnya Ngah Kamdin dan menantunya, Dato Maharaja Lela disabitkan kesalahan bersubahat dalam serangan itu.
Pembunuhan pada 2 November 1875 itu banyak dicatatkan buku sejarah, jurnal, perbincangan tetapi yang pasti ia adalah kemuncak sejarah perjuangan Melayu menentang penjajah di Pasir Salak.

Ia adalah sejarah agung yang dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air.
Kini selepas 133 tahun serangan itu berlaku, yang tinggal cuma dua batang pokok generasi baru hasil benih pokok induk, tetapi berdasarkan keadaannya sekarang, boleh dibayangkan betapa besarnya pokok berkenaan pada ketika itu.

Namun, agak menyedihkan kerana kawasan itu langsung tidak mempunyai papan tanda penerangan mengenai peristiwa bersejarah pernah berlaku di situ. Apa yang boleh dilihat dan dilawati cuma Kompleks Sejarah Matang, bekas Kota Ngah Ibrahim serta rumah Kapten Speedy.

No comments: