Pages

Thursday, March 25, 2010

Apa misteri Pulau Seribu Meriam?


BUKIT Cenning, Pulau Daik Lingga, Indonesia adalah sebahagian daripada benteng pertahanan utama menentang Belanda dan Sultan Abdul Rahman (Raja terakhir Johor Riau Lingga) sebelum melarikan diri ke Singapura. Benteng 32x30m di Kg.Seranggung dibangunkan ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812).

“Kamu tengoklah sendiri dan kira berapa jumlahnya. Nanti bila sudah keluar kita bincang berapa yang kamu nampak. Kalau kamu ada rezeki lebih, kamu dapat lebih,” kata Sulaiman Atan (Pak Long), penjaga muzium Pulau Daik Lingga bila ditanya berapakah jumlah meriam di situ.

Pak Long meminta kami membaca Surah al-Fatihah serta selawat kepada Rasulullah SAW sebanyak tiga kali untuk disedekahkan kepada pejuang Islam yang terkorban dalam peperangan ketika mempertahankan tanah air menentang penjajah. Selepas itu, penulis mula mengira jumlah meriam. Pak Long dan pembantunya memerhatikan dari jauh.
Dari kanan ke kiri, jumlah 19, dari kiri ke kanan, jumlah masih 19. Dari tengah menghadap bahagian depan muncung, jumlah 19 meriam lama. Jurufoto pula mencatat sesuatu di tapak tangan kirinya sambil merakam gambar. Sepanjang tempoh itu tiada sesiapa menyebut berapa jumlahnya. Banyak meriam di situ dirosakkan penjajah Belanda dengan menutup lubang pencucuh api menggunakan paku.

Meriam paling panjang berukuran 280 cm, bergaris pusat 12 cm digelar Meriam Tupai Beradu kerana ada dua ukiran tupai besi di atasnya. Meriam utama diapit dengan meriam Mahkota Raja dan satu meriam putih yang terukir jelas catatan tarikh 1797 (24-3-21).
Semua meriam itu disusun atur pada kedudukan seperti huruf ‘U’. Muncungnya dihalakan ke laut. Kedudukannya di atas puncak bukit memang strategik untuk menyerang kapal yang menghampiri pulau.
Sebaik saja melangkah keluar dari kawasan kubu, Pak Long bertanya jumlah meriam yang kami hitung. Penulis katakan, semuanya 19 dengan dua disusun menegak di kiri dan kanan manakala 15 lagi secara melintang. Jurufoto pula menunjukkan tapak tangannya, tertera nombor 24, 23, 18, 19, 18, 18, 19. “Cukuplah, dah banyak kali aku kira. Semuanya berbeza, dikira secara mata kasar lain, bila dikira dalam kamera, jumlahnya berubah-ubah,” katanya.

Hakikatnya foto di dalam kamera digital boleh dibesarkan dan berada dalam keadaan tetap tetapi jumlahnya sentiasa berubah setiap kali dikira.
Jawapan itu membuatkan Pak Long tersenyum kerana katanya itu bukan pertama kali beliau mendengar penjelasan pengunjung mengenai jumlah meriam yang dikira sering berubah. “Itu rezeki kamu, kamu dapatlah lebih. Sebab itulah pulau ini digelar pulau seribu meriam,” katanya mengatur langkah menuruni bukit membuatkan kami terpinga-pinga.

No comments: