Pages

Thursday, January 28, 2010

Robot Spirit akhiri misi di Planet Marikh

LOS ANGELES 27 Jan. - Robot penjelajah Rover Spirit di planet Marikh mencatatkan jarak perjalanan hampir lapan kilometer dalam tempoh enam tahun menjelajah planet merah itu.

Ia telah bergerak ke depan, ke belakang dan mendaki ke atas dataran berbukit dan kawasan gunung setinggi Statue of Liberty.

Namun, kini tidak lagi.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) semalam, mengisytiharkan tamatnya karier penjelajahan Rover Spirit selepas usaha-usaha untuk mengeluarkannya daripada lubang pasir menemui kegagalan sejak ia terperangkap sembilan bulan lalu.

Dengan kedatangan musim sejuk di Marikh, tumpuan diberi kepada usaha memperbaiki kedudukan Rover Spirit yang senget supaya panel solarnya mampu menerima cahaya matahari yang maksimum.

"Meskipun pelbagai usaha dilakukan, namun kami masih gagal mengeluarkan Rover Spirit daripada lubang pasir itu," kata Doug McCuistion, yang mengetuai misi penjelajahan Marikh di ibu pejabat NASA.

Di sebalik itu NASA berkata, Rover Spirit masih boleh menjalankan kajian walaupun tersekat di situ.

Rover Spirit dan kembarnya, Opportunity telah diterbangkan ke kawasan bertentangan di hujung khatulistiwa planet Marikh pada tahun 2004.

Dengan mengorek ke dalam kawah, menggerudi ke dalam batu dan bergerak di atas permukaan berlekuk, mereka berjaya menemui bukti-bukti geologi bahawa air telah mengalir di permukaan Marikh suatu masa dahulu.

Direka untuk bertahan selama tiga bulan, kedua-duanya telah mengejutkan para saintis dan orang ramai dengan bekerja melebihi tahap yang dijangkakan. - AP

No comments: