Pages

Thursday, January 28, 2010

Rajapakse menang pilihan raya, kekal Presiden Sri Lanka

Mahinda Rajapakse meraikan kemenangannya dengan para penyokong di kediamannya di Colombo, semalam. – AFP

COLOMBO, Sri Lanka 27 Jan. – Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse berjaya mengekalkan jawatan beliau hari ini dalam satu pilihan raya sengit, mengalahkan bekas ketua tenteranya yang menolak keputusan rasmi dan menyatakan kebimbangan ditangkap ketika pasukan tentera mengepung sebuah hotel tempat beliau menginap.

Ibu negara berada dalam keadaan tegang, walaupun rakyat dilihat membanjiri jalan-jalan raya untuk meraikan kemenangan Rajapakse dengan memasang mercun dan mengibarkan bendera Sri Lanka dan poster beliau.

Suruhanjaya pilihan raya mengumumkan Rajapakse sebagai pemenang dengan 57.8 peratus undi berbanding 40 peratus bagi Sarath Fonseka.

Fonseka enggan menerima kekalahan dengan menuduh Rajapakse menggunakan media negara untuk menyerang beliau, menyalahgunakan wang rakyat untuk kempen dan menghalang minoriti Tamil daripada mengundinya.

Dalam suratnya kepada suruhanjaya pilihan raya, Fonseka menyatakan akan memfailkan prosiding undang-undang untuk membatalkan keputusan tersebut.

Pasukan tentera mula mengepung Hotel Cinnamon Lake selepas pihak tentera mendapat maklumat bahawa pembelot tentera merupakan antara 400 orang di dalam pasukan itu.

Pihak pembangkang mengkritik apa yang mereka panggil ugutan tentera yang ‘tidak diduga itu’ terhadap calon mereka, malah jurucakap Fonseka, Mano Ganeshan berkata, mereka juga akan memohon perlindungan daripada negara luar.

“Saya akan menemui seorang diplomat dari negara jiran bagi mencari perlindungan keselamatan untuk Fonseka,” kata Ganeshan dalam satu kenyataan kepada India.

Kerajaan Rajapakse sebelum ini pernah menuduh Fonseka mengupah sebuah militia persendirian yang terdiri daripada kalangan pembelot tentera, namun tuduhan itu disangkal oleh pihak pembangkang.

Suasana tegang dalam kempen, perasan marah antara dua calon utama itu dan tindakan saling berbalas tuduhan berhubung perancangan yang tidak cemerlang telah mencetuskan kebimbangan bahawa sebarang keputusan boleh membangkitkan pergolakan baru.

Pada Mei tahun lalu, Rajapakse dan Fonseka telah berganding bahu menghapuskan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), yang berjuang untuk tanah air Tamil sejak 1972. – AFP

No comments: