Pages

Thursday, January 28, 2010

NGO gesa ketepikan sentimen politik

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menggesa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan kepentingan politik dalam mengutarakan pandangan berhubung isu kalimah Allah.

Rata-ratanya berpendapat kenyataan Anwar yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam telah mengelirukan umat Islam di negara ini dan ia mesti dihentikan serta-merta.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, sokongan Anwar terhadap penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam adalah bertentangan dengan nilai-nilai yang diamalkan di negara ini.

"Sudah tentu kita tidak bersetuju dengan beliau (Anwar), larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam telah ditegaskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kita minta semua ahli politik termasuk Anwar memperhalusi setiap kenyataan mereka dalam isu ini dan jangan kira kepentingan politik semata-mata,'' katanya di sini hari ini yang mahu Anwar menghentikan kenyataan mengelirukan itu.

Beliau mengulas tulisan terbaru pemimpin pembangkang itu melalui ruangan pendapat di The Wall Street Journal bertajuk Orang Islam Tiada Monopoli dalam Penggunaan Kalimah Allah.

Dalam artikel itu Anwar menegaskan, kalimah Allah bukan eksklusif untuk masyarakat Islam dan hanya segelintir umat Islam di seluruh dunia menyokong dakwaan bahawa mereka berhak memonopoli penggunaan kalimah itu.

Sementara itu, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, Anwar sepatutnya lebih berhati-hati dalam membicarakan perkara itu kerana kepentingan persekitaran perlu diambil kira.

Walaupun hukum penggunaan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan Islam terutama di negara Arab adalah harus, tegasnya, faktor itu amat bertentangan dengan nilai-nilai tempatan.

"Lagi satu saya ingin bertanya mana-mana pemimpin politik berbangsa Melayu, adakah 'god' itu terjemahannya Allah dalam bahasa Malaysia?'' ujarnya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, Penasihat PKR itu pernah mengutarakan perkara sama sewaktu berceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil Batang Air di Sarawak pada April lalu.

"Sewaktu kempen itu, beliau berucap di hadapan para pengundi Iban yang beragama Kristian jadi boleh dikatakan Anwarlah yang memulakan kontroversi penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

"Jadi kalau Anwar yang cakap perkara sama lagi sekali, ia tidak menghairankan saya kerana beliau sekarang ini mengamalkan strategi politik 'semua boleh', janji dapat sokongan,'' katanya.

No comments: