Pages

Thursday, January 28, 2010

Lantik hanya yang layak - Dr. Mahathir

SHAH ALAM 27 Jan. - Penasihat Petronas Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, pengganti Tan Sri Mohd Hassan Marican perlulah seseorang yang mengetahui selok belok perniagaan, berpengalaman luas serta berpengetahuan tinggi.

Selain itu, penggantinya juga perlu mampu menjalin dan mewujudkan kerjasama dengan ketua-ketua negara di mana Petronas beroperasi, kata Dr. Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengganti Mohd. Hassan, Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif yang akan tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada bulan depan, selepas melawat i-City di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan bekas Pengarah Urusan MISC Bhd. (MISC), Datuk Shamsul Azhar Abbas dipercayai bakal dilantik menggantikan tempat Mohd Hassan. MISC merupakan syarikat perkapalan terkemuka yang dimiliki Petronas.

Shamsul Azhar merupakan antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Mohd Hassan selain lepas Pengerusi Petronas Dagangan Bhd., Datuk Anuar Ahmad dan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd., Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan telah menemui tiga-tiga mereka dan dijangka bakal membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Difahamkan Shamsul Azhar, Pengerusi AET Bhd., anak syarikat MISC, merupakan calon paling layak berdasarkan pengalaman luas dalam Petronas termasuk pernah dilantik menjadi Naib Presiden Urus Niaga Minyak dan Naib Presiden Urus Niaga Petrokimia.

Shamsul mula berkhidmat dengan Petronas pada 1975 dengan menjawat jawatan kanan di Bahagian Pemasaran Antarabangsa dan Unit Perancangan Korporat dan Pembangunan Urus Niaga.

Dr. Mahathir percaya sesiapa pun yang bakal dipilih nanti mampu membawa Petronas ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, pihaknya tidak tahu menahu tentang perancangan kerajaan terhadap Petronas tetapi dimaklumkan bahawa tiga orang yang menemui Perdana Menteri merupakan mereka yang pernah bekerja dan tahu tentang cara perniagaan Petronas.

Dr. Mahathir menambah: ''Sesiapa pun yang bakal menggantikan Mohd. Hassan perlu tahu hala tuju dan matlamat Petronas di dalam perniagaannya dan pelantikan orang luar dari organisasi itu dilihat menyulitkan lagi objektif syarikat minyak tempatan itu

''Orang luar jika dilantik akan mengambil masa untuk memahami Petronas serta berdepan kesukaran untuk menjalinkan hubungan dengan ketua-ketua negara di mana Petronas beroperasi di luar negara,'' kata beliau.

Sebagai contoh, kata bekas Perdana Menteri, untuk berurusan di Chad yang merupakan antara negara Petronas turut mempunyai operasi, bukan boleh sembarangan orang berurusan dengan pihak kerajaan di sana.

"Ia memerlukan pengalaman dan kebijaksanaan kerana hanya sekadar mahu membuat temujanji (di Chad) pun mengambil masa yang lama itu, belum lagi proses-proses lain," kata jelas beliau.

Dr. Mahathir menyifatkan kerajaan bertindak bijak apabila mahu mengambil kalangan Petronas untuk memegang jawatan itu kerana ia mengelakkan wujudnya ruang yang tidak harmoni dalam pentadbiran syarikat minyak itu.

Ketika ditanya tentang jawatan Pengerusi Petronas yang bakal turut dikosongkan oleh Mohd Hassan, Dr. Mahathir berkata: ''Patut ada pengganti kerana kita mahu mewujudkan check and balance. Sekiranya tanggungjawab itu diberikan juga kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, ia akan memberikan banyak masalah.''

Beliau, bagaimanapun, menambah, pihaknya juga tidak tahu menahu siapa yang bakal dilantik meskipun Tan Sri Syed Hamid Albar disebut-sebut bakal dilantik.

No comments: