Pages

Thursday, January 28, 2010

Avatar pecah panggung , pecah rekod





Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my




--------------------------------------------------------------------------------


"I'M king of the world," kata pengarah James Cameron selepas memenangi anugerah Filem Terbaik pada majlis Anugerah Academy pada tahun 1998 untuk filem Titanic. Karya itu bukan sahaja memenangi 11 anugerah Academy tetapi juga memegang rekod sebagai filem terlaris sepanjang masa dengan kutipan AS$1.843 bilion (RM6.266 bilion).

Selepas 12 tahun menakluki dunia, pencapaian Titanic dilihat mustahil untuk diatasi. Namun, itu semua sebelum kemunculan filem arahan terbaru James, Avatar (2009).

Walaupun pada mulanya, Avatar yang memecah rekod filem termahal dunia dengan kos pembikinan AS$237 juta (RM814 juta) dikritik tidak akan menerima sambutan, James membuktikan bahawa dia masih merupakan Raja dalam dunia perfileman.

Setiap hari, pencinta dan pengkritik filem di seluruh dunia teruja menanti jumlah kutipan Avatar kerana masing-masing mahu menjadi orang pertama untuk mengetahui bila filem itu akan merampas tempat Titanic.

Namun, pengarahnya sendiri tidak begitu mempedulikan kutipan box-office.

Sementelah, jika Avatar mengatasi Titanic sekalipun, kedua-dua filem itu merupakan hasil kerja tangan James. "Tidak seperti pembikin filem yang lain, saya tidak akan menunggu di samping telefon berjam-jam untuk menantikan kutipan di pawagam.

"Saya cuma menanti panggilan pada hari Isnin untuk mengetahui jumlah yang diperolehi pada hujung minggu. Saya hanya mahu berada di kedudukan pertama," ujar James.



BUKAN pertama dan terakhir. Dua projek sekuel Avatar dikatakan bakal dilaksanakan.

--------------------------------------------------------------------------------


Sah, terlaris di dunia

Bukan semua pengarah mampu mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana berapa ramai pengarah yang pernah menghasilkan produksi filem yang mencatat kutipan mencecah AS$1bilion (RM3.4 bilion)?

Dalam senarai yang turut dibarisi filem The Lord of the Rings: The Return of the King (2003), Pirates of the Caribbean: Dead Man's Chest (2006) dan The Dark Knight (2008) itu, James berjaya menguasai dua kedudukan tertinggi.

Malah, hanya pada hari ke-19 tayangan di pawagam seluruh dunia, Avatar sudah berjaya mencecah kutipan AS$1 bilion (RM3.4 bilion).

Maka, dengan jumlah itu, hasil kerja pengarah berusia 55 tahun itu mencipta rekod filem terpantas untuk mencapai angka tersebut.

Ditayangkan pertama kali di London pada 10 Disember dan di seluruh dunia antara tarikh 16 hingga 18 Disember, Avatar pada Isnin lalu secara rasmi telah menumpaskan pesaing hebatnya, Titanic untuk menjadi filem terlaris sepanjang zaman dengan kutipan AS$1.858 bilion (RM6.317 bilion) - jumlah setakat 27 Januari.

Pada 6 Januari lalu, Avatar telah mengambil tempat The Lord of the Rings: The Return of the King yang berada di kedudukan kedua sejak tahun 2003 dengan mencatatkan kutipan AS$1.133 bilion (RM3.852 bilion). Berada di kedudukan pertama pawagam untuk enam minggu berturut-turut, Avatar ditayangkan di 14,604 pawagam di seluruh dunia.

Walaupun kutipannya menurun sebanyak 1.8 peratus pada minggu kedua di Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah AS$75.6 juta (RM257 juta), ia berjaya memecah rekod filem The Dark Knight yang mencatat kutipan tertinggi minggu kedua sepanjang masa.

Penurunan juga berlaku pada minggu ketiga sebanyak 9.4 peratus kepada AS$68.5 juta (RM233 juta) untuk pasaran AS. Namun, ia sudah cukup baik untuk mengalahkan filem Spider-Man yang memegang takhta itu sejak tahun 2002 untuk kutipan tertinggi pada minggu ketiga tayangan.



JAMES diapit dua pelakon utama Titanic, Kate Winslet (kiri) dan Leonardo DiCaprio.

--------------------------------------------------------------------------------



Pada minggu keempat, Avatar terus menyinar dengan catatan baru box-office AS. Menjana AS$50.3 juta (RM171 juta), ia telah mengalahkan rekod Titanic yang sebelum ini mengumpul AS$28.7 juta (RM97.5 juta). Maka, melihat kutipan yang diperolehi, tidak hairan jika Avatar menjadi filem pertama yang paling banyak menduduki tangga tertinggi sejak The Sixth Sense (1999).

"Kutipan pembukaan minggu pertama tidak akan menjanjikan kejayaan sesebuah filem. Ia tidak akan memberitahu bagaimana penerimaan orang ramai terhadap filem tersebut. Contohnya seperti filem Titanic.

"Ia hanya menerima AS$28.6 juta (RM97.2 juta) di AS pada Disember 1997. Namun, Titanic berjaya mencatat kutipan sebegitu kerana penonton wanita. Mereka memberi respons kepada cerita cinta beremosi.

"Reaksi kumpulan penonton pertama itu penting kerana mereka akan mempengaruhi kutipan filem itu seterusnya. Bagi saya Avatar merupakan satu eksperimen," kata James.

Format 3D

Eksperimen James barangkali mencatatkan keputusan positif apabila ramai yang menyaksikan produknya itu merupakan mereka penonton kali kedua atau ketiga. Tidak dinafikan kebanyakan keuntungan dijana kerana ramai yang kembali untuk menyaksikan versi 3D filem itu.

Sebanyak 178 pawagam format 3D dibuka di AS dan 58 di negara lain. Menariknya, sebanyak 25 lagi pawagam 3D dibuka di seluruh dunia yang menjadikan 261 pawagam secara keseluruhan. Itu merupakan angka terbesar yang pernah dicapai oleh sesebuah filem. Rekod sebelum itu oleh filem Harry Potter and the Half-Blood Prince dengan 231 pawagam 3D di seluruh dunia.

Pada hari kelima tayangan, Avatar mengutip AS$232 juta (RM788 juta) di seluruh dunia. Ia merupakan angka terbesar bagi sebuah filem yang bukan francais atau sekuel. China juga menjadi lokasi Avatar memecah rekod apabila filem itu mencatat kutipan tertinggi pada tayangan hari dan minggu pertama sepanjang masa.

"Kita sedang menyaksikan catatan sejarah box-office. Semua rekod besar telah diatasi dan banyak lagi rekod baru sedang dicipta. Avatar sedang mendominasi pawagam dan tiada filem yang boleh bersaingan dengannya. Ia dihasilkan untuk memecah semua rekod," kata Penganalisis Box-Office Hollywood.com, Paul Dergarabedian

No comments: