Pages

Wednesday, May 14, 2014

Bangunan hotel condong di Korea Selatan



SEBUAH bangunan hotel yang masih dalam pembinaan (kiri) condong di Asan kelmarin.


ASAN, Korea Selatan - Sebuah bangunan setinggi tujuh tingkat yang kini condong di bandar ini dibimbangi akan runtuh.
Bangunan yang akan dijadikan hotel itu mula runtuh pada pagi Isnin lalu.
Pembinaan bangunan tersebut sepatutnya disiapkan dalam tempoh sebulan lagi.
Satu lagi bangunan hotel yang terletak bersebelahan dengan bangunan yang condong itu tidak runtuh.
Pakar-pakar menganggap kejadian mungkin berpunca akibat kelemahan struktur bangunan dan pergerakan tanah. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0514&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz31dPsBJ33 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, May 13, 2014

Boko Haram buat tawaran


Militan itu juga mendakwa semua remaja terbabit sudah memeluk Islam, namun tidak akan dilepaskan sehingga semua rakan pengganas mereka - yang dipenjarakan - dibebaskan. 
Rakaman video selama 17 minit itu memperlihatkan pemimpin kumpulan berkenaan, Abubakar Shekau berucap sebelum menunjukkan mangsa culik memakai telekung dan bersolat di satu lokasi tidak diketahui. 

Seramai 276 remaja perempuan itu diculik di kawasan petempatan Kristian di Chibok, wilayah Borno pada 14 April lalu.
Foto
RAKAMAN video menunjukkan pelajar perempuan yang diculik bertudung dan didakwa sudah memeluk Islam.

Polis menyatakan 223 orang masih lagi belum ditemui.

Melalui rakaman semalam, 130 remaja perempuan bertudung duduk berhampiran pokok sambil membaca surah al-Fatihah dan berdoa. 

Dua daripada tiga remaja yang ditemu bual berkata, mereka memang penganut Kristian, tetapi sudah memeluk Islam. 

Semua mereka juga mengucap kalimah syahadah sambil kelihatan tenang dikelilingi rakan yang lain. 

Seorang daripada mereka menyatakan mereka tidak dicederakan dan berada dalam keadaan baik. 

Dalam rakaman itu tiada sebarang tanda yang menunjukkan bila rakaman dibuat. 

Abubakar berkata, anggota Boko Haram yang dipenjarakan sejak hampir lima tahun lalu mesti dibebaskan jika Nigeria mahu kanak-kanak terbabit kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. 

“Kami tidak akan membebaskan tebusan sehingga anda melakukan perkara yang sama,” katanya. 

Sementara itu, kerajaan Nigeria terus dikecam kerana lambat bertindak menyelesaikan isu penculikan berkenaan. 

Tindakan hanya diambil selepas tekanan demi tekanan diterima di peringkat global ekoran ancaman Abubakar untuk menjual tebusan sebagai hamba. 

Presiden Goodluck Jonathan akhirnya menerima tawaran bantuan dari AS, Britain, Perancis, China dan Israel yang menghantar pasukan khas bagi membantu usaha mencari mangsa culik.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Takdir bayi dua wajah


Sydney: Kasih sayang seorang ibu bukan saja mampu membawa ke syurga, malah turut membolehkan seseorang menghirup udara sementara diberi nyawa.
Ketika doktor memberitahu Renee Young dan Simon Howie mengenai keganjilan anak mereka, nasihat yang diberikan ialah supaya janin berkenaan digugurkan. 
Ketika itu kandungan Renee berusia 19 minggu.

Namun, selepas berbincang, pasangan suami isteri itu enggan.
Foto
FAITH dan Hope di hospital.
Sebaliknya mereka nekad meneruskan kehamilan sehingga takdir menentukan kesudahannya.
Kata Renee, mereka memang bimbang apa yang bakal berlaku pada anak mereka apabila lahir nanti. 

“Tetapi kami tidak sampai hati menggugurkannya kerana saya dapat merasakan degup jantung kandungan saya begitu kuat dan indah,” katanya. 

Akhirnya Renee bersalin dan lahirlah anak unik itu - pasangan kembar siam yang berkongsi badan, namun mempunyai wajah dan otak berbeza.

Renee menggelar anak perempuannya itu “pejuang kecil.” 

Kata Renee, dia dan suaminya amat menyayangi kembar berkenaan yang diberi nama Hope dan Faith.

Keganjilan itu katanya, dikenali sebagai “diprosopus” dan menyebabkan Hope dan Faith berkongsi tengkorak, namun berasingan otak yang bercantum pada bahagian pangkal.

Semua organ lain dikongsi. Pasangan Hope dan Faith kini ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Kanak-kanak Westmead.

Di sebalik jangkaan awal, perkembangan positif ditunjuk kembar itu memang mengejutkan doktor.

Howie berkata, anaknya itu tiada masalah bernafas atau menyusu. 

“Setakat ini, kami tidak tahu berapa lama mereka akan berada di hospital kerana doktor masih tidak dapat menjangka implikasi keadaan mereka itu.

“Apa yang penting adalah kami tidak sabar membawa mereka pulang,” katanya.
Difahamkan setakat ini hanya 35 kes seumpama itu dilaporkan di seluruh dunia.

Pada masa sama, rekod menunjukkan tiada kembar diprosopus - bermaksud “dua wajah” dalam bahasa Yunani - berjaya hidup lama.

Kata Howie, dia dan Renee tetap gembira dengan kehadiran Faith dan Hope. 

“Jika mereka hidup dua hari, dua harilah tempoh kami dapat nikmati bersama mereka. 

“Sekurang-kurangnya ada waktu yang dapat diluangkan bersama mereka biarpun singkat,” katanya.

Renee pula berkata, dia mahu umum mengetahui kewujudan kembar siam diprosopus kerana ia terlalu jarang berlaku.

“Kita tidak boleh menafikan ia boleh terjadi,” katanya.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Sungai Golok umpama medan perang



ANGGOTA keselamatan memeriksa lokasi serangan bom di wilayah Narathiwat, Thailand, semalam. - REUTERS
SUNGAI GOLOK 12 Mei - Umpama di medan perang. Begitu gambaran para penduduk selepas sembilan siri letupan bom menggegarkan bandar sempadan ini, sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.
Biarpun sudah biasa dengan bunyi tembakan dan letupan bom, namun mereka mengakui kali ini berbeza kerana berlaku dalam tempoh singkat iaitu sembilan letupan di enam lokasi berbeza di seluruh bandar ini.
Kesemua letupan bom tersebut berlaku dalam lingkungan kira-kira dua kilometer persegi.
Menurut penduduk, Nasir Mohd. Zin, 51, ia merupakan kejadian pertama selepas hampir dua tahun bandar tersebut tidak digegarkan dengan letupan bom yang besar.
“Ia mengejutkan semua pihak kerana berlaku dalam selang masa lima sehingga 10 minit kecuali dua letupan terakhir yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi. Ia umpama medan perang yang dahsyat.
“Keadaan agak panik dan penduduk kebanyakannya tidak keluar dari rumah pada malam tadi kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Nasir, ketika kejadian, dia berada di Masjid Haji Hasan di Jalan Charankead dan kejadian itu telah mengejutkan semua jemaah yang bersedia untuk menunaikan solat Isyak.
Tinjauan Utusan Malaysia di bandar itu, petang ini mendapati penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa kecuali di lokasi kejadian yang lengang.
Seorang wanita tempatan, Sarita Mamat, 41, terbunuh manakala sembilan lagi penduduk termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kejadian tersebut.
Difahamkan, letupan pertama berlaku pukul 7.25 petang waktu tempatan, di sebuah karaoke di Hotel Chantulee, berhampiran Balai Bomba Sungai Kolok di Jalan Asia.
Ia diikuti dengan letupan berasingan di dua kedai menjual motosikal milik Syarikat Pitan Panitch yang terletak dalam jarak 800 meter di Jalan Charankead.
Selang beberapa minit selepas itu, dua letupan kedengaran di sebuah bilik pameran kereta di kawasan berhampiran.
Letupan kelima yang menyebabkan seorang cedera berlaku di simpang empat berhampiran Hospital Sungai Golok.
Dua letupan terakhir dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi di sebuah pasar mini yang turut memusnahkan sebuah kedai menjual pakaian berhampiran.
Pada masa yang sama, pihak polis turut menemukan sebutir bom yang tidak meletup berhampiran sebuah kedai dalam bandar itu.
Kesemua letupan itu dipercayai menggunakan bom yang diletakkan pada motosikal kecuali di pasar mini terbabit.
Sementara itu, seorang mangsa, Ibrahim Umar, 50, berkata, dia bernasib baik kerana sempat melarikan diri ketika letupan bom tersebut berlaku.
“Saya sedang tidur dalam kedai pakaian milik saya. Secara tiba-tiba saya mendengar letupan dari dalam pasar mini di sebelah dan diikuti letupan kedua yang lebih kuat beberapa minit kemudian.
“Sebaik sahaja mendengar letupan itu, saya terus berlari keluar dan melihat api merebak dengan pantas sehingga memusnahkan kedai saya," katanya.
Tambahnya, dia percaya pengebom tersebut turut meletakkan satu botol petrol berhampiran dengan bahan letupan itu bagi memastikan api dapat merebak dengan cepat.
Sementara itu, difahamkan pihak berkuasa Malaysia telah mengambil langkah segera dengan menutup semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dan mengetatkan kawalan di sepanjang kawasan sempadan bermula dari Pengkalan Kubor sehingga ke Jeli.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140513/je_02/Sungai-Golok-umpama-medan-perang#ixzz31Y9QiT9v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pembantu pengadil bola sepak jelita jadi sensasi internet


ULIANA yang menjadi pembantu pengadil bola sepak di Brazil kini menjadi perhatian ramai.


SAO PAULO - Seorang gadis jelita di Brazil menjadi sensasi di internet kerana kerjayanya sebagai seorang pembantu pengadil bola sepak.
Gadis itu, Fernanda Colombo Uliyana, 25, menjadi topik perbualan di internet selepas beberapa stesen televisyen tempatan menyiarkan dia beraksi di padang dalam satu perlawanan piala Copa do Brasil baru-baru ini.
Gadis jelita itu dilaporkan sekali lagi membantu pengadil pada perlawanan pembukaan kumpulan A antara pasukan Atletico Mineiro dan Cruzeiro di Brazil kelmarin.
Menurut Uliana yang bekerja sebagai jurulatih kecergasan peribadi, dia berasa teruja untuk meneruskan kerjaya dalam bidang pengadilan bola sepak ke peringkat lebih tinggi.
"Pencapaian ini merupakan hasil komitmen dan dedikasi saya dalam bidang pengadilan bola sepak," katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa. - Agensi

Monday, May 12, 2014

" Subhannallah. Budak Christian 12 Tahun Mati 3 Minit Jumpa Allah Dan 72 Bidadari Di Syurga "




"Saya tidak melihat Isa mana-mana, " katanya kepada media selepas WGCL pengalaman pahit itu . "Ada seseorang yang bernama Allah. Dan seseorang yang bernama Mohammad. Dan terdapat 72 wanita yang sangat cantik di sekeliling saya.


Subhanallah, Allah maha besar. Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun secara teknikalnya telah mati lebih kurang 3 minit akibat kemalangan kereta ketika proses pembedahan dijalankan keatasnya.

Kanak-kanak yang bernama Bobby Anderson ini mendakwa telah berjumpa Allah di Syurga dan mendengar nama Nabi Muhammad telah disebut di Syurga, dan juga beliau mendakwa telah dikelilingi oleh para bidadari seramai 72 orang.  

Ayahnya adalah merupakan seorang paderi terkenal di Atlanta. Namun kejadian ini dianggap oleh ayahnya sebagai akibat daripada pengambilan Antypsychotic secara berlebihan. Wallahua'lam http://dailycurrant.com

Si kembar lahir berpegang tangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Si kembar lahir berpegang tangan
Kelahiran sepasang bayi kembar perempuan yang berpegang tangan semalam menyentuh hati doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran mereka. 
12 Mei 2014
OHIO – AMERIKA SYARIKAT. Kelahiran sepasang bayi kembar perempuan yang berpegang tangan semalam menyentuh hati doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran mereka.

Lebih ajaib, bayi tersebut mampu bernafas dengan sendirinya tanpa memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ibu pasangan kembar itu, Sarah Thistlethwaite berkata, kelahiran ini lebih istimewa kerana mereka lahir pada Hari Ibu, lapor AFP.

"Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata perasaan ini apabila mendapat tahu bahawa bayi saya berada dalam keadaan baik, " katanya.

Bayi kembar tersebut  berkongsi kantung amnion dan plasenta.  Kelahiran sedemikian itu dipanggil monoamniotik  atau " mono mono " dan doktor mengatakan ia berlaku dalam kira-kira satu daripada setiap 10,000 kehamilan.

Mereka dilahirkan  pada Jumaat di Pusat Perubatan Besar Akron, dekat sini.

London paling ramai bilionair



PASANGAN adik-beradik Srichand (kiri) dan Gopichand Hinduja.


LONDON, Britain - Kota metropolitan ini memiliki paling ramai bilionair di dunia, manakala Britain mempunyai lebih banyak bilionair bagi nisbah penduduk berbanding negara-negara lain, menurut satu senarai baharu yang disiarkan kelmarin.
Bandar raya ini menjadi kediaman 72 daripada 104 bilionair di Britain berbanding Moscow yang mempunyai 48 bilionair untuk menduduki tempat kedua.
Senarai berkenaan memilih individu di Britain yang memiliki kekayaan menyamai £1 bilion (RM5.4 bilion) atau lebih sebagai bilionair.
Kota raya New York berada di tempat ketiga dengan 43 bilionair diikuti oleh San Francisco dengan 42 bilionair dan Los Angeles yang mempunyai seramai 38 bilionair.
Tempat keenam pula menjadi milik Hong Kong yang memiliki 34 bilionair.
Adik-beradik kelahiran India, Srichand dan Gopichand Hinduja mengungguli senarai Britain itu dengan kekayaan mencecah £11.9 bilion (RM64.7 bilion) yang dikumpulkan menerusi syarikat milik keluarga berkenaan, Hinduja Group.
Syarikat itu memiliki kepentingan dalam sektor minyak, perbankan, industri automotif, hartanah dan media.
Pasangan adik-beradik itu mengatasi penyandang senarai bilionair pada tahun lalu, Alisher Usmanov.
Antara bilionair yang berada di tempat 25 teratas senarai sama termasuk pelabur kelahiran Ukraine, Len Blavatnik, taikun hartanah, Gerald Grosvenor dan bilionair kelahiran Arab Saudi, Mohamed Bin Issa Al Jaber.
Dalam pada itu, Britain kini memiliki seramai 104 bilionair yang memiliki aset keseluruhan sebanyak £301.13 bilion (RM1.64 trilion). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0512&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz31RmjALZq 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, May 11, 2014

Bina 10 rumah dalam 24 jam

Bina 10 rumah dalam 24 jam
Rumah dibina daripada pencetak 3D adalah lebih cepat dan murah 
10 Mei 2014 SEBUAH  syarikat pembinaan dari China telah menggunakan pencetak 3D gergasi untuk membina 10 buah rumah teres dalam masa hanya 24 jam.

WinSun New Material menggunakan pencetak setinggi 6.6 meter, 10 meter lebar dan 150 meter panjang serta dakwat yang digunakan diperbuat daripada gabungan simen dan kaca gentian.

Ketua Eksekutif WinSun, Ma Yihe berkata pihaknya telah membangunkan 10 buah rumah seluas 200 meter persegi dan membelanjakan lebih AS$3.2 juta (RM10 juta) untuk pencetak 3D berkenaan.

"Kami boleh mencetak pelbagai bangunan kepada mana-mana reka bentuk digital yang diberi pelanggan kepada kami. Cara ini lebih cepat dan murah,"katanya dipetik BBC

Beliau juga berharap pencetak itu boleh digunakan untuk membina bangunan pencakar langit pada masa akan datang.

Pencetak 3D telah mula digunakan sejak beberapa tahun lalu dan ia biasanya digunakan untuk membuat model, prototaip, bahagian pesawat serta barangan lebih kecil seperti barang kemas.

Potong tubuh demi seni


Beijing: Artis terkenal China, He Yunchang mempamerkan karyanya ‘One-Meter Democracy’ yang antara lain memaksanya memotong bahagian badannya untuk mengeluarkan satu tulang rusuk tanpa menggunakan bius.

Tulang rusuk itu kemudian dipakai pada lehernya seperti rantai.

He - yang mendakwa karyanya itu bertujuan ‘mengetengahkan ketegangan antara individu dan kerajaan’ - melakukan prosedur itu dengan dipantau doktor sebelum potongan dibuat sepanjang satu meter dari leher ke pahanya pada sebelah kanan badan.

Projek itu turut membabitkan sesi ‘undian’ membabitkan 25 pengundi yang bertujuan membayangkan proses demokrasi.

Foto
HE semasa prosedur pemotongan badan.


Foto
TULANG rusuk yang dijadikan rantai leher.

Foto
HE menunjukkan parut pada badannya.
Difahamkan, 12 pengundi menyokong projek itu manakala 10 menentang dan tiga berkecuali.


Mengulas projeknya itu, He berkata: “Saya mahu hasil karya saya membuatkan orang berfikir.

“Masyarakat China amat kompleks dan saya menganggap penting untuk menggabungkan kekuatan minda serta badan dalam berdepan realiti,” katanya.

He terkenal dengan karya yang menguji tahap kekuatan dan ketahanan fizikalnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Piramid ditemui di gurun Sudan


IMEJ yang diambil pada 18 Mac 2014 menunjukkan asas empat piramid ditemui oleh pasukan arkeologi Perancis yang diketuai oleh Claude Rilly di Sedeinga, 500 kilometer ke utara ibu negara Khartoum. - AFP
EL-KURRU, Sudan 10 Mei - Piramid yang sebelum ini diketahui hanya wujud di Mesir, kini turut ditemui di kawasan gurun di utara Sudan.
Kawasan gurun di utara Sudan itu yang masih belum diterokai sepenuhnya itu dipercayai menyimpan banyak warisan arkeologi tersembunyi yang berusia kira-kira 2,000 tahun dahulu.
Kini ahli arkeologi bersedia untuk memperluaskan penjelajahan kawasan tersebut selepas mendapat pembiayaan daripada Qatar.
Projek menggali itu mendapat pembiayaan sebanyak AS$135 juta (RM435 juta) daripada negara Teluk itu sekali gus dijangka bakal merubah landskap Sudan sebagai tarikan pelancong terbaharu.
Sebelum ini, usaha penggalian hanya menggunakan kereta sorong dan penyodok sekali gus melambatkan para buruh menemui sisa monumen termasuk piramid dan kuil.
“Ahli arkeologi mempunyai impian bahawa tapak ini akan menarik lebih banyak minat,'' kata ketua misi mengorek tapak Sudan-Amerika Syarikat (AS), Abbas Zarook di sini, kira-kira 300 kilometer daripada barat laut Khartoum.
Abbas berkata, pembiayaan Qatar bagi projek selama lima tahun itu diumumkan pada Mac lalu dan akan menyokong pencarian seterusnya di El-Kurru dan tempat-tempat lain.
“Tanpa bantuan Qatar, tidak ada seorang pun akan tahu berapa lama khazanah ini akan terus tersembunyi.
“Malah saya tidak fikir kita akan menemui semua monumen bawah tanah dalam tempoh lima tahun, oleh itu kita mengharapkan pembiayaan ini akan diteruskan," katanya.
Pembiayaan Qatar itu akan menyokong projek-projek oleh beberapa negara asing dan Sudan di utara negara ini dengan penggalian pertama hanya bermula 100 tahun lalu.
Tahun lalu, hampir 600,000 pelancong melawat Sudan de­ngan El-Kurru dan kawasan perkuburan purba menjadi tarikan mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140511/lu_05/Piramid-ditemui-di-gurun-Sudan#ixzz31Ly4JwP2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tidur dengan roti


TILAM berbentuk inti di dalam donat dan telur dadar turut dijual di laman web jual beli dalam talian tersebut. Malah, beg-beg tidur yang berbentuk roti dan kuih itu dijual oleh syarikat Flessimo bermula pada harga Y16,800 (RM549.68) setiap satu
ROTI menjadi salah satu diet seimbang dalam usaha menguruskan badan dan merupakan makanan ruji di kebanyakan negara seperti di Asia. Malah, roti juga digunakan sebagai bahan dalam persiapan makanan yang lain.
Namun, berbeza pula di Jepun apabila kreativiti penduduk mereka benar-benar terserlah dengan menghasilkan beg tidur berbentuk roti dan menjadi begitu popular dalam kalangan remaja negara yang mendapat jolokan negara matahari terbit itu.
Bantal yang berbentuk seperti sekeping roti bakar dan roti kroison turut dijual kepada orang ramai. Antara kaedah jualannya adalah melalui laman web jual beli secara dalam talian, Flessimo yang boleh diakses di seluruh dunia.
Tilam berbentuk inti di dalam donat dan telur dadar turut dijual di laman web jual beli dalam talian tersebut. Malah, beg-beg tidur yang berbentuk roti dan kuih itu dijual oleh syarikat Flessimo bermula pada harga Y16,800 (RM549.68) setiap satu.
Menurut salah seorang peminat remaja permainan video Kotaku, Brian Asheraft yang menetap di negara itu, beliau dapat menterjemahkan setiap nama-nama bantal dan tilam daripada bahasa Jepun ke bahasa Inggeris dengan betul.
"Beg tidur yang kelihatan seperti kroison itu bermaksud tidur di dalam roti coklat," katanya.
Berdasarkan pandangan .com, set tilam roti bakar yang didatangkan bersama selimut merah itu kelihatan seperti jem yang bertindak sebagai katil sementara buat remaja yang mahu berehat ketika menonton televisyen atau melepak dengan berbual bersama teman di ruang tamu.
Malah, terdapat juga set yang berbentuk bulat, berlapis-lapis dan menyerupai donat menyebabkan para pengguna kelihatan seperti krim. Set ini dikenali sebagai krim roti poket.
Manakala, satu lagi beg tidur kelihatan berbentuk bulat dan berwarna kuning yang dilengkapi dengan selimut berwarna hijau yang digelar sebagai pencuci mulut telur dadar.
Set beg tidur yang kelihatan seperti katil berbentuk bulat itu juga telah dimuat naik oleh seorang pengguna di laman sosial Twitter dengan ramai pengguna remaja di Jepun berkata, mereka amat menyukai beg tidur yang unik itu.
- DHIYA’ZULHILMI DAUD


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140510/lu_12/Tidur-dengan-roti#ixzz31LxmHWNn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, May 10, 2014

Dua maut gempa bumi di Pakistan


Seorang wanita cedera dalam gempa bumi yang melanda Nawabshah, Pakistan, semalam sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya. - AFP
ISLAMABAD 9 Mei - Gempa bumi berukuran 4.3 skala Ritcher melanda selatan Pakistan, hari ini menyebabkan dua orang maut serta mencederakan kira-kira 100 orang yang lain.
Kira-kira 100 buah rumah di daerah Nawabshah di wilayah Sind musnah akibat gempa bumi itu, menurut Menteri Maklumat, Sharjeel Memonsaid.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, pusat gempa bumi terletak pada kedalaman 15.6 kilometer.
Menurut Jabatan Meteorologi Pakistan, gempa bumi itu turut dirasai di beberapa pekan berdekatan termasuk Sakrand, Daur, Daulat Pur dan Bandhi.
Gempa berkenaan disusuli dengan beberapa gegaran berukuran 4.7 dan 4.9 skala Ritcher yang berpusat di barat laut dan timur laut Nawabshah.
Pegawai tempatan, Irfan Kathio berkata, kawasan yang terlibat diumumkan sebagai zon bencana kepada hospital-hospital dan pejabat daerah, manakala sekolah dan kolej turut ditutup.
"Kami menerima 30 orang yang cedera di hospital ini, dan seorang lelaki berusia 71 tahun maut kerana mengalami cedera teruk," kata seorang doktor hospital di Nawabshah, Mohammad Hashim.
Menurutnya, lima orang yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. - AFP/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140510/lu_04/Dua-maut-gempa-bumi-di-Pakistan#ixzz31GRyfOEG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jantung bergerak 90 darjah akibat kemalangan



GAMBAR menunjukkan kedudukan jantung seorang lelaki di Itali yang beralih kedudukan ke kanan (dalam bulatan).


ROM – Jantung seorang lelaki yang terlibat dalam satu kemalangan motosikal bergerak dari kiri ke kanan, lapor portal berita ABC News semalam.
Doktor-doktor yang melakukan pemeriksaan X-ray mendapati jantung milik seorang lelaki berusia 48 tahun itu telah beralih kedudukan.
Pemeriksaan X-ray itu dibuat selepas beberapa doktor gagal mendengar degupan jantungnya di tempat asal jantung tersebut.
Sehubungan itu, doktor melakukan pemeriksaan x-ray dan mendapati jantungnya telah beralih sehingga 90 darjah dan terletak di bahagian kanan dadanya.
Ketika jantungnya beralih kedudukan, dia hanya mengalami penurunan kecil tekanan darah dan peningkatan kadar degupan jantungnya.
Tulang rusuk lelaki itu turut patah dan limpanya pecah, menurut majalah New England Journal of Medicine.
Namun, doktor-doktor berjaya menarik keluar udara dari rongga dada lelaki tersebut sekali gus dapat membetulkan semula kedudukan jantungnya dalam tempoh 24 jam. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz31GAG04Sq 
Hakcipta terpelihara 

Friday, May 9, 2014

Gunung Slamet meletus 51 kali

Gunung Slamet
Letusan asap disertai api setinggi 100 hingga 200 meter berlaku semalam. 
8 Mei 2014 PURBALINGGA - INDONESIA. Gunung Berapi Slamet dilaporkan aktif apabila mula meletus sejak kelmarin.

Petugas Pemantauan, Sukedi memaklumkan, gunung berapi terletak di wilayah Jawa Tengah itu meletus 51 kali dengan letusan awal direkodkan pada 11 malam kelmarin dan susulan kedua jam 6.00 pagi semalam.

“Gunung itu mengeluarkan 37 kali gempa hembusan, 14 kali gempa letusan dan satu kali letusan asap disertai api setinggi 100 hingga 200 meter ke udara,” katanya.

Menurutnya, letusan asap putih tebal meletus tiga kali dan mengeluarkan abu ke arah Barat.

“Status Slamet kekal pada tahap tiga meskipun ada penurunan gempa dan letusan,” katanya dipetik Tribunenews

Beliau berkata, semua penduduk tidak dibenarkan melakukan aktiviti dalam radius empat kilometer dari kawasan gunung itu.

Pertandingan jinakkan lembu jantan diharamkan di India



GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki cuba menjinakkan seekor lembu jantan di sebuah kampung dekat Madurai, India pada 15 Januari lalu.- AFP


NEW DELHI - Sebuah mahkamah di India mengharamkan pertandingan berlari dengan lembu jantan yang merupakan satu tradisi turun-temurun di negara ini kerana beranggapan ia merupakan satu kekejaman terhadap haiwan.
Larian lembu yang dikenali sebagai Jallikattu itu merupakan acara kemuncak festival Pongal di kampung-kampung di selatan negara ini bagi meraikan musim menuai padi.
Lelaki-lelaki yang mengambil bahagian pada pertandingan itu akan berlari di sebelah lembu jantan dan berusaha memegang tanduk atau melompat ke atas badan haiwan berkenaan bagi menjinakkannya.
Hakim di sebuah mahkamah tinggi, K.S. Radhakrishnan dalam penghakimannya berkata, setiap haiwan mempunyai maruah dan hak untuk hidup dengan aman.
"Siasatan menunjukkan bahawa lembu jantan yang digunakan pada pertandingan itu dilayan dengan sangat kejam dan mengalami penderitaan yang teruk," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz31A3YNqNq 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, May 8, 2014

Tetap tekun belajar


Wang Dafan, menghafal perkataan Inggeris dari kamus elektronik, sambil menunggu kehadiran ambulans selepas terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini. - AGENSI
BEIJING 7 Mei - Seorang pelajar yang mengalami kecederaan selepas dilanggar sebuah kereta, cuba menahan kesakitan yang dialami dengan menghafal perkataan Inggeris dari kamus elektronik, sambil menunggu kehadiran ambulans.
Laman web Mail Online melaporkan, ketika kejadian, Wang Dafan, 18, dalam perjalanan ke kelas tutorial, sebelum motosikalnya dilanggar sebuah kereta di pusat bandar.
Selepas mengetahui kecederaan yang dialami tidak serius, Dafan mengeluarkan kamus elektronik Gizmo dan mempelajari kira-kira 107 perkataan Inggeris, sambil menunggu kehadiran ambulans.
"Setibanya di tempat kejadian, kami agak terkejut kerana walaupun cedera dia tetap tekun belajar. Dafan memberitahu saya, dia tidak boleh membuang masa kerana masa itu emas," ujar seorang jurucakap polis.
Dafan yang memenangi banyak anugerah dalam bidang akademik dan turut menerima biasiswa hanya mengalami cedera ringan di tangan, kaki dan kepala dalam kemalangan itu.
"Mempelajari perkataan Inggeris begitu membantu saya untuk melupakan kesakitan yang dialami. Kemalangan itu turut mengingatkan saya bahawa hidup ini terlalu singkat dan pelajaran amat penting dalam mengubah hidup seseorang," kata Dafan.
Pelajar Universiti Capital Normal itu, bercita-cita mahu menyambungkan pelajarannya ke Universiti Oxford atau Cambridge.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140508/lu_09/Tetap-tekun-belajar#ixzz315q89NzP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peraga fesyen di dinding bangunan



TIGA orang model memperagakan fesyen semasa mereka berjalan di dinding sebuah bangunan Sony di Ginza semalam.


TOKYO - Beberapa orang model termasuk wanita memperagakan pakaian ketika mereka berjalan di dinding sebuah bangunan di Ginza di sini semalam.
Dinding bangunan itu kelihatan dihias supaya ia kelihatan seperti pentas peragaan.
Tali keselamatan diikat pada pinggang model-model itu semasa mereka berjalan di dinding bangunan tersebut.
Model-model tersebut memperagakan fesyen jenama Gucci di dinding bangunan syarikat elektronik, Sony.
Mereka melakukan perbuatan itu bagi mempromosikan majalah fesyen Jepun, Precious. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz314OegzTl 
Hakcipta terpelihara 

'Puting beliung' api di Chilicothe



GAMBAR puting beliung api berjaya dirakamkan Copelin di Chilicothe, Missouri pada Sabtu lalu.


CHILICOTHE, Missouri - Satu kejadian yang kadangkala dikenali sebagai 'api syaitan', lapor portal berita KMBC.com kelmarin.
Gambar 'api syaitan' itu merupakan puting beliung api berlaku apabila seorang petani membakar kawasan tanamannya pada Sabtu lalu.
Seorang pemandu, Janae Copelin sempat merakamkan gambar tersebut dan menyiarkannya di laman bergambar Instagram.
Ketika kejadian, Copelin memandu sebuah kereta di sebuah lebuh raya.
Puting beliung itu berlaku apabila terdapat angin kencang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz314O10nh8 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, May 7, 2014

Ekspedisi temui 30 kg emas dalam kapal karam


Lima jongkong emas yang ditemui di dalam badan kapal api yang tenggelam pada September 1857 di Carolina Selatan. - AGENSI
CALIFORNIA 6 Mei - Satu ekspedisi yang dijalankan bagi mencari emas di dalam sebuah kapal api yang tenggelam pada September 1857 di Carolina Selatan, berjaya menemui hampir 30 kilogram emas, penemuan pertama sejak suku abad lalu.
Laman web Mail Online melaporkan, pencarian yang dilakukan oleh kapal Odyssey Marine Exploration of Tampa itu pada bulan lalu, berjaya membawa keluar emas dari kapal yang tenggelam akibat dibadai taufan yang menyebabkan 425 orang terkorban.
Sebelum ini, ekspedisi sama pernah diadakan pada hujung 1980an dan awal 1990an, sebelum berlakunya pertikaian undang-undang yang mengakibatkan operasi mencari terpaksa dihentikan.
Ketua ekspedisi, Mark Gordon berkata, mereka berjaya menemui lima jongkong emas dan dua keping duit syiling emas AS$20 Double Eagle, dengan berat setiap satu jongkong emas antara 3.5 kg dan 9.7 kilogram.
"Kami tidak menyangka dapat menemui emas dalam tempoh yang singkat, kawasan pencarian tidak berubah sejak kali terakhir ia diterokai pada 1991," jelas Gordon.
Ekspedisi yang dijalankan pada jarak kedudukan kira-kira 257.5 kilometer dari kawasan pinggir pantai itu dijangka berakhir pada hujung musim panas ini.
Tambahnya, ketika ini 41 anak kapal Odyssey Marine Exploration sedang giat menjalankan kajian terhadap kawasan pencarian dan dijangkakan lebih banyak emas akan ditemui setelah kajian tersebut selesai.
Kata Gordon, setakat ini pihaknya tidak dapat memberi gambaran berapa banyak emas yang masih tersimpan di situ.
"Emas yang terdapat di dalam kapal api itu dianggarkan bernilai AS760,000 (RM 2.3 juta) pada 1875, namun kini nilainya meningkat berjuta-juta ringgit," ujar Gordon.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_09/Ekspedisi-temui-30-kg-emas-dalam-kapal-karam#ixzz30yUBjSkU
© Utusan Melayu (M) Bhd