Pages

Sunday, November 24, 2013

'Bulan madu di planet Marikh'

'Bulan madu di planet Marikh'Lakaran artis menunjukkan kapal angkasa yang akan membawa manusia pertama melintasi planet Marikh, sementara gambar kecil (kiri) planet Marikh yang menjadi impian Isnpiration Mars. 

Washington: Sebuah organisasi tanpa keuntungan mendedahkan apa yang didakwanya satu rancangan untuk menghantar dua individu terbang melintasi planet Marikh pada 2017.

Inspiration Mars menyasarkan untuk meraih sokongan Kerajaan Amerika Syarikat dan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk misi bersejarah itu, jika ia berlaku, akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sedekad lebih awal sebelum NASA. Diketuai jutawan Dennis Tito yang menjadi pelancong pertama ke angksa lepas, kumpulan itu berkata, misi itu dari segi teknikalnya boleh dilaksanakan jika ia berjaya mendapatkan ‘kemungkinan beberapa ratus juta dolar dalam perbelanjaan baru persekutuan.’



“Kami kini menggesa pemimpin negara kami merebut peluang tunggal bagi memulakan penerokaan manusia ke atas sistem suria dan mengesahkan kepemimpinan Amerika di seluruh dunia,” katanya dalam laporan.

Cubaan itu, digelar ‘Mission For America’, akan menghantar pasangan berkahwin dan perintis ke Marikh antara Hari Krismas 2017 dan 5 Januari 2018.


250 hari di angkasa
Selepas 250 hari berada di angkasa lepas, pesawat akan mengelilingi Planet Merah sekali, hampir pada jarak 160.93 kilometer di permukaan sebelum kembali ke bumi pada Mei 2019.

Misi itu bergantung kepada penjajaran baik antara dua dunia, yang akan menjadikan perjalanan itu lebih pendek berbanding cara lain.

Namun Inspiration Mars tahu ia memerlukan sokongan penuh NASA untuk pelancaran.

Ia berkata roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas yang baru perlu menghantar modul krew utama dan pesawat ke angkasa lepas, dengan angkasawan tiba secara berasingan di dalam kapsul Orion yang turut membawa mereka kembali ke bumi.

Bagaimanapun, banyak cabaran teknikal kekal, termasuk bagaimana memasuki semula orbit bumi dengan selamat ketika melakukan perjalanan lebih 50,000 kilometer sejam.


Banyak cabaran

Namun laporan berkata, ia berharap pihak berkuasa akan mengatasi cabaran dengan minda terbuka dan yakin dengan jurutera NASA pada awal perlumbaan angkasa, selain bersetuju menyokong misi itu.

“Misi untuk Amerika sejajar dengan kemunculan program angkasa lepas negara yang menjadi keutamaan dan akan menyumbang penyelidikan bernilai bagi mempercepat sistem generasi akan datang serta misi mereka,” katanya. - AGENSI

Lelaki malu ada payu dara seperti wanita



Hashemzadeh mendapat kehidupan baharu selepas menjalani pembedahan membetulkan dadanya.


LONDON - Seorang lelaki Britain, Farshad Hashemzadeh berasa sangat malu untuk berdepan dengan masyarakat kerana memiliki payudara seperti wanita.
Hanya payudara kanan Hashemzadeh yang membesar seperti buah dada wanita manakala payudara kirinya normal seperti lelaki lain.
"Saya tidak tahu kenapa ia berlaku kepada saya, payudara saya semakin hari semakin membesar sehingga membuatkan saya berasa rendah diri," katanya kepada akhbar The Sun.
Payudara Hashemzadeh mula membesar sewaktu dia berusia 18 tahun dan pada ketika itu, dia tidak tahu apa yang harus dilakukan.
"Saya tidak mahu orang lain melihat 'kelebihan' saya ini. Lelaki lain patut tahu bagaimana keadaan ini boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka," katanya.
Ada suatu ketika akibat terlalu tertekan, Hashemzadeh pernah mengambil pisau untuk menoreh payudaranya sendiri sehingga dia dirujuk kepada seorang pakar psikiatri.
Keadaan ganjil yang dialami Hashemzadeh itu dinamakan Ginekomastia iaitu ketidakseimbangan hormon estrogen dan testosteron yang menyebabkan organ tersebut membesar secara tidak normal.
Menurut pakar bedahnya, Dr. Azhar Aslam, kira-kira separuh golongan lelaki mengalami Ginekomastia tetapi pada skala yang kecil. Kos untuk dia menjalani pembedahan tersebut agak tinggi iaitu sebanyak AS$5,000 (RM16,000).
Namun, Hashemzadeh bernasib baik kerana dia mempunyai seorang teman wanita yang prihatin dan menolongnya mendapatkan wang untuk menjalani pembedahan tersebut.
"Saya tidak lagi berasa sedih kerana sudah kembali menjadi seorang lelaki normal malahan, saya beruntung mempunyai seorang teman wanita yang sangat baik," katanya.
Tambah Hashemzadeh, selepas parut kecilya sembuh, dia berasa seperti lelaki yang baru dilahirkan semula. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2lXU4iZkp 
Hakcipta terpelihara 

Tiba-tiba tumbuh bulu


Oleh ZAITIE SATIBI
Jangan pandang ringan jika seseorang wanita atau anak gadis tiba-tiba mengalami pertumbuhan bulu di muka seolah-olah ada pertumbuhan misai halus atau janggut, perut, kaki dan tangan kerana berkemungkinan mempunyai sindrom ovari polisistik (PCOS) yang menyebabkan gejala bulu berlebihan.

Sindrom ini adalah masalah ketidakseimbangan hormon wanita yang mengakibatkan kedatangan haid tidak teratur, sukar hamil, peningkatan hormon lelaki (androgen) dan jika tidak dirawat boleh mengundang masalah kesihatan lain yang lebih serius seperti diabetes dan sakit jantung.


Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr Dharmini Veerakumaran berkata, gejala PCOS bermula pada usia remaja dan dihidap sekurang-sekurang seorang daripada 15 wanita.

Hanya rawatan membantu mengawal gejala daripada berterusan, di samping mencegah masalah kesihatan lain dalam jangka masa panjang.


Menurutnya, hormon adalah kimia dalam tubuh yang mencetus pelbagai proses, termasuk pertumbuhan dan pengeluaran tenaga. Biasanya, tugas satu hormon adalah memberi isyarat untuk melepaskan hormon lain.


“Setakat ini tidak diketahui bagaimana ia berlaku, tetapi dalam PCOS hormon dalam tubuh wanita menjadi tidak seimbang. Satu hormon berubah mencetuskan perubahan hormon lain.

Foto
USAH ambil mudah jika anak perempuan tumbuh bulu lebat di muka atau di perut kerana ia mungkin tanda-tanda PCOS.

Foto

“Sebagai contoh, hormon jantina menjadi tidak seimbang. Biasanya, ovari akan menghasilkan sedikit hormon lelaki. “Namun, dalam PCOS ovari akan menghasilkan lebih banyak hormon lelaki menyebabkan wanita berhenti mengovulasi, menghidap jerawat dan tumbuh bulu berlebihan pada muka dan badan,” katanya.


Tubuh wanita juga akan menghadapi masalah penggunaan insulin dikenali rintangan insulin. Ini berlaku apabila tubuh tidak dapat menggunakan insulin dengan baik, kandungan gula dalam darah bertambah, seterusnya meningkatkan risiko menghidap diabetes.



Dr Dharmini berkata, tanda PCOS kurang disedari pada peringkat awal. Seseorang wanita mungkin mengalami beberapa tanda daripada gejala PCOS seperti masalah jerawat dan pigmentasi, keguguran rambut sehingga botak menyerupai lelaki dan tekanan.


“Wanita dengan masalah PCOS juga mengalami kesukaran untuk hamil. Ini berlaku apabila ovari membengkak disebabkan ovum terperangkap di dalamnya dan tidak berkemampuan untuk menetas pada waktu subur. “Setiap wanita dilahirkan dengan mempunyai sepasang ovari yang bertindak sebagai organ pembiakan utama. Fungsinya ialah mengeluarkan sel telur atau ovum pada pertengahan bulan kitaran iaitu waktu subur.


“Telur yang tidak menetas akan berkumpul di sekeliling ovari dan dikenali sebagai sista. Sista inilah dipanggil PCOS dan walaupun tidak berbahaya, ia menyebabkan hormon tidak seimbang.


“Apabila keadaan seperti ini berlaku, lama-kelamaan ovari akan membengkak dan akhirnya menimbulkan pelbagai jenis masalah kesihatan,” katanya.


Menurutnya, penghidap PCOS juga mengalami masalah berat badan berlebihan apabila ia naik mendadak walaupun tidak makan banyak disebabkan metabolisme rendah. “Berat badan akan bertambah pada bahagian atas badan lebih besar atau gemuk daripada bahagian bawah. Tubuh wanita akan kelihatan seperti buah lemon yang dicucuk dua lidi.


“Dalam keadaan ini, kaki dan tangan tampak slim tetapi lemak berkumpul di kawasan dada, abdomen dan punggung,” katanya.


PCOS juga disebabkan keturunan dan peluang menghidap sindrom ini lebih tinggi jika ada wanita dalam keluarga pernah menghidapnya. Ia boleh dibawa sama ada daripada keluarga sebelah ibu atau bapa.


Bagi mendiagnosis sindrom ini, doktor akan menjalankan pemeriksaan kesihatan, sejarah dan juga fizikal. Kitaran haid akan ditanya secara terperinci, sejarah keluarga, termasuk kakak-kakak, adik perempuan dan ibu. Ujian darah termasuk paras hormon tertentu, glukosa darah dan mungkin juga paras insulin juga akan dikaji.


Selain itu, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi mencari tanda PCOS seperti lebihan bulu pada badan dan tekanan darah tinggi.


Doktor juga akan memeriksa berat badan dan ketinggian sama ada ia menepati ukuran indeks jisim badan (BMI) yang sesuai.


Ujian ultrasound akan dijalankan ketika mengalami datang haid untuk merekodkan morfologi ovari, juga ketebalan dinding rahim iaitu endometrium, akan diukur.


“Punca sebenar bagi penyakit ini masih tidak diketahui. Namun ada beberapa kemungkinan penyebab PCOS iaitu keadaan semula jadi di mana ada kelainan atau gangguan pada enzim yang mengawal pembentukan hormon “Ia juga mungkin disebabkan oleh ciri atau pengaruh kebakaan dan keturunan. Pengambilan makanan yang mengandungi banyak karbohidrat dan gula, perisa dan pengawet makanan. “Malah, tekanan fizikal dan mental juga menjadi punca sindrom ini,” katanya.


Bagi merawat PCOS, penghidapnya kena rajin melakukan senaman, mengamalkan diet pemakanan seimbang, tidak merokok dan mengawal berat badan. Segelintir saja penggunaan ubat untuk mengawal gangguan hormon membantu.


Ini kerana tidak ada penawar bagi penyakit ini tetapi dengan mengawalnya dapat mengurangkan risiko sukar hamil, keguguran, diabetes, sakit jantung dan kanser rahim.


Langkah pertama dalam menguruskan sindrom ini adalah melakukan senaman ringan berterusan dan mengamalkan gaya pemakanan sihat.


Rawatan tambahan hanya akan dilakukan bergantung kepada tanda sindrom atau penghidapnya merancang untuk hamil.


Jika berat badan berlebihan, pengurangan jumlah berat badan itu walaupun sedikit dapat membantu menyeimbangkan hormon, sekali gus memulihkan kitaran haid dan proses ovulasi.


“Berhenti merokok kerana wanita merokok mempunyai paras hormon androgen tinggi berbanding yang tidak merokok, malah tabiat buruk ini juga menambah peluang menghidap sakit jantung.


“Bagi penghidap PCOS yang merancang untuk mengandung dan pengurangan berat badan tidak mengatasi masalah kesuburan, doktor mungkin mencadangkan penggunaan ubat yang membantu mengurangkan paras insulin, selain ubat kesuburan bagi meningkatkan proses ovulasi.


“Manakala, bagi yang belum berhasrat untuk mengandung, terapi hormon seperti pil kawalan kelahiran atau cicncin vagina akan membantu mengawal hormon ovari.


“Untuk membetulkan masalah kitaran haid, hormon kawalan kelahiran akan memastikan lapisan endometrium daripada membentuk terlalu lama. Ini juga dapat mencegah kanser rahim, selain pertumbuhan bulu dan jerawat,” katanya.


Dr Dharmini berkata, pembedahan Laparoscopic Ovarian Drilling juga boleh dilakukan apabila ovari penghidap PCOS akan ditebuk supaya sista kecil yang terbentuk di sekeliling ovari akan kecut dan ovari akan dirangsang untuk menghasilkan telur dan ovulasi. “Apapun, mereka yang mengalami gejala PCOS perlu segera berjumpa doktor. Jangan biarkan masalah ini membelenggu diri kerana masalah hormon tidak seimbang juga boleh menjurus kepada tekanan perasaan yang serius.


“Pengambilan hormon sebenarnya tidak langsung mengurangkan risiko menghidap penyakit jantung, tekanan darah, kolesterol atau diabetes. Oleh sebab itu, senaman dan pemakanan sihat adalah kunci utama dalam langkah rawatan PCOS,” katanya.-hmetro

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/24

Saturday, November 23, 2013

Kenderaan pelik RM3.5 juta

Los Angeles: Satu daripada beratus-ratus kereta yang dipamerkan di pameran kereta LA minggu ini mendapat liputan meluas akhbar, tetapi bukan semuanya mendapat pujian.
Walaupun berharga AS$1.1 juta (RM3.5 juta), kereta biru Youabian Puma meraih pelbagai gelaran pelik, termasuk “raksasa”, “gila” hingga kepada “tidak munasabah”. 
Kenderaan besar yang dipamerkan berhampiran satu daripada pintu masuk pusat konvensyen itu tampil popular apabila puluhan ribu peminat kereta membanjiri pusat itu mulai semalam.

Pameran terbabit berlangsung selama 10 hari. Kereta bernilai RM3.5 juta itu mendapat perhatian pengunjung dengan tajuk depan akhbar LA Times menggelarnya ‘benar-benar pelik’.
Foto
KERETA Youabian Puma mendapat perhatian setiap pengunjung pameran kereta LA.

Laman Autoblog.com menggelarnya “nampak pelik” dan memetik kenyataan pengeluarnya yang menyifatkan ia “kenderaan untuk berseronok”.

“Lebih hebat daripada kehidupan, Youabian Puma memang tidak munasabah dari mana sudut pun anda lihat,” tulis carscoops.com, satu lagi laman media mengenai kereta yang meninjau kereta itu pada sidang akhbar sebelum pameran terbabit dibuka kepada awam.

Kereta itu disifatkan sebagai gabungan antara kereta sport dan kereta kebal oleh LA Times. Ia mempunyai saiz yang besar hampir 8 kaki lebar dan melebihi 20 kaki panjang. - Agensi

Friday, November 22, 2013

Makan kacang kurangkan risiko sakit jantung


Kekerapan memakan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung. - AGENSI
DALLAS 21 Nov. - Satu kajian perubatan mendapati, kekerapan makan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung.
Kajian yang dijalankan selama 30 tahun oleh Universiti Harvard dengan kerjasama Hospital Wanita dan Brigham di Boston menunjukkan, individu yang makan kacang setiap hari dapat mengurangkan tahap risiko kematian sebanyak 20 peratus berbanding mereka yang tidak pernah makan kacang.
Seorang pakar, Dr. Ying Bao berkata, risiko kematian akibat penyakit jantung boleh dikurangkan sebanyak 29 peratus, manakala risiko akibat kanser dapat dikurangkan sebanyak 11 peratus bagi mereka yang makan kacang setiap hari.
Bao berkata, manfaat itu boleh diperolehi dengan makan kacang jenis pistasio, badam, walnut dan kacang lain tanpa mengira bagaimana kacang tersebut dimasak.
"Kebiasaannya orang ramai akan memberi persepsi bahawa kacang boleh mengakibatkan kegemukan.
"Namun, kajian yang kami jalankan menunjukkan individu yang gemar makan kacang akan kekal kurus, selain risiko kematian akibat kanser dan sakit jantung dapat dikurangkan," katanya.
Namun, kajian berkenaan masih tidak dapat mengenal pasti khasiat sebenar yang terdapat pada kacang sehingga boleh membawa kebaikan tersebut.
Menurut Bao, mungkin disebabkan kandungan kacang yang tidak tepu asid lemak, mineral dan beberapa elemen nutrien rendah kolestrol boleh mengurangkan risiko penyakit berbahaya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_08/Makan-kacang-kurangkan-risiko-sakit-jantung#ixzz2lJgzneUa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi berusia setahun mampu menari


Jonathan Thorpe mampu menari, bermain komputer dan bercakap biarpun baru berusia setahun. - AGENSI
BIRMINGHAM, England 21 Nov. - Biarpun baru berusia setahun, namun seorang bayi lelaki di sini mampu belajar menari, bermain komputer dan bercakap.
Heather Thorpe, 24, melahirkan Jonathan Thorpe kira-kira lima minit selepas dia dimasukkan ke dalam bilik bersalin di sebuah hospital di sini pada November tahun lalu.
Tempoh kelahiran yang dianggap 'cepat dan mudah' itu mempengaruhi perkembangan tumbesaran Thorpe.
Hal ini kerana, ketika dia berusia tujuh bulan, Thorpe sudah mampu berjalan dan bercakap.
Sejak itu, bayi comel tersebut mula belajar menari, dan dia kini dilaporkan boleh menari gaya Gangnam Style yang dipopularkan oleh penyanyi dari Korea Selatan, Psy.
Selain boleh menari, Thorpe dilihat cenderung menggunakan gajet teknologi termasuk telefon dan komputer.
Menurut ibunya, Thorpe juga boleh menukar saluran televisyen menggunakan alat kawalan jauh, perbuatan yang mungkin mustahil dilakukan oleh kanak-kanak sebaya dengannya.
"Thorpe merupakan seorang bayi yang bijak, kuat dan tidak banyak ragam.
"Kami pada mulanya sangsi dengan kebolehan Thorpe, namun dia benar-benar membuktikan bahawa dia seorang bayi yang istimewa," katanya.
Saiz fizikal Thorpe turut berkembang cepat apabila ketinggian dan bentuk badannya kini membesar seperti kanak-kanak berusia dua tahun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_06/Bayi-berusia-setahun-mampu-menari#ixzz2lJfMepe8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kembar tujuh rai ulang tahun ke-16 di Iowa

YOUTUBE
GAMBAR menunjukkan tujuh orang anak kembar McCaughey. (Depan dari kiri), Kelsey, Alexis dan Nathan manakala (belakang dari kiri), Joel, Kenneth, Nathalie dan Brandon.


DES MOINES, Iowa - Kembar tujuh yang dilahirkan pada tahun 1997 telah meraikan hari jadi mereka yang ke-16 tahun kelmarin.
Ibu kembar itu, Bobbi McCaughey yang merupakan seorang kakitangan sebuah sekolah berkata, dia kini menerima hakikat bahawa anak-anak kembarnya semakin dewasa.
"Salah satu perkara penting kini adalah mengenai hubungan mereka dengan rakan dan kawan berlainan jantina," katanya yang melahirkan mereka di sebuah pusat perubatan di sini.
Kembar itu terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan.
Nama mereka ialah Kenneth, Kelsey, Natalie, Brandon, Alexis, Nathan dan Joel.
Semua kembar itu yang tinggal di Carlisle, Iowa, Amerika Syarikat mempunyai seorang kakak, Mikayla yang berusia 18 tahun.
Bapa mereka, Kenny bekerja di sebuah kilang logam.
McCaughey memperoleh anak kembar tujuh itu selepas dia menjalani rawatan kesuburan.
Rumah kembar itu mengandungi tujuh buah bilik tidur yang didermakan kepada mereka.
Namun, dua kembar tersebut, Alexis dan Nathan menghidap palsi serebrum iaitu pergerakan otot-otot mereka mengalami kerosakan.
Brandon kini merancang untuk memasuki perkhidmatan ketenteraan, Kenneth mahu bekerja dalam bidang pembinaan, Nathan mahu menceburi bidang sains, Joel berhasrat mendalami bidang komputer, Kelsey meminati bidang solekan manakala Alexis serta Natalie mahu melibatkan diri dalam bidang perguruan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2lJacAiJf 
Hakcipta terpelihara 

Anjing laut ada pemancar satelit



AP
KEPALA seekor anjing laut dipakaikan dengan sebuah alat pemancar semasa ia berenang 
di Porteau Cove kelmarin.


PORTEAU COVE, British Columbia - Seekor anjing laut dipakaikan dengan sebuah alat pemancar satelit di kepalanya oleh sekumpulan saintis di sini kelmarin.
Anjing laut itu dipakaikan alat tersebut selepas ia dilepaskan ke laut.
Haiwan itu dirawat selama beberapa bulan di Pusat Menyelamat Mamalia Marin Vancouver, Kanada selepas ia diselamatkan dari laut.
Alat itu akan membantu pergerakan haiwan itu di laut dan dipantau oleh para saintis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2lJaQqFec 
Hakcipta terpelihara 

Motosikal dicuri 45 tahun lalu ditemui semula di Los Angeles



AP
DEVAULT (kiri) dan seorang mekanik, Dough Manley melihat enjin motosikal Triumph Tiger 100 yang dicuri pada Februari 1967 di Omaha, Nebraska kelmarin.


OMAHA, Nebraska - Seorang lelaki Amerika Syarikat, Donald DeVault memperoleh semula motosikal Triumph Tiger 100 buatan tahun 1953 yang dicuri pada Februari 1967.
Pihak berkuasa di Los Angeles, California menyerahkan semula motosikal tersebut kepada DeVault yang berusia 73 tahun kelmarin.
DeVault hanya mengetahui tentang motosikal tersebut yang berada dalam simpanan pihak berkuasa Los Angeles, dua minggu lalu.
Menurut laporan, pihak berkuasa di bandar raya tersebut menemui motosikal itu di Pelabuhan Los Angeles ketika ia mahu dihantar ke Jepun dengan menggunakan sebuah kapal.
Ejen-ejen kastam yang melakukan pemeriksaan ke atas motosikal itu mendapati ia pernah dilaporkan hilang pada tahun 1967.
Motosikal itu bernilai AS$300 (RM961.90) pada tahun 1967.
Kini, nilai motosikal tersebut dianggarkan kira-kira AS$9,000 (RM28,856). - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2lJaBsn7C 
Hakcipta terpelihara 

Kawah berapi di Turkmenistan



YOUTUBE
KAWAH berapi yang terdapat dekat Kampung Derweze, Turkmenistan.


ASHGABAT - Sebuah kawah gergasi masih terbakar dekat Kampung Derweze, Turkmenistan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Kawah seluas 70.10 meter itu terbakar sejak tahun 1971 lagi.
Ia terbentuk semasa pemerintah Kesatuan Soviet yang menawan Turkmenistan ketika itu mahu menggali tanah untuk mencari minyak.
Bagaimanapun, tanah di bawah sebuah pelantar minyak runtuh sekali gus mewujudkan sebuah kawah yang luas.
Kawah itu mengeluarkan gas metana dalam jumlah yang banyak sekali gus membahayakan penduduk kampung.
Beberapa saintis kemudian memutuskan bahawa cara yang selamat untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan membakar gas tersebut.
Para saintis itu menganggap cara itu akan menyebabkan gas berkenaan hilang dalam tempoh beberapa hari.
Namun, selepas empat dekat kemudian, kawah itu masih lagi terbakar sehingga kini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2lJZtNs7f 
Hakcipta terpelihara 

Letusan gunung berapi wujudkan pulau baharu



AFP
ASAP keluar dari sebuah gunung berapi yang mewujudkan pulau kecil dekat Kepulauan Ogasawara, Jepun kelmarin.


TOKYO - Letusan gunung berapi di laut telah mewujudkan sebuah pulau kecil di perairan Jepun, kata beberapa pegawai semalam.
Ia merupakan kejadian pertama yang berlaku dalam tempoh beberapa dekad di negara ini.
Anggota-anggota tentera laut Jepun mengesan pulau tersebut menerusi asap yang menjulang tinggi ke langit di sekitar Kepulauan Ogasawara yang terletak 1,000 kilometer ke selatan Tokyo.
Pulau itu wujud akibat letusan gunung berapi di laut.
"Asap masih keluar dari pulau tersebut. Kami mengeluarkan amaran pelayaran bahawa pulau tersebut wujud dari debu yang jatuh di kawasan tersebut," kata seorang jurucakap sebuah agensi maritim Jepun.
Menurutnya, pulau itu tidak akan kekal lama kerana ia akan lenyap disebabkan hakisan.
Diameter pulau itu ialah 200 meter.
Beberapa letusan berapi pada tahun 1970-an dan 1980-an telah mewujudkan beberapa buah pulau kecil di Jepun.
Namun, sebahagian pulau kecil itu turut lenyap akibat ditengelami laut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2lJZbKO4r 
Hakcipta terpelihara 

Pemuda gemuk pulang ke Perancis


AP
GAMBAR menunjukkan Chenais dibantu beberapa kakitangan perubatan menaiki ambulans itu.


LONDON - Seorang pemuda gemuk yang merupakan warga Perancis yang seberat 230 kilogram, Kevin Chenais akhirnya dapat pulang ke tanah airnya kelmarin.
Dia sebelum ini, terkandas di Amerika Syarikat selepas dilarang menaiki sebuah pesawat penerbangan dan kereta api.
Chenais yang berusia 22 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan akibat hormonnya yang tidak stabil.
Dia tiba di Pelabuhan Calais, Perancis dengan menaiki sebuah feri dari Dover, England.
"Dia mengembara seperti yang dijadualkan atas semangat Britain pada pukul 4.40 petang," kata seorang jurucakap sebuah perkhidmatan feri.
Pemuda itu kemudian menaiki ambulans ke bandar Ferney-Voltaire di sempadan Switzerland.
Pada mulanya, dia dirawat di Klinik Mayo, Minnesota, AS berhubung masalah kegemukannya.
Namun, dia terkandas di AS selepas syarikat penerbangan British Airways enggan membenarkannya menaiki pesawat.
AP
CHENAIS menaiki sebuah skuter di depan sebuah ambulans di St. Pancras, London kelmarin.


Pemuda itu juga tidak dibenarkan untuk sebuah kapal persiaran Queen Mary 2.
Chenais perlu kerap untuk menyedut oksigen.
Namun, pemuda berkenaan akhirnya tiba di London selepas syarikat penerbangan Virgin Airlines bersetuju membawanya pada Selasa lalu bersama keluarganya.
Apabila tiba di Britain, dia juga tidak dibenarkan untuk menaiki sebuah kereta api bawah tanah ke Perancis atas alasan keselamatan.
Chenais dan keluarganya kemudian bermalam di sebuah hotel dekat Terminal Eurostar di London selepas tidak dibenarkan menaiki kereta api tersebut.
Kos penginapannya di hotel itu ditanggung oleh pihak pengurusan Eurostar.
Menerusi bantuan beberapa kakitangan konsulat Perancis, Chenais meninggalkan London tengah hari kelmarin dengan menaiki sebuah ambulans ke Dover.
Dia kemudian menaiki sebuah feri menyeberangi Selat Inggeris ke Perancis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2lJYzOdXb 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, November 21, 2013

Bercerai pada usia10 tahun


Fatima Mangre
21 November 2013
UTTAR PRADESH - INDIA. Seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun menjadi individu termuda bercerai di India selepas dikahwinkan dengan suaminya Arjun Bakridi, 10, ketika dia berusia empat tahun.

Menurut AFP, Insiden itu berlaku selepas bapa budak tersebut hanya membenarkan Fatima Mangre mengikut suaminya selepas umurnya mencecah 18 tahun.

Keputusan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati kepada bapa Arjun dan pertengkaran itu berakhir selepas kanak-kanak lelaki tersebut memfailkan perceraian pada minggu lalu.

Kejadian yang berlaku di kampung Nakhi daerah Shravasti itu kini sedang disiasat kerajaan negeri.

Tidur sebelah mayat suami


Brussel: Seorang wanita rela tidur bersebelahan mayat suaminya selama hampir setahun kerana mendakwa terlalu sedih dan hilang semangat untuk meneruskan hidup.

Mayat Marcel H, 79, dibiarkan terbaring di apartmen pasangan itu di Brussel, manakala isterinya yang berusia 69 tahun setia menunggu tanpa mempedulikan bau busuk dan keadaan mayat yang mereput.


Marcel dikatakan mati akibat serangan penyakit lelah pada November tahun lalu, tetapi kematiannya tidak dilaporkan. Disebabkan jiran tetangga tidak pernah mengadu mengenai sesuatu yang luar biasa, mayat itu hanya ditemui selepas pemilik kediaman berkenaan menyedari pasangan terbabit tidak membayar sewa sejak tahun lalu.



Dia kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa. Apabila anggota polis memasuki apartmen berkenaan, mereka terkejut kerana menemui mayat lelaki warga tua itu di atas katil.


Ahli patalogi di Pusat Forensik Liege, Philippe Boxho berkata, mayat manusia boleh terawet dalam persekitaran kering dan hangat. “Ia mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk mayat itu terawet.


“Walaupun bau mayat yang mulai reput agak busuk, kebanyakan orang menganggapnya sama seperti bau sampah dan apabila mayat semakin reput, bau busuk kian berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Kubu perlindungan nuklear bekas Presiden AS di Florida


GAMBAR yang dirakamkan pada 8 November lalu menunjukkan logo rasmi Presiden Amerika Syarikat terdapat di dalam kubu perlindungan nuklear di Pulau Peanut.


PULAU PEANUT, Florida - Sebuah kubu perlindungan yang dibina semasa Perang Dingin untuk bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy berdekatan Palm Beach kini dijadikan sebagai sebuah muzium.
Kubu itu terletak hanya beberapa minit dari Palm Beach yang menempatkan lokasi kediaman keluarga bekas Presiden AS itu.
Ia dilengkapi dengan ruang dewan utama yang ditempatkan 15 buah set katil dua tingkat, sebuah meja untuk Kennedy dan meja persidangan.
Fasiliti itu merupakan tempat persembunyian yang dikawal ketat selain dilengkapi dengan bekalan makanan tentera, tong air dan kelengkapan alat pengesan radiasi.
Selain itu, tempat perlindungan tersebut juga boleh dijadikan rumah kediaman untuk 30 anggota keluarga Kennedy dan kakitangan utama selama sebulan sekiranya serangan nuklear berlaku.
"Mereka telah menguji kubu itu dengan membawanya ke sini.
"Ia terletak sejauh 10 minit perjalanan dari pintu hadapan Palm Beach ke kawasan berkenaan," kata Pengurus Besar Muzium Maritim Palm Beach, Anthony Miller yang bertanggungjawab mengawal selia kawasan berkenaan.
Kennedy menjadi Presiden AS dari 20 Januari 1961 hingga 22 November 22 1963.
Beliau mati ditembak di Dallas oleh Lee Harvey Oswald.
- Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2lDqdk5AO 
Hakcipta terpelihara 

Bertarung nyawa untuk pergi ke sekolah

BEBERAPA orang pelajar perempuan berdiri di atas sebuah rakit buluh semasa mereka menyeberangi Sungai Ciherang di Banten kelmarin.


JAKARTA, Indonesia - Para pelajar di Kampung Cilangkap di wilayah Banten menggunakan rakit untuk pergi ke sekolah.
Sebuah rakit buluh boleh dinaiki sehingga empat orang pelajar.
Para pelajar tersebut akan berdiri di atas rakit itu semasa mereka menyeberangi Sungai Ciherang.
Rakit itu digunakan mereka untuk menyeberangi sungai tersebut sejak Januari lalu selepas sebuah jambatan runtuh akibat banjir. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2lDq8X5mY 
Hakcipta terpelihara 

Guna peti sejuk untuk menangkap ikan

DUA orang budak lelaki membersihkan pukat di dalam sebuah peti sejuk yang diubah suai menjadi bot di Tanauan, tengah Filipina semalam. - REUTERS


KAMPUNG TANAUAN, Filipina - Pada kebiasaannya, nelayan akan menyimpan hasil tangkapan di dalam peti sejuk, namun berlainan pula dengan mangsa Taufan Haiyan di sini.
Para nelayan itu mengunakan peti sejuk untuk dijadikan bot bagi tujuan menangkap ikan.
Taufan Haiyan yang telah mengorbankan lebih 3,000 orang itu telah menjejaskan punca pendapatan petani dan nelayan yang miskin.
Ia sekali gus menyebabkan kumpulan nelayan tersebut berusaha untuk memulihkan taraf kehidu- pan mereka semula.
Sebuah keluarga nelayan yang tinggal di selatan bandar Tacloban dan merupakan antara kawasan yang teruk dilanda taufan sejak 13 hari lalu telah menggunakan peti sejuk yang dijumpai dalam timbunan sampah untuk dijadikan bot.
Menurut seorang penduduk, Jimmy Obaldo, 52, idea untuk menggunakan peti sejuk itu datang daripada anaknya.
"Anak saya yang ingin mencuba menggunakan peti sejuk untuk pergi menangkap ikan.
"Sejak seminggu lalu, kami berjaya menangkap ikan, udang dan ketam dan dijual di pasar," ujar Obaldo.
Taufan Haiyan melanda wilayah tengah Filipina pada 8 November lalu yang dianggap sebagai salah satu taufan paling kuat di dunia.
Ia menyebabkan banyak kemusnahan di pulau-pulau yang terdapat di tengah Filipina. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2lDpKGkR7 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, November 20, 2013

Rumah sarat dengan perhiasan

RUMAH keluarga Walsh ditawarkan pada harga RM1.7 juta tetapi selepas 13 bulan diiklankan untuk dijual, masih tiada pembeli yang berminat.


LIVERPOOL, Britain - Sebuah rumah milik keluarga Walsh yang terletak di Crosby Street dekat sini menarik perhatian ramai kerana sarat dengan perhiasan.
Namun, keluarga berkenaan menyatakan, kediaman unik itu telah diiklan untuk dijual sejak beberapa bulan lalu.
Rumah enam bilik itu hampir tidak mempunyai ruang kosong termasuk di dalam tandas kerana setiap sudut kediaman tersebut dipenuhi pelbagai barang perhiasan seperti tembikar China, bingkai gambar dan pasu bunga.
Menurut seorang ejen hartanah, selepas 13 bulan rumah itu diiklan untuk dijual, masih belum ada sesiapa yang berani membeli kediaman tersebut.
"Sehingga kini, kami masih menunggu pembeli yang benar-benar berminat untuk membeli kediaman luar biasa ini," kata ejen hartanah itu.
Rumah berkembar tersebut dimiliki oleh Gillian Walsh, 56, bersama suami keduanya, David, 58, sejak tahun 1986. Dekorasi rumah tersebut berlatarbelakangkan kehidupan Gillian dan tiga orang anak daripada hasil perkahwinan pertamanya.
Pada Oktober tahun lepas, rumah tersebut telah ditawarkan pada harga £350,000 (RM1.7 juta) tetapi jumlah itu dikurangkan sebanyak £50,000 (RM256,703), menjadikan ia sebagai hartanah panas.
"Mereka sayangkan rumah itu tetapi kediaman tersebut terlalu besar untuk mereka berdua," kata seorang jiran pasangan berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2l8DoH0n6 
Hakcipta terpelihara 

Pemuda dilarang naiki pesawat, kapal lantaran terlalu gemuk


CHAIS dihalang daripada menaiki pesawat dan kapal dengan alasan dia terlalu gemuk.


NEW YORK - Hasrat seorang pemuda ingin menaiki penerbangan untuk pulang ke Perancis akhirnya tercapai selepas beberapa kali terhalang.
Kevin Chais akhirnya mendapat tiket penerbangan menuju ke London selepas beberapa syarikat penerbangan mendakwa dia terlalu gemuk untuk menaiki pesawat.
Chenais dan keluarganya ingin pulang ke negara asalnya selepas berada di Amerika Syarikat (AS) sejak Mei tahun lalu untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah hormon tidak seimbang.
Sebelum ini, syarikat penerbangan British Airways menyatakan, lelaki berusia 22 tahun dengan berat badan 230 kilogram (kg) itu terlalu gemuk untuk terbang.
Mereka pada mulanya ini menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Chicago tetapi gagal untuk mendapatkan tiket penerbangan.
Keluarga itu kemudian menghabiskan masa selama seminggu tinggal di hotel sehingga mereka kehabisan wang sebelum membuat keputusan untuk menaiki kapal pelayaran Queen Mary sebagai pilihan alternatif pulang ke Perancis.
Namun menurut abangnya, pihak pengurusan Queen Mary juga tidak membenarkan Chenais menaiki kapal mereka kerana faktor keselamatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2l8DFyeG6 
Hakcipta terpelihara