Pages

Saturday, October 12, 2013

Hasil lukisan guna teh, kopi


12 Oktober 2013
Hasil lukisan guna teh, kopi
Hasil lukisan guna teh, kopi


Hasil lukisan guna teh, kopi
Toni menggunakan bahan asas utama kopi dan teh untuk setiap lukisannya.
PENNSYLVANIA - AMERIKA SYARIKAT. Pelukis berbakat ini mahukan satu kelainan ketika menghasilkan lukisan.

Dipetik laporan DailyMail, Gerard Toni, 38, mendakwa dia mendapat idea untuk menggunakan kopi dan teh sebagai bahan asas utama dalam lukisannya sejak enam tahun  selepas mendapat inspirasi daripada cara penyediaan minuman panas  masyarakat Asia.

Menurutnya, dia turut mengambil masa selama beberapa bulan untuk menyiapkan lukisan yang dihasilkan daripada campuran kopi dan teh diimport dari seluruh dunia.

Selain itu, Toni juga menganggap kedai kopi sebagai sumber ilham utama untuk melukis.

"Kedai kopi adalah sebuah tempat menarik kerana kita boleh melihat gelagat  pengunjung  bersantai bersama rakan mereka," katanya.

Difahamkan, Toni turut berhadapan beberapa kesukaran yang sememangnya menguji kesabaran pelukis tersebut.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau menggunakan penstabil UV dan polyacrylic untuk mengekalkan warna kopi dan teh pada kanvas lukisan.

"Saya suka menghasilkan lukisan bersaiz besar kerana mudah diwarnakan," katanya. 

Gergaji kaki sendiri

Foto
ZHENG melakonkan semula aksi ketika dia memotong kakinya apabila terpaksa menggigit penggaru yang dibalut tuala bagi mengelak jeritannya didengari.
Foto
KEADAAN kaki Zheng selepas dipotong.

Beijing: Seorang lelaki di Hubei yang menghidap penyakit aneh bertindak menggergaji kaki kanannya menggunakan gergaji logam, pisau kecil dan penggaru yang dibungkus dengan tuala.

Menurut laporan terkini dalam Shijiazhuang News, Zheng Yanliang, 47, dari bandar Boading dikenali sebagai lelaki perkasa di bandar terbabit.


Bagaimanapun, tahun lalu dia menghidap penyakit teruk di perutnya sebelum ia beralih ke kakinya. Kesakitan dialami sangat menyakitkan hingga dia tidak mampu untuk berdiri sebelum disahkan menghidap trombosis arteri di kedua-dua belah kakinya.

Ujian angiogram menunjukkan semua arteri di kaki kanannya sudah tiada. Doktor memberitahu Zheng yang penyakit dihidapinya itu sangat jarang ditemui dan dia mungkin hanya dapat hidup tidak melebihi sebulan hingga menyebabkan isterinya menangis.


Sepanjang tiga bulan Zheng terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat hingga dia hampir pengsan.


Dia juga sering menjerit sehingga jiran tetangga tidak dapat tidur pada waktu malam. Tidak tahan lagi dengan kesakitan yang ditanggungnya, beberapa hari berikutnya selepas isterinya masuk tidur, Zheng menggunakan pisau, gergaji logam serta penggaru yang dibalut dengan tuala dan mula memotong kakinya.


Kira-kira 20 minit kemudian isterinya yang terjaga dari tidur terkejut melihat kaki kanan suaminya sudah dipotong 15 sentimeter dari paha. Gergaji logam yang digunakan juga patah dua. Bagaimanapun Zheng bernasib baik kerana tidak terdapat banyak darah ketika dia memotong kakinya itu ekoran penyakit trombosis dihidapi. Walaupun dia tidak lagi mengalami kesakitan di sebelah kaki yang sudah dipotong berkenaan, tetapi sakit di kaki kirinya pula kian buruk. Zheng kini meminta bantuan masyarakat sekeliling untuk mengumpul dana bagi membolehkan dia mendapatkan kaki palsu agar dia dapat meneruskan kehidupan dan menyara keluarganya. - Agensi

Mudah hilang ingatan jika perut buncit


 
Chicago: Orang yang berperut buncit mempunyai kemungkinan tiga kali ganda untuk hilang ingatan dan nyanyuk apabila tua, menurut kajian.

Saintis mendapati, orang yang ada banyak lemak pada perut mempunyai kadar protein lebih rendah, yang turut menentukan sejauh mana hati dapat memproses lemak.
Unsur dipanggil PPARalpha mengawal pemprosesan lemak dalam hati, selain berada dalam pusat ingatan otak - hippocampus – serta mengawal deria ingatan dan keupayaan belajar.

Apabila seseorang itu mempunyai berat berlebihan, mereka mula kehilangan PPARalpha di bahagian hati dan seterusnya di seluruh anggota tubuh, termasuk otak.

Dalam satu kerjasama dengan Institut Kesihatan Kebangsaan, saintis saraf di Universiti Medical Centre, di sini, percaya penemuan mereka akan membawa kepada ubat membantu mempertingkat keupayaan belayar dan daya ingatan golongan nyanyuk.


Dr Kalipada Pahan dari pusat perubatan Universiti Rush berkata: “Kita perlu untuk memahami lebih mendalam bagaimana lemak mempengaruhi daya ingatan dan keupayaan belajar untuk membangunkan cara melindungi ingatan dan keupayaan belajar.” - AGENSI

Pusat beli-belah berusia 2,700 tahun ditemui


Sekumpulan ahli arkeologi menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak sebuah struktur pusat beli-belah berusia 2,700 tahun di Argilos, utara Greece, baru-baru ini. - AGENSI
ATHENS 11 Okt. - Sekumpulan ahli arkeologi dari Kanada dan Greece menemui sebuah struktur pusat beli-belah tertua di dunia, berusia 2,700 tahun di tapak arkeologi di Argilos, utara negara ini, baru-baru ini.
Struktur dikenali sebagai portico itu merupakan binaan terbuka yang panjang, biasanya menempatkan rumah kedai dan memisahkan dataran awam dari bandar.
Pakar arkeologi dari Universiti Montreal, Dr. Jacques Perreault berkata, portico yang ditemukan di Argilos merupakan pusat beli-belah tertua di Greece dan sangat unik.
Perreault berkata, kerja-kerja penggalian dilakukan sejak Jun lalu dan ukuran panjang pusat beli-belah itu mencapai kira-kira 40 meter.
Jelasnya, pusat beli-belah terbuka itu mempunyai tujuh bilik dengan setiap satu berukuran 5 meter lebar dan 7.5 meter dalam, serta memiliki dinding setinggi 2.5 meter.
"Teknik pembinaan dan batu yang digunakan berbeza dalam setiap bilik, menunjukkan penglibatan beberapa tukang bina dalam pembinaan pusat beli-belah terbabit.
"Kajian ini juga menunjukkan setiap pemilik kedai mungkin bertanggungjawab membina bilik masing-masing yang menjadi ruang perniagaan peribadi," jelasnya.
Perreault berkata, struktur lama itu mempunyai sebuah kedai roti, sebuah kedai minyak zaitun dan sebuah kedai menjual ubat-ubatan serta peralatan solek yang masih belum dapat dipastikan.
Tapak arkeologi di bandar lama Argilos terletak di hujung Sungai Aegean dan pernah mencipta kegemilangan pada abad kelima sebagai bandar termasyur di rantau ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_04/Pusat-beli-belah-berusia-2700-tahun-ditemui#ixzz2hTJWPTuw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Trak sampah terbesar di dunia diperkenal


Trak gergasi, Belaz 75710 yang mempunyai ketinggian 7.9 meter dan 19.8 meter panjang, bakal diiktiraf sebagai trak sampah terbesar dunia. - Agensi
MINSK 11 Okt. - Syarikat automotif Belarus, Belaz menghasilkan trak sampah terbesar di dunia, yang menyamai berat 37 buah bas bertingkat, sekali gus bakal mencatat rekod Guinness Book of Records.
Trak yang dikenali sebagai Belaz 75710 didedahkan kepada umum hari ini, mempunyai ketinggian 7.9 meter dan panjang 19.8 meter serta mampu membawa kira-kira 450 tan sampah.
Trak gergasi itu juga mempunyai keupayaan mengangkut sampah melebih 90 tan, berbanding muatan yang boleh dibawa trak besar lain yang dihasilkan oleh Belaz.
Belaz 75710 turut dilengkapi dua enjin diesel berkembar dengan 4,600 kuasa kuda (bhp), menyamai empat buah kereta Bugatti Veyron SuperSports.
Walaupun membawa muatan penuh, kenderaan itu masih berupaya mendaki kawasan cerun tajam dengan kelajuan 40 kilometer sejam.
Selain itu, trak Belaz 75710 dicipta dengan keupayaan bekerja di kawasan yang mempunyai suhu sehingga 50 darjah celsius serta di lokasi yang mempunyai ketinggian 4,876 meter.
Trak gergasi berkenaan akan mula dijual pada 2015 dan kini masih diuji di tapak perlombongan arang batu di Bachatsky, Siberia yang merupakan kawasan perlombongan paling teruk dan sukar di dunia. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_02/Trak-sampah-terbesar-di-dunia-diperkenal#ixzz2hTDUweV7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, October 11, 2013

Kisah hamba Allah beribadah 500 tahun

Detik Islam,11 Okt 2013

Dari Jabir RA berkata bahawa Rasulullah SAW. telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah SAW katanya; “Wahai Muhammad, demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang lebar, panjangnya bukit itu 30 puluh hasta kali 30 hasta dan disekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru.”

Dan di situ Allah SWT mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit dan Allah SWT juga telah menghidupkan sebuah pohon delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya, setelah itu ia pun sembahyang. Dalam sembahyang ia telah meminta kepada Allah SWT supaya mematikannya ketika ia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh Bumi atau apa-apa saja sehingga tibanya hari kebangkitan. Maka Allah SWT pun menerima permintaanya.

Berkatalah malaikat lagi; “Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud, kami mendapat dalam ilmu bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah SWT lalu Allah SWT menyuruh Malaikat - masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku.” Maka berkata orang itu; “Dengan disebabkan amalku?” Maka Allah SWT menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah SWT berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, yakni nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah SWT berfirman: “Masukkan ia ke dalam neraka”. Apabila ia ditarik ke neraka maka ia pun berkata: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatmu.” Lalu Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Bawakan ia ke mari”.

Kemudian Allah SWT bertanya orang itu; “Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada.” Lalu orang itu menjawab; “Engkau ya Allah.” Kemudian Allah SWT bertanya lagi; “Apakah itu kerana amalmu atau rahmatku?” Jawab orang itu; “Ya Allah, dengan rahmatmu.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siaapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?” Jawab orang itu; “Engkau ya Allah.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?”

Lalu orang itu berkata; “Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukanya.”

Allah SWT berfirman; “Maka semua itu adalah dengan rahmatku dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatku.” Malaikat Jibrail berkata; “Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah SWT.”

Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah SWT berikan pada hambanya. Oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah SWT sebaliknya memohonlah dengan rahmatnya.

Hanya dengan rahmat Allah SWT sajalah seseorang itu dapat memasuki syurganya. Apabila kita memohon kepada Allah SWT supaya dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatnya maka mintalah supaya Allah SWT memasukkan kita dengan rahmatnya ke dalam syurga Firdaus.

http://detikislam.blogspot.com

Padah nak cantik

Foto
WAJAH Xiao yang bengkak (kanan).
Beijing: Seorang wanita yang cuba mendapatkan suntikan untuk menggebukan pipinya di pusat rawatan haram selepas diberitahu majikannya yang mukanya cengkung kini mengalami kecacatan.
Xiao Lian dari Gansu, China hanya berusia 17 tahun apabila dia mendapatkan suntikan menggebukan pipinya.

Pada mulanya Xiao gembira dengan keputusan suntikan itu tetapi lima tahun kemudian, dia mula menghadapi masalah. Kini mukanya yang bengkak menyebabkan dia kelihatan lebih tua berbanding usia sebenarnya iaitu 28 tahun.
Xiao sentiasa bencikan mukanya yang cengkung dan komen majikannya di kedai tempat dia bekerja sambilan menjadi pendorong untuk dia mengubah penampilannya.

“Muka kamu sangat cengkung dan kamu nampak macam orang miskin. Wajah kamu ini menyebabkan golongan kaya tidak mahu ke kedai ini,” kata majikannya sebagaimana dipetik daripada Guilin Life News.

Xiao kemudian memutuskan untuk mendapatkan prosedur untuk menggebukan pipinya.

Namun ketika dia bertanya di klinik pembedahan plastik, kos prosedur itu terlalu mahal dan dia tidak mampu untuk melakukannya.

Ekoran kekecewaannya, rakan Xiao membawanya ke sebuah klinik lain yang berjanji akan menawarkan prosedur sama dengan harga lebih murah.
Kali ini dia mampu untuk melakukan prosedur itu. Doktor yang menjalankan rawatan itu kelihatan mahir walaupun klinik terbabit tidak mempunyai lesen beroperasi yang sah.

Doktor terbabit menyuntik muka Xiao sebanyak 10 kali dalam tempoh sebulan. Pada awalnya, suntikan itu benar-benar menggebukan pipinya dan dia amat gembira dengan keputusan yang diperoleh itu. Bagaimanapun, pada 2009 ketika dia berusia 24 tahun, mukanya mulai bengkak. Hidung, mata dan bentuk wajahnya juga mula berubah. Pada awal tahun ini, muka Xiao betul-betul bengkak, matanya melendut dan rambutnya juga mulai gugur.

Dia pergi mendapatkan nasihat doktor di hospital dan turut menjalani ujian yang menunjukkan selama ini dia diberi suntikan gel hydrophilic polyacrylamide. Bahan itu sebelum ini digunakan untuk membesarkan payudara, tetapi kini diharamkan di China untuk penggunaan pembedahan kosmetik selepas didapati bertoksik.

Xiao benar-benar trauma dengan apa yang berlaku hingga dia pernah terfikir untuk membunuh diri.

Kini, dia menjalani pembedahan memperbaiki wajahnya di pusat pembedahan kosmetik di Guangzhou.

Doktor memberitahunya disebabkan bahan bertoksik itu masih ada dalam tubuhnya untuk tempoh lama, maka sukar untuk memulihkan prosedur asal itu. - Agensi

Planet di luar sistem solar


Saintis menemui sebuah planet di luar sistem solar yang diberi nama PSO J318.5-22. - AGENSI
WASHINGTON 10 Okt. - Saintis menemui sebuah planet di luar sistem solar yang berada terpencil di angkasa dan tidak mempunyai orbit pada mana-mana bintang.
Planet yang diberi nama PSO J318.5-22 itu berada pada kedudukan 80 tahun cahaya dari bumi dan enam kali lebih besar daripada planet Jupiter.
Ia dipercayai terbentuk kira-kira 12 juta tahun lalu dan dianggap sebagai planet baharu.
Ketua saintis dari Institut Astronomi di Universiti Hawaii, Micheal Liu berkata, beliau tidak pernah melihat sebuah planet terapung di angkasa tanpa orbit.
"Planet terbabit mempunyai ciri-ciri seperti planet baharu dalam kalangan bintang lain, tetapi ia bergerak tanpa arah di angkasa.
"Selama ini saya percaya wujudnya planet sedemikian dan penemuan terbaharu ini membuktikan ia benar-benar wujud," katanya.
Saintis mengesan planet berkenaan menggunakan teleskop peninjau, Pan-STARRS 1 yang ditempatkan di gunung berapi Haleakala di pulau Maui, Hawaii.
Menurut saintis, planet PSO J318.5-22 menunjukkan wujud planet berjisim rendah yang menyebabkan ia terapung dan bergerak bebas.
Sejak 10 tahun lalu, saintis menemui kira-kira 1,000 planet di luar sistem solar termasuk sejumlah planet yang tidak mempunyai orbit. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131011/lu_04/Planet-di-luar-sistem-solar#ixzz2hMVnD5sw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pistol tembusi mulut peserta perarakan



BEBERAPA pucuk pistol menembusi pipi seorang peserta perarakan Festival Sayur-Sayuran di Phuket, Thailand semalam.- AFP


PHUKET - Seorang peserta perarakan Festival Sayur-Sayuran di sini mempamerkan pipinya yang ditembusi beberapa pucuk pistol semalam.
Festival itu diadakan selama sembilan hari sejak 5 Oktober lalu.
Ia merupakan antara program yang menjadi daya tarikan pelancong asing dan tempatan di sini.
Terdapat juga pedang dan batang besi yang ditusuk menembusi pipi para peserta perarakan itu.
"Ia bukannya suatu muslihat. Aksi itu adalah betul," kata Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand di Phuket, Chanchai Doungjit.
Ribuan orang berbaris di sepanjang laluan perarakan itu bagi menyaksikan aksi-aksi tersebut.
Perarakan itu diadakan bagi membebaskan roh jahat selain membawa kekayaan kepada komuniti tempatan.
Festival itu bermula pada tahun 1825 di sini bagi memberikan perghormatan ke atas dewa Cina. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2hMU3ABTQ 
Hakcipta terpelihara 

Telefon bimbit melengkung pertama di dunia dijual



SEORANG model memegang dua telefon melengkung keluaran Samsung, Galaxy Round di Pameran Elektronik dan Industri IT di Goyang, utara Seoul semalam.- afp


SEOUL - Telefon pintar pertama Samsung yang menampilkan skrin melengkung memasuki pasaran Korea Selatan semalam.
Pembekal perkhidmatan wayarles Korea Selatan, SK Telecom memberitahu, gajet Galaxy Round yang mempunyai skrin 14.4 sentimeter dan berbentuk sedikit bulat itu mula dijual pada waktu tengah hari.
Ia merupakan telefon bimbit pertama di dunia mempunyai skrin melengkung.
Menurut Samsung kelmarin, telefon pintar baharu itu dijual pada harga sekitar AS$1,000 (RM3,191).
Ia tidak menyatakan tarikh gajet yang dilengkapi sistem pemprosesan empat teras berkapasiti 2.3 GHz itu berada di pasaran global.
Telefon itu dilengkapi dengan sistem Android milik Google.
"Paparan Galaxy Round melengkung supaya ia mudah dipegang dan selesa apabila diletakkan di telinga dan pipi ketika bercakap," menurut syarikat SK Telecom dalam satu kenyataan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2hMTgbr3M 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, October 10, 2013

61 tahun guna ‘paru-paru’ besi


New York: Seorang wanita Amerika Syarikat menghabiskan 61 tahun hidup dalam tiub besi untuk terus bernafas selepas penyakit polio menyebabkan dia lumpuh.

Martha Mason terbaring dalam tiub yang digelar sebagai paru-paru besi yang berfungsi sebagai sejenis pengalih udara, menambah dan mengurangkan tekanan udara bagi mengembang dan mengecutkan paru-paru Martha kerana ototnya amat lemah. Martha terbaring dalam silinder besi berukuran 2 meter panjang dan seberat 362 kilogram itu, membaluti tubuhnya kecuali kepala.


Martha lumpuh ketika berusia 11 tahun selepas menghidap polio sejurus selepas wabak itu membunuh adik lelakinya, Gaston.

Selepas adik lelakinya dikebumi, Martha menyedari yang dia juga menghidap simptom sama, tetapi merahsiakan kebimbangannya untuk tidak membuat ibu bapanya sedih.


Dalam bukunya ‘Bernafas: Hidup Dalam Rentak Paru-Paru Besi,’ Martha menulis: “Saya tahu saya menghidap polio. Saya tidak mahu orang lain tahu mengenainya. “Sehari sebelum itu saya dengar ibu bercakap dengan rakannya mengenai paru-paru besi yang dipakai Gaston. “Saya tahu saya tidak akan berdepan kesukaran itu kerana saya ada paru-paru yang sihat.” Dalam video dirakam sebelum kematiannya pada 2009, Martha berkata: “Saya sering berfikir bagaimana perasaan ibu bapa saya apabila saya jatuh sakit - mereka turut mengebumikan satu-satunya anak lelaki mereka. “Orang lain dan saya sendiri menyangka ibu bapa saya akan hidup lebih lama daripada saya. Doktor berkata, paling lama pun, saya hanya akan hidup setahun, tetapi sehingga hari ini saya masih hidup. Terima kasih kepada paru-paru besi itu.” Mereka yang menulis mengenai kisah hidupnya berkata, semangat dan keinginan Martha untuk menjalani kehidupan biasa adalah kunci kepada umur panjangnya.


Walaupun mengalami keadaan yang sukar, Martha yang dilahirkan pada 1937 dan tinggal di Lattimore, North Carolina berjaya menamatkan pembelajaran sekolah menengah dengan keputusan terbaik, selain turut menganjurkan parti makan malam.

Foto
MARTHA memilih untuk kekal dalam paru-paru besi kerana ia memberinya kebebasan.

Foto
MARTHA dibantu dua pembantunya sepanjang hidup dalam mesin paru-paru besi.
Dalam video itu Martha berkata: “Hidup seperti ini sudah menjadi perkara biasa buat saya saya tidak pernah memikirkan mengenainya.” “Mesin ini berfungsi daripada gegendang telinga saya seperti beg udara besar. Terdapat kaedah lain pengalihan udara, tetapi saya memilih untuk tidak melakukannya. - Agensi

Harimau Sumatera dibedah



AP
BEBERAPA pakar perubatan haiwan melakukan pembedahan ke atas seekor harimau Sumatera di Zoo Sacramento, California kelmarin.


SACRAMENTO, California - Seekor harimau Sumatera yang berusia 15 tahun menjalani pembedahan di Zoo Sacramento di sini kelmarin.
Harimau yang bernama Castro itu mengalami masalah pundi kencing tersumbat akibat batu karang.
Pembedahan itu dilakukan adalah untuk memasukkan tiub dari buah pinggangnya ke pundi kencing.
Kira-kira 30 pakar perubatan haiwan terlibat dalam pembedahan tersebut yang berjaya dilakukan.
Kos untuk melakukan pembedahan itu ialah AS$10,000 (RM31,947).
Namun, disebabkan terdapat sumbangan peralatan untuk pembedahan itu, kos tersebut hanya berjumlah AS$2,000 (RM6,388). - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1010&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2hGf8ToOn 
Hakcipta terpelihara 

Keputusan DNA dapati tengkorak bukan milik bekas Raja Perancis


AP
GAMBAR yang dirakamkan pada tahun 1930-an menunjukkan tengkorak manusia yang 
disangka milik Raja Henry IV.


LONDON - Satu tengkorak manusia yang mempunyai kesan kecederaan didapati sekumpulan penyelidik Perancis sebagai bukan milik bekas Raja Perancis abad ke-17, Raja Henry IV seperti didakwa tiga tahun lalu.
Kesimpulan awal yang dibuat tiga tahun lalu berdasarkan kepada pembentukan semula teknik-teknik muka dan tanda-tanda pada tengkorak yang seakan- akan sama dengan kecederaan yang dialami oleh raja itu.
Namun, laporan kajian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati, tiada padanan genetik antara tengkorak itu dan tiga saudara lelaki Raja Henry IV yang masih hidup.
Kajian itu telah diterbitkan secara online dalam European Journal of Human Genetics semalam.
"Adalah mustahil tengkorak itu milik Henry IV," kata salah seorang pengkaji yang juga Profesor Emeritus di Universiti Leuven, Jean-Jacques Cassiman.
Kajian yang sama juga mendapati, DNA itu tidak sepadan dengan sampel yang terdapat dalam rekod keluarga diraja itu.
Henry IV merupakan salah seorang raja yang disayangi rakyat.
Ia berjaya membawa keamanan di negara tersebut dan memerintah pada tahun 1589 hingga 1610.
Tengkorak itu kini disimpan di dalam bilik kebal sebuah bank sementara menunggu untuk dikebumi- kan semula. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1010&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2hGdpaDuW 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, October 9, 2013

Jam tangan kira detik ajal



JAM tangan Tikker direka untuk meramal dan mengira detik kematian seseorang.


STOCKHOLM, Sweden - Sebelum ini terdapat laman web yang boleh meramal bila ibu bapa anda akan mati.
Kini terdapat sejenis jam tangan yang bukan sahaja meramal tarikh kematian seseorang tetapi mengira detik waktu tersebut.
Sebuah akhbar melaporkan jam tangan jenama Tikker itu membuat ramalan tersebut berpandukan maklumat kesihatan yang diisi oleh pemiliknya.
Selepas data diisi, jam tangan Tikker akan memulakan pengiraan detik kematian individu tersebut.
Gajet yang juga dikenali sebagai 'jam tangan kematian' itu dicipta oleh pereka dari Sweden, Frendrik Colting.
"Saya mereka jam tangan elektronik ini bukan untuk menakutkan pengguna," kata Colting.
"Sebaliknya, saya mahu mereka lebih menghargai kehidupan dan masa yang mereka ada," tambahnya.
Skrin atas jam digital itu memaparkan tahun, bulan dan hari manakala paparan bawah mempunyai kiraan detik jam, minit dan saat.
Jam tangan itu yang didatangkan dengan warna putih dan hitam, dijual di pasaran pada harga sekitar AS$59 (RM188). - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2hAovHWNO 
Hakcipta terpelihara 

Mesej dalam botol mengembara 9,600km


TATREAU (kanan) bersama pelajar yang menemui botol berkenaan, Javier Sanchez.- Agensi


BANDAR RAYA SALT LAKE – Seorang wanita Amerika Syarikat, Britannie Penrose beransur pulih daripada kanser otak apabila dia dan sahabatnya, Aaron Lanari memasukkan sepucuk surat ke dalam botol dan melemparkannya ke dalam laut.
Botol berisi mesej penuh emosi yang ditulis oleh wanita yang bertarung dengan penyakit barah itu hanyut lebih 9,600 kilometer (km) dari tempat ia dibuang.
Mereka membuang botol itu di Jeti Oceanside, dalam negeri California pada tahun 2010 ketika kedua-duanya berusia 24 tahun.
Brittanie lupa tentang perkara itu sehingga Khamis lalu apabila botol tersebut ditemui di Pulau Guam di barat Lautan Pasifik.
Botol itu dijumpai di sebuah pantai di Guam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, Javier Sanchez.
Gurunya, Linda Tatreau kemudian membawa botol itu ke Sekolah Tinggi George Washington di Guam dengan satu perhimpunan diadakan untuk mengetahui kandungan di dalamnya.
“Pelajar saya kerap menemui botol berisi surat di tepi pantai di Guam,” kata Tatreau.
Dalam suratnya, Penrose menggesa orang ramai supaya berusaha untuk mengejar impian mereka sebelum terlambat. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2hAoZNPh5 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki berumah di atas pokok epal



BURROUGH sanggup berumah di atas sebatang pokok epal berusia 150 tahun bagi mengelakkan pohon tersebut ditebang.


GLOUCESTERSHIRE, Britain - Seorang aktivis , Rowan Burrough tinggal di atas pohon epal berusia 150 tahun untuk mengelakkan pokok itu ditebang bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah mewah di sini.
Tindakan Burrough, 44, mendapat sokongan penduduk tempatan yang memberikannya sup, sandwic dan air sepanjang protes tersebut.
Namun, kontraktor projek perumahan itu sempat mencantas dahan-dahan pokok epal berkenaan baru-baru ini.
Ketika kejadian, Burrough pulang sekejap ke rumahnya untuk tidur selama beberapa jam pada pukul 3 pagi.
"Terdapat kesedaran dalam kalangan masyarakat Britain berhubung kepentingan untuk memulihara pokok-pokok dan dusun di negara ini," kata Burrough.
"Secara peribadi, saya lebih rela pokok ini dipulihara daripada ia ditebang," tambahnya.
Dalam pada itu, polis tempatan memberitahu, aktivis berkenaan tidak ditangkap kerana pihak kontraktor mahu isu tersebut diselesai secara baik. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2hAndAH47 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, October 8, 2013

Kopi luwak, musang jadi mangsa

Kopi luwak, musang jadi mangsaMusang dipaksa makan biji kopi pada jumlah yang banyak setiap hari bagi memastikan kapasiti najis untuk menghasilkan pengeluaran kopi luwak dapat ditampung.

PENGEMAR  kopi pastinya mengetahui asal usul kopi luwak. Kopi paling mahal itu dikatakan mampu mencecah harga sehingga 60 pound (RM307) secawan atau 300 pound (RM1,500) sekilo di Harrods, London.
Namun, ramai tidak mengetahui bagaimana kopi itu dihasilkan.

Kopi luwak dihasilkan melalui najis musang Asia yang banyak terdapat di Indonesia dan Filipina. Najis dan biji itu kemudiannya, diasingkan dan kopi tadi dipanggang bagi menghasilkan aroma menarik, tidak berasid dan rasanya lebih lembut. 

Seorang pengusaha kopi luwak di Indonesia menjelaskan, musang biasanya disimpan dalam sangkar selama kira-kira tiga tahun bagi menggelakkan terdedah kepada asap rokok dan diberi nutrisi serta vitamin terbaik.

Siaran BBC baru-baru ini mendedahkan, musang-musang itu dikurung dalam kandang kotor dengan ruangan terhad.

“Musang-musang ini bakal mengalami tekanan mental akibat dikurung selama tiga tahun. Dalam usaha mengekalkan permintaan kopi di pasaran antarabangsa, sedarkah kita bahawa musang-musang ini menjadi mangsa,” menurut laporan berkenaan.

Jurucakap pengedar kopi Sari Makmur berkata, mereka tidak boleh membebaskan musang-musang itu kerana tidak boleh melanggar polisi syarikat.

“Kami perlu memastikan musang terjaga demi mengekalkan hasil permintaan kopi di pasaran Britain dan Eropah,” katanya dipetik Daily Mail

Aktivis haiwan Britain,  Mimi Bekhechi menyelar tindakan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan serta kejam.

“Kami sarankan Harrods selaku mengimport utama perlu memboikot syarikat pengeluar yang tidak menyediakan tempat selesa untuk musang-musang ini.

Jangan hanya kerana ingin mengaut keuntungan, nasib haiwan-haiwan ini tergadai,” katanya.

Lelaki cemburu cerai isteri cium kuda


Riyadh: Seorang lelaki Arab menceraikan isterinya kerana cemburu wanita itu mencium kuda menerusi gambar dalam laman sosial.

Lelaki itu menceraikan isterinya selepas melihat gambar wanita itu mencium haiwan itu di ladang kuda di Riyadh.
Wanita itu yang enggan dikenali memberitahu tidak menyesal dengan insiden terbabit.

Menurutnya, lelaki itu terus menceraikannya selepas melihat gambar yang dihantarnya ke laman sosial.


“Saya tidak sedih dengan perceraian ini kerana lelaki itu tidak dapat membezakan antara haiwan dan manusia,” katanya kepada akhbar Sada.


Wanita terbabit bangga berkongsi gambar itu menerusi laman sosial kerana menyayangi haiwan negara itu. - Agensi

Pokok fir dalam menara kaca di Kazakhtan


KEDIAMAN berdinding kaca ini dibina jauh dari kesibukan kota raya.


ALMATY - Sebuah rumah kaca dibina mengelilingi sebatang pokok fir setinggi lebih 12 meter di sebuah kawasan hutan di Kazakhstan.
Kediaman unik itu dibina sebagai tempat percutian idaman jauh daripada kesibukan kota raya.
Dinamakan 'Pokok Dalam Rumah' itu dibina di sebuah hutan kawasan pergunungan dekat sini.
"Rumah dinding kaca empat tingkat ini mempunyai empat tiang besi dan dihubungkan dengan tangga berbentuk lingkaran,"kata arkiteknya, Aibek Almasov.
Kediaman mesra alam tersebut katanya, dibina untuk seorang ahli perniagaan tempatan berusia 38 tahun pada tahun lalu.
Di kelilingi oleh pokok fir, rumah kaca itu dibina dengan kos mencecah £240,000 (RM1.2 juta). - Agens


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1008&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2h4zLlTwq 
Hakcipta terpelihara 

Berlian putih dilelong RM87 juta di Hong Kong



BERLIAN putih yang berjaya dibida oleh seorang pembeli dari Afrika semalam.


HONG KONG - Sebutir berlian putih seberat 118 karat yang mempunyai saiz sebesar sebiji telur ayam dijual pada harga AS$27.3 juta (RM87 juta) dalam satu acara lelong di sini.
Berlian itu berjaya dibida oleh seorang pembeli dari Afrika menerusi panggilan telefon pada malam semalam.
Nilai tersebut mengatasi rekod lelongan berlian putih yang dijual pada Mei lalu oleh firma lelongan Christie di Geneva dengan harga AS$26.7 juta (RM85.2 juta).
Kemuncak acara lelong di Hong Kong itu turut tertumpu kepada berlian biru seberat 7.6 karat yang dijual pada harga AS$16.1 juta (RM51.4 juta).
Bagaimanapun, kedua- dua permata tersebut dijual kurang daripada nilai anggaran asal. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1008&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2h4yC7fbu 
Hakcipta terpelihara 

Monday, October 7, 2013

Separuh kepala hilang

Foto
ABDUL Hadi memerlukan perhatian 24 jam.
Foto
MARIAM membuang kahak anaknya.

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Seorang ibu tunggal hanya mampu menahan linangan air mata berikutan perlu menjaga anak lelakinya yang ‘hilang’ tempurung kepala akibat kemalangan sejak setahun lalu.

Mariam Long, 49, berkata, anaknya Abdul Hadi Abd Halim 19, hanya mampu terbaring dan perlu diberi perhatian sepanjang masa termasuk urusan makan minum di rumah mereka di Kampung Kedai 4, Sungai Kota, Tanjung Piandang, di sini.

Katanya, kemalangan berlaku pada jam 9.45 pagi 5 Disember lalu apabila anaknya yang menunggang motosikal ke Sungai Nyor, Pulau Pinang dirempuh kereta.

“Anak saya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Pulau Pinang selama dua minggu dan terpaksa dibuang tempurung kepalanya akibat kecederaan dalaman di beberapa bahagian dalam kepalanya.



“Saya terus terduduk menangis ketika itu kerana tidak percaya kecederaan yang dialami anak begitu parah. Saya terpaksa merelakan pembedahan membuang tempurung kepala itu bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya.


Menurutnya, dia mulanya tidak berani menatap wajah anaknya selepas pembedahan, namun naluri keibuan di dalam dirinya menyebabkannya menguatkan semangat untuk melihat dari dekat.

“Saya kini berkorban masa, tenaga dan wang untuk menguruskannya setiap hari. Sedikit pun saya tidak terasa beban dan menganggapnya ketentuan Ilahi.

“Anak saya perlu perhatian 24 jam kerana hanya terlantar dan tidak mampu melakukan sebarang pergerakan. Segala urusan harian seperti mandi, menukar lampin dan makan perlu dilakukan dengan dibantu seorang lagi anak Muhammad Faiz, 23, yang mengalami masalah kecacatan pendengaran,” katanya.

Dia dan anak lain bergilir-gilir membuang kahak di dalam rongga leher Abdul Hadi yang ditebuk berikutan bimbang menyebabkan anaknya tersedak.

“Bukan itu saja, tangan dan kakinya juga perlu digerakkan supaya tidak menjadi kaku. Kos rawatan bulanan anak termasuk susu khas dianggarkan mencecah sehingga RM1,000 sebulan.

“Mujurlah saya menerima wang pencen arwah suami Abdul Halim Ismail yang pernah bertugas sebagai tentera,” katanya.

Dia juga menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selagi hidup saya akan terus menjaganya dan berharap dia kembali pulih sepenuhnya,” katanya yang turut memelihara seorang lagi anak orang kurang upaya (OKU), Norhayati Abdul Halim, 16,” katanya.

Kabsa punca mati pucuk

Foto
NASI Kabsa
Riyadh: Seorang doktor Saudi memberi amaran juadah nasi Kabsa jika dimakan secara berlebihan boleh mengakibatkan mati pucuk.
Dr Ahmed Al Saga, perunding di Hospital Al Nour di bandar raya Makkah, berkata terdapat kepercayaan memakan lemak dan makanan berkolesterol tinggi boleh meningkatkan kebolehan seksual lelaki.

“Kebanyakan orang percaya makan Kabsa bersama makanan berlemak dan berkolesterol tinggi membolehkan mereka menjalani kehidupan seksual lebih baik.
“Kepercayaan itu salah sama sekali...ia sebenarnya sebaliknya,” katanya kepada akhbar Saudi yang berpusat di London.

Menurutnya, pengambilan makanan berkenaan akan menyebabkan lebih banyak darah dalam tubuh mengalir ke perut. “Ini menyebabkan perasaan malas dan letih. Keadaan ini turut menghalang darah daripada sampai ke kemaluan dan memberi kesan teruk pada jangka panjang,” katanya.

Kabsa ialah nasi yang dicampur dengan lemak dan minyak, ayam atau daging dan rempah-ratus.

Ia menjadi juadah istimewa di Arab Saudi dan negara Arab lain. - Agensi

Mentega kacang kurangkan risiko barah

Mentega kacangPENGAMBILAN mentega kacang dua kali seminggu mampu mengurangkan risiko barah payu dara.

Kajian Fakulti Perubatan Universiti Washington di St Louis dan Fakulti Perubatan Harvard menemui kaitan kukuh terutamanya kepada remaja perempuan yang makan kacang ketika berumur antara sembilan dan 15 tahun.

"Selain itu, penemuan itu menunjukkan mentega kacang boleh mengurangkan risiko barah di kalangan wanita berumur 30 tahun," menurut Pengarah Bersekutu Pencegahan dan Kawalan Barah di Pusat Barah Siteman Hospital Barnes-Jewish, Dr Graham Colditz.

Difahamkan, keputusan itu diperoleh berdasarkan kajian dijalankan ke atas 9,039  wanita berumur 18 hingga 30 tahun di Amerika Syarikat secara dua peringkat antara 1996 dan 2010.

Menurut Daily Mail, ia jelas menunjukkan pengambilan mentega kacang dua kali seminggu sebenarnya dapat mengurangkan risiko menghidap  barah payu dara sehingga 39 peratus berbanding  individu yang tidak pernah memakannya.

Kambing dua wajah

Kambing dua wajahKambing dua wajah ini menjadi tumpuan penduduk tempatan di Whiting.
MONTPELIER - AMERIKA SYARIKAT. Seorang petani terkejut apabila mendapati seekor daripada lapan kambingnya dilahirkan dengan dua kepala di ladang Whiting, Vermont.

Kristen Quesnel berkata kepada Daily Mail, kambing itu mempunyai dua kepala, dua telinga, empat mata dan satu otak.

“Dari lapan kambing yang beranak, hanya seekor mengalami kecacatan namun disahkan sihat oleh veterinar,” katanya.

Menurutnya, segala gerak geri anak kambing itu berlaku serentak memandangkan ia mempunyai satu fungsi otak.

“Kambing itu makan dengan kedua-dua mulut. Perlakuannya mencuit hati apabila segala pergerakan seperti makan, minum dan tidur berlaku serentak.

Dipaksa gugur kandungan

Dipaksa gugur kandunganLiu bersama baldi mengandungi janin di hospital.

SHANDONG - REPUBLIK CHINA. Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Perancangan Keluarga bertindak kejam apabila memaksa seorang wanita menggugurkan kandungannya berusia enam bulan di daerah Fangza, wilayah Weifang.

Menurut laporan Daily Mail, tindakan itu dilakukan selepas pihak terbabit mendapati pasangan Liu Xinwen, 33, dan suaminya Zhou Guoqiang melanggar dasar kerajaan Republik China yang menggariskan sebuah keluarga hanya dibenarkan mempunyai seorang anak sahaja.

Zhou berkata, kumpulan pegawai itu menyerbu ke rumahnya pada jam 4 pagi lalu membawa isterinya ke lokasi tidak diketahui.

“Mereka mengheret isteri saya keluar rumah tanpa dimaklumkan ke mana. Selepas lima jam, saya diberitahu isteri berada di Hospital Rakyat Fangzi.

Malangnya, ketika tiba di hospital, dia telah diberi suntikan pelali dan bayi dalam kandungannya meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, pihak hospital kemudiannya meletakkan janin anak tersebut ke dalam baldi bersebelahan isterinya yang masih separuh sedar.

“Pihak hospital memaksa kami menandatangani surat persetujuan pengguguran. Jika ingkar, mereka akan menahan saya tanpa dibicarakan,” katanya. 

Sunday, October 6, 2013

Madonna belajar al-Quran

LOS ANGELES 5 Okt. - Ikon pop Amerika Syarikat (AS), Madonna mendedahkan dia kini sedang mempelajari al-Quran.
Penyanyi berusia 55 tahun itu berkata, mempelajari kitab suci al-Quran adalah penting kerana semua agama mengajar kebaikan.
"Bagi saya adalah penting untuk mempelajari semua kitab suci, terutamanya al-Quran, kerana setiap agama mengajar kita untuk menjadi baik," katanya dalam satu artikel yang disiarkan dalam majalah fesyen Harper's Bazaar.
Madonna berkata, dia kini turut menyalurkan dana untuk membina sekolah bagi kegunaan kanak-kanak perempuan di negara-negara Islam.
Dalam wawancara tersebut, penyanyi kelahiran Michigan itu turut mendedahkan dia pernah mengalami pelbagai peristiwa pahit termasuk menjadi mangsa rogol.
Katanya, ketika kejadian dia diacukan pisau oleh mangsa sebelum dirogol.
"Kejadian berlaku ketika saya masih remaja dan baru tiba di bandar raya New York, dan peristiwa hitam itu berlaku di atas bumbung pangsapurinya.
"Tinggal di New York bukanlah seperti yang saya gambarkan sebelum ini dan bandar tersebut tidak mengalu-alukan kedatangan saya," ujarnya.
Bagaimanapun, Madonna tidak mendedahkan maklumat lanjut tentang kejadian rogol tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131006/lu_05/Madonna-belajar-al-Quran#ixzz2gtTcdDuH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, October 5, 2013

60 spesies baharu ditemui di hutan Surinam





KINGSTON, Jamaica - Sekumpulan sainstis dan ahli ekologi antarabangsa dikatakan telah menemui kira-kira 60 spesies baharu di hutan Surinam. Ini termasuklah enam spesies katak dan 11 ikan yang baharu.
Salah seorang saintis terlibat, Trond Larsen daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pemuliharaan Antarabangsa memberitahu, pasukannya mendokumentasi dan mengkaji sumber-sumber air bersih di hutan tebal Surinam yang terletak berhampiran sempadan Brazil.
Pemuliharaan Antarabangsa telah melakukan kajian selama bertahun-tahun di hutan Surinam yang mempunyai keluasan 162,265 kilometer persegi di bahagian utara Amerika Selatan.
Antara spesies yang dianggap baharu kepada sains termasuklah seekor katak berwarna coklat yang diberi nama 'katak koko' serta seekor katak daripada keluarga katak beracun.
"Walaupun banyak populasi katak mengalami kepupusan di seluruh dunia, penemuan spesies baharu ini amat mengujakan," kata Larsen.
Pasukan saintis itu turut mendokumentasikan sejenis ikan keli atau tetra berwarna-warni dan enam spesies ikan lain di sebatang sungai.
Mereka mengumpul data 1,378 spesies tumbuhan, burung, mamalia, serangga, ikan dan amfibia. Kumpulan tersebut dibantu oleh 30 Orang Asli untuk meneroka hutan tebal Surinam. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1005&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2gndcG0eU 
Hakcipta terpelihara 

Friday, October 4, 2013

Gunung berapi gergasi ditemuidi Marikh


LOS ANGELES - Para saintis di Amerika Syrikat (AS) di sini telah menemui beberapa kawasan baharu rangkaian gunung berapi gergasi purba di planet Marikh semalam.
Gunung berapi purba itu didakwa menyamai kawah gunung berapi Caldera di Taman Negara Yellowstone di sini.
Kawah gunung berapi sebelum ini pernah ditemui di satu kawasan lain di Marikh yang dipercayai telah aktif pada berbilion tahun dahulu.
Apa yang membezakan rangkaian gunung berapi gergasi itu adalah ia ditemui di kawasan tanah tinggi di utara planet terbabit. Ia merupakan satu kawasan yang sebelum ini tidak pernah diketahui sebagai aktif.
Hasil kajian ke atas beberapa imej yang dirakamkan kapal angkasa di Marikh, para penyelidik di Muzium Sejarah Semula Jadi London dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mendapati, sekurang-kurangnya satu gunung berapi yang besar di situ.
Bukti-bukti lain yang ditemui ialah kepulan asap tebal daripada muntahan lahar dan debu.
Penemuan itu dilaporkan dalam majalah Jurnal Nature isu Khamis yang mencadangkan bahawa Marikh pada awalnya lebih aktif daripada penemuan sebelum ini.
Letusan sebelum ini mungkin telah mempengaruhi iklim dan atmosfera planet Merah berkenaan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2giSDpInn 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, October 3, 2013

Lelaki paling pendek di dunia

Lelaki paling pendek di duniaMaster Nau mempunyai ketinggian 41sm.

KATHMANDU - NEPAL. Seorang warga emas sanggup pergi ke Kathmandu bagi menunaikan hasratnya untuk diiktiraf dalam Rekod Dunia Guinness sebagai lelaki paling pendek di dunia.

Master Nau, 73, dari Bhairahawa mempunyai ketinggian 41 sentimeter (sm).

Anak saudaranya, Seema Sheikh berkata, kehadiran Nau disambut meriah media dari pelbagai agensi.

"Master Nau gemar melancong dan suka berkongsi tentang kehidupan hariannya," katanya.

Difahamkan, rekod manusia paling pendek di dunia ketika ini dipegang seorang lelaki warga Nepal, Chandra Bahadur Dangi, 74, dengan ketinggian 54.6sm, laporan dipetik dari AP.

Makan tikus gergasi

Hunan: Petani di sini menangkap dan membunuh seekor tikus raksasa yang mengganas di pedalaman Shaoyang dan memakan ikan, menurut akhbar Sanxiang Metropolis Daily.
Mereka mendakwa melihat tikus besar itu menerkam seekor ikan seberat 3 kilogram dari kolam sebelum mengepung dan membunuh haiwan seberat 5 kilogram dan satu meter panjang. 
“Dua pisau patah ketika memotong daging tikus itu sebelum dimasak”, kata petani.
Tikus menjadi makanan ruji di Guangdong, dihidangkan secara panggang, kukus dan sup.
Foto
SEORANG petani menunjukkan seekor tikus gergasi ditangkap sebelum dimasak untuk dimakan

Pakai kostum pada majlis pengkebumian



SERAMAI 250 orang hadir ke majlis pengkebumian Pattison telah menunaikan hasrat rakan mereka buat kali terakhir di pusat pengkebumian Newcastle Crematorium Britain pada 27 September.- Agensi


NEWCASTLE - Seorang penggemar motosikal berkuasa tinggi, Gary Pattison, meminta rakan-rakan dan saudara-mara yang berkabung atas kematiannya memakai pakaian beragam, kata sebuah akhbar kelmarin.
Mendiang Pattison yang dikenali dengan sifat suka bergurau itu telah mewasiatkan bahawa semua individu yang datang bagi memberi penghormatan terakhir di majlis pengkebumiannya mengenakan pakaian berwarna-warni.
Majlis pengkebumian itu diadakan di pusat pengkebumian Newcastle Crematorium di Newcastle-Under-Lyme, Britain pada 27 September lalu.
Pattison, 42, yang merupakan seorang bapa kepada seorang anak telah membuat permintaan pelik itu sebelum terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan motosikal di Lower Elkstone, Staffordshire di sini awal bulan lalu.
Seramai 250 orang tetamu hadir ke majlis pengkebumiannya itu. Ada antara mereka memakai kostum watak Fred Flintstone, Star Wars stormtrooper, Super Mario dan banyak lagi.
Seorang rakannya, Vanda Kaminski, 31, menggambarkan Pattinson sebagai bapa yang penyayang kepada anak perempuannya Becca, 13, ketika mereka tinggal bersama di Newcastle-under-Lyme.
"Gary merupakan seorang penunggang motosikal tegar, peminat aktiviti berkayak dan seorang pendaki bukit. Dia seorang yang ramah dengan rakan-rakannya," kata Kaminski. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2gbgpRQua 
Hakcipta terpelihara