Pages

Wednesday, August 4, 2010

Qari Mesir, qariah Pakistan juara tilawah





KUALA LUMPUR — Peserta dari Mesir, Hani Abdel Aziz Ahmad dan peserta dari Pakistan, Samia Khanan dinobatkan malam tadi sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000 (RM31,975), piala, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Johan qari memperoleh pungutan markah sebanyak 91.46 peratus sementara johan qariah mendapat 91.08 peratus.

Kebumikan diri bantah diusir




SEORANG lelaki minum dengan menggunakan straw selepas ditanam di Cempaka Putih, Jakarta semalam.


JAKARTA - Sekumpulan penduduk tempatan sanggup meminta ditanam sedalam satu meter bagi membantah usaha pihak berkuasa tempatan mengambil alih kawasan setinggan tempat mereka tinggal semalam.
Menurut akhbar Kompas.com, Salmah dan beberapa penduduk tempatan mengulangi semula tindakan mereka dengan meminta ditanam sehingga ke paras kepala.
Pihak berkuasa tempatan Jakarta merancang mengusir 90 orang yang tinggal di tanah seluas 1,300 meter persegi di Jalan Rawasari Selatan, Rawa Kebo, Cempaka Putih di sini untuk dimajukan menjadi sebuah projek pembangunan.
"Kami tetap bertahan selagi terdaya dan jika boleh untuk selama-lamanya yang kami mampu," kata Salmah yang turut merayu pihak berkuasa bertimbang rasa terhadap nasib penduduk di situ. - Agens

FRIM cipta tongkat Ali superpower




AKAR tongkat Ali yang diproses oleh FRIM menggunakan teknologi terkini menghasilkan kandungan bioaktif tiga kali ganda berbanding tongkat Ali biasa. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Berita baik bagi penggemar tongkat Ali apabila teknologi masa kini mampu menghasilkan kandungan bioaktif tiga kali ganda lebih tinggi berbanding akar tongkat Ali semula jadi.
Lebih menarik, kandungan bioaktif itu mampu dihasilkan dalam tempoh enam bulan berbanding tujuh hingga lapan tahun jika menunggu akar tersebut tumbuh seperti biasa.
Kandungan bioaktif itu terhasil menerusi kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menggunakan teknik bioreaktor.
Bagaimanapun nama kandungan bioaktif itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana masih dalam kajian.
Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, bahan bioaktif itu diperoleh daripada akar rerambut tongkat Ali yang dihasilkan di dalam makmal menerusi bioreaktor berkenaan.
Beliau berkata, melalui proses tersebut, tisu tongkat Ali akan dimasukkan ke dalam alat bioreaktor dan diberikan nutrien tertentu dan suhu persekitarannya dikawal.
"Melalui kaedah tersebut, ia bukan sahaja menyebabkan jumlah tisu tongkat Ali bertambah malah meningkatkan komponen bioaktif di dalamnya sebanyak tiga kali ganda,'' katanya kepada Kosmo! semalam.

Tulang kaki lebih 47,000 tahun




GAMBAR menunjukkan tulang kaki berusia lebih 47,000 tahun yang ditemui di sebuah gua dekat Penablanca, Filipina.


MANILA - Pakar-pakar arkeologi menemui satu tulang tapak kaki yang dapat membuktikan bahawa kepulauan Filipina pertama kali dihuni manusia pada 67,000 tahun lalu, beberapa ribu tahun lebih awal berbanding tanggapan sebelum ini, kata seorang penyelidik Muzium Nasional negara berkenaan semalam.
Penyelidik arkeologi muzium tersebut, Taj Vitales berkata, tulang kaki itu ditemui di sebuah gua dan berusia lebih tua daripada tulang Orang Tabon yang dianggap manusia pertama tinggal di Filipina.
Tulang Manusia Tabon berusia 47,000 tahun.
"Tulang ini menjadikan ia rangka manusia tertua pernah ditemui di kepulauan Filipina," kata Vitales.
Ahli-ahli arkeologi dari Universiti Filipina dan Muzium Nasional menemui tulang tapak kaki kanan itu pada 2007 di gua Callao dekat Penablanca, kira-kira 335 kilometer ke utara Manila.
Berdasarkan lokasi penemuan tersebut, manusia pertama yang menghuni kepulauan berkenaan kini dinamakan Orang Callao manakala penemuan itu dipaparkan dalam edisi terbaru sebuah jurnal arkeologi bertajuk Journal of Human Evolution. - AFP

Mat Salleh pun minum teh Melayu






DALAM suasana pagi yang masih sejuk menggigit, Safinah Yaakob yang ketika itu berusia enam tahun bingkas bangun daripada tidurnya. Walaupun matanya masih terasa kelat untuk dibuka, hatinya girang.
Dia ingin mengikut emaknya memetik daun-daun herba seperti dukung anak, suluh lalang dan daun hati-hati untuk dijadikan minuman teh herba. Itulah rutin hariannya setiap pagi.
"Mak memang minum air teh herba setiap hari. Kebiasaannya daun- daun itu direbus dan dicampurkan dengan manjakani. Katanya, air rebusan daripada daun-daun herba banyak khasiatnya. Bila saya kata mahu rasa, mak tidak izinkan kerana saya masih kecil. Mak hanya membancuhkan saya setiap pagi dengan air teh yang dicampur dengan gula," katanya yang mengimbau kembali memori 33 tahun yang masih abadi di fikirannya sehingga ke hari ini.
Sambil membancuh dan mengacau teh pegaga yang dicampurkan dengan madu, Safinah meneruskan ceritanya. Sesekali dia mengangkat cawan dan menghirup teh yang separa panas itu. Wajah wanita berusia 39 tahun itu tampak berseri tatkala dia bercerita dan mengimbau kembali memori zaman kanak-kanaknya mengenali teh herba.
"Orang dulu-dulu menganggap air rebusan daun adalah teh tetapi lebih dikenali dengan teh herba atau teh hijau. Sebabnya, cara penyediaannya adalah sama dengan teh cuma ia berwarna hijau mengikut warna daun tersebut," katanya yang kini mengusahakan dua cawangan kedai teh herba Melayu iaitu, Malay Tea House sejak tahun 2006.
Pelbagai khasiat teh
Pemilik syarikat Warisan Asal Sdn. Bhd. yang merupakan satu-satunya syarikat yang menghasilkan teh Melayu di Malaysia itu memberitahu dia paling kurangpun akan menikmati dua cawan teh herba setiap hari.
Baginya, teh herba yang sempurna seperti pegaga mempunyai rasa yang pekat dan tidak pahit malah, rasanya kekal di kerongkong walaupun selepas habis dihirup. Satu lagi rahsia teh herba yang diusahakan Safinah ialah setiap minuman teh herbanya tidak dicampurkan dengan gula sebaliknya, menggunakan madu yang akan menambahkan khasiat di dalamnya, memberikan rasa lebih enak dan aroma yang menyegarkan.

PATTINSON (kanan) bersama rakannya Mandy Kularatna menyukai teh herba Melayu kerana rasa dan khasiatnya.


"Selain obses terhadap teh, amalan mak dan petua-petua yang diberi daripada mak saudara yang merupakan seorang bidan kampung, memberi inspirasi kepada saya untuk mengusahakan peniagaan teh herba Melayu di Malaysia.
"Orang hanya mengenali teh Cina tetapi tidak sedar yang Melayu juga kaya dengan teh-teh herba dari pelbagai jenis daun," katanya yang memulakan perniagaan teh herba dengan menggunakan tiga jenis daun iaitu serai, misai kucing dan daun limau purut.
Kini, terdapat sebanyak 17 perisa teh herba di kedai Malay Tea Housenya termasuk mas cotek, roselle, dukung anak, ulam raja, lemuni, peria, selasih hitam, hempedu bumi dan daun jambu.
Menurutnya, sebelum memulakan perniagaan teh herba Melayu itu, pelbagai kajian di universiti dan pusat-pusat penyelidikan telah dilakukannya, sama ada dari segi ujian makmal, ujian kimia mahupun ujian mikro bakteria.
Ada sesetengah orang mengatakan amalan minum teh memberi banyak kesan yang tidak baik kerana dikatakan boleh menyebabkan sembelit, insomnia, ketagihan, pereputan tulang, gigi dan sebagainya.
Namun begitu, teh herba adalah sebaliknya. Ia mempunyai pelbagai khasiat yang terkandung di dalamnya.
Safinah sendiri sebelum ini menghadapi penyakit migrain yang teruk, namun selepas mempraktikkan minuman teh herba setiap hari sakitnya kini semakin berkurangan.
Jelas Safinah, daun pegaga misalnya memberikan banyak manfaat terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi.
Selain itu, teh hijau atau teh yang belum difermentasi adalah teh yang terbaik kerana mempunyai kandungan polifenol dan katekin (catechin) yang paling tinggi.
Catechin adalah bahan larut air, tidak berwarna dan memberi rasa pahit atau kelat pada teh. Dalam masa yang sama, ia mengandungi peratusan polifenol 40 hingga 50 peratus lebih tinggi.
"Lantaran itu, hasil beberapa penyelidikan merumuskan kombinasi nutrien dalam teh dapat merendahkan risiko beberapa penyakit seperti kanser termasuklah kulit, payu dara, paru-paru, kolon dan pundi kencing," katanya.
Teh untuk semua
Teh herba Melayu bukan hanya dinikmati oleh kaum Melayu sahaja tetapi juga kaum yang lain.
Bagi Eksekutif Kewangan, Komplek Dayabumi, Kuala Lumpur, C. Sarsilaa, 30, amalan minum teh herba Melayu bermula sejak setahun lalu.
"Kebetulan setahun yang lepas, saya bersama rakan datang ke Pasar Seni, Kuala Lumpur. Sedang berjalan-jalan saya ternampak sebuah kedai klasik Malay Tea House yang menjual pelbagai jenis teh dihasilkan menggunakan aneka jenis daun.
PENGAMBILAN herba yang mempunyai khasiat tersendiri untuk kesihatan diamalkan oleh nenek moyang kita sejak sekian lama.


"Selepas menikmati teh herba itu saya terus jatuh cinta. Pada mula saya menganggap rasa teh herba pahit tetapi sebenarnya tidak. Rasanya manis dan beraroma, tambahan pula baunya wangi.
"Mungkin disebabkan madu yang digantikan dengan gula dan tambahan perisa seperti limau dan sebagainya," katanya yang setiap hari pasti ke kedai Malay Tea House untuk menikmati teh herba.
Sebelum ini, Sarsilaa sememangnya merupakan penggemar teh. Jelasnya, dalam sehari dia akan menikmati teh pada sebelah pagi dan petang. Disebabkan itu, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencuba teh herba pula.
"Sebelum menikmati teh herba Melayu, saya pernah mencuba minum teh Cina dan teh hijau. Tetapi, saya lebih suka teh Melayu kerana rasanya manis dan menyegarkan," katanya menyukai teh halia, pegaga, selasih dan serai.
Bagi rakan Sarsilaa pula, V. Vanitha, 33, dia menyukai teh herba selepas diberitahu rakannya Sarsilaa.
"Sebelum ini, saya tidak terlalu menyukai minuman teh tetapi, selepas mencuba dan tahu akan khasiat teh herba, saya mula menyukainya.
"Teh herba mempunyai rasa yang manis tetapi bukan disebabkan manis gula. Ia manis disebabkan daun herba dan penambahan madu ke dalamnya. Walaupun harganya agak mahal, tetapi ia berbaloi kerana ia bukan sahaja memberikan kesegaran pada saya tetapi juga mengandungi khasiat yang tinggi," katanya.
Sementara itu, menurut pemuda Inggeris dari London, Tim Pattinson, 30, sebelum ini dia hanya mengenali teh hijau dan teh Cina sahaja.
"Saya tidak tahu orang Melayu juga mempunyai teh yang pelbagai. Sememangnya, saya lebih suka minum teh berbanding kopi. Rasanya lebih lembut dan ia juga memberi kesegaran.
"Pertama kali datang ke Malaysia dan menjejak kaki ke Malay Tea House saya diperkenalkan dengan 17 jenis teh yang diperbuat daripada variasi daun.
"Ia menarik minat saya mencubanya selepas saya membaca risalah yang mengandungi jenis-jenis daun yang boleh dijadikan minuman serta khasiat yang terdapat padanya," kata Pattinson yang menyukai perisa teh daun jambu.
Sejarah teh di Cina dan India
Jika mengikut sejarah, sememangnya teh Cina terlebih dahulu dikenali. Menurut mitos penduduk China, teh dijumpai kira-kira 5,000 tahun dahulu oleh seorang maharaja China yang dikenali sebagai Shennong.
MALAY Tea House juga menyediakan teh herba yang sudah siap dibungkus di dalam tin.


Maharaja itu menemui teh secara tidak sengaja apabila beberapa helai daun teh diterbangkan angin ke dalam secawan air panas yang diminumnya.
Minuman berkenaan seterusnya berkembang menjadi satu minuman tradisi masyarakat di China sebelum disebarkan ke Eropah pada kurun ke-17.
Legenda dari India pula mengaitkan penemuan teh dengan biarawan Bodhidharma. Semasa bertapa, dia mengunyah beberapa daun yang tumbuh berdekatan yang menyegarkannya kembali.
Walaupun India hari ini merupakan penghasil teh terbesar di dunia, tetapi tidak ada catatan sejarah mengenai minuman teh di negara itu sebelum abad ke-19. Di Jepun, teh mula dikenali pada awal abad ke-9, apabila seorang biarawan yang baru pulang dari pengembaraannya, bernama Dengyo Daishi membawa biji tanaman teh dari China.

Tuesday, August 3, 2010

3 Martabat Puasa Ramadhan


http://tarekatqodiriyah.files.wordpress.com/2010/08/kaligrafi-ramadhan2.jpg?w=400&h=300
Puasa mempunyai tiga darjat iaitu:
Puasa Umum
Berpuasa dengan menahan perut dan kemaluan daripada menuruti syahwat.
Puasa Khusus
Puasa yang disertakan dengan mengekang pendengaran, penghihatan, lidah, tangan kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan perkara haram dan dosa.
Puasa Khusus-khusus
Berpuasa dan menyertakan semua perkara yang disebut di atas dan ditambah lagi dengan berpuasa hati daripada segala cita-cita kotor dan pemikiran keduniaan atau apa saja yang memesongkan perhatian selain Allah.

6 Rahsia Puasa- Imam Al-Ghazali



http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc4/hs255.snc4/40082_1443403937253_1597767358_1058893_3146921_n.jpg
Puasa sebenarnya memiliki  rahsia dan dilengkapi pula dengan syarat kebatinannya. Imam Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukminin menggariskan enam perkara dalam perkara rahsia iaitu:
  1. Memejamkan mata dan menahannya daripada memandang perkara tercela dan dibenci agama, mengganggu hati, melalaikan daripada mengingat Allah.
  2. Memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan sombong.
  3. Pelihara pendengaran daripada hal yang dilarang dan dibenci serta ungkapan yang diharamkan.
  4. Memelihara seluruh anggota badan seperti tangan, kaki dan perut daripada dosa. Contohnya berpuasa menahan lapar, tetapi berbuka dengan makanan haram.Iman Ghazali memperi perumpamaan seperti seorang yang membina istana yang indah kemudian memusnahkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya ”Ada ramai ynag berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.”
  5. Jangan membanyakkan makan waktu berbuka hingga terlampau kenyang dan terlalu mewah engan makanan.Bagaimana mahu melawan syaitan dan nafsu sedangkan perut yang terlalu kenyang itu sebenarnya mengundaang syahwat baru? Perbuatan makan sampai terlalu kenyang bertentangan dengan maksud puasa itu sendiri.
  6. Hatinya hendaklah bimbang diantara takut dan harapan iaitu sama ada amalannya diterima Allah atau puasanya ditolak hingga digolongkan orang yang jauh dari rahmat Allah. Imam Ghazali menyifatkan perasaan seumpama itu harus sentiasa ada dalam diri seseorang setiap kali menunaikan apa jua ibadat.

Usah layan jin kafir

KUALA LUMPUR: “Usah layan permintaan jin kafir jika dilayan keadaan jadi semakin buruk,” kata penceramah bebas, Hassan Mahmud al-Hafiz ketika mengulas mengenai seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Desa Petaling diserang histeria disyaki dirasuk makhluk halus.
Menurutnya, tindakan terbaik memberi amaran kepada jin terbabit supaya keluar dari tubuh badan mangsa dengan meletakkan dua ibu jari ke leher mangsa dan menekan dengan kuat.
Katanya, terdapat tiga langkah menekan bagi menghalau jin terbabit iaitu dengan kadar biasa, tinggi dan paling tinggi jika jin terbabit masih berdegil untuk keluar.

“Langkah lain yang boleh digunakan adalah mengambil lada hitam dan diletakkan di kuku kaki mangsa kemudian tekan dengan kuat sehingga jin itu keluar,“ katanya.

Melayu baca mantera Urdu

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah menengah di Desa Petaling di sini, terpaksa ditutup sementara selepas lebih 10 pelajar perempuan, seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita tiba-tiba diserang histeria, semalam.


CEMAS...Fairuz (kiri) membantu menenangkan Atikah.
CEMAS...Fairuz (kiri) membantu menenangkan Atikah.

LAPAR...Atikah gelojoh jamah makanan apabila dirasuk.
LAPAR...Atikah gelojoh jamah makanan apabila dirasuk.

Serangan histeria itu bermula kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, Atikah Abdullah, yang menghadiri perhimpunan pagi tiba-tiba mengamuk dipercayai dirasuk.
Keadaan dialami mangsa berjangkit kepada sembilan pelajar lain termasuk seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita ketika semua mereka yang juga rakan sekelas mangsa cuba menenangkannya.

Ini menyebabkan suasana di sekolah itu kelam-kabut seketika apabila semua mangsa menjerit kuat.

Sejurus selepas itu, Atikah cuba melarikan diri sebelum ditahan beberapa rakan dan gurunya.

Rakan mangsa, Mohd Fairuz Faizin Amran, 16, berkata sejurus kejadian itu, perhimpunan disuraikan dan mangsa dibawa ke bilik berdekatan.

Katanya, rakan serta guru membacakan surah Yasin menyebabkan Atikah tenang seketika sebelum kembali meronta, malah rontaan mangsa diikuti beberapa pelajar perempuan lain yang turut diserang histeria. Menurutnya, pihak sekolah membenarkan semua pelajar sesi pagi pulang pada jam 9.30 pagi dan sekolah dijangka dibuka semula hari ini.

“Mangsa dipapah pulang keluarganya selepas dimaklumkan kejadian itu. Pelajar lain yang diserang histeria juga dibawa pulang keluarga masing-masing.

“Sebaik tiba di rumah, Atikah masih meronta dan cuba keluar rumah untuk ke sebatang pokok berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, mangsa merangkak dan menggelupur sebelum menjerit dalam bahasa Urdu supaya disediakan buah limau, epal hijau dan colok.

Dalam keadaan mata terbeliak ketika dipapah beberapa lelaki, mangsa memandang tepat ibunya, Suraya Abdullah, 33, sambil menjerit seolah-olah mahukan makanan.
Suraya mendakwa, makhluk halus yang mengganggu anaknya dipercayai tinggal di sebatang pokok berhampiran rumah, tetapi pokok itu baru ditebang bulan lalu menyebabkan makhluk yang menghuni pokok itu mengganggu Atikah.

Katanya, anak sulungnya itu sering meracau dan diserang histeria tidak kira masa, malah lebih teruk apabila terdengar laungan azan.

“Saya amat terkejut dengan kejadian yang menimpanya, kadangkala dia menyanyi lagu Tamil dan ketika diserang histeria terdengar seolah-olah dia membaca mantera dalam bahasa Urdu.

“Dia sering diserang penyakit ini, kelmarin (Sabtu) sudah tiga kali dan semalam (kelmarin) empat kali dia diserang histeria, malah saya terpaksa mengambil cuti,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, sudah lapan penduduk di kawasan tempat tinggalnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Petaling diserang kejadian pelik itu.

Suraya berkata, daripada gambaran diberikan anaknya, makhluk yang mengganggu itu banyak dan yang merasuk anaknya paling kuat di kalangan mereka dipercayai jin kafir dan tidak mengendahkan bacaan al-Quran.

Menurutnya, selepas ditenteramkan serta menjamah makanan, anaknya tiba-tiba diam dan mula sedar.

Atikah yang lemah sejurus itu berkata, dia tidak sedar apabila dirasuk, malah berasa ada sesuatu yang mengawal tindakannya serta berasa mual ketika dirasuk.

Faedah Tidur Tengahari Kepada Pekerja




oleh Khairunneezam Mohd. Noor

Sesetengah daripada kita menganggap bahawa lelap atau tidur sebentar pada waktu siang adalah sifat orang yang malas. Tidak kurang juga yang berandaian bahawa rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur sebentar pada waktu siang merupakan suatu amalan harian yang telah dipraktikkan oleh umat Islam sejak dahulu sebagaimana dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.


Ia dianggap sebagai praktis berkesan untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap.

Menyedari pentingnya isu itu telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat beberapa tahun lalu membangunkankan National Sleep Foundation sebagai agensi khas untuk mengkaji dan mempromosikan akan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak terutama para pekerja.

Sebagai golongan pekerja dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap di waktu siang ini belum begitu popular di negara kita.

Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu fokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.

Kajian Sarjana

Banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh para sarjana dalam mengkaji akan kesan tidur sebentar di waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang memberikan fakta tentang kebaikan tidur di waktu siang ini.

Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti The Art of Napping at Work karya Anthony dan Anthony, Sleep and Alertness : Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya.

Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Waktu Tengahari

Telah dibuktikan secara saintifik bahawa waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika.

Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual kosong dengan rakan-rakan, melayari Internet dan sebagainya.

Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat setelah berjam-jam keletihan akibat dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang mana ia boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah.

Fasa tengah hari ini dipanggil oleh para sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan mencukupi dalam lingkungan 30 hingga 40 minit.

Ini adalah kerana waktu tidur yang berlebihan pula akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.

Menyihatkan

Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif semasa bekerja sejak pagi.

Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien menganjur ke petang hari.

Perspektif Islam

Daripada perspektif Islam, tidur di waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik.

Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa 'hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari'.

Tidur sekejap di waktu siang bertujuan untuk menyegarkan semula bukan sahaja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadah dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran tentang implikasi positif daripada tidur sekejap di waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkannya.

Amalkan di Pejabat

Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi para pekerjanya selain daripada pantri atau kantin untuk makan.

Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat para pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka.

Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat.

Begitu juga dengan para pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.

Mungkin amalan tidur sekejap sebegini belum kelihatan praktikal dan janggal dalam kalangan warga pekerja di negara kita. Pun begitu, pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan tidur sekejap ini yang telah terbukti keberkesanannya dalam mengekalkan kecergasan dan kecerdasan diri.

Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalkan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sehari-harian.


Lagi info tentang TIDUR di sini.
sumber
Faedah Tidur Tengahari Kepada Pekerja | SIHAT SELALU

Kampung Baru ikut model Mekah




PROJEK pembangunan komersial Kampung Baru turut dicadang mengikut model perniagaan di Mekah.


MELAKA - Projek pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur di kawasan seluas 90 hektar berkemungkinan dibangunkan mengikut model perniagaan di Mekah, Arab Saudi.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Lambaga Tabung Haji (LTH) adalah antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan membangunkan Kampung Baru telah mengemukakan cadangan itu.
Sebuah lagi GLC yang menyatakan persetujuan ialah Permodalan Hartanah Berhad (PHB) manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang turut dipelawa sebagai pemaju telah menyatakan persetujuan secara dasar.
"Pembangunan di Kampung Baru kelak yang diibaratkan sebagai permata bagi penduduk Melayu di sebuah kawasan di tengah-tengah Kuala Lumpur diharapkan dapat menandingi pembangunan di kawasan sekitarnya termasuk kawasan segi tiga emas yang menempatkan Menara Berkembar Petronas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Lab Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru di sini semalam.
Lab bagi merangka draf undang-undang yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menunjangi penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dijangka berfungsi pada tahun depan.
Raja Nong Chik berkata, selain Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai penyediaan dana dan melaksanakan pembangunan fizikal Kampung Baru juga akan diwujudkan.
Kerajaan juga akan membantu pembangunan infrastruktur di kampung itu.
Mengenai penilaian tanah di Kampung Baru, beliau berkata ia akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan sebuah syarikat swasta, Rahim & Co.
"Kita jangkakan penilaian tanah di Kampung Baru akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga bulan yang akan bermula dalam masa terdekat," katanya.

Jutawan syabu Iran




PEMANDANGAN kawasan perumahan di Mont Kiara, Kuala Lumpur yang didiami lelaki Iran yang hidup mewah hasil penyeludupan dadah.


KUALA LUMPUR - Sungguhpun bilangan warga Iran yang ditahan oleh pihak berkuasa semakin bertambah dari semasa ke semasa, namun kegiatan menyeludup dadah di kalangan warga negara itu tidak pernah berkurangan.
Saban bulan masih ramai rakyat Iran termasuk di kalangan wanita ditahan oleh polis atas kesalahan sama. Yang berbeza cuma modus operandi.
Segelintir daripada warga Iran yang terbabit dengan dadah didapati mengamalkan gaya hidup mewah ala jutawan kerana mendiami rumah mewah dan kereta besar.
Terbaru pada Sabtu lalu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan dua lelaki termasuk seorang warga Iran kerana dipercayai terlibat membawa dadah syabu seberat 113 kilogram berharga RM24.86 juta menggunakan kargo udara.
Kesemua dadah tersebut dimasukkan ke dalam lapan bekas berbentuk silinder setinggi satu meter berisi syabu setiap satu dan mempunyai pelekat Aramex International Express Multi-Lot.
Bahagian bawah dan atas silinder itu pula diletakkan dengan kertas putih manakala setiap silinder itu diisi dengan 14 kilogram kristal syabu.
Malangnya, taktik tersebut terbongkar apabila polis dengan bantuan pihak berkuasa Singapura berjaya menghidu kandungan silinder yang dibawa melalui kargo udara itu.
Polis telah menyerbu sebuah rumah mewah semi D di Mont Kiara di sini sehari selepas dadah tersebut diambil oleh dua suspek itu di unit kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Ketika pemeriksaan pada pukul 3 petang di rumah itu, lelaki Iran berusia 26 tahun dan lelaki tempatan yang berusia 42 tahun berada di di kediaman tersebut. Polis kemudian merampas semua dadah itu yang baru tiba di negara ini.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, Datuk Othman Harun (gambar) berkata, polis percaya rumah yang disewa pada kadar RM13,000 sebulan itu dijadikan sebagai stor untuk menyimpan dadah yang telah siap diproses itu.
"Kita turut merampas wang tunai sebanyak RM260,000 dan sebuah kereta Mercedes Benz E250 bernilai RM550,000 yang baru dibeli beberapa hari lalu oleh suspek Iran itu.
"Kita percaya kesemua dadah tersebut diseludup untuk pasaran domestik," kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini 

Kambing dua kaki di China



GAMBAR menunjukkan seekor kambing yang memiliki dua kaki di wilayah Shandong, China.


SHANDONG - Seekor kambing mempunyai dua kaki sejak dilahirkan di sebuah ladang di wilayah Shandong di timur China, lapor sebuah akhbar semalam. Pemilik haiwan itu yang merupakan seorang penternak kambing, Cui Jinxiu berusia 38 tahun menyatakan pada kebiasaannya dia akan menyembelih kambing muda.
Namun, dia tidak sampai hati untuk menyembelih kambing tersebut selepas melihat kesungguhan haiwan itu untuk terus hidup.
"Ia berdiri dengan menggunakan dua kakinya dan mula meminum susu ibunya. Saya tidak boleh biarkannya mati," jelas Jinxiu. Dia dan kambing yang seberat 4.98 kilogram ketika dilahirkan itu tidak dapat dipisahkan dengannya.
"Walaupun cuma mempunyai dua kaki, ia dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan berdiri dengan stabil. Ia mengikut saya ke mana sahaja," kata Jinxiu sambil ketawa. Pakar veterinar memberitahu kecacatan itu mungkin disebabkan oleh masalah genetik atau berpunca daripada pencemaran kimia. - Agensi

Sang Bedal di pantai PD




MOHD. FAREZ (kiri), Azay dan Suhaimi bersama bangkai buaya tembaga yang ditemui di pantai Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Jika sebelum ini kehadiran buaya di pantai peranginan di Port Dickson sering dinafikan oleh banyak pihak, namun semalam persoalan itu terjawab apabila seekor buaya tembaga betina ditemui di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas dekat sini.
Reptilia pemangsa itu dijumpai terapung-apung oleh tiga orang pekerja binaan pada pukul 12.45 tengah hari ketika mereka sedang memancing di kawasan berkenaan.
Seorang daripada mereka, Suhaimi Salim, 35, berkata, dia dan rakannya yang sedang asyik memancing terkejut apabila ternampak objek yang pada mula disangka kayu.
“Saya nampak sesuatu seperti kayu terapung tetapi selepas dilihat dari jarak dekat, objek itu rupa-rupanya bangkai buaya dalam keadaan terlentang.
“Selepas yakin bahawa buaya itu kaku dan tidak bergerak, baru kami memberanikan diri menghampiri sebelum menariknya kira-kira 500 meter ke tepi pantai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Suhaimi memberitahu, selepas itu dia bersama rakannya menarik buaya terbabit di tepi pantai dan mendapati badan buaya itu terdapat luka dipercayai kesan ditembak.
Rakannya, Mohd. Farez Mohd. Said, 19, pula berkata, buaya sepanjang 5.48 meter dengan ukur lilit 2.43 meter dan berat hampir satu tan (kira-kira 1,000 kilogram) itu berkemungkinan berasal dari Sungai Linggi dekat sini.
Menceritakan detik penemuan reptilia itu, Mohd. Farez berkata, dia pada mulanya terkejut dan tidak mempercayai apa yang dilihat kerana buaya biasanya tidak ditemui di laut.

Susu ibu tidak dihargai





Segelintir pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah


Susu ibu, anugerah dari Tuhan untuk anak yang mempunyai pelbagai khasiat. Ia diperlukan bagi melengkapkan tumbesaran seseorang bayi.
Setakat Julai ini, rekod budaya penyusuan ibu mencatatkan hanya 14 peratus bagi kaum ibu di Wilayah Persekutuan memberikan susu badan kepada bayi mereka dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran.
Walaupun rekod itu sedikit meningkat berbanding hanya 12 peratus pada 2007, 2008 dan 2009 di negeri sama, namun ia masih belum membanggakan.
Lebih tepat, statistik itu menyedihkan seolah-olah kebanyakan ibu tidak menghargai anugerah Tuhan itu kepada kaum ibu terutama ibu muda zaman ini.
Justeru, sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPPIM), akan membantu memupuk kesedaran dan pengetahuan di kalangan ibu yang mempunyai bayi supaya aktif memberikan susu badan.
Misinya untuk menggalakkan budaya penyusuan badan supaya ia mampu melahirkan generasi lebih sihat pada masa depan.
Seorang ahli PPPIM yang juga bekas Ketua Jururawat Hospital Pusrawi, Marjinah Badli berkata, pada zaman moden ini, budaya memberi susu badan kepada bayi sering 'dipandang sebelah mata' di kalangan ibu yang baru melahirkan anak.
Katanya, hasil kajian yang dijalankan PPPIM menunjukkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan atau kelebihan susu ibu adalah faktor utama mengapa seseorang tidak aktif memberikan susu badan.
Marjinah berkata, ada yang enggan memberikan susu badan kerana tidak tahan dengan cabaran seperti rasa sakit apabila menyusukan bayi dan tiada masa akibat terlalu sibuk menjalankan rutin seharian.
"Segelintirnya pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah.
"Kebanyakan klinik swasta, tempat kelahiran bayi, akan memberi promosi susu tepung bayi secara percuma untuk tempoh tiga hingga enam bulan.
"Semua ini menyebabkan ibu lebih selesa dan tertarik untuk memberikan susu tepung kepada bayi mereka walaupun susu ibu adalah imunisasi pertama paling penting yang seharusnya diterima tubuh bayi selepas dilahirkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Marjinah, bagi menggalakkan penyusuan badan, PPPIM pada tahun ini menggunakan pendekatan baru dengan memberikan khidmat nasihat dalam soal menyebarkan maklumat mengenainya.
Jelasnya, pada tahun sebelum ini, PPPIM sering menganjurkan acara di beberapa kawasan sasaran seperti di Putrajaya untuk menghebahkan maklumat berhubung kebaikan penyusuan badan kepada masyarakat.
Pendekatan PPPIM pada tahun ini adalah menghantar ahlinya yang terlatih untuk menyertai acara yang dianjurkan pusat perubatan dan hospital kerajaan serta swasta bagi mendidik pegawai perubatan di situ mengenai soal penyusuan badan.
"Didikan kami termasuk kepentingan susu ibu, cara betul menyusu serta faedah kepada ibu dan anak.
"Ada pakar dan doktor perubatan yang mengemukakan banyak persoalan kepada kami mengenai kebaikan sebenar penyusuan ibu kerana selama ini mereka tidak mengetahuinya.
"Harapan kami, dengan usaha yang kami jalankan tahun ini, ilmu itu dapat dikongsi bersama ibu yang melahirkan anak sekali gus menggalakkan lebih ramai yang aktif memberi susu badan," katanya.
Selain itu, Marjinah menasihatkan kaum ibu yang mempunyai bayi untuk turut bersama-sama menjayakan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia bagi menggalakkan budaya berkenaan dalam masyarakat negara ini.
"Bagi saya, dengan segala kemudahan dan kelengkapan termasuk sudut penyusuan ibu di pusat membeli-belah, pam susu badan serta baju khas untuk ibu menyusukan badan yang ada ketika ini, tiada alasan kepada seseorang untuk tidak memberikan susu badan kepada bayi mereka," ujarnya.