MOHD Reza bersama Siti Zinnirah (kanan) dan Nurul Hana.
Rawang: Seramai 14 pasang pengantin poligami yang diraikan dalam satu majlis anjuran Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad (GISB) di sini, semalam mencuri perhatian tetamu.
Lebih menarik, isteri pertama turut diraikan dengan memakai busana pengantin sedondon dengan madunya dalam majlis berkenaan sempena sambutan ulang tahun ke-16 Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes, di sini.
Kebanyakan pengantin lelaki berpoligami dirai itu berusia antara 20-an hingga 30-an, begitu juga dengan isteri mereka dan kakitangan GISB Holdings Sendirian Berhad.
Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan Mohd Reza Mahar, 31, berkata, beliau menikahi isteri keduanya Nurul Hana Burhanudin, 23, pada 21 Jun lalu dengan restu isteri pertamanya Siti Zinniriah Omar, 27, yang dinikahinya 10 tahun lalu.
“Isteri pertama (Siti Zinniriah) yang meminangkan Nurul Hana menjadi madunya dan beliau sendiri menyarungkan cincin pertunangan kami iaitu sebulan sebelum bernikah.
“Isteri pertama dan kedua saling mengenali sebagai rakan biasa dan mereka menjadi akrab ketika dalam tempoh kami (saya dan Nurul Hana) bertunang,” katanya kepada Metro Ahad.
Katanya, dia bersama kedua-dua isterinya tinggal di bawah satu bumbung termasuk empat anak berusia antara tiga bulan hingga tujuh tahun, hasil perkahwinan pertamanya.
“Kami tidak mempunyai sebarang masalah tinggal sebumbung dan sebaliknya dapat menikmati lebih banyak kemanisan berpoligami.
“Bercintalah kerana Allah, insya-Allah rumah tangga yang dibina aman dan bahagia,” katanya.
Sementara itu, Siti Zinniriah berkata, dibesarkan dalam persekitaran keluarga berpoligami iaitu bapanya yang berkahwin dua menjadikan dirinya sentiasa bersedia berkongsi suami.
“Hubungan saya dengan madu sangat akrab. Dia (madu) panggil saya kakak dan saya memanggil madu, adik.
“Anak saya rapat dengan madu dan mereka memanggil Nurul Hana, bonda,” katanya.
Sementara itu, penyelaras program Mohd Kamil Abdullah berkata, program berkenaan paling unik kerana meraikan 14 pasangan pengantin poligami berbanding 50 pasangan pengantin dirai pada Mei lalu.
“Kami mengetengahkan perkara ini (pengantin poligami) kerana menggalakkan masyarakat menjalani kehidupan dengan lebih berkasih sayang melalui perkongsian suami,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:27 AM
1 comment:
شركة مكافحة حشرات بالجبيل
شركة جلى رخام وبلاط بالاحساء
Post a Comment