PATUNG 
permainan kanak-kanak Barbie bertudung menjadi tumpuan pelayar laman Instagram sejak awal bulan ini.
Akaun tersebut yang diuruskan oleh seorang pelajar dari Nigeria, Haneefah Adam, 24 menampilkan patung Barbie yang dipakaikan pakaian kasual dan tudung jahitannya sendiri.
Kata Haneefah kepada Buzzfeed, pakaian yang dipakai oleh Barbie miliknya diinspirasi oleh pemakaian wanita Muslim yang terkini.
"Saya mahu Hijarbie menjadi inspirasi kepada kanak-kanak perempuan Muslim. Sebuah patung yang sama budaya dan agama dengan latar belakang mereka," kata Haneefah.
Haneefah berharap Hijarbie berupaya membuat wanita Muslim lebih menghargai kecantikan diri, stail dan penampilan.
"Hijab membawa maksud kesederhanaan kepada saya. Hijab adalah mahkota saya dan melambangkan kawalan diri saya sendiri terhadap bagaimana saya ingin dilihat oleh orang lain.
"Hijab (menutup aurat) juga adalah satu kewajipan dalam agama Islam," balas Haneefah sambil tersenyum.
Instagram beliau kini sudah mempunyai 12,000 pengikut yang kebanyakannya berminat untuk mendapatkan anak patung tersebut untuk koleksi peribadi
.