Pesawat U-2 yang digunakan oleh CIA sebagai tujuan perisikan disangka sebagai UFO kerana kemampuannya terbang melebihi 18,000 meter di udara. – AGENSI
NEW YORK 2 Jan. - Misteri penglihatan objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dilaporkan pada tahun 1950-an dan 1960-an akhirnya terungkai apabila Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengakui bahawa sebahagian aktiviti luar biasa di udara itu adalah penerbangan pesawat perisik.
CIA melalui dokumen yang didedahkan kepada umum menjelaskan, penampakan UFO yang dilaporkan kira-kira 60 tahun lalu sebenarnya merupakan pesawat perisikan U-2 yang diuji pada ketinggian 18,288 meter di udara, satu ketinggian yang dianggap mustahil untuk penerbangan.
Portal berita UPI yang memetik dokumen yang disiarkan CIA turut menambah, pada pertengahan tahun 1950-an, kebanyakan pesawat komersial hanya terbang pada ketinggian antara 3,048 meter dan 6,096 meter, manakala pesawat tentera pula mencapai altitud di bawah 12,192 meter.
Jelas laporan itu, disebabkan pesawat U-2 terbang pada ketinggian melebihi 18,288 meter, pusat kawalan trafik udara sering menerima laporan tentang penampakan UFO.
“CIA menyedari laporan penampakan UFO berlaku pada masa dan tempat yang sama ketika penerbangan pesawat U-2, tetapi mereka merahsiakan perkara itu dan membiarkan orang ramai berfikir objek yang dikesan itu adalah makhluk asing, bukannya pesawat perisik.
“Kejadian itu adalah kerja kami,” lapor UPI yang memetik dokumen CIA selepas agensi tersebut menyiarkan beberapa pautan tentang senarai 10 dokumen terbaik 2014 yang paling banyak dibaca.
Kini pesawat U-2 digunakan dalam perkhidmatan Tentera Udara Amerika Syarikat dan sebanyak 104 buah pesawat itu telah dibina secara keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment