BANDAR GAZA – Seorang jurutera Palestin membina mesin yang dapat memproses air laut menjadi air bersih untuk kegunaan penduduk Gaza ekoran wilayah Palestin berkenaan dijangka kehabisan sumber air menjelang 2020.
Diaa Abu Assi, 29, mengambil masa 18 bulan untuk membangunkan sistem pemprosesan air laut yang diharap dapat membantu menyelamatkan nyawa penduduk Gaza.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, tiada lagi air minuman di Gaza.
“Kekurangan air merupakan ancaman sebenar kehidupan di Gaza. Jadi, satu-satunya penyelesaian adalah dengan menapis air dari Laut Mediterranean,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.
Dibiayai oleh Universiti Islam Gaza dengan kerjasama Oman, projek tersebut mengguna pakai teknologi nano untuk menghilangkan kemasinan air laut.
Sistem yang dibina oleh Diaa boleh mengepam air laut pada kelajuan tinggi melalui paip besi besar, manakala penapis nano bertindak mengasingkan mineral yang menyebabkan rasa masin pada air laut.
Gaza yang dihuni kira-kira 1.8 juta rakyat Palestin, menggunakan kira-kira 180 juta meter padu air pada setiap tahun. Setengah daripada jumlah itu digunakan dalam bidang industri dan pertanian.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi di Gaza akan meningkat kepada lebih 500,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang. Jumlah itu akan menyebabkan permintaan air bersih bertambah kepada 260 juta meter padu setahun. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ZxqfDOYH
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment