Mail Online melaporkan, lakaran yang dihasilkan melalui penggabungan lebih daripada 2,000 imej yang diimbas menggunakan kaedah ‘autopsi maya’ itu menunjukkan Raja Tut memiliki saiz pinggul yang kecil, bergigi jongang dan berkaki tempang.
Para saintis berpendapat, Raja Tut yang memerintah Mesir pada tahun ke 14 sebelum Masihi dan gemarkan perlumbaan kereta kuda, berjalan menggunakan tongkat sepanjang hayatnya.
Saintis dari Institut Mumia dan Zaman Batu Itali, Albert Zink berkata, Raja Tut dilahirkan cacat kerana mengalami masalah genetik dan berdasarkan kajian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati, masalah itu wujud selepas bapanya iaitu Raja Akhenaten menjalinkan hubungan kelamin bersama kakaknya sendiri.
Pensyarah Kolej Imperial London, Hutan Ashrafian berkata, perbuatan sumbang mahram telah menyebabkan bayi yang dilahirkan tidak sempurna.
“Ahli keluarga sebelum kelahiran Raja Tut semuanya meninggal dunia pada usia yang lewat, berbanding adik-beradik beliau yang meninggal dunia awal dan ini berkaitan rapat dengan masalah genetik,” jelas Ashrafian.
Fakta berkenaan sekali gus membuktikan bahawa Raja Tut meninggal dunia bukan disebabkan kemalangan ketika menyertai perlumbaan kereta kuda tetapi disebabkan oleh masalah kesihatan.
Raja Tut mula popular selepas mumianya dijumpai pada tahun 1922 bersama barang kemas dan artifak, termasuk topeng emas di sisinya.
Beliau menjadi firaun ketika berusia 10 tahun dan hanya sempat memerintah selama sembilan tahun sebelum meninggal dunia pada usia 19 tahun.