INSIDEN serangan berani mati pada 11 September 2001 yang menyebabkan ranapnya Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat selepas dirempuh sebuah pesawat penumpang Boeing 767 nyata menggemparkan dunia.

Serentak serangan sekitar jam 9 pagi (waktu tempatan) itu, Kementerian Pertahanan AS (Pantagon), turut dirempuh sebuah pesawat mengakibatkan separuh bangunannya runtuh.

Bukan itu sahaja, serangan diteruskan apabila bangunan dewan perwakilannya, Capitol Hill diikuti Jabatan Negara dan bahagian sayap barat Rumah Putih juga diserang.

Serangan digelar sebagai 9/11 itu didakwa dilakukan kumpulan militan Al-Qaeda. Seramai 19 ahli kumpulan terbabit merampas empat buah kapal terbang penumpang komersil sebelum bertindak merempuh Menara Berkembar WTC.

Kejadian 13 tahun lalu itu masih segar di ingatan sehingga ke hari ini dan telah meninggalkan kesan besar ke atas masyarakat antarabangsa terutamanya apabila hampir 3,000 nyawa terkorban dalam serangan itu.

Isu keganasan menjadi topik utama pihak media seluruh dunia terutama selepas serangan terbabit, dan masyarakat Islam menjadi sasaran media antarabangsa yang banyak mengaitkan masyarakat Islam dengan pengganas.

Susulan serangan itu, kuasa besar AS telah memburu pihak terlibat dan langkah awal yang diambil selain penangkapan beberapa individu ialah menyerang Afghanistan di mana pemerintahannya dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang bertanggung jawab ke atas serangan 11 September.

Perhatian dunia memerangi keganasan kini seolah-olah beralih kepada masyarakat Islam kerana pihak yang dikatakan terlibat dalam serangan berkenaan adalah orang Islam.

Sejak itu, penduduk AS seperti takut dengan ancaman militan, namun sehingga ke hari ini tiada satu pun ancaman lain di AS daripada masyarakat Islam yang dianggap pengganas.
Pelbagai tuduhan dilemparkan dan segala macam cara digunakan dalam usahanya untuk melabelkan Islam sebagai pengganas di mata dunia.

Bagaimanapun, baru-baru ini Al-Qaeda dikatakan mempunyai saingan baharu iaitu Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang dikatakan mula mengganas dan mengambil alih beberapa bandar di Syria sejak Jun lalu.

Kebencian terhadap penduduk Islam
Sejak serangan 9/11, banyak laporan tentang gangguan dan kebencian terhadap warga Timur Tengah terutama penduduk Islam.

Mereka memandang serong terhadap penduduk Islam termasuk cara penampilan seperti bertudung, berjubah atau menyimpan janggut panjang.

Difahamkan, golongan Sikh juga menjadi sasaran kerana biasanya lelaki Sikh memakai serban yang juga dijadikan stereotaip Muslim di mata Barat.

Cercaan, serangan di masjid dan pembunuhan Balbir Singh Sodhi, seorang pemilik stesen minyak di Arizona yang ditembak mati pada 15 September tahun sama dilaporkan kerana disangka sebagai Muslim.

Berdasarkan laporan kumpulan sokongan warga Amerika keturunan Asia Selatan dalam South Asian Americans Leading Together, terdapat 645 insiden yang menyisihkan rakyat Amerika berketurunan Asia Selatan atau Timur Tengah pada 11 hingga 17 September 2001.

Kira-kira sebulan selepas serangan, AS mengetuai sebuah campuran tentera antarabangsa untuk menggulingkan Taliban kerana melindungi pertubuhan Al-Qaeda.

Kebanyakan negara di dunia termasuk Kanada, China, United Kingdom, Perancis, Rusia Jerman, India dan Pakistan turut memperkenalkan perundangan anti pengganas serta membekukan akaun bank perniagaan dan individu yang disyaki berhubungan dengan Al-Qaeda.

Islamophobia

Atas nama mempertahankan keselamatan negara, hubungan rakyat AS dengan Muslim AS terganggu dan sering panas.

Sentimen anti-Muslim di negara tersebut ditunjukkan melalui serangan masjid, pembunuhan di kalangan komuniti.

Tindak balas akibat serangan 9/11 juga menunjukkan bahawa Islamohobia iaitu rasa takut atau curiga terhadap semua Muslim dan agama Islam semakin kuat dirasakan di AS.

Sebagai contoh, Jabatan Polis New York (NYPD) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah bekerjasama membentuk program perisikan sulit untuk mengintip masyarakat Islam di Brooklyn dan Manhattan.

Paling teruk mereka turut menghantar anggotanya ke masjid untuk memantau aktiviti di dalam masjid selain sanggup menyamar hingga ke universiti di Buffalo untuk melihat berapa kali pelajar Islam bersembahyang dalam sehari.

Bukan hanya itu, anggota NYPD turut memarkir kereta lengkap dengan kamera dan perakam suara di luar sebuah masjid yang terkenal di Brooklyn, dengan harapan dapat mendengar jika khutbah solat Jumaat yang sedang disampaikan ada menyentuh isu keganasan.

Mereka juga menetapkan semua masjid di bandar itu sebagai organisasi pengganas, dan sesiapa yang hadir ke masjid berpotensi untuk disiasat. Malah, Persatuan Arab Amerika New York turut dianggap sebagai perusahaan keganasan.

Pada 2010, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah membayar Craig Monteilh lebih AS$11,000 (RM35,000) sebulan untuk menyamar sebagai penganut agama Islam bagi memudahkannya masuk ke masjid di selatan California.

Setelah itu, dia diminta melakukan hubungan intim dengan wanita Islam dan memerangkap wanita terbabit dengan memulakan perbualan mengenai jihad dan keganasan.

Bagaimanapun, usaha itu gagal setelah tindakannya dilaporkan penduduk setempat dan FBI dikritik kerana menjadi dalang insiden tersebut.

Pengharaman undang-undang Syariah

Sejak tiga tahun lalu, Ahli Parlimen di 32 badan perundangan di seluruh negara menyasarkan umat Islam apabila mencadangkan untuk mengharamkan undang-undang Islam atau Syariah.

Tujuh negeri menandatangani larangan dicadangkan, di mana negeri paling baharu adalah Carolina Utara.

Selain itu, projek pembinaan masjid di negeri seperti Oklahoma, Tennessee, California dan Minnesota mendapat tentangan daripada penggubal undang-undang tempatan yang ingin menggagalkan pembinaan.

Mereka mengeluarkan pelbagai hujah seperti mengganggu corak lalu lintas, pencemaran bunyi dan mengurangkan kawasan letak kereta.

Pakatan perangi ISIL

Apabila ia tiba di Jabatan Negara pada 2014, kumpulan Abu Musab al-Zarqawi mengetuai kumpulan dikenali sebagai Al-Qaeda di Iraq dan dikenali kerana menyerang AS dan tentera bersekutu serta membunuh pegawai dan tebusan.

Sebelum dilahirkan semula, mereka mengalami kejatuhan dan menukar nama kepada ISIL dengan misi baharu iaitu mahu mewujudkan khalifah yang luas.

ISIL mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan di Syria, di mana ia menjadi kumpulan paling ditakuti berikutan usahanya untuk menggulingkan Presiden Bashar Al-Assad, dan menawan beberapa wilayah di Iraq.

Presiden AS, Barack Obama juga mengumumkan kempen perangi ISIL dengan meningkatkan peranan tenteranya sebagai sebahagian daripada strategi termasuk membina pakatan antarabangsa untuk menyokong tentera darat Iraq dan dan sekutu lain.

Rumah Putih juga ketika ini sedang berusaha meyakinkan negara sekutu tentang komitmen negara itu untuk memimpin koalisasi antarabangsa bagi melawan kumpulan terbabit yang dikatakan mengganas di utara Iraq dan Syria.

Sebanyak 475 penasihat tentera AS diterbangkan ke Iraq dan menjadikan jumlah keseluruhan tenteranya di sana setakat ini sebanyak 1,700 orang.

Beberapa serangan udara dilancarkan di Iraq dan diperluaskan ke Syria untuk disasarkan kepada ISIL.

“Saya telah mengatakan dengan jelas bahawa kita akan memburu pengganas yang mengancam negara kami. Objektif kami adalah memusnahkan ISIL melalui strategi antikeganasan yang komprehensif dan mampan.

“Ini bermakna saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap ISIL di Syria dan Iraq, dan ia adalah prinsip teras sebagai presiden. Jika AS diancam, saya akan pastikan tiada tempat selamat untuk anda,” katanya.

Inisiatif pulih imej Islam

Selepas 13 tahun insiden 9/11, nama masyarakat Islam diakui tercalar dan mata dunia kini memandang orang Islam sebagai pengganas. Nasib orang Islam di Amerika Syarikat juga seolah-olah tidak terjamin sehingga ada dimusuhi penduduk setempat.

Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat AS tentang masyarakat Islam, sebuah organisasi September 11 Families for Peaceful Tomorrows melancarkan kempen menentang Islamophobia melalui iklan di bas bagi mempromosikan toleransi agama dan perpaduan antara agama di New York City.

Inisiatif ini diambil selepas Institut Arab-Amerika mendedahkan keputusan undian menunjukkan peningkatan sikap negatif AS terhadap umat Islam di negara tersebut.

Bulan lalu, siasatan oleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) mengetengahkan program keselamatan negara tidak diketahui yang menyenaraihitamkan permohonan dan profil umat Islam yang dianggap sebagai kebimbangan keselamatan negara.

Sejak program dimulakan pada 2008 ketika di bawah pemerintahan George W Bush, Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen Amerika Syarikat (USCIS) menolak kewarganegaraan dari banyak negara dengan hanya melihat kepada negara asal dan agama.

Berdasarkan laporan Institut Arab-Amerika juga, sejak mula undian sikap AS kepada orang Islam dan Arab diadakan pada tahun 2010, terdapat kemerosotan berterusan sehingga menimbulkan ancaman kepada dua masyarakat berkenaan.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa, sehingga ke hari ini masyarakat Islam di AS boleh dikatakan masih belum terjamin dan diterima sepenuhnya. Tanggapan itu mungkin dikuatkan lagi dengan kewujudan kumpulan ISIL yang membunuh dua rakyat AS yang menjadi tahanan mereka.