Pages

Sunday, July 21, 2013

Pisau pintar kesan kanser

Seorang daripada penyelidik yang membangunkan pisau pintar iKnife, melakukan demonstrasi menggunakan daging haiwan di Hospital St. Mary, London, Rabu lalu. - AP
LONDON 20 Julai - Sekumpulan saintis berjaya mencipta sebilah pisau bedah pintar yang boleh mengesan sama ada tisu yang dipotong mempunyai kanser dalam tempoh beberapa saat.
Pisau canggih itu, iKnife yang dicipta saintis di Kolej Imperial London, membolehkan doktor mengurangkan bilangan pembedahan untuk membuang sel kanser.
Kebiasaannya, pakar bedah sukar untuk mengenal pasti tisu yang masih elok atau tisu yang rosak akibat kanser, menyebabkan sel penyakit tersebut masih tertinggal pada tisu pesakit.
Situasi berkenaan membuatkan pesakit kanser terpaksa menjalani pembedahan kali kedua bagi membuang sel-sel tersebut.
Namun dengan iKnife ciptaan saintis Zoltan Takats dan kumpulannya, pisau berteknologi tinggi terbabit boleh mengesan sel kanser yang tertinggal dan memotong bahagian tisu yang berjangkit dengan menggunakan arus elektrik.
Buat masa ini, tisu yang diambil daripada pesakit akan dihantar ke makmal sementara pesakit masih di bawah pengaruh ubat bius dan setiap analisis akan mengambil masa selama setengah jam.
Bagaimanapun, dengan iKnife, proses tersebut hanya mengambil masa tiga saat sahaja.
Meskipun teknologi berkenaan masih dalam tahap percubaan yang mengambil masa dua hingga tiga tahun, Takats yakin hasil ciptaannya itu boleh membantu pakar bedah memudahkan kerja mereka.
"Kos pembuatan iKnife menelan belanja 200,000 pound (RM973,419), tetapi harganya akan diturunkan apabila dikomersialkan nanti," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130721/lu_04/Pisau-pintar-kesan-kanser#ixzz2ZmmeTdFF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: