Pages

Friday, October 28, 2011

Mangsa gempa perlu bantuan




Sebahagian daripada bangunan yang runtuh dalam gempa di bandar Ercis, timur Turkey pada Ahad lalu. Kerja-kerja membersihkan runtuhan bangunan dimulakan menggunakan jentera berat dan jentolak di Ercis, kelmarin. - AP


ERCIS 27 Okt. - Pasukan penyelamat menarik keluar seorang remaja lelaki yang masih hidup dari runtuhan sebuah bangunan hari ini, empat hari selepas satu gempa bumi kuat melanda wilayah majoriti Kurdis, Van di timur Turki.
Siaran televisyen menunjukkan pekerja penyelamat mengeluarkan remaja yang kelihatan lesu itu dari celah runtuhan.
Remaja berusia 19 tahun itu adalah mangsa pertama yang dikeluarkan hidup-hidup sejak penyelamat membawa keluar seorang pelajar universiti dan dua guru, semalam.
Dalam pada itu Turki memberi keutamaan kepada usaha melindungi beribu-ribu penduduk yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi, sementara peluang semakin tipis untuk mencari mangsa yang terselamat empat hari selepas bencana itu melanda wilayah majoriti Kurdis, Van di timur negara ini.
Angka kematian meningkat kepada 523 orang manakala 1,650 lagi cedera berikutan gempa bumi 7.2 skala Richter pada Ahad lalu, paling kuat di Turki dalam tempoh lebih sedekad.
Beberapa negara menyahut permohonan bantuan daripada Turki yang meminta bekalan khemah, rumah pasang siap dan kontena, termasuk Israel walaupun hubungan antara kedua-dua kerajaan keruh sejak komando Zionis membunuh sembilan rakyat Turki yang menyertai flotila kapal bantuan ke Genting Gaza tahun lepas.
Di Ercis, bandar yang mempunyai 100,000 penduduk dan paling teruk dilanda bencana itu, mangsa melahirkan rasa kesal ketika berbaris panjang untuk mendapatkan bekalan khemah di jalan utama, selepas hujan lebat malam tadi bertukar menjadi salji pagi ini.
"Semua orang terkena hujan dan jatuh sakit, kami beratur selama empat hari tetapi tidak mendapat apa-apa.
"Apabila tiba giliran kami, mereka memberitahu kami, mereka kehabisan khemah," kata seorang ejen hartanah, Fetih Zengin, 38, yang rumahnya rosak teruk dalam gempa itu.
Katanya, mereka sekeluarga termasuk 10 kanak-kanak tidur berbumbungkan sehelai kain plastik yang direntangkan di atas papan.
"Semua orang memerlukan khemah kerana musim salji akan tiba, tetapi keadaan sangat teruk," katanya.
Gerakan mencari mangsa yang terselamat masih diteruskan di sesetengah lokasi tetapi di tempat lain, penyelamat sudah putus asa dan menghentikan operasi.
Sementara itu, mayat seorang ibu dan bayinya dikeluarkan dari runtuhan sebuah bangunan malam tadi, kata saksi. - AP/Reuters

No comments: